MATA cuba dibuka perlahan kerana mengawal cahaya yang mula masuk ke kornea matanya. Harris memerhati ruang sekitar. Hospital? Serta merta kepalanya terlayar sesuatu.
" Iqa..", bisiknya perlahan. " Isteri saya?", soalnya apabila terlihat seseorang sedang berada di ruang itu.
" Encik dah sedar", lelaki yang cuba membantunya tadi menyoal. Rasa sakit di kepala tadi buat Harris pitam seketika. Mungkin dalam 10 saat begitu.
" Doktor di dalam sedang cuba hentikan pendarahan di kepala isteri encik. Encik duduk dulu dan boleh berehat di sini", pekerja lelaki tadi menenangkan Harris.
" Ya..", Harris mengurut pelipis kepala cuba mengurangkan rasa sakit yang masih bersisa. Seketika kepalanya mula terlayar satu persatu peristiwa tadi. Dan jantungnya terus berdebar laju saat terlayar peristiwa berdarah tahun lalu. Gambaran dia ditolak lelaki bertopeng. Gambaran Afiqah diacukan parang dan ditolak sehingga jatuh dan berdarah. Rasa sakit di kepalanya apabila dihentak benda keras dan tiba-tiba pandangannya gelap.
" Ya Allah..", Harris terus sujud syukur. Tindakannya yang tiba-tiba mengejutkan beberapa orang staf hospital dan waris pesakit ada di situ. Namun semuanya yang melihat tidak masuk campur apabila Harris bangun dan meraup wajah seperti tanda sedang memanjatkan syukur.
Pekerja hospital tadi sedikit keanehan melihat tingkah Harris kerana isteri Harris masih lagi dirawat. Dia seperti yang lain juga hanya memerhati dan diam.
Harris langsung tidak sedar dirinya diperhatikan lalu duduk semula di kerusi.
Alhamdulillah. Abang dah Ingat Iqa sayang. Abang dah ingat apa yang jadi antara kita malam tu. Abang dah ingat. Syukur Ya Allah. Syukur Ya Allah. Syukur kerana memberi nikmat ini kepadaku Ya Allah. Terima kasih Ya Allah kerana kau kembalikan ingatanku Ya Allah.
Berbulan dia hidup bersama Afiqah dan Akid anaknya dalam keadaan dia lupa mereka berdua. Namun sikap tenang Afiqah yang tidak pernah memaksanya mengingat semula apa yang berlaku buat dia juga menerima takdir ini dengan tenang dan redha.
Afiqah dan Hasnah yang selalu menyokongnya buat Harris rasa dia tidak ingat sampai bila-bila pun dia langsung tidak kisah lagi. Tapi hari ini. Mungkin melihat keadaan Afiqah berdarah tadi menyebabkan ingatannya kembali semula.
Ya Allah..selamatkanlah isteriku ya Allah. Aku sayangkan dia Ya Alah. Aku belum bersedia untuk kehilangannya. Aku masih mahu terus bersama dengannya Ya Allah. Iqa..Abang sedang tunggu Iqa.
LAMA menunggu Harris mencari surau untuk menunaikan solat Isyak. Usai solat dia kembali ke tempat menunggu tadi dengan harapan dapat menerima berita baik. Dengan hanya mendapat berita Afiqah sedang dirawat tadi akhirnya dia dimaklumkan pendarahan yang dialami Afiqah berjaya dirawat. Setelah beberapa urusan barulah Harris dibenarkan mebawa Afiqah ke wad. Malam ini Afiqah perlu bermalam di wad untuk pemantauan doktor setelah melalui beberapa prosedur tadi. Matanya merenung wajah lesu dan lemah Afiqah yang dalam keadaan sedar. Nampak keadaan Afiqah yang membaik walaupun pada kiraan Harris banyak juga darah keluar dari kepala Afiqah tadi. Apakah mungkin rasa paniknya yang buat dia rasa isterinya itu mengalami luka yang teruk.
" Sayang..", Harris duduk di kerusi setelah jururawat yang memastikan semuanya dalam keadaan baik berlalu. Tubuh Afiqah yang sedang berbaring dipeluk dan wajah Afiqah dikucup.
