TERASA dua puluh minit perjalanan ke rumah Azira terlalu lama. Panggilan Azira memberitahu Akid yang asyik menangis menggusarkan Afiqah. Menurut kata Azira tiada demam. Tidak pula jatuh. Anak itu menangis tiba-tiba usai bangun dari tidur. Azira bukan tidak biasa dengan kanak-kanak kerana bidang kerjayanya nanti akan berurusan dengan kanak-kanak. Namun pujukan demi pujukan dari Azira langsung tidak menjadi. Malah tangisan Akid tersedu-sedu begitu sedih.
Masuk sahaja ke dalam rumah telinga Afiqah menangkap suara tangisan anaknya. Tubuh kecil itu diambil dari dukungan Azira.
" Kenapa sayang umi ni..Hmm.", suara Afiqah terus membuatkan tangisan Akid terhenti. Namun masih tersedu dengan sisa tangisan yang masih ada. " Akid sakit ke?", seluruh tubuh Akid diperiksa.
" Zira dah check suhu. Tak ada demam. Perut, kepala satu badan semua Zira dah periksa. Tak ada cedera pun. Kotlah kena gigit apa ke. Tak ada pula kesan gigitan. Menangis tiba-tiba Kak Iqa. Dia rindu ayah dia kot sebab macam mencari-cari je masa menangis tadi", bersungguh Azira memberi penjelasan lalu duduk di sebelah Afiqah yang masih memujuk anaknya.
" Hmm..Akid rindu ayah ya..", lunak suara Afiqah masih memujuk dan menepuk lembut belakang anak itu. Mendengar ayat itu terus leher Afiqah dipeluk tangan kecil itu. Fahamlah Afiqah. Anaknya tentu rindukan ayahnya. Hanya panggilan video tanpa suara ayahnya yang menjadi pengubat rindu setiap hari. Mana mungkin mampu mengubat rasa rindu si kecil yang terlalu rapat dengan susuk tubuh lelaki itu.
Bahu Akid ditepuk perlahan memujuk hati anaknya. Ah! Anak sekecil ini pun faham sakitnya rasa rindu. Tubuh Akid dibawa ke ribanya. Air mata yang bersisa di pipi gebu itu diseka perlahan. Wajah kemerahan anak itu disapu dengan tuala kecil. " Akid rindu ayah rupanya. Nanti ayah sihat kita jumpa ayah ya", tubuh anak itu terus didakap lembut dan terus dipujuk.
Azira hanya memandang. Dia yang menjaga anak kecil itu tahu anak itu tercari-cari ayahnya.
" Susahkan Zira tolong jagakan anak Kak Iqa",
" Jangan risau Kak Iqa. Zira suka je Akid ada kat sini",
" Terima kasih Zira. Kak Iqa susahkan Zira. Sudahlah menumpang di sini. Lepas tu kena jagakan Akid lagi",
" Tak apa Kak Iqa. Kalau Kak Iqa dengan Akid tak ada Zira seorang juga", ibunya sudah meninggal. Ayahnya pula sudah berkahwin lain dan tinggal di rumah lain bersama isteri baru. Tinggallah dia dan Aiman yang melanjutkan pelajaran ke Kanada. Maka tinggallah dia seorang.
"Terima kasih banyak-banyak. Hanya Allah yang dapat membalas budi baik Zira",
" Tak ada apalah Kak Iqa", segan pula dia dengan bicara Afiqah sedangkan bukanlah apa sangat pun pertolongannya.
" Kak Iqa masuk susukan Akid sekejap",
" Ya kak. Rehatlah",
Afiqah bergerak masuk ke bilik. Tubuh Akid dibawa ke tubuhnya. Sesekali Akid bersuara melepaskan rasa hatinya. Entah apa yang dikatakan anak itu Afiqah layankan sahaja bagaikan memahami setiap bicara tidak berbutir anaknya. Sesekali dia tertawa apabila Akid cuba memberi penjelasan dengan bahasa tubuhnya. " Sayangnya anak umi yang comel ni", wajah Akid digomol buat anak itu ketawa. Mungkin hilang sudah rasa sedih tadi.
