Pemuafakatan waris-waris tanah pusaka telah dijalankan dengan meriah. Lebih kurang 70 hingga 80 keluarga datang mendengarkan taklimat oleh Ustaz Ahmad Soleh untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih mendalam berkenaan pembahagian hak-hak faraid termasuk juga pemuafakatan hak. Untuk lebih memudahkan, kaunselor-kaunselor pusaka dari Yayasan Ilmi seramai lebih kurang 10 orang dan 3 orang peguam turut hadir membantu. Rata-rata amat berpuas hati dengan penjelasan dan bantuan yang diberikan walau pun ada juga sebahagian insiden yang agak panas telah berlaku antara waris kerana kedangkalan ilmu pengurusan pusaka- namun diselesaikan oleh Ustaz Ahmad Soleh dengan amat berhemah dan profesional.
Ilham hanya menjadi pemerhati bersama seluruh warga koperasi kampung yang diketuai oleh Zarif. Hanis pun tersenarai sebagai setiausaha selain Naim sebagai salah seorang ahli lembaga koperasi dalam portfolio operasi, selepas mesyuarat pemilihan dijalankan tempoh hari. Alhamdulillah, penubuhan koperasi dapat ditubuhkan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan. Penubuhan koperasi ini amatlah penting sebagai pemangkin kepada pengurusan dan pentadbiran segala yang berkaitan dengan projek yang hendak dibangunkan supaya lebih jelas dan telus terhadap mereka yang terlibat. Keahlian koperasi ini pula walau pun fokus kepada tuan-tuan empunya tanah namun, terdapat desakan untuk dibuka kepada seluruh penduduk kampung- dan kemudiannya dimasukkan ke dalam undang-undang kecil koperasi tersebut dalam skop syarat keahlian.
“Bang, Hanis tak pernah tengok orang yang pernah menggerakkan orang kampung seramai ini untuk buat sebarang aktiviti selama ini. Buat gotong-royong pun hanya berapa kerat. Hebat abang ni,” kata Hanis seperti berbisik. Ilham sedikit bereaksi seperti terkejut. Entah dari mana, terpacul Hanis di sebelahnya.
“Tidaklah Hanis, abang cuma mengusahakan, Dialah yang menggerakkan hati-hati mereka ni.” Ilham membalas pendek saja. Kalau panjang kang, jadi khutbah. Tak mahulah dia bercakap ibarat nak ‘sekolahkan’ orang. Apatah lagi nak sekolahkan Hanis yang memang cikgu sekolah.
“Betul, bang… Hanis suka cara abang. Banyak Hanis kena belajar daripada abang berkenaan soft skill ni. Budak-budak kat sekolah tu pun terkadang melawan, bang.” Ilham hanya tersenyum dan mengangguk-angguk sahaja. Bukan dia malas nak layan Hanis tetapi kurang manis pula nak mesra berlebihan di khalayak ramai. Ilham tak takut mengundang persepsi orang tapi, bolehkah Hanis menerima cakap-cakap orang seperti Ilham? Anak gadis seperti Hanis tidak patut berasa seperti itu.
“Oh, ya… abang dah berbincang dengan Cikgu Anuar semalam untuk memberi pelepasan kepada Hanis minggu depan.”
“Eh, Hanis tak tahu pun,” cebik Hanis kerana berasa diketepikan. Berbincang perihal dirinya tetapi, dia sendiri tidak tahu. Tentu saja dia terkejut.
“Er, Hanis jangan muncung sangat mulut tu… orang ramai ni. Nanti apa orang kata?” Liar mata Ilham memerhati kelibat orang sambil menjeling kepada Hanis. Mata mereka bertentang. Ilham kalah bertentang mata. Tajam sungguh mata Hanis bak menusuk ke jantung.
“Biarlah mereka nak kata apa. Abang takut?” Kata Hanis seperti mencabar ‘kejantanan’ Ilham. Lelaki kalau bab takut pada sesuatu memang pantang sungguh. Hanis cuba menduga hati Ilham. Lelaki di sebelahnya ini sangat rapi menyimpan perasaan dan reaksi. Entah apa yang dia rasa dan apa yang dia fikir, memang tiada siapa dapat menduga. Tetapi, ada-ada saja yang dilakukan oleh lelaki ini untuk menyenangkan hati orang-orang di sekelilingnya. Jadi, dalamnya lautan perasaan dan pemikiran Ilham, tidak sampai ‘kail’ Hanis untuk menduganya.
“Abang lebih takut dengan Hanis…” balas Ilham pendek. Hanis ketawa kecil.
“Sebenarnya apa sebab abang meminta pelepasan tu?” Hanis tukar topik bicara. Hanis pun ingin tahu. Mana tahu kalau Ilham nak hantar wakil masuk meminang. Seronok tu. Hanis tersenyum sendiri, manis.
“Oh, tidak ada apa-apa yang luar biasa cuma program pemantapan kepada ahli-ahli lembaga koperasi sahaja. Taklimat khas bersama Yayasan Ilmi. Kita buat di Penang.” Ah, kecewa sekali Hanis mendengarnya. Dia ingat sesuatu yang lebih ‘istimewa’.
“Hanis macam tak suka? Banyak pakar akan turun ke Penang tu… hebat-hebat mereka semua ni. Mereka ni semua kebanyakan penggerak di belakang tabir syarikat-syarikat korporat besar di Malaysia, tau.” Jelas Ilham setelah melihat reaksi ‘muram’ daripada Hanis.
“Alah, bosanlah bang. Ingat pelepasan itu macam pergi bercuti ke, apa ke… sekali buat kerja juga.” Hanis seperti merengek, manja macam budak kecil nak minta ditimang-timang.
“Abang janji kalau Hanis dapat selesaikan beberapa tugasan sebelum proses construction nanti, kita pergi Langkawi, ya? Ketika itu banyak banyak terluang.”
“Langkawi? Aduh, bang… kami ni guru-guru, hampir tiap-tiap tahun pergi Langkawi tau. Rombongan sekolahlah, kursuslah, apalah…” Hanis masih tidak puas hati.
“Habis tu? Apa yang Hanis mahu?”
“Honeymoon lah!” Kata Hanis dengan berani. Sepantas itu dia berlalu pergi meninggalkan Ilham meneka sendiri. Gurau ke tu? Entahlah, dia pun tak sempat melihat reaksi Hanis. Semakin berani nampaknya Hanis bergurau ‘kasar’ seperti itu. Ilham ketawa saja dalam hati, mungkin dia telah menerima ungkapan itu hanya sekadar gurauan semata-mata. Yelah, honeymoon dengan siapa pula. Nikah kahwin pun belum. honeymoon konon.
****************************************************
Kebetulan pada petang itu tidak ada apa-apa yang menarik untuk dilakukan. Pengurusan pusaka tanah-tanah pada waris yang terlibat pada minggu lepas berjalan dengan lancar cuma, Hamzah sahaja yang tidak hadir pada hari pemuafakatan tersebut dibuat. Oleh kerana Hamzah ini amat menyegani Pak Baha maka, Ilham meminta Pak Baha sajalah yang berbincang dengan Hamzah. Nampaknya, tentu Hamzah ada ‘sesuatu’ yang menyebabkan dia kelihatan enggan untuk berbicara tentang tanah tersebut walau pun sebenarnya manfaat tanah tersebut akan berbalik kepada dirinya juga. Ilham telah menjangkakan hal sedemikian akan berlaku.
Disebabkan itu juga, Pak Baha meminta Ilham hadir sendiri ke rumahnya pada petang ini. Hamzah ingin berjumpa. Seusai Asar, Ilham menuju ke rumah Pak Baha untuk membincangkan persoalan berbangkit. Apa yang Hamzah begitu mendesak ingin berjumpa dengannya.
Setibanya di rumah Pak Baha, Ilham melihat kelibat dua susuk tubuh yang dia kenali di dalam wakaf yang dibina oleh Pak Baha berhadapan dengan rumahnya- Pak Baha dan Hamzah. Kelihatan Hamzah sedang mengulung-gulung rokok daun, berpusing-pusing bermain dicelah-celah dijejarinya- diselitkan dibibir dan dipusing-pusingkan kembali bak mencari setting terbaik sebelum dicucuhnya dengan pemetik api yang diambil dari dalam poket bajunya.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Serentak mereka menjawab. Motosikal segera diparkir oleh Ilham bersebelahan wakaf. Mereka hanya memerhati saja, sehinggalah Ilham hampir dan bersalam-salaman dengan mereka berdua. Ilham boleh membaca ‘keadaan’ psikologi mereka yang bersalaman dengannya sama ada terasa aura kemesraan atau ‘kedinginan’ melalui berjabat tangan. Hari ni salam yang disambut Hamzah yang terasa ‘beku’- tidak mesra, tidak akrab- hanya memenuhi keperluan, supaya perbuatan tidak canggung di mata orang lain. Apatah lagi sekiranya di hadapan orang yang dia segani seperti Pak Baha. Tentu sahaja boleh menimbulkan persepsi negatif ke atas dirinya sendiri.
“Mah, oh Mah… dah siap ke?” Laung Pak Baha. Tiada respon daripada Mak Mah. Mungkin tidak didengari oleh Mak Mah. Ilham tersenyum sahaja. Ini pun ‘sesuatu’ juga.
“Eh, tak dengar agaknya makcik kau ni, Ilham. Sekejap ya, pakcik tengok apa makcik kau buat. Hangpa berbuallah dulu,” kata Pak Baha lalu bingkas bangun beredar- Ilham yakin tentu ada ‘sesuatu’ tadi. Pak Baha pun pakar strategi juga.
“Aku tak mahu hang dok sibuk pasal tanah aku.” Hamzah memulakan bicara ‘panasnya’ setelah Pak Baha ghaib dari pandangan Ilham. Ringkas saja kata-kata Hamzah itu. Semacam arahan yang wajib dipatuhi.
“Sebabnya?”
“Toksah dok sibuk. Hal ni, hal aku. Tanah aku. Aku punya suka!” Bentak Hamzah, perlahan tetapi tegas. Rokok gulung masih terselit dicelah bibirnya. Sesekali dia menghembus asap rokok, berkepul berbunga-bunga.
“Saya hormati kehendak abang. Pendirian abang.” Ilham menghela nafas perlahan, tenang. Orang macam ini, yang bersifat autokratik bukanlah spesis manusia terancam di muka bumi. Bersepah di merata dunia. Ego mereka sebesar dan setinggi Everest. Apa yang perlu Ilham selidiki, apakah benar ianya seperti Everest atau setakat busut saja.
“Bagus. Dok diam jangan dok sibuk campur hal orang kampung.” Tambah Hamzah, seolah-olah kemenangan sudah diraih pasti.
“Baiklah bang, saya faham apa yang abang mahu.”
“Hang tu boleh balik dari mana tempat hang datang. Kampung ini, orang-orang di sini, biar kami hidup dengan cara kami. Jangan nak mengajar kami macam mana nak hidup.” Sedap lagi Hamzah menambahkan arahannya. Ilham yang sedang tersenyum ni pun terasa kelat sedikit untuk teruskan dengan senyuman.
“Saya faham.”
Hurm, hela nafas Abang Hamzah ini berbunyi deras- seolah bagai diktator angkuh lagi bongkak dapat menundukkan musuh. Apatah lagi sekiranya Ilham yang dianggapnya musuh ini hanya menyerah diri. Mungkin dia hairan. Mungkin juga kerana dia berasa badan kekarnya dengan kulit yang kasar itu dapat menakutkan Ilham.