" Iqa okay abang", perlahan suara Afiqah menenangkan suaminya yang masih jelas terlakar riak kebimbangan.
" Alhamdulillah. Syukur sayang okay. Bimbangnya abang tadi. Rasa macam nak tercabut nyawa abang. Lia memang dah hilang akal. Melampau", keras suara Harris mengingatkan kelakuan Zahlia tadi. Memang buat dia benar-benar hilang sabar. " Hal Lia kita selesaikan nanti ya. Sekarang abang nak Iqa rehat. Jangan fikir bukan-bukan", pipi Afiqah dielus lembut dengan senyum terukir di bibirnya.
" Terima kasih bawa Iqa ke hospital",
" Takkan abang nak biar Iqa macam tu je",
" Abang marah Iqa tadi..", terngiang bicara keras dan renungan tajam Harris di bilik Zahlia tadi.
" Abang minta maaf. Abang tak marah sayang pun tadi. Abang geram pada Lia. Abang minta maaf okay..", pipi Afiqah dielus lagi. Harris ingat dia bercakap kasar dengan Afiqah di hadapan Zahlia, Atiya dan Hasnah tadi. " Rehatlah. Hmm..Tadi abang dah telefon nenek beritahu keadaan Iqa",
" Tiya..", Afiqah masih ingat Atiya hampir pitam tadi.
" Dah okay",
" Kak Lia?",
Harris menggeleng. " Abang tak nak Iqa fikirkan Lia sekarang. Rehat",
Afiqah memberi reaksi diam.
" Rehat. Hmm..", jemari Afiqah dikucup lembut. Kepala Harris masih terfikirkan peristiwa malam itu menyebabkan dia hanya mahu Afiqah berehat sahaja sekarang. Keadaan dirinya yang mula ingat semula didiamkan dahulu. Dia mahu Afiqah tahu dalam keadaan isterinya itu sihat dan tenang.
" Iqa ingatkan Akid. Kita baru je balik siang tadi lepas beberapa hari di KL. Malam ni Akid kena tinggal lagi", matanya merenung Harris yang masih setia di situ. " Dah 2 hari Akid tak menyusu dengan Iqa. Tadi sekejap je", adunya. Ketika Harris bersama Zahlia tadi dia sempat menyusukan anaknya. Suara dan senyum Akid yang gembira ketika sedang menyusu tadi buat Afiqah dihurung rasa bersalah kerana meninggalkan anaknya.
" Susu sayang pam kan ada. Nenek dah beri", Harris terus memujuk Afiqah.
" Mana sama..", getar suara Afiqah cuba mengawal tangis.
" Hey..sayang. Jangan macam ni. Nenek jaga Akid dengan baik. Akid dah tidur pun masa abang telefon nenek tadi. Mencari juga umi dia. Tapi di sini kan tak boleh bawa kanak-kanak sayang",
" Boleh abang tolong telefon nenek sekejap Iqa nak tengok Akid",
" Dah malam sayang. Pagi esok kita telefon okay? Jangan bimbang anak kita okay je duduk dengan oyang dia. Lagipun abang minta tolong mak temankan nenek di rumah malam ni", wajah Afiqah ditatap penuh kasih. Harris meminta Salmiah ke rumah Hasnah kerana bimbang Zahlia akan buat hal lagi malam ini.
Akhirnya Afiqah terpujuk juga dengan pujukan Harris.
DAHI Afiqah yang masih berbalut direnung. Harris tetap di situ sedangkan Afiqah sudah lama terlena. Kepalanya tetap terlayar peristiwa malam itu memikirkan siapakah yang masuk ke rumahnya malam itu.
Tiada barang yang diambil. Apakah tujuan dua lelaki bertopeng itu hanya mahu mencederakannya dan keluarganya? Jika niat mereka untuk merompak tentu sahaja barang berharga yang ada bilik itu dibawa lari.
Siapa yang mahu bermusuh dengan aku? Apakah Firman yang pernah dituduh dulu? Atau siapa? Rakan niaga yang cemburukan perniagaanya? Harris tidak boleh berhenti memikirkan hal itu.
