TUBUH Zahlia dipapah Afiqah dan Atiya untuk keluar dari perut kereta. Kerusi roda ditolak Hasnah supaya lebih dekat. Perlahan tubuh Zahlia dilepaskan menghenyak kerusi roda. Dalam hatinya sudah menyumpah Afiqah kerana bersungguh membantunya sedangkan dia mengharapkan bantuan daripada Harris tadi.
Atiya menolak kerusi roda ke dapur mengikut arahan Harris kerana laluan melalui pintu hadapan bertangga. Jadi agak sukar untuk membawa Zahlia yang tiada daya untuk berjalan sendiri naik ke rumah. Lagipun Harris malas mahu memanjakan wanita itu kerana dia tahu Zahlia cuba mengambil kesempatan ke atasnya.
" Tiya. Lepas ni Tiya yang kena banyak tolong ibu",
" Okay ayah", sekali lagi tubuh Zahlia dipapah Atiya dan Afiqah ke katil bilik bawah.
" Sayang. Kejap lagi kita balik rumah", ujar Harris yang berdiri di jenang pintu bilik ketika Afiqah sedang membantu Zahlia yang hanya mahu bersandar.
" Hmm..",
" Ibu rehatlah. Kalau ibu nak apa-apa ibu boleh beritahu Tiya dengan nenek",
Zahlia hanya diam dan terus memejamkan matanya.
" Tiya teman ibu ya", pandangan Afiqah dihala ke wajah Atiya.
" Okay umi..", Atiya duduk di kerusi yang ada di bilik itu. Matanya terus merenung wajah lesu ibunya yang sudah mula berbaring. Mungkin Zahlia mahu tidur. " Ibu tidurlah. Tiya ada dekat luar", dia bangun lalu mengucup pipi kiri dan kanan Zahlia dan berlalu.
" Ibu tidur?", soal Afiqah apabila Atiya juga keluar dari bilik.
" Hmm..Kasihan ibu. Pucat je muka ibu", muram wajah Atiya memandang Afiqah di hadapannya.
" Ibu perlukan sokongan kita. Kalau ibu ada marah-marah Tiya. Tiya sabar ya. Jangan melawan sebab orang sakit ni jiwa mereka mudah terusik. Mudah marah. Mudah sedih. Keliru, kecewa. Macam-macam yang ibu akan rasa sebab ibu sedang cuba untuk melawan rasa sakit dan menerima sakit ni. Tiya mesti sabar. Nanti setiap hari umi akan datang sini tengokkan ibu masa Tiya ke sekolah. Okay. InsyaAllah",
" Kalau setiap hari umi datang sini. Baik umi tak payah pindah rumah ayah. Tinggal je la kat sini", dia juga kecewa dengan keputusan ayahnya yang berkeras mahu berpindah.
" Tak bolehlah macam tu. Umi kena ikut ayah",
" Hmm..ayah cakap ibu ada kat sini ayah kena pindah",
" Ya..", Afiqah mengangguk sahaja.
" Kalau umi yang pujuk ayah pun ayah tak layan. Lagipula kalau Tiya yang pujuk ayah terus tinggal di sini. Lagilah ayah tak layan", wajah Atiya muram sahaja. Dia sudah biasa tinggal bersama Harris tetapi disebabkan faktor kesihatan ibunya dia diminta tinggal di sini untuk menemani ibunya.
" Tahu pun. Keputusan ayah muktamad. Tiada pujuk rayu lagi. Umi ke Tiya ke. Siapa pun. Akid pujuk pun ayah tak layan juga", Akid didukungan Harris dikucup. Berhari- hari tidak berjumpa Akid buat Harris tidak mahu melepaskan anaknya. " Sayang siap. Kejap lagi kita balik",
" Minum dulu. Nenek dah buat cucur udang ni", Hasnah yang menghilang ke dapur tadi kembali ke ruang makan. Pinggan berisi cucur udang yang dibawa Hasnah diletakkan di atas meja makan.
" Hmm..nenek tahu je Rris tengah lapar", Harris terus duduk di kerusi meja makan.