SEJAK balik tadi Akid langsung tidak mahu berenggang dengannya. Jika sebelum ini mahu sahaja Akid bermain sendiri. Kali ini sepanjang masa mahu didukung. Sehingga ketika Afiqah solat pun anak itu tetap duduk menempel di sebelah ibunya.
Menerima panggilan Rabiatun tadi pun Akid seperti tidak mahu ibunya memberi perhatian kepada orang lain. Dia mahu Afiqah cepat menamatkan panggilan.
" Okaylah. Malam ni umi tak pergi hospital. Umi teman Akid kat rumah okay?", ujar Afiqah saat mematikan talian dan menemani Akid bermain. Anak itu hanya tersenyum dengan bicaranya ibunya. Gembira mungkin.
" Tak nak berenggang langsung dengan umi dia", tegur Azira membawa minuman kepada Afiqah di ruang tamu.
" Hmm..Kak Iqa jawab telefon Kak Atun lama-lama pun dia tak kasi",
" Takut kena tinggal kan", Azira mencubit pipi gebu Akid. Geram melihat senyuman anak kecil dengan lesung pipit di kedua pipinya.
" Harap Abang Rris okay malam ni..", sayu suara Afiqah.
Tiada yang menemani Harris malam ini. Salmiah sudah balik semalam. Dia juga tidak mahu Salmiah yang tidak berapa sihat itu berlama di hospital. Orang sihat menjaga orang sakit pun boleh jatuh sakit juga. Hanna pula perlu menyambung tugasnya juga setelah cuti dua hari. Mahu meminta Hasnah menunggu Afiqah memikirkan Zahlia dan Atiya memerlukan Hasnah di rumah. Hanya dia yang boleh menunggu. Tetapi malam ini dia mahu menemani Akid apabila anaknya itu tidak mahu berenggang dengannya.
" InsyaAllah. Ada apa-apa pihak hospital akan hubungi Kak Iqa. Telefon Kak Iqa ada bateri tak tu?",
" Ada..",
Seketika deringan telefon Azira berbunyi menghentikan bualan mereka berdua. Senyum Azira cepat Afiqah faham.
" Ashmal la tu?", serkap Afiqah apabila gadis itu tersengih.
" Zira masuk bilik dulu", terus bangun.
" Hmm..", Afiqah juga mengulum senyum tumpang bahagia.
Akid memanggil apabila melihat Azira berdiri.
" Mak Usu Ira nak tidur dah", Azira membalas panggilan Akid dan mengucup wajah Akid. Kaki mengorak langkah menuju ke bilik tidurnya.
" Akid tak nak tidur lagi?", sapa Afiqah apabila melihat Akid masih leka bermain. Elok sahaja dia bermain asalkan Afiqah ada di hadapan mata. Mendengar teguran si ibu dia berjalan perlahan lalu memeluk tubuh Afiqah. " Tidur jom", Afiqah mendukung tubuh si kecil dibawa ke dalam bilik.
" Akid dah nak jadi abang tahu", saat berbaring Akid mencari habuannya. " Akid jadi abang yang baik ya",
Akid hanya diam. Anak itu sedang mendengar dan hanya diam. Mungkin juga sudah terlalu mengantuk dan penat. Penat menangis sepetang tadi mungkin. Rambut Akid dielus lembut. " Agaknya ayah sedar tak umi tak teman ayah malam ni ya? Biar. Biar ayah rindu umi. Masa umi ada teman ayah, ayah tak nak bangun kan. Biar ayah cari umi malam ni kan?", Afiqah ketawa dengan bicara sendiri.
Sedang Afiqah menyusukan Akid panggilan Atiya masuk.
" Umi..", rengek Atiya manja menunjukkan wajahnya di skrin.
" Ya sayang..",
" Atiya boringlah Akid tak ada. Akid..", manja panggilannya buat Akid yang menyusu berpaling. Dia tersenyum melihat wajah ceria Atiya.
Afiqah ketawa. " Nanti Akid balik Kak Tiya ya", Afiqah menjawab bagi pihak Akid.
" Bila? Esok ke?", teruja terus suara Atiya.
" Belum lagi. Bukan esok",
" Ala..",
" Nanti tunggu ayah sedar",
" Okay..", kecewa kerana dia juga sudah lama menunggu bila ayahnya akan sedar semula.
" Oyang dengan ibu okay?",
" Okay. Tadi kawan-kawan ibu datang lawat ibu. Ibu macam happy je kawan-kawan dia datang",
" Baguslah. Tiya tak suka ibu happy?",
" Suka. Ibu pun dah jarang marah-marah. Selalu teman Tiya siapkan kerja sekolah", lapor Atiya dengan matanya memandang wajah ibunya yang sudah ketiduran.
" Alhamdulillah. Baguslah macam tu",
" Tapi Tiya pun nak umi ayah dengan Akid ada kat sini. Boleh tak nanti bila ayah dah sedar. Umi pujuklah ayah tinggal rumah Oyang?",
Afiqah tertawa. " Okay. Umi pujuk ayah. Tapi apa pun keputusan ayah umi kena ikut ayah",
" Tahu..Tiya tahu", faham yang keputusan ayahnya bukan boleh disanggah-sanggah.
Afiqah ketawa lagi mendengar jawapan pasrah anak saudaranya itu.
" Okaylah umi. Tiya nak tidur dulu. Love you umi",
" Love you too sayang", tamat panggilan skrin telefon dileret. Wajah Harris yang kaku diteliti. " Selamat malam suamiku. Esok kita jumpa Iqa nak morning kiss dari abang", nakal suara Afiqah melawan rasa pilu di hati. Skrin telefon dikucup. " Iqa sayang abang", senyum terukir. Telefon diletakkan dia atas meja. Dia juga mahu tidur dan berehat.
PINTU bilik wad ditolak. Langkahnya menuju ke kereta kerana tertinggal kain sembahyang. Semalam dia membawa balik untuk dibasuh tetapi terlupa pula mahu bawa bersama tadi. Selalunya dia hanya solat di sebelah katil Harris sahaja. Bilik itu hanya ada satu katil dan lengkap dengan bilik air. Jadi dia tidak perlu solat di surau.
Ketika usai solat pintu bilik wad ditolak. Jika ikutkan sekarang bukanlah masa doktor membuat pemeriksaan wad ke wad. Afiqah yang masih bertelekung berpaling.
" Oh. Iqa tengah solat?", tegur lelaki itu dalam serba salah
" Dah. Dah siap dah. Kenapa Ib?",
" Saja datang melawat suami Iqa", senyum diukir. Ini kali kedua dia melawati lelaki itu. Kali pertama dia datang melawat hari itu Afiqah tiada di situ. Mungkin balik atau keluar ke mana-mana.
" Oh. Jemputlah masuk", pelawa Afiqah apabila lelaki itu masih berdiri di jenang pintu.
Kaki diatur mendekati katil. Wajah Harris direnung. Dia datang bukan sebagai doktor untuk memberitahu keadaan Harris tetapi datang sekadar untuk melawat.
" Macam mana Harris?",
" Masih begitu. Tak ada tanda langsung nak sedarkan diri walaupun doktor cakap keadaan dia dah melepasi peringkat kritikal dan dah stabil", Afiqah mengukir senyum nipis.
" Banyakkan berdoa. InsyaAllah. Ini kemalangan kedua Harris?",
" Hmm..sebelum ni kepala Rris pernah cedera masa rumah kami masuk orang dulu. Kepala Rris dipukul. Macam ni lah. Lama tak sedar. Bila sedar dia tak ingat", Afiqah memegang dan mengelus jemari suaminya.
Saat melihat Afiqah mengucup kekura jemari lelaki itu, Ibrahim tersenyum. Dalam hati tercuit rasa cemburu. Ah! Kalau yang terbaring itu adalah aku. Tentu sahaja aku mahu cepat bangun dan memeluk wanita yang disayangi itu. Tidak mahu wanita yang dicintai terus disalut kebimbangan. Tapi harus diakui itu semua ketetapan takdir dari Allah SWT.
" InsyaAllah kita doakan Rris cepat sedar", doa Ibrahim. Sungguh dia ikhlas. Bukan sekadar doa di mulut mahu menyamankan hati wanita di hadapannya.
Dia tahu sejarah kecederaan di kepala Harris. Pernah cedera sekali. Dan ini kecederaan kedua. Teruk keadaan Harris tika itu kerana dia dilanggar ketika lelaki itu sedang bergerak ke kereta. Melambung tinggi tubuh lelaki itu sebelum terjatuh di jalan raya kerana kereta yang melanggar itu bergerak dengan sangat laju. Itulah cerita yang dia dengar dari rakan sekerja yang kebetulan berada di situ dan menjadi saksi kejadian.
Walaupun pembedahan meghentikan pendarahan dan membuang darah beku di kepala lelaki itu telah dilakukan namun semuanya atas daya juang lelaki itu. Jika ikutkan keadaannya yang sudah stabil bila-bila masa sahaja lelaki itu akan sedar.
" Agaknya Harris akan bangun kalau Ib cakap..", dia berjeda seketika. ".. Ib nak isteri dia kalau dia tak bangun-bangun", ketawa meletus perlahan bagai mengawal rasa debar saat berkata begitu.
" Jangan nak mencuba Ib. Saya isteri orang", mata Afiqah mencerun tajam memandang Ibrahim yang tersenyum.
" Rugilah kau tak bangun Rris. Aku cakap betul ni. Kau tak nak bangun. Aku..", belum sempat menghabiskan ayatkan Afiqah mencelah.
" Ib..", tegur Afiqah tidak mahu lelaki itu melanjutkan kata-katanya. Dia tidak tahu sama ada Ibrahim mahu bergurau atau benar-benar memaksudkan. Walaupun hatinya bagai dapat meneka niat sebenar lelaki itu.
" Iqa dah makan?", sengaja mengubah topik bualan supaya bualan mereka tidak bertukar dingin.
" Dah..",
" Lepas ni nak apa-apa. Perlukan apa-apa boleh telefon Ib. Ib ada je kat sini",
" Ya. Terima kasih", ucap Afiqah dengan keprihatinan lelaki itu.
" Ib turun dulu ya. Assalamualaikum", beberapa ketika berbual dia meminta diri kerana tidak mahu menganggu waktu rehat pesakit. Sedangkan dalam hatinya rasa tidak mahu meninggalkan ruang itu.
" Waalaikumussalam. Terima kasih datang melawat dan doakan Harris ", ucap Afiqah memandang tubuh sasa di hadapannya. Matanya tidak lari dari terus memandang pintu yang mula tertutup. Seketika matanya mencari wajah Harris.
" Abang tak nak bangun lagi? Ib maksudkan apa yang dia cakap tu. Iqa pun tak kuat iman juga. Ib tu handsome. Doktor pula tu. Kaya. Banyak duit. Abang tahu kan. Iqa suka lelaki kacak, banyak duit ni. Nak pula lelaki soft spoken macam Ib tu. Haih..Handsomenya Ibrahim tu kan..", sengaja Afiqah berceloteh begitu.
Diam mengharap ada balasan daripada suaminya. Jika Harris sedar tak mungkin Ibrahim berpeluang berkata begitu. Tentu sudah dikerjakan Harris. Lelaki tenang seperti Harris tidak mungkin berlaku tenang jika isterinya diganggu.
Buta? Masih ingat marah Harris apabila ada lelaki menegur isterinya yang disangka masih belum bersuami.
" Tapi..abang jangan risau. Abang je yang Iqa kasih. Iqa sayang. Iqa cinta. Iqa rindu. Tak ada lelaki lain dalam hati Iqa. Iqa akan tunggu abang sampai bila-bila. Iqa nak abang je dengan Iqa", pipi Harris dielus lembut. Bibir lelaki itu dikucup perlahan. " Bangun ya. Akid rindu abang. Hari tu Akid menangis sebab rindu abang. Abang tak rindu Akid? Hmm..Baby pun rindu nak dengar suara ayah dia", tangan Harris dibawa pula ke perutnya.
