Bab 17: Pintu Hati Yang Terbuka

Romance Completed 5295

Kehadiran Tan Sri Azman dalam mesyuarat di syarikat Datuk Rahman merupakan suatu kejutan kepada semua vendor termasuk Datuk Rahman sendiri. Tentunya, kehadiran beliau sebagai pemerhati amatlah dialu-alukan. Sengaja Ilham melibatkan Tan Sri Azman supaya dapat memberi keyakinan terhadap solusi dan impak besar terhadap pembentangan nanti. Ini adalah mesyuarat yang perlu keputusan segera dan dan bukan untuk diperam balik ke ke pejabat dan lupa. Maknanya, ia tidak sekadar mesyuarat untuk makan karipap semata-mata.

Ilham telah membentangkan overview permasalahan dan menerangkan analisa-analisa yang dilakukan berkenaan unjuran pembayaran semula hutang-hutang tertunggak yang menjadi spekulasi industri semenjak akhir-akhir ini.

“Berdasarkan analisa yang saya bentangkan tadi, kedudukan kewangan syarikat Datuk Rahman tidaklah membimbangkan kerana keseluruhan aliran tunainya begitu baik sekali cuma, seperti yang kita sedia maklum, tunggakan berlaku kerana faktor pihak ketiga yakni, pada pihak bank. Namun begitu, terdapat pelbagai sumber aliran tunai yang boleh digunakan oleh syarikat Datuk Rahman untuk membayar semula hutang kepada semua vendor tetapi ianya tidak akan mengikut aging sebagaimana biasa.” Petah sekali Ilham berbicara untuk menyakinkan solusi penyelesaian.

“Encik Ilham, aging itulah yang kami praktikkan untuk mengukur prestasi hutang. Laporan-laporan aging ini kalau dibentangkan pada lembaga pengarah, teruk saya kena belasah!” Kata salah seorang vendor yang hadir- kebanyakannya menjawat jawatan tertinggi dalam syarikat masing-masing sama ada CEO atau CFO syarikat. Ini turut disokong oleh sebilangan vendor yang lain.

“Tentunya begitu untuk keadaan normal. Pastinya kalau nak diukur keupayaan orang sihat dan orang yang sakit berbeza sekali. Sekarang kita berada dalam keadan krisis tentunya, pendekatan penyelesaian tidak boleh dilakukan secara normal. Oleh demikian, apa yang saya cadangkan, untuk mengukur prestasi hutang ini kita guna pendekatan lain yakni, menggunakan kaedah risk exposure hutang kepada jumlah transaksi urus niaga. Yakinkan saya, mana lebih baik sekiranya risk exposure hutang syarikat tuan hanyalah 20% daripada jumlah transaksi urus niaga berbanding risk exposure 80% tetapi aging cantik?” Hadirin terdiam. Penjelasan ini tentunya memberi suatu pengetahuan baru yang tidak pernah dipraktikkan sebelum ini.

“Jadi tugas kalian semua adalah untuk meyakinkan pemilik syarikat, lembaga-lembaga pengarah, pelabur-pelabur dan lain-lain yang berkepentingan dengan syarikat kalian tentang kaedah ini. Paling penting sekali, prestasi pembayaran semula hutang tertunggak ini tidak boleh diukur atau menganggap satu kaedah seperti aging sebagai kaedah paling muktamad. Pendekatan menyeluruh seperti kaedah yang saya terangkan tadi juga boleh diguna pakai untuk tujuan menjustifikasikan prestasi.”

“Pada saya senang, kalau syarikat Datuk Rahman tidak boleh membayar ikut masa yang ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian, saya berhak saman dan selesai masalah saya!” Kata salah seorang vendor dengan lantang, membangkang kaedah yang dicadangkan. Muka Datuk Rahman berubah serta-merta. Merah padam mukanya.

“Hmm… boleh saya tahu berapa banyak hutang syarikat Datuk Rahman kepada syarikat tuan?” Ilham bertanya kepada vendor yang lantang tersebut.

“Hampir satu juta!”

“Baik, saya setuju dengan tuan. Sebagai wakil kepada pemiutang terbesar, saya akan turut serta!” Kata-kata Ilham ini membuatkan muka Datuk Rahman pucat lesi tak berdarah. Mampus.