" Nek..", panggil Afiqah memandang Hasnah di hadapannya. " Nenek okay kan tinggal bertiga",
" Okay. Tak payahlah risau. Pandailah kami bertiga jaga diri", Hasnah menuang kopi o dan dihulurkan kepada Harris yang sudah menyuapkan cucur udang ke mulut Akid.
" Abang izinkan Iqa datang sini hari- hari kan. Atau nak seminggu sekali?", bengang pula Harris dengan Afiqah yang masih belum mahu menerima keputusannya.
" Okay..", rela dalam terpaksa.
Hasnah menggeleng. " Ikut je la cakap suami kamu Iqa. Penat dah Harris tu bercakap benda sama. Kalau Harris langsung tak bercakap nanti kamu juga yang haru biru",
" Kan nek..", Harris seronok apabila keputusannya untuk berpindah disokong Hasnah.
" Yalah nek", ujar Afiqah dan mulutnya dipaksa buka apabila Harris mahu menyuapkan cucur udang ke mulutnya.
" Ha..diam. Jangan nak melawan lagi. Makan cekodok ni", tingkah Harris buat Atiya yang sedang melihat tertawa kecil.
PINTU rumah dibuka Harris dan Afiqah berjalan masuk ke dalam rumah. Akid yang ketiduran dibawa masuk ke bilik dan diletakkan di atas katil. Tudung di kepalanya dibuka dan disangkut rapi di penyangkut. Langkahnya diatur keluar dari bilik mencari Harris.
" Abang..",
" Hmm..", Harris yang baru duduk di atas kerusi memandang sambil tangannya menekan punat alat kawalan jauh menghidupkan televisyen dan pedingin hawa.
" Esok sebelum abang keluar kerja tolong hantar Iqa rumah nenek boleh?",
Harris diam.
" Kalau abang tak boleh hantar Iqa pergi sendirilah", ada rajuk pada suara Afiqah.
" Abang tak cakap pun tak boleh hantar",
Afiqah melabuhkan punggung merapatkan tubuhnya di sebelah Harris. Sengaja meraup lengan Harris dan jemari kirinya memaut lembut jemari kanan Harris. Kepalanya sengaja dilentokkan ke bahu Harris namun matanya tepat memandang skrin siaran televisyen di hadapannya. Harris mengucup sekilas rambut Afiqah yang terdedah.
" Privasi kan. Hanya kita ", Harris mengeratkan tautan jemari Afiqah lalu dikucup lembut.
" Hmm..", matanya dipejamkan.
" Abang ada perkara nak cakap dengan Iqa",
" Apa?", mata dipejam terus dibuka apabila mendengar nada suara Harris yang serius.
" Abang tak nak Iqa biar Lia ambil kesempatan pada Iqa. Abang tahu Iqa sayangkan Lia. Kita tahu Lia sakit. Emosi orang sakit sensitif dan mudah tersentuh. Tapi kita kena jaga hubungan kita juga. Abang tak nak sebab Lia hubungan kita jadi haru biru", sengaja Harris mengulang ayat yang pernah disebutnya kepada Afiqah. " Iqa tak sayang abang?",
" Tentulah Iqa sayang abang. Abang suami Iqa", wajahnya dipaling memandang wajah Harris.
" Akan datang mungkin akan ada selisih faham antara kita sebab Lia kalau Iqa terlalu fikirkan perasaan Lia daripada perasaan abang",
" Iqa minta maaf kalau ada sakitkan hati abang", Afiqah memeluk tubuh Harris pula.
" Sekarang tidaklah. Mungkin akan datang kalau Lia mula buat perangai. Abang cakap awal-awal. Abang tak rajin nak melayan dan Iqa jangan suruh abang buat bukan-bukan. Abang bukan suami dia lagi ",
" Iqa tak suruh abang layan Kak Lia lebih dari batasannya. Iqa pun tahu cemburu",
" Ingat tak reti cemburu", dahi Afiqah dijentik perlahan.
" Auch! Sakitlah", belum sempat Afiqah mengusap dahinya Harris lebih cepat mengucup dahi Afiqah." Iqa cuma kasihan Kak Lia. Itu je",
" Susah sangat. Kita hantar Lia rumah orang tua je lah", usik Harris.