Tak seberapa ketika, Pak Baha datang membawa sedulang minuman dan sedikit juadah petang. Lain macam kalau Pak Baha sendiri yang membawanya, tentu sahaja Pak Baha perlu ‘meninjau’ terlebih dahulu situasi kami. Mana tahu kalau berlaku perbalahan, tidaklah terdengar atau terlihat oleh orang perempuan. Ini cara lelaki, mungkin tidak dapat difahami oleh kaum hawa. Tak dapat berlawan dari segi intelektual, kita lawan kudrat siapa lebih hebat.
“Mana makcik, pakcik?” Soal Ilham kehairanan kerana tidak terlihat Mak Mah dari tadi- saja bertanya walau pun sebenarnya Ilham dapat menganggak ‘helah’ Pak Baha. Kebijaksanaan orang lama. Bukan setakat main harung dan redah saja. Sebagai pendekar, taktikal dan strategi juga penting- hatta, dalam kehidupan seharian.
“Oh, makcik kau belum solat Asar. Patut dia tak menyahut tadi.” Senyum saja Pak Baha menjawab. Ilham tak kata Pak Baha menipu. Mungkin ada benarnya tetapi tidaklah ‘benar’ sepenuhnya. Ini adalah satu cara soft skill juga. Biasa digunakan oleh pemimpin-pemimpin pelbagai peringkat- baik dari persatuan yang kecil sampailah tahap pemimpin negara. Kalau semua ‘dilondehkan’, atas dasar apa sekali pun, ‘kebodohan’ akan lebih terpapar berbanding imej kejujuran itu sendiri.
“Macam mana dengan perbincangan hangpa berdua? Ada kata sepakat?” Soal Pak Baha pula.
“Hmmm, begini pakcik… di pihak saya tidak ada apa-apa penentangan terhadap apa yang disarankan oleh Abang Hamzah ini- berkenaan tanah Abang Hamzah yang tak perlu diusik untuk pembangunan itu,” Hamzah hanya mengangguk-angguk kepala terhadap apa yang diperkatakan oleh Ilham. Tersengih-sengih saja tidak seperti tadi dengan gaya bengisnya.
“Tetapi soal pembangunan kampung yang saya usahakan ini, untuk peduli soal kemashalatan orang kampung di sini, seperti yang diminta- tidaklah dapat saya menunaikannya,” kali ini, terbeliak biji mata Hamzah memandang Ilham, seperti mahu diterkam dan disiat kulit Ilham hidup-hidup. Nampak amarahnya walau pun cuba dikawal rapi di hadapan Pak Baha.
“Hang toksah nak tokok tambah cerita-” Tap, Ilham memainkan dialog antara mereka berdua yang dirakamkan sebentar tadi dengan telefon bimbit oleh Ilham secara sembunyi-sembunyi. Hamzah terkejut besar. Mungkin dia tak sangka. Merah padam muka dia di hadapan Pak Baha. Pak Baha hanya diam sahaja, khusyuk mendengarkan perbualan yang dirakam tadi.
“Saya hanya berkata saya faham dan hormati pendirian abang tetapi, saya tidak berkata saya akan menuruti kehendak abang.” Ilham memecahkan kecanggungan suasana terutama Hamzah yang sudah panas bontotnya- nak duduk pun salah, nak bangun pun tak kena dibuatnya. Dijangkiti bisul sebesar penumbuk budak pun tidak ‘sengilu’ begini.
“Jadi saya ingin meminta pakcik, menjadi saksi saya, antara saya dan Abang Hamzah bahawa pada hari ini, sebagaimana yang telah dirakamkan tadi, saya akan menuruti apa-apa saja pengakuan saya sebentar tadi iaitu,”
“Pertamanya, saya tidak akan menyibuk perihal tanah Abang Hamzah. Yakni, sekiranya tanah tersebut adalah miliknya, saya tak akan ganggu. Abang setuju dengan apa yang katakan?” Hamzah seperti serba salah. Dia hanya mengangguk kecil.
“Nah, lihat nama pemilik yang tercatat di atas salinan sijil carian dari pejabat tanah.” Ilham menghulurkan dokumen yang aku pegang dari tadi pada Pak Baha. Pak Baha meneliti sijil tersebut dan kemudian menyerahkannya kepada Hamzah. Hamzah kaget melihatnya. Terperanjat sekali.
“Abang lihat pada rekod pemilikan tersebut, Omar itu bapa abang?” Seperti lembu dicucuk hidung, Hamzah tunduk lemah.
“Pada rekod sebelum ini, Omar bin Hassan dicatatkan sebagai pentadbir tanah kepada senarai penama berikut:
Nurzati binti Hilmi
Muhammad Ismail bin Hilmi
Nurizzah binti Hilmi
Muhammad Ilham bin Hilmi.
Betul?” Abang Hamzah cuma menurut.
“Rekod terkini pemilikan tanah tersebut adalah Muhammad Ilham bin Hilmi.”
“Ini semua penipuan!” Bentak Hamzah, berang sekali.
“Abang tahu apa makna semua ini? Ayah abang hanyalah sebagai pemegang amanah terhadap tanah tersebut!”
“Itu tanah ayah aku!”
“Baiklah, abang kenal siapa penama yang tertera dalam rekod pemilikan terdahulu, yang mana pentadbir itu ayah abang? Zati, Ismail, Izzah dan Ilham? Abang tahu apa kaitan ayah abang, Omar dengan Hilmi itu? Abang kenal siapa saya?” Bertalu-talu Ilham melontarkan pertanyaan. Hamzah makin keliru. Diperhatikan muka Ilham sedalam-dalamnya, reaksinya bercampur baur sekali.
“Arwah mak abang bernama, Kalsom bukan? Arwah mak abang telah lama bercerai semasa abang masih kecil dan abang dijaga oleh mak abang sehingga abang besar, kemudian abang bekerja sebagai kelasi, abang tak pernah jejak kaki di sini pun. Apabila abang tinggal di sini, kami adik beradik sudah lama keluar dari kampung. Jadi tentu abang tak kenal siapa kami ini.” Panjang lebar sekali aku menceritakan ‘riwayat’ hidup Abang Hamzah, iaitu tuan punya badan. Memang Hamzah terkejut mendengarkannya. Dia tak tahu yang Ilham telah awal lagi merisik dari Pak Baha dan orang-orang kampung yang agak rapat dengan Hamzah sendiri.
“Omar bin Hassan adalah adik kandung ayah kami, Hilmi bin Hassan. Saya Muhammad Ilham bin Hilmi. Jadi saya dan abang adalah sepupu!” Tersentak Abang Hamzah mendengarnya. Pak Baha hanya mengangguk-angguk, mengiakan.
“Jadi, saya telah lama menguruskan perihal tanah pusaka ini, terlebih dahulu. Sebab itu dalam sijil carian atau pada geran terkini hanya tertera nama saya seorang, dan adik-beradik saya sedia maklum hal ini.”
“Pak Baha, kenapa Pak Baha tidak pernah ceritakan hal ini pada saya?” Soal Hamzah pada Pak Baha, dengan penuh rasa keliru. Dia masih tidak percaya. Tiba-tiba dia rasa, dia hilang segala-galanya.
“Sebenarnya Hamzah, kalau soal tanah tu aku sendiri tidak tahu. Ustaz Hilmi tidak pernah menceritakan hal ini pada aku. Sungguh aku tak tahu!” Kata Pak Baha seperti kesal.
“Perihal arwah Omar dulu dan Ustaz Hilmi memang aku tahu mereka adik beradik. Ustaz Hilmi pernah ceritakan cuma, aku tak sangka hang pun tak kenal sepupu sendiri. Jadi, masa mesyuarat tempoh hari aku ada bisikkan pada Hilmi yang hangpa berdua ni sepupu!” Jelas Pak Baha.