“Tapi, tuan tahu apa implikasinya? Segala tuntutan tersebut setelah diputuskan oleh mahkamah akan dibawa ke insolvensi dan pihak insolvensi akan mengagih-agihkan pembayaran hutang tersebut mengikut peratusan tertentu berdasarkan exposure syarikat yang terlibat. Dalam laporan analisa saya yang ada di tangan tuan-tuan sekalian, kekuatan syarikat Datuk Rahman adalah pada aliran tunainya, bukan aset. Malangnya, jumlah terbesar aliran tunainya terletak kepada jumlah pembayaran yang patut dibayar oleh bank. Sekiranya projek yang sedang dibangunkan oleh syarikat ini gagal diteruskan kerana telah di wind up oleh syarikat tuan, ianya akan memberi impak kepada bayaran tertangguh ini. Persoalannya, berapa banyak yang bakal diterima oleh insolvensi melalui dana semasa yang ada dan berapa pula peratus pembayaran bahagian syarikat tuan berbanding syarikat Tan Sri Azman? Pendek kata, daripada jumlah hampir satu juta- bayaran yang akan tuan terima melalui insolvensi adalah dianggarkan kurang daripada seratus ribu. Tempoh masa untuk mendapatkan semula wang tersebut- lebih dari setahun! Oh, ya mungkin juga kalau tuan punya inisiatif sendiri, boleh dapatkan perintah mahkamah untuk menyita aset-aset syarikat Datuk Rahman seperti kerusi dan meja dalam pejabat ini untuk dijual kepada syarikat perabot terpakai!” Kelat dan terkebil-kebil saja muka vendor tersebut mendengarkan kata-kata Ilham. Terasa bodoh pula. Tan Sri Azman hanya tersenyum sahaja dengan kesinisan Ilham. Muka Datuk Rahman kembali bercahaya, lega dengan penjelasan Ilham.

“Jadi, kerana telur emas sebutir, kenapa kita nak bunuh seekor angsa bertelur emas? Sebab hendak hasil yang cepat?” Ilham beranalogi mengikut kisah dongeng Eropah.

“Baik, tadi saya dah jelaskan berkenaan konsep pembayaran yang bakal dilaksanakan. Keduanya, adalah kaedah pembayaran. Kaedahnya akan ada dua cara pembayaran iaitu, secara back to back dan pool of fund. Cara back to back ini untuk mengurangkan risiko semasa untuk pembayaran aktif. Pada vendor yang tidak terlibat langsung dalam projek yang ada tangguhan bayaran daripada pihak bank, kalian tidak akan terkesan dari segi aging atau pun risk exposure. Vendor yang terlibat dalam projek yang bermasalah termasuk projek lain pula, akan mengalami kelompongan pembayaran, akan ada sedikit masalah aging dan risk exposure berbanding dengan kategori pertama. Untuk kategori ketiga, vendor yang terlibat langsung dengan projek tersebut akan hanya bergantung kepada pool of fund, yakni berdasarkan jumlah dana lebihan dari keseluruhan pendapatan syarikat- perolehan kasar tolak segala kos- dan dana terkumpul tersebut akan diagih-agih kepada semua mengikut peratusan hutang atau risk exposure syarikat masing-masing. Ada soalan yang hendak ditanya?” Hadirin semua mengangguk, puas hati dengan cadangan penyelesaian yang dikemukakan oleh Ilham. Datuk Rahman pun puas hati. Dia sendiri tak pernah memikirkan solusi sebegini. Telus dan komprehensif.

