BAB 17

Romance Series 107602

BIBIR Afiqah mengorak senyum saat anak itu berada di atas pangkuannya. Melahirkan beberapa hari lepas tanpa suami di sisi buat hati Afiqah diterpa sayu tiba-tiba. Fikirannya mula melayang teringatkan kejadian dua bulan lepas ketika hubungannya bersama Harris baru-baru pulih.

" Sayang cukup 9 bulan. InsyaAllah abang minta cuti temankan Iqa bersalin",

Afiqah tergelak kecil. " Abang kan boss nak kena minta cuti juga ke?",

" Mak kan boss besar. Minta cuti dengan mak", manja suara Harris memandang Afiqah sambil tangannya bersahaja melipat baju bayi yang telah dibasuh dan dimasukkan ke dalam bakul. Keterujaan Harris mahu menerima anak yang baru buat lelaki itu membeli baju lebih awal. Nak pula bila mengetahui anak yang sedang dikandung Afiqah adalah anak lelaki lagilah lelaki itu teruja.

" Kalau mak tak bagi?",

" Bukan masalah mak tak bagi. Abang pergi KL hari tu pun mak bising. Isteri nak bersalin pun sibuk kerja luar. Sayang baru nak masuk 7 bulan kot. Saja nak cari gaduh dengan abang",

Afiqah tertawa saat membayangkan nada suara dan riak wajah Salmiah jika bercakap dengan Harris. Selalu sahaja macam mahu bergaduh. Namun dia senang melihat hubungan mesra Harris dan Salmiah. Anak lelaki seorang mungkin.

" Anak kamu dah tidur tu. Tidurlah Iqa. Rehat", sapaan Hasnah disambut dengan senyuman. Hilang terus lamunannya tadi.

" Ada mak telefon sampaikan berita fasal Abang Harris nek?"

" Kalau ada berita tentu mak mertua kamu telefon", Hasnah membantu Afiqah meletakkan Akid Zhafran ke katil bayi. " Jangan banyak fikir sangat. Kamu tu tengah berpantang. Nanti kamu dah sihat sikit kita pergi tengok Harris di hospital tu. Jangan berhenti berdoa",

Afiqah hanya menggumam mengiakan sahaja pesanan Hasnah. Ya. Sejak Harris tidak sedarkan diri malam itu dia tidak pernah berhenti berdoa semoga suaminya cepat sedar dan sihat semula.

Hampir dua bulan Harris tidak sedarkan diri selepas peristiwa malam itu. Sejak itu hubungan Afiqah bersama Atiya semakin buruk kerana rupanya Atiya ternampak apa yang berlaku malam itu. Atiya ternampak Harris dicederakan kerana mahu membantu Afiqah. Dia sendiri masih menyalahkan diri sendiri dengan apa yang terjadi kepada suaminya.

" Ayah jadi macam ni sebab umi. Sebab nak tolong umi. Kalau umi tak datang malam tu ayah takkan jadi macam ni", tangisan Atiya terdengar begitu sedih, sakit dan terluka.

Afiqah kelu seribu bahasa. Tiada jawapan bagi mententeramkan Atiya saat itu. Mahu memujuk tak mungkin Atiya akan terpujuk. Hubungan Atiya dan Harris terlalu rapat tentulah anak itu sangat terasa akan apa yang sedang berlaku. Ayah ada di depan mata. Tapi kaku langsung tidak bergerak apatahlagi mahu berbicara. Dia faham perasaan Atiya. Dia faham sangat. Dan dia juga takut. Dia juga takut untuk menghadapi kehilangan Harris.

LANGKAH Afiqah terus menuju ke bilik yang menempatkan Harris. Sudah beberapa kali dia datang melawat Harris sejak habis berpantang namun Harris langsung tidak menunjukkan tanda akan sedar dari koma. Kali terakhir dua minggu lepas dan selepas itu dia dihalang untuk berjumpa dengan Harris buatkan dirinya keliru. Hari ini diam-diam dia datang ke hospital kerana dia mahu tahu apa yang disorokkan Salmiah dan Hasnah.

Berdiri di hadapan pintu telinganya menangkap suara orang sedang berbual dan ketawa riang. Suara Harris? Degupan jantungnya terus dipalu laju. Dia benar-benar berdebar. Apakah kerana terlalu rindukan Harris suara lelaki lain pun kedengaran seperti suara suaminya.

Tombol pintu dipegang beberapa saat dan dengar debar yang masih ada dipulas tombol pintu dan daun pintu bilik ditolak perlahan. Harris dan Zahlia sama-sama berpaling ke arahnya saat tubuhnya berdiri di jenang pintu yang terbuka.

" Iqa", Zahlia sedikit tersentak dengan kehadiran Afiqah namun Harris hanya berwajah bersahaja dan langsung tidak terkejut.

" Abang dah sedar?", hampir tidak terkeluar suaranya kerana terlalu terkejut melihat Harris yang sudah sedar dan nampak begitu sihat. Afiqah sudah tidak mampu menahan diri dan tanpa sedar air matanya mengalir laju.

Harris terkejut melihat tingkah Afiqah yang menangis tiba-tiba. Malah makin terkejut apabila melihat langkah Afiqah meluru laju mendekatinya dan terus memeluk tubuhnya yang sedang berbaring.

" Apa awak ni Iqa?", keras tolakan Harris mengejutkan Afiqah sehingga tubuh kecilnya terdorong setapak ke belakang. Zahlia yang melihat juga tidak menduga dengan tindakan lelaki di hadapannya itu.

" Abang..", Afiqah terkedu terkejut dengan respon kasar dari Harris. " Abang..abang tak rindu Iqa?", soal Afiqah naif. Kali ini langsung hilang malunya pada Zahlia yang sedang melihat. Dia tidak peduli apa yang Zahlia fikirkan.

" Apa awak mengarut ni Iqa. Rindu? Saya ni abang ipar awak Iqa", suara Harris sudah mula meninggi buatkan Afiqah tersentak. Abang ipar? Apa maksud Harris?

" Rris..", teguran lembut Zahlia dan sentuhan Zahlia pada tubuh Harris membuatkan Afiqah keliru. Apa hal ni?

" Iqa. Jom kita bercakap di luar", Zahlia menarik tangan Afiqah untuk keluar dari bilik wad. Walaupun masih keliru dengan situasi sebentar tadi Afiqah menurut juga sambil kepalanya tetap tertoleh pada Harris yang langsung tidak memandangnya. Kenapa abang? Lirih hatinya berbisik.

" HARRIS hilang ingatan", mendatar suara Zahlia bagai tiada perasaan. Namun lain bagi Afiqah saat ayat itu melintasi pendengarannya Afiqah yang berdiri terus terduduk di kerusi berona kuning di ruang menunggu luar wad. Kakinya tidak mampu menahan beban perasaan yang bercampur baur antara terkejut, sedih, kecewa. Semuanya bersatu.

" Hilang..hilang ingatan? Maksudnya Abang Rris tak ingat siapa Iqa?",

Zahlia menggangguk perlahan.

" Ya Allah", jantung Afiqah bagai ingin tercabut. Sungguh terasa seperti separuh nyawanya bagai dibawa pergi. Oh. Apakah kerana terlalu lama koma sehingga sedar sahaja Harris hilang ingatan?

" Dia cuma ingat ketika dia masih suami aku. Sebab tu dia cakap dia abang ipar kau tadi", ujaran Zahlia buat Afiqah ingin pitam. Kepalanya terasa berpusing dan cepat dia memegang tangan kerusi.

" Kesan hentakan kuat menyebabkan berlakunya kecederaan pada otak. Itu punca sebenar yang buat Rris hilang ingatan", Zahlia terus sahaja bercakap langsung tiada hati mahu menenangkan Afiqah. Entah kenapa dari satu sudut dia senang dengan keadaan ini. Ya kerana Harris masih menganggap dia isteri lelaki itu.

Afiqah diam dan cuba untuk bertenang. Fikirannya kosong dan tubuhnya longlai. Dadanya terasa bagai dihimpit dan sukar sekali untuk dia bernafas. Ditumbuk dadanya berkali-kali berharap jantungnya tidak berhenti tiba-tiba kerana rasa terkejut ini.

" Abang..", tangisannya terhambur jua. Apatahlagi apabila teringatkan bicara Atiya yang mengatakan apa yang berlaku ini semuanya kerana dia. Kerana kedatangan dia malam itu. Ya Allah. Kuatkanlah aku menghadapi ujian ini Ya Allah. Hanya pada Mu aku bersandar dan memohon pertolongan. Aku hanya insan yang lemah Ya Allah. Berikanlah aku kekuatan Ya Allah. Sesungguhnya engkaulah Tuhan Yang Maha Perkasa Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Hatinya berdoa. Kepalanya terus terlayar wajah anak kecilnya Akid Zhafran. Kasihan anak umi.

LAMA juga Afiqah bersendirian di luar melayan perasaan apabila Zahlia meminta diri mahu mengambil Atiya di sekolah. Jam di tangan dikerling. Masih berbaki 10 minit waktu melawat. Dia tahu keluarga Harris selalunya datang melawat pada waktu petang kerana itulah dia datang tengah hari ini. Afiqah bangun menarik nafas dan melepaskannnya. Beberapa kali dia melakukan perkara itu bagi menaikkan semangat diri dan membuang resah di hati.

Kau kena kuat Iqa. Kau tak boleh lemah sekarang. Jika kau lemah kau akan kalah. Tak aku takkan kalah. Aku mahu tempuhi ujian ini dengan rasa nikmat. Ujian itu satu nikmat Iqa. Orang alim lebih rela menerima ujian susah dari ujian senang. Ujian itu kan tanda Allah sayangkan kau. Allah sedang pandang kau. Allah sedang lihat kau. Apakah kerana ujian ini kau akan jadi hamba yang kufur atau hamba yang lebih bertakwa. Yakin Allah sentiasa ada dengan kau Iqa. Bismillah..

Pintu bilik ditolak dan berhati-hati dia melangkah masuk. Melihat Harris yang lena membuatkan Afiqah sedikit kelegaan. Debar di dadanya mula beritma normal.

Dia duduk di kerusi yang disediakan di sebelah katil. Wajah Harris direnung penuh kasih. Bersih dan tenang sekali wajah itu. Tanpa sedar tangannya mula naik dan mengusap lembut pipi Harris yang terlena. Melihat dada Harris yang turun naik membuatkan Afiqah meletak perlahan kepalanya di dada itu. Sungguh segala yang dilakukannya bagai ada suara yang menyuruh. Harris yang telah terjaga namun masih memejamkan mata menyangka itu adalah Zahlia membiarkan kerana senang sahaja dengan perlakuan itu. Namun saat menyedari itu bukan Zahlia cepat ditolak kepala wanita itu dan buru-buru dia bangun dan bersandar.

"Iqa dah melampau", keras suara Harris. Sungguh dia lelaki yang sangat menjaga hubungan dengan perempuan. " Kenapa Iqa buat macam ni? Abang Rris ni suami Kak Lia", tegas suara Harris apabila melihat wajah Afiqah seperti ingin menyatakan sesuatu.

" Iqa..Iqa..", Ah! kenapa sukar pula mahu berbicara saat melihat wajah serius dan dingin Harris.

" Kak Lia mana?", soal Harris tidak senang kerana ketiadaan Zahlia di bilik ini sekarang.

" Kak Lia balik sekejap ambil Atiya dari sekolah. Iqa temankan Abang Rris ya",

" Tak perlu. Pergilah balik. Abang Rris okay", nak suruh teman? Masalahnya kau lepas laku Iqa!

" Abang tak ingat siapa Iqa?",

Berkerut dahi Harris saat soalan itu menampar pendengarannya. Dia mendengus perlahan. Apa kena dengan Afiqah ni ya? Aneh aneh sahaja.

" Iqa kan adik Lia", laju dia menjawab.

" Ya.." balas Iqa menahan rasa. Mahu sahaja dihamburkan tangisnya sekali lagi. Dia tak mahu berahsia dengan lelaki ini. Dia tidak peduli jika Zahlia memberi amaran kepadanya tadi.

" Keadaan Harris tak mengizinkan untuk kita beritahu hal sebenar lagi. Jangan kau pandai-pandai beritahu siapa kau dengan dia. Sampai masa nanti kita beritahu", keras dan tegas suara Zahlia

" Tapi bila? Abang Rris perlu tahu Iqa isteri dia. Bukan Kak Lia", Afiqah memandang Zahlia. Apakah dia tidak punya hak ke atas suaminya hanya kerana suaminya itu hilang ingatan. Tak! Aku isteri dia! Aku lebih berhak ke atas dia. Bukan Kak Lia. Bukan orang lain. Entah. Tiba-tiba dia mahu menakluki dan memilik Harris. Dia mahu Harris tahu hal sebenar. Dia tidak faham kenapa mahu berahsia?

Ketika berbual dengan Zahlia tadi dia tidak berjanji apa-apa pun pada Zahlia. Jadi tak salah pun jika dia memberitahu Harris hal sebenar kerana dari mata kasar ketika dia melihat Harris tadi dia nampak Harris sedang ceria sahaja. Dia dengar suara Harris ketawa dari luar bilik tadi. Dia tidak peduli. Dia mahu Harris tahu. Bukan pentingkan diri sendiri tetapi dia rasa dia telah ditipu oleh semua orang selama dua minggu ini. Patutlah semua orang berahsia sangat. Rupanya Harris sedar tetapi lupa ingatan! Dia tidak peduli bagaimana keadaan Harris. Harris perlu tahu siapa dia.

" Iqa isteri abang. Bukan Kak Lia", langsung tiada bunga-bunga dia menuturkan satu-satu perkataan itu supaya Harris dapat mendengar dengan jelas.

" Apa benda Iqa mengarut ni?", suara Harris naik semula.

" Iqa isteri abang. Bukan adik ipar abang", tegas suaranya.

Harris ketawa kecil. " Jangan mengarut Afiqah",

" Doktor dah beritahu abang kan kepala abang cedera abang koma berbulan- bulan dan sedar dua minggu lepas tapi abang hilang ingatan. Abang tak ingat siapa Iqa kan. Abang cuma ingat Iqa adik ipar abang. Tapi sebenarnya Iqa isteri abang", tegasnya sekali lagi.

" Dah! Jangan nak mengarut Afiqah. Keluar!",

" Semua orang tipu abang tipu Iqa. Iqa tak faham kenapa mesti nak tipu", Afiqah langsung tidak takut dengan jerkahan lelaki itu. " Iqa tahu susah untuk abang terima sebab dua minggu ni mereka tak bagi Iqa jumpa abang. Takut Iqa meroyan agaknya kalau tahu abang tak ingat Iqa. Tapi Iqa isteri abang. Iqa yang patut jaga abang. Bukan Kak Lia. Mulai hari ini. Iqa yang akan jaga abang. Abang suka. Abang tak suka Iqa tak peduli. Lepas keluar wad abang akan duduk rumah nenek dengan Iqa", entah kenapa dia bagai memaksa lelaki itu. Kasihan. Tentu sahaja. Tetapi dia tidak mahu suaminya dipermainkan.

" Kalau Iqa tak nak Abang Rris berkasar dengan Iqa baik Iqa balik sekarang", Harris mula terasa sakit di belakang kepalanya saat berderu-deru ayat yang masuk dalam kotak pendengarannya.

Melihat riak wajah Harris yang seakan sedang menahan sakit buat Afiqah kebimbangan. " Abang sakit?", Afiqah bangun dan terus dipegang belakang kepala Harris namun cepat ditepis lelaki itu. Entah berapa kali dia ditolak Harris hari ini.

" Balik. Selagi Iqa tak balik sakit kepala Abang Rris takkan hilang", Harris menundukkan wajahnya langsung tidak memandang wajah Afiqah.

Afiqah terdiam seketika. " Iqa balik. Tapi Iqa akan datang lagi esok jaga abang", Afiqah berdiri merenung suaminya.

" Tak payah",

" Iqa balik dulu abang. Iqa sayang abang sangat. I love you abang", sengaja dia membisikkan kata cinta. Ya ungkapan dan pengakuan cinta yang hanya dapat diraikan satu malam sahaja sebelum perkara hitam itu berlaku.