" Ingat tak..Abang cakap..", Afiqah berjeda dalam senyum. Malu mahu meneruskan kata-kata. " Abang cakap abang suntik Iqa cukup-cukup. Tengok. Ada baby dalam perut Iqa ni. Alhamdulillah. Alllah makbulkan doa panjang abang tu. Tapi kan. Mulut abang memang langsung tak pandai nak jaga kan. Kalau tengok orangnya pendiam. Sopan sangat. Tapi rupa-rupanya suka cakap kotor", Afiqah ketawa saat teringat setiap kali bicara intim lelaki itu. " Iqa rindulah nak dengar abang cakap macam tu. Ya Allah. Astaghfirullahaldzhim. Apa ni Iqa?", mulutnya ditampar. Segera dia bangun menanggalkan kain telekung dan menyarung tudung di kepala.
" Hmm..Iqa lupa tak baca Al Mathurat lah. Ib la kacau Iqa lepas solat tadi", surah Al Mathurat dicapai. Bacaan selepas Asar seperti selalu dia buat sejak Harris dipindahkan ke wad ini. Jika di rumah langsung dia tidak pernah buat. Di sini. Dia sudah jadikan rutin pula. Hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ya. Jika ujian itu kita terima sebagai takdir yang baik tentulah yang datang itu baik-baik juga.
PELUKAN mesra dan senyuman manis terukir di bibir Afiqah saat menyambut kehadiran Rabiatun dan Amira. Kali kedua Rabiatun dan Amira ke sini. Ya. Setelah hampir sebulan Afiqah berkampung di sini menemani Harris yang masih belum sedar.
" Aku bawa buah jambu rias ni. Gigih aku dengan Mira pergi cari tahu tak", Rabiatun meletakkan satu beg di atas meja.
Afiqah tidak menunggu lama terus membuka beg tersebut. Terkejut melihat pelbagai makanan dibawa dua sahabatnya itu.
" Ada yang nenek pesan. Ada yang mak mertua kau pesan. Untunglah mak mentua sayang", cebik Rabiatun lalu duduk di kerusi.
Hati Amira tercuit dengan bicara Afiqah apabila teringatkan bekas mentuanya. Namun dia langsung tidak ambil hati kerana dia tahu mereka berdua langsung tidak menuju kata itu kepadanya.
Afiqah ketawa. " Kau kahwin nanti pun mak mentua kau akan sayangkan kau juga", dia mengeluarkan jambu yang dibawa Rabiatun. " Dah siap basuh ke ni?",
" Hmm..boleh makan terus", meleret kerana bosan dengan soalan Afiqah.
Dengan lafaz bismillah terus jambu kecil itu masuk ke mulutnya.
" Ya Allah. Sedapnya. Atun. Mira. Terima kasih layan permintaan aku", manis senyuman Afiqah saat buah yang diidam masuk ke kerongkongnya.
" Rris. Baik kau bangun. Bini kau ni mengandung. Jadi kerja aku pula nak melayan mengidam dia. Baik aku je jadi laki dia kalau setiap kali bini kau ni mengandung aku yang kena layan mengidam dia", selamba Rabiatun bersuara. Tersedak makanan yang sedang dikunyah Afiqah.
" Kau ni Atun!", marah Afiqah.
" Betullah. Masa mengandungkan Akid aku yang layan mengidam kau. Ni sekali lagi. Memang kerja kau mengandung je ke Iqa?", polos suara Rabiatun mengundang tawa Amira. Afiqah pula hanya termangu walaupun kenal dengan bicara lepas rakannya yang seorang itu.
" Bengonglah kau ni Atun", Amira yang mendengar tanpa sengaja menepuk bahu Rabiatun di sebelahnya.
" Aku tanya je", masih bersahaja. Langsung tiada riak bersalah.