“Untuk makluman hadirin yang hadir, pihak bank telah memaklumkan kepada saya- mereka akan sedaya upaya mempercepatkan proses kelulusan pinjaman-pinjaman yang dipohon oleh pelanggan-pelanggan kami. Jangkaan mereka akan lebih dari 3 bulan tetapi kurang dari tempoh 5 bulan. Ini disebabkan ada sedikit masalah migrasi sistem bank untuk bahagian permohonan pinjaman perumahan kerana isu legasi sistem. Saya selaku pemilik syarikat sangat kesal apa yang berlaku. Jadi, secara jujurnya, saya amat mengambil berat tentang hutang-hutang tertunggak kami kepada kalian dan oleh sebab itu, saya telus dalam soal ini. Justeru, saya sangat mengalu-alukan Tuan Ilham yang mewakili syarikat Tan Sri Azman yang menawarkan solusi untuk membantu kami. Er, Tan Sri ada apa-apa yang hendak dikatakan?” Datuk Rahman begitu bersemangat untuk menggulung mesyuarat. Kalaulah dia yang bentangkan solusi tadi, tentu saja banyak persoalan tidak terjawab. Dia yang bakal ‘digulungkan’ oleh audien kelak. Nasib baik.

“Tuan-tuan, saya sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan ini lebih daripada 30 tahun. Segala jatuh bangun dan pahit maung dalam dunia perniagaan ini telah banyak saya tempuhi. Itu adatlah. Namun, apa yang saya belajar selama ini adalah pertamanya- hubungan atau silaturrahim dengan rakan dagang. Berbeza dengan perniagaan luar negara, yang kebanyakannya terikat dan mengangkat martabat surat perjanjian itu sebagai ukuran hubungan niaga- di negara kita pula- budi bahasa, kejujuran dan semangat setiakawan rakan niaga kita lebih utama. Perjanjian dan dokumen-dokumen perundangan hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan dan melindungi kita dari ketidakadilan tetapi itu bukan ukuran menentukan tahap silaturrahim kita kepada rakan niaga. Apakah nilai silaturrahim kita mengikut nilai projek?”

“Keduanya, tidak semua perkara di Malaysia dapat diselesaikan melalui perundangan semata-mata sebab banyak usahawan seangkatan dengan saya pernah mengalami keadaan jatuh bangun. Ada yang pernah jatuh teruk tetapi kini menjadi tokoh yang masyhur. Sikap toleransi dan saling mendukungi itulah yang membuatkan kami masih berurusan sehingga kini. Malah, jumlah urus niaga itu makin bertambah dari masa ke semasa seiring dengan kekuatan perniagaan kami. Adakah dia akan mengingati saya sebagai rakan niaga yang boleh dipercayai jika sewaktu dia susah, saya menyusahkan lagi hidupnya? Tentu tidak.”

“Akhirnya, sabar. Jangan hanya nampak laba yang cepat sahaja tetapi kemudian rugi bertahun-tahun. Sebagaimana analogi yang Encik Ilham cerita pasal angsa bertelur emas itu. Ya, saya sangat bersetuju tentang itu. Tuan-tuan semua adalah manusia bijak. Saya amat menyokong cadangan Encik llham ini dan sekiranya ada di antara kalian atau lembaga pengarah syarikat kalian yang menentang, ibaratnya menentang saya secara peribadi.” Panjang lebar ucapan Tan Sri Azman. Perihal kata-kata terakhir beliau itu memberi tanggapan hebat dan jaminan serta menambah nilai kepada cadangan Ilham bentangkan dan ‘memaksa’ mereka secara ‘halus’ untuk menerima pakai apa yang telah dicadangkan. Siapa yang berani menentang Tan Sri Azman yang boleh diibaratkan superstar dalam dunia perniagaan?

********************

Maka mungkin sebab itu Tan Sri Azman begitu percaya dan memandang tinggi pada Ilham. Pada sesi mesyuarat di pejabat Datuk Rahman telah membuktikan kata-kata papa Linda itu, bukan sekadar omongan kosong. Linda malu sendiri sebagaimana papanya malu pada pandangan pertamanya terhadap Ilham. Apa yang Linda hadapi itu silap Tan Sri Azman juga. DNA Tan Sri Azman yang skeptikal telah mengalir dalam tubuhnya. Begitulah Linda ‘menghalalkan’ keterlanjurannya itu. Tentu lebih mudah menyalahkan orang lain selain diri sendiri.