Hamzah hanya tunduk layu tetapi ada sedikit getaran pada tangan yang memegang salinan sijil carian pemilikan tanah tersebut. Mungkin menahan perasaannya yang berbaur ketika ini. Ilham faham, tanah itu diusahakan oleh Abang Hamzah dengan baik sekali. Memang Abang Hamzah rajin. Ada hasil bendang, kebun getah dan sayur, dusun malah tapak rumahnya kini pun di situ. Itulah hidup dia dan bagaimana dia menyara kehidupan keluarganya. Masakan tidak terkejut, andai apa yang diusahakan tiba-tiba bagai debu dibawa angin semata-mata.
“Beginilah abang, macam mana saya cakap tempoh hari… malah, pada hari ini lagi saya akan cakap perkara yang sama. Abang jangan risau soal pembangunan tanah tersebut. Saya bukan orang yang kejam kepada manusia lain apatah lagi, dengan orang yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Apa yang saya buat demi kebaikan semua. Terutamanya, kepada abang sendiri yang ‘memiliki’ sebahagian besar kawasan tanah yang hendak dibangunkan. Sebab itu saya pilih di situ.”
“Tapi tanah itu bukan aku punya…” kendur sahaja suara Hamzah. Hilang sifat little Napoleonnya sebentar tadi.
“Percayalah dengan saya.” Kata Ilham seperti berjanji.
Ilham memegang dan mengenggam tangan Hamzah. Suasana menjadi semakin larut dengan perasaan. Perasaan Ilham, Hamzah dan Pak Baha- yang saling bercampur baur, menciptakan suatu suasana yang paling asing dan belum pernah dirasakan sebelum ini- dan pada Ilham, dia hanya berniat menyambungkan silaturrahim.
****************************************************
“Nanti ke Penang dengan siapa, Am?” Tanya Zarif.
“Tak tahu lagi, mungkin dengan Naim?”
“Ish, Naim pun bawak isteri Am… macam aku juga. Lama tak dapat peluang macam ni. Sambil kerja sambil honeymoon.” Seloroh Zarif.
“Betul ke, Naim?” Ilham memandang Naim, meminta kepastian. Naim hanya mengangguk-angguk kecil sambil tersenyum.
“Isteri aku kata, tak pernah tidur hotel. Teringin.” Balas Naim, masih lagi tersenyum- entah apa yang dia fikirkan sampai meleret senyum tu. Naik keliru Ilham dibuatnya.
“Habis tu semua ALK-ALK koperasi kita yang lain?”
“Kami dah pakat-pakat tadi, dah ada geng!” hampir serentak mereka menjawab. Ilham hanya ketawa kecil.
“Kamu semua ni sampai hati masa bincang tak pula ingatkan saya sekali. Walhal, saya yang mengusahakan program ni. Aduh.”
“Eh, rasanya Cikgu Hanis kan belum ada kawan lagi nak ke sana?” Kata Kak Timah, ketua persatuan wanita di kampung ini sambil melagakan lengannya pada Hanis. Hanis hanya tersipu-sipu, menahan malu.
“Yalah, pergi sekali satu kereta dengan Cikgu Hanis lah, Ilham. Takkan nak biar orang perempuan drive jauh-jauh tak berteman. Selamat sikit ada kawan temankan.” Tambah Zarif bagai menambah provokasi Kak Timah tadi.
“Mana tau, dalam kereta, boleh bincang panjang-panjang lepas tu, kami pun untung juga.” Tingkah Kak Timah.
“Apa yang untung?” Tanya Ilham seperti bodoh menurut.
“Mana tahu, lepas tu kami boleh makan nasi minyak!” Celah Naim. Seluruh ahli lembaga koperasi dalam bilik mesyuarat ni serentak ketawa. Sedap sungguh mengenakan orang lain. Cara mereka menokok tambah bagai sudah tulis skrip untuk dihafal. Tempo semua tepat sekali. Ini semua, nyata konspirasi.
“Ish, kasihan Cikgu Hanis kamu kenakan. Janganlah macam tu.” Kata Ilham setelah ketawa mereka reda. Merah padam muka Hanis menahan mahu.
“Er, Hanis memang belum ada teman lagi, bang. Tadi Hanis tanya mereka tapi, semua dah penuh. Ingat nak drive sorang-sorang.” Hanis mula bersuara supaya tidak kelihatan canggung. Mukanya masih merah lagi.
