WAJAH pucat Afiqah ditatap penuh kasih. Isterinya itu masih belum sedarkan diri selepas menerima rawatan.
Pemindahan darah dilakukan kerana menurut doktor isterinya kehilangan banyak darah akibat jangkitan kuman tersebut. Kata doktor cebisan uri tertinggal menjadi radang pada dinding yang membuka semula salur darah yang telah tertutup sehingga menyebabkan perdarahan yang serius. Selepas tiga belas hari semuanya berlaku kerana awalnya Afiqah memang mengalami demam dan mengadu sakit di dalam perut.
Rawatan prosedur cuci rahim juga dilakukan bagi mencuci cebisan uri yang melekat. Mendengar nama proses itu pun buat Harris nyilu apatahlagi Afiqah yang mengalaminya walaupun semasa rawatan itu dijalankan isterinya dibius penuh.
Sekarang isterinya dalam rawatan diberikan suntikan antibiotik untuk mengawal dan membunuh bakteria yang sedang merebak. Kata doktor juga ibu bersalin mudah dijangkiti kuman kerana sistem pertahanan ibu semasa dalam pantang rendah. Apatahlagi dengan kes cebisan uri yang tertinggal.
Awalnya mendengar itu semua bikin Harris mahu menghamburkan kemarahan sahaja kepada doktor yang merawat. Tentu sahaja doktor cuai dalam membuat pemeriksaan selepas bersalin kepada isterinya. Dipujuk hati tentu ada hikmah semua yang berlaku. Tentu sahaja doktor pun mahu pesakitnya balik dalam keadaan sihat dan selamat.
Dia cuba untuk lebih positif sementelah rawatan juga telah diberikan kepada isterinya itu.
Sekarang. Menunggu dan menanti isterinya sedar. Itulah yang sedang dia lakukan sekarang. Tiada lagi daya upaya yang lain. Dia hanya mampu berdoa kepada Allah Taala yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu agar isterinya kembali sedar dan sihat semula. Besar harapannya mahu Afiqah kembali walaupun sesekali ada bisikan yang cuba menyatakan jika Afiqah tidak kembali padanya. Bagaimana?
Wajah itu masih direnung penuh kasih. Segala kebaikan dan pengorbanan isterinya terlayar di fikirannya. Walaupun awalnya dia langsung tidak inginkan wanita ini sebagai seorang isteri namun..kerana hati itu milik Allah. Dia akui dia terlalu sayangkan isterinya ini.
" Iqa..tak nak bangun lagi ke sayang? Dah dua hari Iqa tidur. Janganlah tidur lama sangat. Bangunlah sayang..Iqa nak balas dendam pada abang ke. Hmm? Sebab lama abang tidur dulu Iqa nak buat macam tu juga ke pada abang?", matanya terus merenung wajah pucat isterinya.
" Iqa tak kasihan kan Akid dan Amna ke sayang. Baru berapa hari Amna dengan Iqa. Dia cari umi dia. Dia rindu umi dia yang bawa dia ke mana-mana 9 bulan ni. Iqa kuat ya. Jangan mengalah sayang..Semua orang sedang tunggu Iqa. Abang..abang takkan berhenti tunggu Iqa. Bangun ya sayang..", jemari Afiqah disentuh dan dikucup lembut. Ada getar dalam suaranya. Namun dia tidak mahu menunjukkan dia lemah di hadapan isterinya.
Harris diam.
Inilah yang Iqa rasa masa abang terlantar dulu ya. Tengok Iqa terbaring macam ni. Hati abang..Pedih. Pilu. Senak. Lemas. Takut. Bimbang. Semuanya bersatu.
Harris mula meletakkan dirinya di tempat Afiqah. Keluhan dilepas kasar. Bukan mengeluh kerana kecewa tetapi membuang resah dan sesak di dada yang makin mencengkam. Rasa seperti udara yang ada tidak cukup untuk dia bernafas!
Senyum diukir pula. " Sayang bangun ya. Abang dah tak gagap", tertawa seketika. " Lepas ni abang boleh layan bual Iqa sepanjang hari. Sepanjang malam. Sepanjang masa. 24/7", memujuk diri sendiri sebenarnya kerana mahu membuang rusuh di dada.