Melihat wajah lena Afiqah Harris tersenyum pula. Perut kempis Afiqah diusap perlahan saat mengingatkan bagaimana keadaan Afiqah malam itu. Dia nampak Afiqah yang sedang sarat ditolak jatuh sehingga berdarah. Fikirnya dia akan kehilangan anak mereka. Memikir Afiqah sendirian berjuang melahirkan anak mereka membuatkan Harris mengucup pula perut isterinya.
" Maafkan abang tak dapat temankan Iqa lahirkan anak kita. Iqa kena mengandung lagi lepas ni. Abang nak temankan Iqa bersalin", Harris ketawa kecil dengan bicaranya sendiri. " Abang sayang Iqa..", bisiknya lembut mengelus pipi Afiqah.
Seorang staf menghampiri Harris memintanya meninggalkan ruang wad perempuan. Hanya waris perempuan dibenarkan menunggu pesakit. Tidak boleh berada lama di situ kerana tadi dia hanya meminta izin dari jururawat supaya dapat menemani isterinya sehingga tidur. Sekarang Afiqah sudah ketiduran tentulah staf hospital tersebut mahu Harris berlalu.
Dahi Afiqah dikucup lembut. Tingkah Harris buat Afiqah terjaga.
" Sayang..Abang tak boleh tunggu di sini. Abang kena keluar. Sayang rehat ya",
" Hmm..",
Dahi Afiqah dikucup sekali lagi. " Tidurlah..", Langkahnya diatur ke ruang menunggu tadi. Afiqah hanya memandang sehingga tubuh Harris hilang dari pandangan. Matanya dipejam.
TANGANNYA meleret skrin telefon. Video rakaman Akid yang baru boleh merangkak dulu dilihat dengan senyum tidak lekang di bibirnya. Sekali lagi syukur dipanjatkan kerana Akid dalam kandungan Afiqah semasa kejadian malam itu selamat. Bimbangnya pada Afiqah malam itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Semua tentang Afiqah terlayar di kepalanya. Saat mereka disatukan atas permintaan Hasnah dan Salmiah. Semasa hubungan mereka masih lagi dingin dan hambar Zahlia pulang. Dia mengambil keputusan melepaskan Afiqah untuk kembali kepada Zahlia. Ah! Kejamnya aku!
Memujuk untuk Afiqah kembali kepadanya saat mengetahui isterinya itu mengandung. Harris ingat semuanya! Dan paling dia ingat mereka saling memadu kasih sayang dan cinta pada malam itu.
Alhamdulillah. Allah selamatkan Iqa, Tiya dan nenek. Syukur Ya Allah. Sungguh aku sayangkan mereka.Ya Allah.
Namun saat kepalanya mula terlayar wajah Zahlia hatinya mula dipalu rasa amarah. Sanggup Lia mencederakan Iqa hanya kerana kemahuannya tidak dituruti. Dia mahu bertemu empat mata dengan Zahlia dan membuat perhintungan yang sewajarnya!
Saat Harris mengelamun telefon di tangannya berlagu tanda ada pemanggil.
Lia?
Harris hanya membiarkan sehingga deringan itu mati sendiri. Tidak cukup dengan itu mesej pula dihantar Zahlia apabila Harris tidak menjawab panggilannya.
Rris..Baliklah. Teman Lia.
Harris yang sudah mengantuk tadi terus cerah biji matanya saat membaca mesej wanita itu.
Lia ni memang dah gila ke apa! Bentaknya dalam hati. Setelah apa yang dilakukan wanita itu kepada adik kandung sendiri tadi dia masih tidak tahu malu menagih kasih suami adiknya sendiri. Harris hanya membiarkan tanpa membalas mesej tersebut. Lebih baik dia tidur dan berehat sahaja di ruang menunggu ini. Ada beberapa orang waris yang sudah ketiduran sambil duduk.
Haih! Kalaulah dia boleh terus menemani Iqa tadi. Kalau tidak boleh juga tidur sekatil dengan Iqa. Bisik Harris mula memejamkan mata sambil memeluk tubuh. Sejuk. Itu yang dia rasakan kini. T shirt lengan panjang yang tersarung di tubuh dihantar Salmiah dengan bantuan jiran mereka tadi tidak mampu menahan kesejukan yang menggigit tubuh.