“Hmmm… kalau Hanis tak keberatan, abang boleh temankan. Hanis bawa emak sekali, ya?” Hanis hanya mengangguk.
“Macam tu lah, Ilham. Nak dapat anak kena la memikat emaknya dahulu!” Seloroh Kak Timah. Tak habis lagi nampaknya.
“Ish, ke situ pula Kak Timah, ooi.” Hanis pula menyampuk. Kalau dibiarkan tentu akan berlarutan sampai habis mesyuarat koperasi.
Ilham buat-buat tak dengar. Tambah provokasi lagi kalau dia hanya menurut. Baik dia tak payah endahkan sangat. Kasihan pula dengan Hanis semenjak akhir-akhir ini sering sahaja dikaitkan dengannya. Mungkin mereka berdua nampak mesra sebab Ilham sendiri sangat akrab dengan keluarga Hanis, terutamanya Pak Baha dan Mak Mah. Tapi pada Ilham, Hanis pun suka sangat cari pasal. Mesra tu mesra jugalah tetapi, di hadapan khalayak tu terkadang Hanis seperti terlupa. Kalau tidak takkan orang nak berkata atau mengata walau pun Hanis memang dikenali oleh penduduk kampung sebagai seorang yang sangat menjaga tingkah lakunya dan sopan bicaranya. Tak pernah ada pemuda kampung yang berani menghampiri gadis ini, apatah lagi Pak Baha amat disegani oleh mereka. Mungkin pada mereka ‘kes’ Ilham dan Hanis ini ‘unik’ sedikit. Mereka tidaklah mengeji tetapi lebih kepada mengusik mesra sebab pada pandangan mereka Ilham dan Hanis amat secocok berdua.
Apa pun, mesyuarat koperasi petang ini berjaya menyusun atur pasukan pentadbiran dengan lebih sistematik. Segala skop tugasan setiap portfolio telah dijelaskan oleh Zarif dengan terperinci untuk perlaksanaan koperasi dengan lebih berkesan. Dana untuk pengoperasian akan ditanggung oleh Yayasan Ilmi buat sementara waktu sehingga pihak koperasi mampu untuk menampung perbelanjaan pengoperasiannya sendiri. Sebagai wakil Yayasan Ilmi, Ilham pasti masa itu akan tiba tidak lama lagi.
****************************************************
Hanis berasa bahagia. Entah mengapa semenjak kehadiran Ilham begitu aman dan tenteram perasaannya bagi penuh dan terisi. Semenjak akhir-akhir ini, seolah-olah berlipat ganda kebahagian yang dirasakan walau pun pada suatu sisi yang lain, Hanis berasa begitu malu sekali. Mana kan tidak, sampaikan ayahnya pun kalau nak mencari Ilham akan ditanyakan pada Hanis . Boleh kata kalau dia ke mana saja, orang akan bertanya di mana Ilham kalau nampak Hanis berseorangan. Sudah macam isteri tidak rasmi kepada Ilham.
Perkara ini bukan disengajakan pun. Kebetulan Hanis adalah antara tulang belakang penubuhan koperasi kampung yang diasaskan oleh Ilham dan Ustaz Zarif. Tambahan pula dia juga turut dilantik menjadi setiausaha koperasi. Sebagai orang yang bertanggungjawab mengaturkan perjalanan koperasi tentu sahaja Hanis memerlukan tunjuk ajar dan panduan daripada mereka yang arif seperti Ilham. Sebab itu mereka sering kelihatan bersama. Itu pun bukan berdua-duaan. Biasanya Kak Timah akan temankan. Kalau bukan Kak Timah, di rumah-emaknya setia memerhati. Sebagai setiausaha, Hanis perlu mengasah kemahiran komunikasinya dengan orang ramai. Sebelum ini, kalau berkomunikasi pun lebih terikat dalam konteks profesionnya sebagai guru. Ini lebih luas lagi, mewakili hasrat ahli-ahli yang juga terdiri dari orang-orang kampung Hanis sendiri. Itu belum lagi tugasan khas sebagai wakil dari sekolah, sebagai kordinator program aktiviti ko-kurikulum pelajar bersama Naim, suatu program khas kemahiran dan keusahawanan. Itu pun melibatkan Ilham juga. Habis, nak buat macam mana?