Habis waktu melawat dia pulang. 2 kali sesi waktu melawat dia akan datang menemani isterinya. Kadang kala bersama Salmiah, Atiya atau Hasnah. Adiknya Hanna dan Halisarah ada datang pada hari kelmarin. Hanim tiada di Malaysia kerana lawatan kerja ke Bangkok satu minggu.
Syukur. Selepas diberi
rawatan isterinya mula memberi respon kepada antibiotik yang diberikan. Afiqah sedar pada hari keempat menerima rawatan. Namun masih perlu berada di hospital untuk menghabiskan rawatan antibiotik.
SENYUM terukir saat wajah Harris muncul di hadapannya. Harris mendekat ke sisi katil. Tangan isterinya terus dicapai dan digenggam lembut. Duduk. Lalu jemari Afiqah dikucup sambil matanya tidak lari memandang wajah isterinya.
" Sayang okay hari ni?",
" Hmm..Alhamdulillah. Doktor beritahu tadi Iqa dah boleh balik petang ni. Antibiotik dah lengkap", nampak bertenaga. Mungkin faktor dibenarkan discaj buat isterinya ceria dan bersemangat.
" Alhamdulillah. Syukur..",
" Tak sabar nak jumpa Amna", dua minggu juga dia di hospital melengkapkan antibiotik dan anak itu tidak disusukan. Sedih itulah yang dirasakannya.
" Amna pun tak sabar nak jumpa umi dia. Happy tahu umi dia dah boleh balik. Dah gelak-gelak besar macam umi dia", sengaja mahu menghidupkan suasana ceria.
" Gelak besar macam umi dia ya. Bukan macam ayah..", perlahan suaranya.
" Ayah sopan. Gelak tutup mulut", sengaja dia ketawa lalu menutup mulutnya.
Afiqah mencebik. Namun hanya seketika apabila tangannya mencapai jemari Harris dan menciumi tapak tangan lelaki itu. " Terima kasih..",
" Abang yang patut ucap terima kasih. Sayang tak putus asa untuk kembali pada abang. I love you sayang..", ucapan itu terdengar gemersik apabila Harris seakan berbisik. Tangannya mengusap pipi Afiqah yang nampak sedikit cengkung berbanding sebelum ini.
" I love you too abang..", saling merenung dan hanyut dalam perasaan masing-masing kerana mahu menikmati detik ini.
LAJU sahaja langkah Afiqah mahu masuk ke dalam rumah. Hilang sudah rasa lemah tubuhnya saat membayangkan Akid dan Amna di hadapan mata. Sempat Harris mencapai lengan isterinya supaya Afiqah berjalan dengan perlahan.
" Sayang belum habis pantang lagi tahu", peringatan diberi sambil berjalan beriringan di sebelah isterinya. Beg yang dibawa tadi ditinggalkan di tangga kerana mahu mengejar langkah isterinya tadi.
" Tahu..", terpaksa memperlahankan langkahnya apabila tubuhnya berada dalam rangkulan Harris.
Akid yang leka bermain dan baru sedar akan kepulangan ibunya berlari mendapatkan ibunya dengan teriakan kuat memanggil umi. Kaki Afiqah dipeluk dengan kuat seperti tidak mahu dilepaskan. Kepalanya terdongak dengan wajah ceria menyapa ibunya.
" Umi..", kali ini manja pula dengan senyum manis terukir di bibir mempamer gigi susu yang tersusun rapi.
" Ya..Sayang umi..", hampir sahaja dia mendukung Akid jika tidak ditahan Harris tadi.
" Duduk dulu sayang..", tubuh Afiqah dibawa ke kerusi. Akid juga mengikut namun genggaman tangan ibunya langsung tidak dilepaskan.
Wajah Akid ditekap perlahan saat anak itu berdiri di antara pehanya. Ditatap wajah itu penuh kasih seperti tidak mahu berhenti melakukan itu. Kucupan Akid ke wajahnya tidak mengejutkan Afiqah kerana tahu manja anaknya itu. Wajah bulat Akid dikucup semahunya buat Akid ketawa riang. Gembira betul dia dapat melihat ibunya di hadapan mata.
" Rindunya umi pada anak kacak umi ni. Akid rindu umi?",
" Windu..", balas anak kecil itu yang akan mengulang perkataan akhir bila berbual.
" Umi lagi....rindu", kali ini dipeluk pula tubuh makin bulat itu. Erat sambil sesekali wajah Akid dicium. Sungguh. Dia bebar-benar rindukan anak ini. Banyak bicara Akid seperti melepaskan perasaannya yang buat Afiqah ketawa senang walaupun entah apa perkataan yang dituturkan anak itu. Dia buat-buat faham sahaja.
Harris hanya tersenyum memerhati sahaja tingkah Afiqah dan anaknya. Tidak lama Afiqah mengajak Akid melihat Amna pula. Tidak mahu berenggang, tangan Afiqah terus dicapai apabila ibunya bangun.
Bilik tidurnya terus dituju. Melihat Amna yang sedang nyenyak tidur terus dicapai anak itu dibawa dan dipangku saat duduk di birai katil. Dikucup pipi Amna penuh berhati-hati walaupun jika diikutkan hatinya mahu sahaja digomol wajah itu. Akid masih lagi di sisi ibunya. Lengan Afiqah dirangkul lalu kepalanya direbahkan di lengan itu.
" Akid dah kiss adik Amna hari ni?", mesra dan manja suara Afiqah dibalas dengan anggukan.
" Kasihan anak-anak umi kan. Umi masuk hospital..", bicara Afiqah buat Amna terjaga. Matanya seperti memandang penuh keliru wajah di hadapannya. Mungkin tidak percaya ibu yang dinanti pulang juga.
" Ayah cakap anak umi ni baik je masa umi tak ada. Betul ya?", mengajak berbual dengan senyum manis terukir. Jemarinya mengusap lembut pipi mulus anak itu.
" Kalau Amna bercakap nanti umi pengsan pula", balas Harris yang bersandar di kepala katil.
Afiqah ketawa namun sempat juga menjeling manja suami di sebelah.
" Ayah ni kan. Mentanglah dah tak gagap ",
Saat tersedar dan mendengar bicara Harris yang lancar terus dia menangis. Gembira kerana fikirnya Harris akan selamanya begitu. Namun semuanya ketentuan Ilahi. Kerana keadaannya kritikal baru-baru ini buat Harris boleh bercakap dengan baik semula.
" Masa dahi Iqa luka dulu abang dapat ingat semula. Sebab Iqa teruk tumpah darah abang hilang gagap. Hebatnya kuasa Allah. Alhamdulillah. Allah beri hambaNya ujian kesusahan namun akhirnya disertai dengan nikmatNya. Cuma kadang kala kita manusia ni bila dah dapat nikmat Allah lupa. Kufur nikmat", pipi Amna dielus merenung penuh kasih wajah anak itu.
" Tentu anak umi doakan umi sihat semula kan..", hidungnya dilagakan dengan hidung Amna. Diam sahaja. Apa lagi anak seusia itu mahu membalas.
" Akid..", meminta juga hidungnya digesel si ibu. Afiqah hanya menurut.
" Muah..Sayang anak handsome umi", pipi Akid pula menjadi sasaran.
" Hmm..ayah..", Harris yang selesa bersandar tadi mendekat juga. Afiqah mengulum senyum.
Mengada sangat kan !
Pipi kanan Harris ditekap perlahan dan hidungnya di satukan dengan hidung suaminya. Sekilas pipi Harris juga dikucup perlahan.
" DAH nak tidur", sapa Harris apabila melihat isterinya menarik selimut.
" Hmm..",
" Stokin dah pakai?",
" Dah..Mak dah tidur ke?",
" Dah..",
Siang tadi panjang bualan Afiqah dan Salmiah. Sepanjang Afiqah di hospital Salmiah yang menguruskan rumah itu. Menguruskan Akid dan Amna dibantu Hasnah yang setiap hari ke rumah itu.
" Kita nak beri apa pada mak dan nenek sebab jagakan Akid dan Amna bang..",
" Bagi apa?", Harris juga berbaring di sebelah Afiqah. Tubuhnya sengaja dirapatkan dengan tubuh isterinya.
" Hadiah sebab jagakan anak-anak kita",
" Mak dan nenek tak nak hadiah. Mereka jaga sebab Akid dan Amna tu cucu cicit mereka",
" Ya. Memanglah. Tapi..Iqa nak beri sesuatu. Hmm..apa kata lepas Iqa habis pantang kita bawa mak dan nenek pergi umrah. Biarlah mak dan nenek dah pergi banyak kali pun. Biarlah mak dan nenek ada duit untuk pergi sendiri pun. Tapi kalau kita hadiahkan tentu mereka seronok. Kan? Tapi abanglah sponsor", dia tergelak kecil.
" Okay. Nanti abang tengok tarikh. Kita bawa semua. Anak-anak pun. Setuju?",
" Setuju sangat", pipi Harris dikucup sekilas.
" Jangan lebih-lebih ya", amaran diberi sedangkan dia gembira diberi perhatian begitu setelah 2 minggu isterinya di hospital.
" Ala. Kiss je. Bukan buat apa pun. Abang tak rindu Iqa ke. Hmm?",
" Bukan setakat rindu. Abang rasa nak gila bila Iqa tak sedar 4 hari tu. Abang rasa bersalah. Sebab abang. Sebab Iqa dah lahirkan anak abang Iqa jadi macam tu"
" Baru 4 hari. Abang tu berbulan-bulan tak sedar. Iqa balas dendamlah. Biar abang rasa apa yang Iqa rasa", penuh perasaan dia menjawab.
" 4 hari rasanya macam 4 juta hari sayang", lengannya diseluk di bawah kepala Afiqah dan sisi dahi Afiqah dikucup.
" Allah panjangkan nyawa Iqa untuk Iqa berbakti pada abang pada anak-anak",
" Terima kasih kerana kuat untuk abang dan anak-anak. Abang tak sanggup nak bayangkan kalau Iqa pergi tinggalkan abang dalam keadaan Iqa berjuang kerana kelahiran anak kita. Maafkan abang..", kali ini tubuhnya mengiring mengadap tubuh isteri. Pipi Afiqah dielus perlahan.
" Abang tak salah abang. Semua tu ketentuan Ilahi untuk kita sama-sama harungi yang hidup kita ini akan sentiasa ada ujian. Biar berat mana pun ujian itu tentu sahaja Allah akan beri semampunya untuk hambaNya tempuhi. Allah itu Maha Pengasih. Maha Penyayang. Dia tahu kita boleh tempuhinya sebab tulah Allah beri ujian ni. Dengan ujian ini mungkin abang akan lebih setia pada Iqa. Mana tahu kan?", dalam seriusnya tadi masih lagi mahu bergurau.
Tiada kata dibalas Harris. Tubuh isterinya dirangkul perlahan penuh hati-hati kerana luka rawatan cuci rahim yang dijalani isterinya mungkin masih belum pulih sepenuhnya.
" Abang sayang Iqa", dahi isterinya dikucup. " Sayang sangat. Terima kasih untuk apa yang Iqa lakukan untuk abang. Bersusah payah lahirkan anak abang. Tiada apa yang dapat abang balas untuk semua kebaikan Iqa pada abang",
" Sentimental sangat ni..",
Harris ketawa kecil. " Iqa sedar tak Iqa hampir tinggalkan abang lagi nak buat gurau kan",
" Allah itu Maha Mengetahui Maha Pengasih dan Maha Penyayang..", hanya itu yang mampu dibalas Afiqah.Tiada kata lain. Hanya Allah yang layak dipuji.
HABIS berpantang Afiqah dan Harris mengadakan kenduri doa selamat dan aqiqah anaknya sebagai tanda mensyukuri keselamatan Afiqah dan anak mereka.
Habis majlis Afiqah melayan bualan Rabiatun dan Amira. Hampir sahaja Afiqah mengetuk kepala Rabiatun apabila sahabatnya itu bergurau kasar.
" Tak jadi aku nak nikahkah Amira dengan Harris. Kau hidup semula",
" Atun..Kau memang saja kan", marah Afiqah.
Amira yang mendengar mengerut kening. Nama aku pula yang digunakannya? Atun ni kan memang sedap mulut dia je. Gerutunya.
" Aku siang malam doakan kau selamat Iqa. Bila kau tak sedar
4 hari tu rasa macam..entahlah. Susah nak cakap. Aku tahu semua orang yang hidup pasti akan mati. Semua orang akan mati. Tapi..Allah Maha Berkuasa segala yang dikehendakiNya. Aku gembira kau sedar dan sihat semula. Tapi..",
" Tapi apa..", Amira terus menyampuk.
" Dahlah mengandung. Pesan kat Harris pakai alat pencegah kehamilan", selamba sahaja bicaranya buat Afiqah ketawa.
Gaya bercakap macam dialah yang paling berpengalaman sedangkan kahwin pun belum lagi!
" Mengandung tu kerja Allah Atun. Bukan kerja manusia. Kalau kita cegah pun kalau Allah kata jadi. Jadi. Kalau kita usahakan nak mengandung pun. Kalau Allah kata tak jadi. Tak jadi", syukur walaupun mengalami jangkitan pada peranakannya dia masih lagi boleh melahirkan anak. Semuanya kerana rawatan yang cepat diberikan.
Mengatakan serik dan takut untuk mengandung lagi? Ya. Sudah tentu ada. Bohong jika dia tiada perasan begitu. Tapi semuanya diserahkan pada Allah.
" Lagipun Harris dah macam tak bagi aku mengandung lagi bila aku cakap Amna 4 tahun aku nak mengandung semula. Dia kata temankan aku masa bersalin pun dia dah nak pengsan. Lagi-lagi bila jadi macam apa yang jadi tu buat dia serik nak aku melahirkan anak. Ada rezeki ada. Tak ada rezeki lagi pun. Alhamdulillah. Dua orang amanah yang Allah beri ni pun belum tentu aku dapat jalankan dengan sempurna. Bukan mudah nak jadi ibu dan ayah. Bukan tahu beranak je Atun..", matanya melihat Amna dalam dukungan Hasnah di seberang sana.
" Aku tak ada anak mana aku tahu payah ke mudah",
" Kahwin dulu dengan Dr. Ibrahim lepas tu buat anak. Baru tahu susah senang jaga anak", Afiqah bangun mahu menambahkan lauk di dalam pinggan. Dia baru mahu makan selepas majlis selesai. Harris sudah makan sambil menyuap Akid tadi. Jadi dia memaksa Rabiatun dan Amira menemani dia makan bersama.
" Tak habis-habis Dr Ibrahim", rungutnya langsung tidak berminat.
" Kau jangan Atun. Kena penangan cinta Dr Ibrahim nanti tak ingat dunia", Amira menambah seronok dapat mengusik Rabiatun yang memamg kalis cinta. Entah ada sejarah hitam apa sehingga Rabiatun begitu menolak cinta tidak pernah pula dia bercerita. Sedang leka berbual mereka disapa.
HAMPIR tidak percaya melihat Talib di sini. Tidak tahu pula Afiqah menjemput lelaki itu ke majlis ini. Namun kata Afiqah tadi Harris yang menjemput Talib ke sini.
" Abang nak singgah jumpa Haziq dengan Hafiz lepas ni?", soal Talib usai dia pun makan bersama dengan Afiqah serta Amira dan Rabiatun tadi.
" Oh. Haziq dengan Hafiz ikut rombongan ke Putrajaya. Balik hari je. Malam ni sampailah. Kalau abang nak jumpa esoklah",
" Hmm..esoklah. Jom ke kereta abang",
" Kenapa?",
" Abang ada sesuatu untuk Mira",
Amira terdiam pula. Tapi sekarang tempat terbuka dan ada orang takkan Talib mahu buat perkara bukan-bukan pula kan.
Saat berhenti di tepi kereta lelaki itu mengeluarkan sesuatu.
" Apa ni?", soalnya saat bungkusan itu dihulur Talib.
" Barang kemas Mira yang abang ambil dulu. Abang dah tebus semula ni. Tapi ada lagi 2 utas gelang kat sana. Abang tebus kemudian ya", wajah bersalahnya terpamer.
" Oh..Okay. Terima kasih", tidak menyangka pula masih ada rezekinya. Sangkanya sudah lenyap di Lautan Atlantik barang kemasnya ini.
" Abang yang patut ucap terima kasih. Bukan Iqa. Abang balik dulu. Esok pagi abang ke rumah mak",
" Hmm..", bersetuju sahaja.
KELUAR masuk rumah mengemas buat Afiqah kepenatan. Tubuhnya direhatkan di ruang tamu apabila semua tetamu sudah pulang. Yang tinggal hanya keluarganya. Zahlia dan Hasnah juga masih ada di sini.
Harris masih melayan anak-anak bermain di luar rumah. Tetapi dia sudah tiada upaya untuk berdiri pun kerana gigih sangat mahu masak sendiri. Itu pun mujurlah ada Hasnah, adik beradik Harris dan rakannya Amira dan Rabiatun tentu sahaja ada untuk membantunya.
" Tidur..", teguran Zahlia membuatkaan mata Afiqah dicelik terus. Bangun dan membetulkan duduknya.
" Rehat-rehat je Kak Lia",
" Tahniah dengan kelahiran Amna", ucap Zahlia. Ah! Amna sudah hampir dua bulan baru dia mahu mengucap tahniah! Better late then never!
" Terima kasih", Afiqah senyum sahaja. Tidak pernah Zahlia menegurnya dahulu sejak peristiwa Harris dilanggar dulu. Selalunya dialah yang menegur dahulu.
" Aku tahu Harris sayang kau. Dulu aku yang tinggal dia walaupun kami saling cinta. Malah aku sendiri yang cipta takdir perpisahan kami. Walaupun susah untuk aku terima dia milik kau. Aku terpaksa terima. Aku terpaksa terima yang dia bukan lagi milik aku", Zahlia ketawa sinis bagai mentertawakan diri sendiri.
" Lagipun..hidup aku mungkin dah tak lama..",
" Kak Lia jangan cakap macam tu. Kan masih dalam rawatan", jika mengikut jadual rawatan kemoterapi Zahlia masih ada lagi dan akan datang perancangannya akan dijalankan pembedahan pula.
" Jaga Harris elok-elok", ujarnya bagai tanpa perasaan dan terus berlalu dari situ.
Afiqah pula termangu. Namun hanya seketika apabila riuh suara Akid bergema di ruang tamu.
" Umi..", jeritnya berlari mendapatkan Afiqah yang sedang duduk di sofa. " Umi..", manja pula.
" Ya..",
" Aiskrim?",
" Kan dah makan tadi. Esok pula",
" Hmm..", memuncung wajahnya.
" Esok okay. Tolong umi boleh? Akid kan anak umi yang baik. Kaki umi lenguhlah. Tolong urutkan boleh", tubuh dilabuhkan ke sofa panjang dan kakinya dilunjurkan.
Tangan kecil itu laju sahaja mengikut permintaan ibunya. Namun baru Afiqah mahu berehat Harris datang meletakkan Amna di atas tubuhnya.
" Ayah ni kan. Jagakanlah Amna sekejap. Umi tengah healing ni..", tetap juga dipeluk tubuh anak kecil itu.
" Kalau ayah ada susu ayah dah susukan. Masalahnya umi je ada susu", Harris duduk di hujung sofa dan turut sama mengurut lembut betis isterinya. " Hmm..abang nak tempah catering tak nak. Nak masak sendiri..",
" Masak sendiri lagi seronok", dia mula mengiring mengadap dada sofa dan membawa Amna ke dadanya. Matanya sudah terpejam menikmati sentuhan suami dan anaknya. Bahagianya. Senyum terukir.
Hampir dia terlena Harris mengangkat Amna masuk ke bilik.
" Hmm..Iqa jalan sendirilah", tegahnya apabila Harris juga mahu mengangkat tubuhnya.
" Selalunya nak abang angkat.." jawab Harris.
Malas menjawab dia berjalan menuju ke bilik. Ada Zahlia di dalam rumah itu. Dia tidak mahu Zahlia nampak kemesraannya bersama Harris. Ya. Itu yang dia mahu jaga. Walaupun Zahlia bukan lagi sesiapa dengan Harris namun kakaknya itu pernah ada sejarah manis dengan lelaki itu.
Happy reading..
Share this novel