" Dah. Orang ada suami. Kalau kita yang tak ada suami ni mengandung barulah haru sekampung", Amira masih dengan tawanya. Lucu dengan bicara bersahaja Rabiatun.
" So. Harris tak tahulah kau mengandung?",
Afiqah menggeleng. " Aku dah beritahu. Tapi tak tahulah dia dengar dan tahu tak",
" Rris. Iqa ni mengandung anak kau. Kerja kau buat Iqa mengandung je ke? Lepas tu tak nak bertanggungjawab?",
" Atun!", jerit Afiqah terkejut dengan bicara wanita berwajah cantik itu.
" Hahaha. Aku dah lama geram dengan pak cik ni. Sementara dia tak sedar ni baik aku lepaskan geram aku", dia ketawa. Bukan tiada simpati kepada sahabatnya namun mungkin cara itu buat Harris sedar.
" Kau ni tak sensitif langsung dengan perasaan aku. Aku ni punyalah sedih tengok suami aku macam ni. Kau datang buar gurau-gurau pula", wajah Afiqah terpeta kesedihan.
" Hish. Kau ni Iqa. Aku tahu kau sedihlah aku nak tolong kau ni. Mana tahu dengar suara aku. Laki kau ni rasa terbakar dan bangun berlawan dengan aku",
" Ya jugak", lurus Amira menyokong.
Afiqah mati kata.
" Aku tahu kau dah pujuk dia bangun. Agaknya suara lunak manja menggoda kau tu buat dia makin lena makin lemau. Meh aku bagi sikit",
Afiqah ketawa pula. " Kau nak ajak Rris gaduh ke?",
" Bukan..aku pun nak dia bangun juga. Jaga kau. Jaga anak-anak kau dengan dia",
Afiqah senyum. " Entahlah bila dia nak bangun. Kalau dia tak bangun-bangun..", sebak dengan kolam mata Afiqah sudah bergenang menanti melimpah sahaja.
Rabiatun bangun memeluk Afiqah. Dia tahu Afiqah selalu menunjukkan dia kuat walaupun hati sahabatnya itu sebenarnya rapuh. " InsyaAllah Harris akan bangun. Dia tahu kau tengah tunggu dia", pujukan Rabiatun bukan meredakan Afiqah malah makin kuat pula tangisan wanita itu.
Ya. Wanita selalu begitukan. Suka menunjukkan betapa kuatnya mereka sedangkan hati mereka sangat rapuh.
Amira juga datang memeluk tubuh itu. Makin teresak-esak tangisan Afiqah. Lama dia cuba berlagak kuat. Tapi hari ini kehadiran Rabiatun dan Amira yang selalu bersama dengannya benar-benar meruntun hatinya. Runtuh benteng pertahanan diri dia selama ini.
" Syh..Syh..", Rabiatun terus mengusap belakang tubuh Afiqah. " Aku tahu kau kuat",
" Tak..aku tak kuat Atun. Aku terpaksa berlagak kuat je..",
" Terpaksa berlagak pun tak apa..",
Afiqah ketawa. " Kau ni kan. Tak pernah nak serius", tubuh keduanya ditolak perlahan. " Malulah kau orang tengok aku menangis", air mata diseka dan hidung yang berair disapu.
" Aku dah rakam dan viralkan", balas Rabiatun.
Afiqah ketawa lagi. Dia senang dengan kehadiran Rabiatun dan Amira. Sungguh. Rasa seperti beban yang dia pikul selama ini semakin ringan sedikit. Matanya mencerun pula pada wajah Harris. Membulat mata Afiqah apabila melihat gerakan pada bola mata dan kening Harris. Terus diterpa tubuh itu.
" Abang..", merenung wajah itu tanpa kelip.
" Kenapa?", gugup suara Amira terkejut dengan terpaan Afiqah.
" Aku nampak mata Harris bergerak..", matanya masih tidak lari dari merenung wajah lelaki itu mahu memastikan memang ada pergerakan pada mata suaminya.
Happy reading..
Share this novel