TUBUH Afiqah dicempung turun dari kereta. Walaupun boleh sahaja Afiqah berjalan namun Harris tidak membenarkan isterinya itu berjalan. Salmiah dan Rabiatun yang sedang menunggu di hadapan rumah Harris mengukir senyum dan bangun menyambut kepulangan Afiqah.
" Abang..Turunlahkan Iqa. Malulah..Kaki Iqa bukan sakit pun. Boleh je berjalan. Abang..biarlah Iqa jalan sendiri..", ujar Afiqah apabila melihat Salmiah dan Rabiatun di situ dia cuba melepaskan diri dari dukungan Harris.
" Nak malu apa? Abang bukan buat hubungan badan pun. Hari tu kata sanggup buat show tengah jalan", tidak peduli dengan ujaran isterinya tubuh Afiqah dibawa masuk ke dalam rumah dan diletakkan di sofa. Terdiam terus Afiqah mendengar jawapan suaminya. Haih! Harris ni kan!
" Akid anak umi", Afiqah menghulurkan tangan meminta Akid dalam dukungan Salmiah. Saat Akid di pangkuannya terus dikucup pipi anaknya itu. Akid juga tersengih- sengih lalu merangkul leher Afiqah dan meletokkan kepalanya di bahu Afiqah.
" Hmm..Akid pun rindu umi ya", sekali lagi pipi Akid dikucup.
" Kau macam mana? Okay dah ke?", mata Rabiatun tertunak pada jahitan di luka Afiqah. Dia duduk di sebelah Afiqah.
" Alhamdulillah. Okay. Sikit je ni",
" Sikit je ni?", suara Rabiatun kedengaran meninggi.
" Budak Lia tu kenapalah jadi macam tu?", Salmiah sudah tahu cerita daripada Hasnah semalam.
" Kak Lia stress sebab sakit tu mak..", jawab Afiqah.
" Orang sakit muhasabah diri. Ni tidak. Boleh pula dia buat macam tu", rungut Salmiah lagi.
" Apa kau nak buat?",
" Buat apa?", tidak faham maksud soalan dari Rabiatun.
" Yalah. Nanti kau balik rumah nenek. Dia buat hal lagi",
" Abang tak izinkan Iqa balik rumah nenek", sampuk Harris yang baru masuk ke rumah dengan beg baju Afiqah di tangannya.
" Abang..",
" Nak Lia layan Iqa macam tu lagi?", mata Harris memandang Afiqah yang merenungnya.
" Iqa pun marah apa yang Kak Lia buat pada Iqa. Tapi..",
" Tak ada tapi-tapi. Buat sementara ni nak pergi rumah nenek kena ada abang..",
" Yalah..", balasnya. Dalam hatinya langsung tidak suka dengan keputusan Harris. Apatalahlagi lelaki itu bercakap begitu di hadapan Salmiah dan Rabiatun.
Lama berbual akhirnya Rabiatun meminta diri. Salmiah pula bermalam di situ atas permintaan Harris yang mahu Salmiah menemani Afiqah semasa ketiadaannya pada siang hari nanti.
LANGIT malam dihiasi jutaan bintang yang berteraburan. Afiqah yang sedang berdiri di balkoni bagai hanyut dengan dunianya sendiri. Kepalanya tidak lepas dari memikirkan Zahlia. Pelukan dari belakang disambut dengan kucupan di bawah dagu Harris.
" Dah jam 11 ni tak nak tidur lagi?", bibir Harris mengucup lembut bahu isterinya.
" Hmm..Iqa nak buat dengan Kak Lia abang..",
" Tak perlu buat apa. Biar je. Nanti dia elok sendirilah tu",
" Kalau tak elok sendiri. Dia tetap nak abang macam mana?",
" Iqa nak bagi abang pada dia?",
" Hish! Mestilah tak. Iqa dah gila lah kalau Iqa lepaskan abang pada Kak Lia. Dulu Kak Lia yang tinggalkan abang kan. Maknanya Kak Lia dah tak nak abang. Iqa yang baik hati ni lah yang ambil orang terbuang tu. Yang dah jadi sisa Kak Lia", sengih terentang di bibir Afiqah.
" Amboi. Sedapnya mulut dia", pipi Afiqah dicubit manja. Geram pula Harris dengan mulut lepas isterinya.
" Hmm..sakitlah..", rengek Afiqah.
" Padan muka. Berani Iqa memperkecilkan abang ya. Ingat abang tak laku ke kalau tak kahwin dengan Iqa. Beratur perempuan nakkan abang tahu. Abang je tak nak. Tapi tak boleh dah nak elak bila kena paksa kahwin dengan Iqa oleh Cik Miah janda kaya tu",
" Paksa-paksa pun keluar juga Akid seorang. Asal namanya lelaki. Bila nampak perempuan. Tak suka pun jadi juga", meleret suara Afiqah menunjukkan rasa hatinya.
Harris ketawa lepas kerana faham maksud isterinya dengan perkataan 'jadi juga'. " Lain macam isteri abang ni lepas kena baling dengan Lia. Jadi nakal eh. Tatkala isteri cantik lalu lalang depan mata takkanlah abang nak tengok je. Bodoh dan rugilah abang. Bertahun abang kegersangan ditinggalkan tahu", tubuh Afiqah terus dicempung masuk ke bilik dan dibawa ke katil lalu dia turut berbaring di sebelah Afiqah.
" Sakit lagi?", rambut yang terjuntai menutupi luka jahitan di dahi Afiqah disebak perlahan.
" Hmm..",
" Lepas ni sayang kena hati-hati dengan Lia",
" Iqa tak nak bermusuh dengan Kak Lia. Tapi sekarang ni Kak Lia dah anggap Iqa ni macam musuh dia pula", kecewa dengan sikap Zahlia yang semakin berubah.
" Kita tengoklah sehari dua lagi. Kalau makin teruk kita bawa Lia sesi kaunseling. Mana tahu dengan sesi kaunseling dia lebih terbuka nak bercerita apa perasaaan sebenarnya dia",
" Dia marah Iqa",
" Kenapa pula nak marah Iqa",
" Sebab Iqa kahwin dengan abang",
" Kan Iqa juga cakap. Abang ni sisa yang dibuang Zahlia",
Afiqah ketawa lucu. Harris ambil hati ke dengan kata-katanya tadi? " Bukan macam tu maksud Iqa. Iqa gurau je. Tak sampai hati nak jadikan sisa sebab wajah kacak abang, tubuh sasa abang, romantis abang, nakal abang. Semuanya bikin Iqa gilakan abang. Hahaha", dia ketawa lagi.
" Tahu pun. Abang ni edisi terhad tahu", tubuh Afiqah ditarik dalam pelukannya. Sekilas pipi Afiqah dikucup.
Seketika Harris dan Afiqah saling mendiamkan diri. Harris baru teringat mahu memberitahu perihal keadaan dirinya.
" Sayang..",
" Hmm..",
" Abang..", bicaranya terhenti apabila bunyi deringan telefon Afiqah menyapa telinga.
" Nenek", laju Afiqah menjawab. Matanya terus memandang Harris apabila mendengar ujaran Hasnah. Mendengar bicara Afiqah fahamlah tentu hal Zahlia. Harris terus menanti perbualan Afiqah dan Hasnah tamat.
" Kak Lia drive kereta keluar rumah. Nenek tak sempat nak tahan ",
" Ya Rabbi. Apa masalah kakak Iqa tu ya. Sengaja buat kita marah. Nenek nak suruh kita cari ke apa ni? ", kerana Zahlia hilang sikap tenang Harris.
" Nenek tak tahu Kak Lia ke mana. Tak tahulah kalau balik rumah dia",
Sedang mereka berbincang perihal Zahlia lebih kurang 10 minit kemudian Salmiah datang memberitahu Zahlia ada di hadapan rumah. " Lia ada depan rumah?"
" Hah?", berderau darah menyerbu muka Harris. Merah. Hatinya langsung mendidih kemarahan. " Nak apa pula tengah malam ni?", berang Harris.
Afiqah yang mendengar juga turut bangun.
" Sayang tunggu dalam bilik. Jangan keluar. Tahulah abang nak buat apa dengan Lia", keras suara Harris lalu berlalu meninggalkan bilik.
Afiqah tidak jadi keluar dan diam sahaja di situ.
Happy reading..
Share this novel
Harap author blh update 3x sminggu..lm sgt nk tunggu selasa-sabtu..hehe