Birmingham mempunyai sejarah yang panjang dan boleh dijejaki semenjak kurun ke 15 atau lebih awal lagi. Banyak perkara telah berlaku di bumi Birmingham ini dan masih boleh dilihat legasi sejarahnya sehingga kini, yang bukan sahaja mempengaruhi masyarakat setempat tetapi seluruh dunia. Namakan apa saja, daripada pengembangan seni dan budaya, revolusi industri, perubatan, politik, pendidikan, sains, tokoh-tokoh yang pernah terkait dengan Birmingham dan perkara-perkara lain- senarainya panjang berjela.
Ini tempat asalnya coklat Cadbury’s. Birmingham punya kompleks perniagaan (antara yang terbesar di Eropah), Bull Ring- yang telah wujud semenjak 800 tahun lalu dan masih ada hingga kini. Kali pertama foto X-Ray diambil pada tahun 1896 pun di sini. Kereta Mini, Rover dan Land Rover pun direkabentuk dan dikeluarkan di Birmingham. Tokoh-tokoh yang pernah tinggal di sini pun berjela- James Watt (ukuran voltan pun menggunakan nama keluarganya, turut membangunkan teknologi engin berkuasa wap), penulis tersohor J.R.R Tolkien (Lord Of The Rings), John Wyatt (pencipta alat tenunan Spinning Jenny), John Dunlop (tayar), kumpulan muzik seperti Black Sabbath, Judas Priest, Led Zeppelin dan UB40, malah 3 orang daripada Perdana Menteri Britain pun pernah ‘mengaji’ di Birmingham!
Itu belum masuk rekod-rekod menarik yang lain seperti- antara bandar yang mempunyai persimpangan terbanyak di seluruh Eropah dikenali sebagai Spaghetti Junction (terletak di Gravely Hill Interchange), kota hijau yang mempunyai lebih banyak taman-taman dan anggaran lebih 6 juta batang pokok berbanding kota-kota di Eropah yang lain, lebih banyak terusan berbanding Venice, mempunyai perpustakaan terbesar berbanding negara Eropah yang lain dan dan juga merupakan bandar paling bersih di seluruh England. Tentu saja kota lama ini punya banyak rekod-rekodnya yang lain, bukan terhenti setakat itu sahaja.
Ketibaan Linda dan Hanis pada pagi itu di kota ini setelah melalui penerbangan selama berbelas jam tentunya begitu memenatkan. Kemudian menaiki teksi di Birmingham Airport, tanpa cerita panjang, perjalanan diteruskan ke Hotel Ibis di Bordesly Park. Mereka berdua kelelahan dan inginkan rehat. Tiada apa yang dapat menarik perhatian mereka ketika ini- atas faktor apa sekalipun termasuk rekod-rekod terbaik kota ini tidak diendahkan- melainkan kerehatan yang cukup sebelum agenda-agenda seterusnya hendak dilakukan .
Setibanya mereka di hotel, barang-barang yang dibawa dan diletakkan- selimut, bantal dan katil itu menjadi sesuatu yang sangat didambakan bagaikan kekasih yang lama tidak ditemui- dan ‘cinta’ itu mula menyelimuti mereka dan mereka ‘tenggelam’ di dalamnya. Sesungguhnya pada saat ini mereka sangat rela tenggelam sehingga ke dasarnya.
********************
“Dah siap?” Hanis mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Jom, akak dah lapar ni. Nak makan nasi ke atau western sahaja?”
“Senang ke nak cari nasi di sini, kak?” Hanis kehairanan.
“Haha… dekat England ni, masyarakat majmuk, banyak orang Asia bekerja dan menetap di sini. Nasi, makanan halal merata-rata tempat ada. Soal makan, jangan risau.”
“Itulah, Hanis ni terperuk di kampung saja, kak. Pergi kerja balik kerja saja- itu yang koman sikit tu.” Hanis ketawa sahaja kerana kenaifan dia. Ya, kalau Langkawi tu dia memang pakarlah.
“Akak dah tempah teksi sewa hari ini. Kita jalan-jalan dulu, beli-belah, melawat seluruh tempat-tempat menarik di Birmingham ni. Esok lusa, baru kita mulakan misi kita, ya?” Linda tersenyum. Bab membeli-belah turut membuatkan mata Hanis bulat membesar kerana teruja. Begitulah gadis-gadis. Kalau tak membeli sekali pun, menjamu mata sudah cukup memuaskan keinginan mereka- kalau dapat membeli belah- lagilah indah!
********************
Linda dan Hanis menyusuri Green Lane yang sering diperkatakan oleh Ilham sebagai lokasi tempat tinggalnya. Jalan itu bermula dari simpang Conventry Road sehingga kes simpang empat bertemu jalan Yardley Green dan Hob Moor Road, sejauh kira-kira kurang 2 kilometer sahaja. Jika Green Lane ini dilalui melalui Conventry Road, terdapat sebuah masjid di sebelah kiri bahu jalan yang diberi nama Green Lane Masjid (ya, masjid seperti ejaan bahasa Melayu) di mana terletak bersekali dengan sekolah budak lelaki dan juga pusat komuniti Islam di masjid tersebut. Sepanjang jalan di Green Lane penuh dengan kawasan perumahan selain terdapat sekolah, pusat perniagaan dan restoran.
“Di mana ya, kak rumah yang Abang Ilham tinggal dulu?”
“Hmm.. Kalau tak silap, katanya Holmwood Road. Ikutkan GPS ni, kalau berjalan kaki dari masjid merah tu cuma 5 minit sahaja.” Linda membelek-belek telefon bimbitnya. Pergantungan kepada teknologi untuk mencari arah ini memudahkan urusan mengenal pasti lokasi.
“Haa… itu dia!” Teriak Hanis.
“Aik, mana Hanis tahu? Tak ada papan tanda jalan pun?”
“Tu kak, kat kedai serbaneka tu, terpampang dia tulis.” Linda melihat apa yang Hanis tunjukkan. Ya, di dinding kedai tersebut tertulis Holmswood Road dengan jelas. Tetapi pelik juga kedudukan papan tanda itu yang diletakkan di dinding bawah kedai. Biasa orang letak di bahu jalan. Linda tersenyum sendiri. Untuk meyakinkan dirinya sendiri, dia menyemak semula lokasi GPSnya. Ya, memang betul. Tak sangka pengamatan Hanis terhadap alam sekeliling sungguh tajam sekali.
“Hmm.. banyak juga deret rumah di sini. Yang mana satu ni?” Keluh Linda. Dia bukan mengeluh kerana berputus asa tetapi lebih kepada pertanyaan kepada diri sendiri dan mencari idea penyelesaian.
“Sekejap ya, kak. Hanis masuk kedai serbaneka tu.”
“Buat apa?”
“Adalah. Akak tunggu sekejap, ya?” Linda hanya membiarkan Hanis mengatur langkah ke dalam kedai tersebut. Tak berapa lama kemudian, Hanis keluar dengan muka yang manis sekali.
“Rumah nombor 18, kak!” Teriak Hanis dengan cerianya sebaik sahaja dia kembali semula kepada Linda.
“Eh, mana Hanis tahu?” Linda bertanya kehairanan.
“Hanis tanya kat lelaki Pakistan yang jaga kedai tu.”
“Dia kenal?”
“Kenal, Hanis tunjuk gambar Abang Ilham.” Jawab Hanis sambil menunjukkan gambar Ilham yang terpampang pada telefon bimbitnya pada Linda. Linda ketawa kecil.
“Eh, akak ni kenapa ketawa pula?”
“Rupanya Hanis senyap-senyap ambil gambar Ilham, ya?” Usik Linda.
“Tidaklah, mana ada senyap-senyap. Ni gambar Hanis ambil masa Abang Ilham bagi ucapan pada penduduk kampung berkenaan pengambilan tanah dulu.”
“Akak pun ada ni.” Linda pula menunjukkan gambar Ilham yang terdapat dalam telefon bimbitnya.
“Cemburunya, siap ambil gambar bersama!” Cebik Hanis. Linda ketawa kecil.
Mereka kemudian menyusuri Holmwood Road dan meninjau-ninjau nombor rumah dalam deretan rumah yang terdapat di situ. Tak lama kemudian, mereka menjumpainya- rumah bernombor 18 tersebut- berwarna merah bata dan berpintu putih dengan beraneka jenis pokok bunga tempatan yang ditanam di sisinya. Rumah ini sederhana saja besarnya, berjenis townhouse yang bersambungan antara satu dengan yang lain dan membentuk satu deretan yang panjang hingga ke hujung jalan.
Setelah dipastikan betul-betul, Linda mengetuk pintu- ingin bertemu dengan penghuni di dalamnya. Setelah beberapa kali, tiada jawapan- senyap dan sunyi. Linda dan Hanis berpandangan. Ada kekecewaan terbayang di mata mereka. Jika tiada penghuni maka, putuslah harapan mereka untuk mengetahui lebih jelas apa yang berlaku pada Ilham sepanjang kehidupannya di Birmingham. Hanya petunjuk ini saja untuk mereka membawa kembara mereka untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.
“Maafkan saya, cik berdua ni cari siapa?” Tiba-tiba saja mereka disapa oleh seorang wanita separuh umur, lagak gayanya seperti wanita dari Pakistan tetapi fasih dengan bahasa Inggeris berdialek Inggeris tanpa kejanggalan pada sebutannya- seperti telah lama menetap di sini.
“Oh, maafkan kami kerana menganggu. Adakah puan kenal dengan pemilik rumah ini?” Tanya Linda dengan penuh sopan, layaknya seorang perempuan muda berbicara dengan wanita yang lebih berusia. Bagai anak dengan ibu.
“Tentu sekali. Siapa yang awak cari?” Tanya wanita itu bagai berhati-hati dan meminta kepastian.
“Saya mencari sahabat saya bernama, Ilham?”
“Ilham? Oh, benar kamu mencari dia?”
“Tentu sekali!” Jawab Linda dan Hanis hampir serentak, ada nada ceria pada suara mereka kerana wanita itu mengenali Ilham.
“Kalau Ilham dari Malaysia itu, memang di kejiranan ini mengenalinya. Dia baik pada semua orang di sini. Eh, apa kata kamu berdua ke rumah saya, kita boleh berbicara lanjut.” Jemput wanita ini kepada Linda dan Hanis. Mereka hanya menuruti pelawaan itu dan mulai mengorak langkah ke rumah wanita itu yang hanya tinggal bersebelahan.
Kediaman wanita itu kemas, teratur dan sederhana saja perhiasannya, dengan dekorasi gaya Inggeris tetapi ada sedikit pengaruh Pakistan. Setelah dipelawa untuk duduk, Linda dan Hanis menanti seketika wanita tersebut yang hendak ke dapur sebentar. Beberapa ketika kemudian, wanita tadi membawa hidangan berupa minuman teh yang harum baunya dan sepiring biskut mentega.
“Jemputlah minum.”
“Buat susah-susah saja, puan.” Kata Hanis sambil tersenyum.
“Tidak apa-apa pun. Hmm… nama saya Mariam. Saya tinggal berjiran dengan Ilham selama dia berada di Holmwood.”
“Saya Linda dan ini adik saya Hanis. Kami kawan Ilham dari Malaysia.” Linda mengatur bicara.
“Begitu, malang bagi awak berdua kerana sudah lama saya tidak melihatnya di sini. Rasanya hampir 5 atau 6 bulan lamanya. Rindu pula untuk mendengar suaranya. Selalunya dia akan temankan saya untuk bersembang apa jua topik- maklumlah, saya hanya tinggal seorang, anak-anak pula belajar di London.” Tanpa dipinta, wanita bernama Mariam ini berceloteh panjang. Linda dan Hanis hanya mengangguk-anggukan kepala, tanda mengikuti butir bicara Mariam dengan penuh perhatian.
“Jadi, tiada sesiapa yang tinggal di rumah itu sekarang, puan Mariam?” Tanya Hanis meminta kepastian.
“Sepengetahuan saya, tiada. Sebelum itu Ilham ada tinggal beberapa bulan di sini. Tetapi agak pelik juga.” Mariam bagai mengingati sesuatu.
“Kenapa puan, apa yang pelik?” Linda dapat mengesan sesuatu yang bermain-main di fikiran Mariam.
“Oh, tidak. Saya sedikit hairan kenapa isterinya tidak kelihatan dalam tempoh masa itu sebab sebelum itu, Florence masih datang sekali-sekala semasa Ilham tiada, untuk mengemas rumah. Katanya, Ilham pulang ke negaranya sebentar. Kemudian apabila Ilham kembali, Florence pula langsung tidak kelihatan. Saya bimbang kalau mereka bergaduh. Mereka berdua sangat secocok. Dua-dua sangat peramah dan baik hati. Florence sangat manis orangnya dan sukakan bunga. Oh, ya bunga-bunga daisy putih yang ada di halaman rumah mereka itu, Florence lah yang tanam.” Panjang berjela sekali Mariam berkata-kata bagai melepaskan ‘gian’ untuk bersembang panjang. Linda dan Hanis saling berpandangan. Nampaknya ada watak baru dalam pencarian mereka- Florence- tapi, siapa Florence?
“Isteri Ilham?” Tanya Linda bagi meminta kepastian. Ada sedikit nada terkejut dan sebak tetapi, berjaya di kawal baik oleh Linda bagi menyembunyikan perasaan hatinya ketika ini.
“Ya, isterinya- seorang wanita Inggeris yang cantik dan manis. Oh, kamu berdua pun cantik sekali. Bertuah sungguh Ilham dikelilingi gadis-gadis cantik.” Mariam berseloroh dan mengusik Linda dan Hanis.
“Oh, ya… kamu berdua tidak menceritakan kepada saya kenapa kamu mencari Ilham?”
“Tidak ada apa-apa. Kami datang melancong ke sini. Saja singgah melawat kawan tetapi, tak punya nombornya. Saja mencuba nasib,” dalih Linda daripada menyatakan maksud kedatangannya. Hanis hanya mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Linda. Kalau Hanis yang disoal, pasti lebih ‘lurus’ jawapannya.
“Puan, di mana kami boleh bertemu dengan Florence?” Hanis pula mengambil peluang bertanya.
“Tentang itu, saya kurang pasti pula. Tapi, walau pun dia seorang yang manis dan lembut- dia kerap menunggang motosikal besarnya setiap kali datang ke sini. Saya rasa, dia seorang gadis motosikal. Mungkin kamu boleh bertanya pada kumpulan bermotosikal di sini.”
Sedar tak sedar hampir 2 jam Linda dan Hanis berada di rumah Mariam dan pelbagai maklumat baru telah diperolehi untuk rencana mereka seterusnya. Mariam pula berasa sangat gembira dengan kehadiran mereka- walaupun secara kebetulan- kerana ada temannya untuk berborak panjang pada hari ini. Wanita separuh usia itu sekali lagi mempelawa mereka berdua untuk singgah lagi pada lain hari. Linda dan Hanis tidak berjanji tetapi, hanya menuruti sekiranya berpeluang lagi singgah di kejiranan Holmwood Road ini.
Share this novel