Tiada jawapan dari Harris. Diam. Kerana hatinya langsung tidak suka dengan apa yang baru dia tahu dan dia dengar dari mulut Afiqah. Afiqah isteri aku? Tak mungkin aku kahwin dengan adik ipar sendiri! Bentaknya dalam hati.

RENUNGAN mata Hasnah langsung tidak diendahkan Afiqah. Dia berlalu masuk ke bilik dan mencari Akid Zharfan. Kerana terlalu mengikutkan perasaan tadi anaknya ditinggalkan dan baru sekejap pergi rindunya pada anak itu begitu menggebu.

" Terima kasih jagakan Akid untuk Iqa nek",

" Iqa ke hospital?",

" Hmm..", matanya terus merenung wajah Akid Zharfan. Teringatkan Harris membuatkan Afiqah sedih kembali. Ayah tak ingat kita sayang.
" Abang Rris tak ingat Iqa. Tentu dia tak ingat ada anak dengan Iqa", pipi gebu Akid dielus. Usia anaknya itu sudah hampir tiga bulan. Oleh kerana kuat menyusu cepat sahaja tubuhnya berisi.

Hasnah diam.

" Kenapa nenek dan mak rahsiakan hal Abang Rris pada Iqa? Nenek takut Iqa meroyan?", dipandang wajah tua di hadapannya.

" Iqa..",

" Nenek tak kenal lagi siapa Iqa. Iqa tahu dulu Iqa pernah kemurungan sebab hilang ibu dan abah. Tapi itu dulu nek. Iqa dah kuat. Iqa dah dewasa untuk mengerti dan menghadapi ujian nek. Iqa bukan macam Iqa yang dulu yang lemah. Yang cuma tahu menyalahkan diri sendiri. Iqa dah cukup dewasa nek",

" Nenek minta maaf. Nenek tak nak Iqa tertekan dengan keadaan Harris dan..",

" meroyan..", celah Afiqah laju. " Abang Rris cuma ingat dia masih suami Kak Lia. Tapi Iqa dah beritahu Abang Rris yang Iqa ni isteri dia bukan Kak Lia. Masa Iqa sampai tadi Abang Rris tengah gelak ketawa dengan Kak Lia. Maksudnya Abang Rris dah sihat. Iqa tak nak kita semua tipu Abang Rris lagi. Dia patut tahu. Dia suami Iqa dan dia ada anak dengan Iqa",

" Apa kata Harris bila Iqa beritahu hal sebenar",

" Dia tak terima. Dia marah Iqa kata Iqa mengarut. Tapi mulai esok Iqa yang akan jaga Abang Harris nek bukan Kak Lia. Iqa tak nak suami Iqa disentuh dan dijaga perempuan lain", tegas suara Afiqah.

" Harris keluar hospital nanti kita bawa Harris tinggal dekat sini", ujaran Hasnah Afiqah terima dengan anggukan.

" Kalau Abang Rris tak nak nek?",

" Kalau dia nak tinggal rumah dia. Iqa tinggal je di sana",

" Nenek? Nak tinggal seorang?", Afiqah kebimbangan. Apabila teringat kejadian berdarah malam itu dia jadi trauma dan kadang kala sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi sehingga dia takut tinggal seorang di rumah pada waktu malam.

" Tak apa. Yang penting suami kamu sihat semula",

" Biar Iqa pujuk Abang Rris tinggal dengan kita. Kalau dia tak nak Iqa akan paksa", Ah! Kenapa kau jadi pemaksa ni Iqa. Ya. Memaksa secara berhemah.

Sedang Afiqah masih berbual dengan Hasnah telefonnya berdering. Kak Lia?

" Kenapa kau beritahu Harris hubungan kau dengan dia Iqa?", suara Zahlia yang sedang kemarahan membuatkan kening Afiqah bertaut. Apa masalah kalau aku beritahu!

" Abang Rris suami Iqa. Iqa berhak beritahu siapa Iqa", jawabnya dengan tegas.

" Dia tengah mengamuk beritahu nak ceraikan kau", suara Zahlia bagai guruh yang sedang berdentum. Kuat dan menakutkan. Afiqah bagai mahu pitam. Ujian apakah ini?

Happy reading..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience