Perjalanan pulang dari rumah agam Syeikh Ahmad di Sutton Coldfield ke Green Lane melalui Sutton New Road tidaklah terlalu jauh, hanya kira-kira 15km sahaja jaraknya. Namun, perjalanan ini dirasakan oleh Florence begitu panjang sekali kerana suasana di dalam pacuan 4 rodanya begitu sunyi walau pun berdua-duaan dengan Ilham.
“Kenapa awak diam sahaja, Am?” Florence memecahkan suasanan kebuntuan antara mereka. Selalunya tentu sahaja ada topik yang akan mereka bualkan.
“Er, tidak ada apa-apa Flo,” Ilham cuba berdalih.
“Mustahil, awak masih memikirkan perkara yang berlaku di rumah Tuan Syeikh tadi, bukan?”
“Mungkin benar tentang hal itu .”
“Pasal hadiah atau pasal kita?”
“Kedua-duanya. Apakah awak tidak memikirkan soal itu?”
“Hmm.. kenapa saya perlu fikirkannya? Bukankah lebih baik awak fikirkan bagaimana hendak melamar saya kelak.” Florence ketawa kecil, sengaja mengusik Ilham.
“Hmm…” Ilham hanya membisu. Florence faham benar tentang perangai Ilham ini.
“Saya tahu, awak tentu sayangkan saya.” Florence mengusik lagi dan Florence memang tidak sangsi dengan perasaan lelaki ini terhadapnya. Andai salah sekali pun, dia tidak peduli. Dia mahu menganggapnya begitu.
“…cuma awak perlu lebih berani untuk mengiakannya.” Ilham cuma membisu membiarkan Florence berspekulasi. Sesekali dia menoleh kepada Florence yang sedang memandu. Gadis ini memang menawan. Bukan sedikit rakan-rakannya yang memuji. Ilham selesa dengan Florence. Gadis ini gila-gila sedikit tetapi masih anggun sebagai perempuan sejati, tambah-tambah lagi dengan penampilannya malam ini. Ironinya, macam tidak kena pula dengan kereta lasak yang dipandunya kini.
“Apa yang lucunya, Am?”
“Oh, tidak. Sekadar- ya, lihatlah awak dengan berpakaian begini dan kereta yang awak pandu.”
“Kenapa?” tanya Florence kehairanan.
“Awak tidak perasan?” Seketika kemudian, Florence ketawa besar.
“Pandai awak mengenakan saya, Am.”
“Saya suka tengok awak ceria begini.”
“Saya akan lebih ceria dan gembira kalau awak segera meminang saya!”
“Aduh, saya fikir topik ini berjaya saya tukar tadi.”
“Awak ingat saya tak tahu taktik kotor awak tu?” Mereka ketawa.
Tiba di suatu bulatan di Salford Circus, Florence mengambil satu selekoh di pinggir Sungai Tame dan menuju memasuki jalan kecil ke Stanford Park di mana terletaknya Tasik Aston. Lantas Florence segera memarkir kenderaannya di bahu jalan.
“Mari, kita ambil angin!” Ilham hanya menuruti Florence yang rancak mengatur langkahnya menuju ke Tasik Aston itu. Florence kemudian mengambil tempat di bangku panjang yang tersedia di situ.
Suasana Tasik Aston ini damai sekali pada malam ini. Ada platform yang dibina menghala ke tengah tasik yang kebiasaanya menjadi tumpuan ramai tetapi, malam ini tidak sebegitu, mungkin kerana sudah larut malam. Hanya Ilham dan Florence berada di situ. Kalau ada yang lalu lalang pun hanya sesekali sahaja.
Ilham kemudian mengambil tempat duduknya di sebelah Florence- berjarak lebih kurang seorang duduk. Florence menoleh ke arah Ilham, tersenyum dan lantas merapatkan dirinya tanpa jarak lagi. Segera dirangkulnya lengan lelaki itu dan direbahkan kepalanya ke bahu Ilham. Ilham tak terkata apa, tak kuasa untuk melarang- kerana telah menjadi kebiasaan Florence sebegitu. Bukan tak pernah di menegur tetapi, tak pernah berjaya- malah, terpaksa pula dipujuknya gadis itu kerana merajuk. Kalau Florence merajuk, lebih payah pula hendak dipujuk.
“Am, awak tentu tahu perasaan saya terhadap awak?” Ilham hanya mengangguk kecil.
“Saya ingin tahu adakah awak begitu juga?” Ilham membisu- pelbagai persoalan mula menyerang fikirannya.
“Terkadang saya berasa, awak ni bukan lelaki normal. Awak gay?” Berkerut Florence memandang Ilham.
“Nauzubillahi min zalik, masakan begitu, Flo?”
“Jadi beritahu saya, apakah yang menghalang awak untuk mencintai saya?” Ilham terdiam seketika, memikirkan bagaimana untuk menyusun kata.
“Flo, saya ini orang merantau, belajar, kerja dan hidup di sini untuk beberapa ketika. Kemudian selepas itu, apabila saya akan pulang semula ke negara saya, bagaimana saya sanggup mementingkan kehidupan saya sendiri yang saya rindukan, dan awak pula meninggalkan apa yang awak cintai di bumi Birmingham ini- bukanlah senang untuk berubah dan menerima perubahan Flo.” Tenang sekali Ilham berbicara.
“Adakah awak fikir apa saya ada di Birmingham ini bisa ditukar ganti dengan awak, Am?”
“Tiada apa juga yang dapat mengganti awak dalam hati saya, Flo.” Florence tersentak dengan pengakuan itu. Bahagia sungguh dirasakannya walau pun luahan itu bukan secara terus terang tetapi, pengucapan itu lebih hebat daripada pengucapan cinta yang biasa. Pelukan Florence makin erat pada lengan Ilham.
“Tetapi, awak tentu tahu- saya masih ada banyak perkara yang ingin saya lakukan dalam hidup. Saya ingin melakukan apa yang saya selalu saya impikan di negara saya, kampung halaman saya.”
“Tentu saya tidak akan menghalang cita-citamu, Am. Saya sanggup menunggu sehingga awak benar-benar bersedia.”
“Ya, persoalannya berapa lama? Dalam tempoh itu, adakah kita masih boleh setia? Mungkinkah kelak ada sesuatu yang boleh merubahnya? Kita tak boleh berjanji tentang hal itu. Saya tak mahu awak terluka kelak, Flo.”
Mereka terdiam melayani perasaan. Florence seperti ingin mengecapi nikmat bahagia yang dirasakannya malam ini. Tenteram sahaja perasaannya. Setelah sekian lama, akhirnya dia dapat juga menyelami perasaan Ilham selama ini.
“Am, saya cukup bahagia malam ini. Apa pun selepas ini, sekiranya awak pergi mengejar cita-cita- selama mana, sejauh mana- ingatlah, saya ada di sini menunggu awak. Mungkin ada yang berubah- mungkin saya menjadi pemarah, suka membebel atau berkedut seribu muka saya ni- tetapi apa yang boleh saya janjikan, hati ini saya simpan untuk awak sahaja. Dan saya tidak peduli kalau awak tidak mahu berjanji apa-apa pun dengan saya ini. Awak pergilah dengan senang hati.” Kata-kata Florence itu cukup meruntun perasaan Ilham. Dia sendiri tidak menyangka bahawa gadis British ini ‘lebih Melayu’ daripada Tun Teja dalam filem Hang Tuah. Begitu sekali pengorbanan yang sanggup dipikulnya demi kerana cinta.
“Terima kasih, Flo. Saya akan selalu mengingati saat ini.”
Malam makin larut. Suasana makin sunyi dan mereka berdua masih di situ. Saat ini mereka inginkan malam ini janganlah berlalu pergi. Masa menjadi cukup singkat untuk menemani saat indah mereka berdua.
Share this novel