" Ish. Jahatlah abang ni!",
Harris terkekeh ketawa. " Abang tak jahat macam tu sayang. Apa Lia buat pada abang sebelum ni pun abang sabar dan terima je. Cuma sekarang ni jangan sebab Lia kita bergaduh. Faham!", dia masih ingat semuanya tentang itu.
" Ya. Iqa tahu. Dah banyak kali abang cakap",
" Banyak kali pun kalau hati lembut Iqa tu datang menerpa tuannya mula lah buat perangai. Suruh itu untuk Lia. Suruh ini untuk Lia. Ingat abang ni apa? Bibik Lia?",
Afiqah ketawa pula. " Tak ingat Iqa pun abang sayang Iqa kan..",
" Tak perlu ingat pun tak apa. Abang dah sayang Iqa", kepalanya direbahkan di peha Afiqah sambil tangannya bermain dengan cincin di jemari Afiqah lalu jemari itu dikucup lembut.
Sedang mereka leka berbual, telefon Afiqah berdering. Nama Atiya terpapar di skrin telefon.
" Umi. Ibu ni mengamuk kenapa tak tahulah", ujar Atiya usai Afiqah menjawab salam.
" Mengamuk kenapa pula. Tadi elok je",
" Mengamuk cari ayah..",
" Cari ayah?", Afiqah memandang Harris di sebelah yang sudah bangun dari baringnya tadi.
" Atiya tak tahulah umi. Ibu main baling-baling barang dalam bilik tu. Atiya pujuk pun tak jadi", cemas suara Atiya membuatkan Afiqah kebimbangan.
" Nak ayah datang sana ke?", Afiqah memandang Harris di sebelah.
Harris yang mendengar cepat sahaja menggeleng kepala.
" Ayah nak datang ke?", baru sahaja Harris dan Afuqah pulang takkanlah mahu datang semula.
" Nanti umi tanya ayah ya. Atiya cuba pujuk ibu tenang-tenang dulu", Afiqah cuba menenangkan anak saudaranya itu.
" KAK LIA mengamuk kat rumah tu",
" So?",
" Cari abang",
Harris ketawa mendengar ujaran Afiqah. " Tak kuasa abang nak melayan",
" Kita pergi tengok sekejap bang",
" Tak payah. Biar je lah dia",
" Kasihan pula Atiya tu", mendengar nama Atiya buat hati Harris jatuh kasihan pula. Anaknya itu langsung tidak bersalah apa-apa tetapi perlu melayan karenah bukan-bukan ibunya pula.
" Lia ni kan..", keras suara Harris.
" Nak pergi ke ni?",
" Ikutkan hati abang malas. Kita pergi sebab anak abang je",
" Sekarang ke?",
" Jomlah", keras suara Harris. Namun Afiqah tidak ambil hati kerana dia tahu Harris bukanlah marahkannya.
SAMPAI sahaja ke rumah suasana sepi sahaja. Tiada pula suara amukan Zahlia walaupun pintu hadapan rumah terbuka luas. Mahu sahaja Harris berpatah balik namun apabila melihat Atiya yang meluru ke arahnya langkah Harris kaku di situ.
" Ayah. Ibu mengamuk cari ayah. Puas dah Tiya pujuk tapi ibu jerit-jerit marah-marah",
" Diam je ni", baru sahaja Harris berkata begitu terus terdengar jeritan kuat Zahlia.
" Aku nak Harris!",
Mendengar jeritan itu Harris terus meluru ke arah bilik Zahlia.
" Rris..", panggil Zahlia perlahan sambil mula menangis apabila wajah Harris terjegul di muka pintu bilik. Harris yang berdiri di jenang pintu mengeluh kasar melihat bantal dan kain selimut berselerak di lantai.
" Kenapa?", serius nadanya mula melangkah masuk.
" Jangan tinggalkan Lia..", Zahlia yang bersandar di kepala katil mempamerkan wajah sedih dan sayu. Langsung tidak pedulikan Afiqah, Atiya dan Hasnah yang turut berada di situ.
" Iqa bawa Tiya keluar. Abang nak bercakap sendiri dengan Lia", masih serius namun perlahan suaranya.
" Abang jangan cakap kasar-kasar", bisik Afiqah sambil merenung wajah Harris.
Hilang tenang-tenang seorang Harris." Habis Iqa nak abang cakap macam mana? Lembut lembut. Belai belai gosok gosok macam abang buat pada Iqa. Macam tu? Iqa nak sangat ke abang layan janda abang ni? ", keras suara Harris mengejutkan Afiqah dan langsung tidak pedulikan Zahlia yang tentu turut mendengar bicaranya. Atiya dan Hasnah yang mendengar juga terdiam.
" Sabar abang pun ada hadnya Iqa. Jangan sampai abang buat benda yang buat Iqa menyesal pula", entah kenapa hatinya jadi begitu panas dengan permintaan Afiqah. Dia bukanlah seorang yang tidak prihatin dengan nasib Zahlia. Bukan juga lelaki kejam terhadap Zahlia. Tetapi cara Afiqah yang terlalu baik buat dia bosan pula.
" Keluar. Biar abang bercakap dengan Lia", tajam pandangan mata Harris merenung Afiqah dan tegang sahaja suara Harris dengan wajah seriusnya.
Afiqah yang mendukung Akid mula berjalan keluar dari bilik. Begitu juga Atiya dan Hasnah.
" Lia nak apa sebenarnya ni?", soal Harris memandang tepat wajah Zahlia yang mendung.
" Lia nak Rris dengan Lia",
Harris ketawa sinis. " Sekarang baru nak? Dulu Lia juga yang tinggalkan Rris", perkara itu dia tidak lupa walaupun dia sekarang masih tidak ingat sepenuhnya Dia tidak mahu memberatkan kepalanya memikirkan perkara lepas jadi dia hanya menerima hidupnya sekarang sementelah Afiqah juga melayannya dengan sangat baik. Dia masih ingat bagaimana cara Zahlia meninggalkannya dan Atiya. Minta diceraikan dan berlalu pergi walaupun Harris sangat keberatan melepaskan Zahlia pergi.
" Lia minta maaf. Lia tahu Lia salah. Tapi..sekarang Lia nak ada Rris. Lia tak sanggup nak hadapi semua ni sendiri. Lia sakit Rris. Lia sedih..",
Harris mengeluh keras. " Antara kita dah habis Lia. Lia tak tahu dosa pahala ke? Belajar tinggi sampai jadi pensyarah takkanlah Lia tak boleh nak faham mana yang betul dan mana yang salah. Kalau tak faham biar Rris jelaskan. Apa yang Lia buat ni salah. Salah dan jatuh dosa pun merayu pada suami orang. Rris suami orang. Suami Iqa. Iqa adik kandung Lia sendiri. Takkanlah Lia nak rosakkan rumah tangga adik kandung Lia sendiri",
" Lia tak peduli!", bentak Zahlia keras.
" Lantak Lia lah. Rris sanggup tolong setakat ni je kalau Lia terus macam ni", Harris cepat berlalu.
" Lia nak Rris!", pekik Zahlia kuat. Imannya sudah dicampak entah ke mana!
Langkah Harris terus terkaku apabila Zahlia bagai hilang kawalan mula mencampakkan barang yang ada berdekatan dengannya.
" Lia dah gila ke? Tak malu dengan Tiya buat perangai macam ni!", suara Harris juga melengking tinggi kerana sudah hilang sabar melayan karenah Zahlia yang sudah keterlaluan. Ya. Zahlia sudah melampau! Syaitan mana sudah merasuk wanita ini sehinggakan Zahlia mengagungkan nafsu dari iman!
Afiqah yang mendengar jeritan keduanya mula berlari ke bilik Zahlia.
" Kenapa?", soal Afiqah ketika berdiri di jenang pintu.
Nampak sahaja Afiqah di pintu terus Zahlia membaling cawan kaca di tepi katil ke arah Afiqah. Langsung tidak menyangka akan tindakan Zahlia cawan kaca itu tepat mengena sisi dahi kiri Afiqah. Harris yang melihat juga langsung tidak dapat menahan perbuatan tiba-tiba Zahlia.
" Arghh..", Afiqah mengaduh kasar saat cawan yang keras itu terkena dahinya.
" Zahlia! Kau memang melampau", pekik Harris terus berlari mendapatkan Afiqah yang terduduk di lantai. Laju tangan Harris menanggalkan bajunya menekan darah yang mengalir.
" Tiya! Ambil tuala cepat!", jerit Harris apabila Atiya mendekat.
" Sayang. Jangan pejam mata. Jangan pejam mata", Harris mula panik apabila melihat Afiqah sudah mahu memejamkan matanya dan darah yang mengalir semakin banyak.
" Allah. Allah. Kenapa ni..", Hasnah sudah cemas melihat darah yang mengalir mengingatkannya tentang peristiwa malam itu.
" Nek..Rris kena hantar Iqa ke hospital ni nek", Harris membalut ketat kepala Afiqah menggunakan tuala yang dihulur Atiya.
" Umi..", Atiya sudah menangis. Dia juga mula teringatkan peristiwa Harris pengsan dulu. Darah yang mengalir buat Atiya hampir pitam. Terjelepuk lemah hampir jatuh ke lantai namun sempat dicapai Hasnah yang mendukung Akid.
" Tiya!", jerit Harris. " Nek. Tiya mabuk darah tu nek! Sapu air ke muka dia. Rris dah tak boleh tunggu. Rris kena bawa Iqa ke hospital nek! Darah banyak sangat ni nek", Harris terus mengangkat tubuh lemah Afiqah yang sudah nampak pucat.
" Pergilah. Pergi! Biar nenek uruskan Tiya. Hati-hati bawa kereta tu Rris", suara Hasnah bergetar kerana diamuk rasa cemas dan bimbang.
Harris terus meluru ke kereta. Membuka pintu dan meletakkan Afiqah yang nampak lemah ke kerusi penumpang hadapan. Pemanduan Harris laju namun masih berhati-hati.
" Iqa..",
Diam.
" Iqa..jawab abang sayang..", tangannya mencari jemari Afiqah..
" Hmm..", walaupun berat namun digagahkan juga untuk bersuara.
" Iqa jangan pejam mata sayang. Jangan tidur. Dengar suara abang. Jawab abang sayang..",
" Hmm..",
" Bagus. Jangan tidur. Sekejap je lagi kita sampai hospital okay",
" Hmm..", Afiqah terus menjawab dengan gumam kerana tidak mahu Harris terlalu bimbangkannya.
Harris cuba bertenang sedangkan jantungnya sedang berdebar laju melihat darah yang membasahi tuala yang berbalut di dahi isterinya. Tangan Harris menggenggam erat jemari Afiqah. Langsung tidak dilepaskan walaupun dia sedang memandu.
" Abang..",
" Ya sayang..",
" Iqa peninglah..", adu Afiqah.
" Tahan ya. Sikit je lagi kita nak sampai", saat ini terasa jauh benar hospital dari rumah Hasnah. " Kita selawat nabi ya. Iqa ikut abang. Sebut dalam hati", ujar Harris mahu menghilangkan dan membuang resah yang makin menggunung. Terdengar bisikan halus dari suara Afiqah mengikut bacaan selawat sehinggalah mereka tiba di jabatan kecemasan hospital.
Afiqah didukung dan dibawa ke ruang kecemasan. Laju sahaja staf jabatan kecemasan membawa katil apabila melihat Afiqah yang berdarah di kepala dalam dukungan Harris. Laju juga Harris memberitahu apa yang telah berlaku kepada staf hospital.
Seketika kurang sedikit resah dan gusar Harris apabila melihat Afiqah dibawa masuk ke ruang rawatan. Dia menuju ke kaunter membuat pendaftaran pesakit. Sedang berdiri di kaunter serta merta kepalanya berdenyut dan sakit. Sakit sangat sehingga langsung tidak dapat ditahan rasa sakit itu.
" Encik okay ke?", staf yang berada di meja pendaftaran mendekati Harris yang sedang menahan kesakitan.
" Kepala saya sakit..", Harris mengetuk kepalanya dengan tangan yang dikepal.
" Duduk encik..", belum sempat Harris dibawa ke kerusi tubuh Harris terus hilang daya untuk berdiri dan terkulai di situ.
Happy reading..
Share this novel