Tetapi Ilham nampaknya tidak begitu terkesan. Kalau diusik dan disakat pun selamba saja muka dia. Habis-habis pun dia hanya tersenyum sahaja seperti tidak ada apa-apa. Lagi pun dia pemuda yang sangat pandai mengawal perasaannya. Hanis lihat sendiri semasa Ilham membuat taklimat projek pembangunan kampung tempoh hari. Calang-calang orang untuk menghadapi orang-orang kampung yang skeptikal. Bukan sekadar skeptikal tetapi ada yang lantang membangkang. Silap orang mahu lari ikut pintu belakang. Hasilnya, majoriti amat berpuas hati. Hanis sendiri belum tentu dapat mengawal situasi sebegitu. Ilham pandai membuatkan orang selesa dan percaya pada dirinya. Dia melayan orang dengan baik dan penuh hormat. Kalau bertanding DUN di sini, ada harapan jadi wakil rakyat. Kalau jadi Datuk, silap-silap Hanis akan dipanggil Datin. Seronok sungguh kalau cik Hanis berangan.
Namun di sisi lain, Ilham seperti tidak dapat dibaca perwatakan dan perasaannya. Tidak dapat dimengertikan apa yang difikirkannya. Entah berapa kali Hanis cuba memberi isyarat- yang dia benar-benar sukakan Ilham. Bukan sekadar perasaan suka sebagai seorang adik atau jiran sekampung. Hanis mahu lebih daripada itu. Hanis juga mahu Abang Ilham mengerti hasrat hati Hanis dan membalasnya- dan kalau itu yang berlaku, tentu Hanis berasa lebih bahagia lagi. Tetapi, Hanis masih belum betul-betul berani untuk terbuka dalam soal ini. Malu. Hanis tak rasa boleh menerima penolakan apatah lagi, inilah kali pertama. Kali pertama untuk bersedia mendapat malu, tentulah amat memalukan sekali sehingga mungkin dapat dikenang seumur hidup nanti. Itulah.
“Hanis…” Hanis menoleh- dan inilah lelaki yang sentiasa bermain dalam fikirannya kini.
“Maaf bang, tak perasan bila abang tiba.” Hanis segera membuka kunci auto lock kereta.
“Eh, abang drive lah.” Hanis hanya mengangguk dan bingkas keluar, lantas mengambil tempat di bahagian penumpang hadapan.
“Mak mana?” Tanya Ilham.
“Oh, mak ambil tas tangan. Terlupa tadi. Ayah pagi-pagi lagi dah keluar ke kebun.” Hanis membalas dengan mesra. Seronok mendengar Ilham memanggil emak Hanis seperti emaknya sendiri. Alah, macam menantu tanya pasal emak mertuanyalah.
Sejurus kemudian kelihatan mak muncul. Glamour mak hari ni. Almaklum, nak ke Penang-dress up macam orang Penang lah gayanya.
“Bertuah saya hari ini. Ada dua ‘gadis’ jelita saya angkut hari ni,” seloroh Ilham. Mak dan Hanis ketawa serentak.
“Ish, kamu ni.” Getus Mak Mah, tetapi tidak marah. Muka Mak Mah tersengih saja- tanda ‘termakan’ pujian Ilham.
Setelah masing-masing mengambil tempat, perjalanan ke Pulau Pinang dimulakan. Hari masih lagi dingin tetapi hati Hanis ini seperti telah kembang berbunga bak disinari mentari. Sungguh, kalau bersama orang-orang yang disayangi, tidak ada apa yang tidak membahagiakan. Hanis hanya senyum dalam hati- menyembunyikan perasaan yang berbunga-bunga itu.
Share this novel