Lantaran itu, sedikit demi sedikit Linda mulai berbaik-baik dengan Ilham, mulai membuka pintu kemesraannya kepada lelaki itu. Tambahan pula, perlaksanaan pembayaran hutang syarikat Datuk Rahman perlukan tindakan susulan- jadi, inilah peluangnya untuk dia dan Ilham (termasuk juga Datuk Rahman) mengadakan siri-siri perbincangan dan mengimplementasikan kaedah yang dicadangkan. Masuk bulan kedua, kaedah ini menjadi lebih stabil dan meyakinkan. Ramai vendor termasuk syarikat Tan Sri Azman sendiri mengalami perubahan ketara terhadap risiko hutang. Beberapa bulan kemudian, setelah isu daripada pihak bank selesai, semua vendor mendapat semula momentum pembayaran seperti biasa sebagaimana sebelum berlaku krisis tersebut. Tan Sri punyalah gembira- sebab dia sendiri meletakkan ‘leher’ untuk di ‘gulotin’ tempoh hari- yakin betul. Berbondong-bondong pujian diberikan kepada Ilham baik di pejabat dan juga di rumah. Cemburu Linda mendengarnya.

Tetapi yang menariknya, Ilham seperti tidak terkesan. Macam tak lut dipuji. Kalau nak dikatakan merendah diri sangat tidak juga- nak kata meninggi diri pun tidak. Ibarat tiada apa-apa yang berlaku walau pun kaedah yang dicadangkan olehnya tak pernah dibuat oleh orang-orang dalam industri ini. Di sebabkan itu, Ilham menjadi bualan. Ramai yang tertanya-tanya siapa ‘budak’ yang menjadi orang kepercayaan Tan Sri Azman tersebut. Ramai juga merisik untuk melamar Ilham bekerja untuk mereka. Sungguh menimbulkan kecemburuan kepada Linda, berbaur dengan kagum dan gembira kerana papanya tak silap menilai kebolehan orang. Banyak perkara yang Linda rasakan perlu belajar daripada papanya itu.

“Papa nampak kamu ni sekarang agak lain macamlah,” tegur Tan Sri Azman pada suatu hari kepada Linda.

“Ya, mama pun perasan begitu.” Tokok Puan Sri Faridah, menyokong kata-kata suaminya.

“Apa yang lain macam tu, papa-mama?

“Yalah, sekarang muka makin manis. Dulu kalau balik kerja moody semacam, macam mati laki!” Sengih saja muka Tan Sri Azman bagai menyindir.

“Eh, mana ada. Biasa saja?”

“Biasa la, papa… dulu mati laki, sekarang lakinya ‘hidup balik’!” Tan Sri Azman ketawa besar mendengarkan ‘ulasan’ pendek Puan Sri Faridah. Linda termanggu sebentar- memikirkan apa yang dimaksudkan oleh papa dan mamnyaa itu- dan- ish!

“Papa maksudkan Lin dan Am?”

“Habis tu kalau bukan Ilham, siapa lagi?” Soal Tan Sri Azman semula.

“Apa ni papa, mana ada!” Bantah Linda.

“Sayang, mama ni kenal anak mamalah. Papa pun sama. Masakan kami tak tahu perubahan kamu tu. Kami pun biasa muda juga. Bang, tak lama lagi kita dapat menantu la, kan?” Usik Puan Sri Faridah. Tan Sri Azman hanya mengiakan saja.

Kata-kata Tan Sri Azman dan Puan Sri Faridah itu bagai membuka dimensi baru dalam penerokaan perasaan Linda sendiri. Memang dia sendiri tidak perasan. Sungguh. Mula-mulanya Linda rasa tidak lagi rasa skeptikal, pandangnya pada Ilham lebih terbuka. Kemudian, hubungan mereka menjadi lebih mesra, sudah boleh bergurau senda. Pergi mesyuarat pun bersama-sama- tidak lagi dia membiarkan Ilham naik motosikal saja. Seterusnya, kalau tidak berjumpa Ilham dan berbicara dengannya, Linda rasakan hidupnya pada hari tersebut tidak lengkap- pada masa itu Linda dah mula bermanja-manjaan dengan Ilham. Lama-lama, sehinggakan kalau Linda terlihat Ilham bercakap dengan gadis penyambut tetamu di pejabat Tan Sri Azman pun dah buat dia rasa cemburu. Itukah, maksudnya cinta? Kalau betul maka, memang benar Linda kini bukan saja dilamun cinta tetapi- angau sudah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience