Menerima berita Ilham sudah beristeri, seorang gadis mat saleh bernama Florence, merupakan tamparan paling hebat buat kedua-dua gadis yang turut sama menyintai Ilham, lebih-lebih lagi Linda. Ini menjadi sedikit kepelikan kepada Hanis kerana selalunya Linda lebih bijak menguasai diri sendiri tetapi, kini kalah teruk pula dengan perasaannya.
“Janganlah begini, kak. Sedih Hanis tengok akak macam ni.” Linda hanya dia merenung ke luar jendela hotel yang mereka duduki.
“Hmm… Hanis pun sedih juga. Tetapi, Hanis yakin yang Abang Ilham tidak menipu kita apatah lagi dengan mak dan ayah Hanis.”
“Biarkan akak, Hanis. Akak cuma nak luahkan kesedihan akak saja. Biarlah dia nak keluar puas-puas.” Sebak sahaja suara Linda. Pertemuan dengan wanita separuh umur bernama Mariam di Holmwood Road bagai menceritakan segala-galanya tentang status Ilham. Sepanjang perbualan itu, dia cuba sedaya upayanya mengawal diri supaya dapat menerima berita yang dikhabarkan- dan kini tiba masanya untuk dia ‘meletup’kan apa yang bersarang di lubuk hatinya.
“Tentu akak perasan kan, apa yang dikatakan oleh puan Mariam tadi? Bukan sahaja Abang Ilham sudah lama tidak ke situ tetapi, Florence juga sudah lama tidak kelihatan?” Soal Hanis supaya Linda kembali menjadi Linda yang bijak menangani persoalan kehidupan dan orang-orang di sekelilingnya.
“Adakah sesuatu telah terjadi kepada mereka?” Linda pula menambahkan kerumitan pada persoalan yang ditanya oleh Hanis. Wajahnya yang kelihatan dalam kesedihan itu- walau pun masih sembab dengan air mata tetapi kelihatan mulai berubah.
“Itulah. Kalau benar Abang Ilham sudah beristeri dengan perempuan itu, tentu sahaja dia akan beritahu dengan mak dan ayah yang dia punya isteri. Ini tidak pula Abang Ilham berkata begitu dan Hanis yakin Abang Ilham bukan seorang yang putar alam. Kak takkan tak kenal sifat-sifat Abang Ilham ini?”
“Tentulah akak tahu Ilham tidak begitu tapi Hanis, perasaan akak ni bagai tidak boleh dibendung lagi. Air mata tak dapat nak disekat-sekat. Akak tak kuat nak menentang.”
“Beginilah, kak… Akak berehat dahulu di hotel, ya. Biar Hanis keluar untuk dapatkan maklumat lagi.”
“Terima kasih, Hanis. Jaga diri baik-baik tau, jangan Hanis terlalu memaksa diri.”
“Akak, jangan risau. Hanis tak pergi jauh.”
Sejurus kemudian, Hanis melangkah keluar dari bilik hotel yang mereka berdua diami membiarkan Linda yang masih kurang ‘waras’ lagi dan menuju ke lobi hotel untuk membuat tempahan teksi sewa daripada pihak hotel. Ketika menunggu, dia cuba mengingati ‘klu-klu’ yang telah diberikan oleh puan Mariam siang hari tadi.
“Selamat petang (malam), cik. Boleh saya tahu cik hendak ke mana?” Tanya pemandu teksi tersebut berbahasa Inggeris tetapi berloghat seperti orang Pakistan atau pun India.
“Boleh saya tahu di manakah tempat melepak kumpulan-kumpulan motosikal di bandar ini terutamanya, yang ramai gadis bermotosikal besar?”
“Banyak tempat tu, cik. Tapi rasanya macam tak sesuai cik ke sana.”
“Kenapa?” Tanya Hanis kehairanan.
“Maafkan saya, cik. Cik seorang muslim?” Pemandu teksi tersebut bertanya. Tentu saja dengan penampilan Hanis sebegitu, amat mudah untuk orang meneka latar belakang agamanya.
“Tentu sekali. Terima kasih kerana ambil berat tetapi, saya ingin mencari kawan lama saya di sana.” Jelas Hanis berdalih, sedikit sebanyak strategi dan gaya Linda diajuknya.
“Kalau begitu tidak mengapalah cuma, cik kena berhati-hati. Geng bermotosikal ni selalu sahaja sukar dijangka dan sering bersikap liar. Saya kena bertanggungjawab atas keselamatan penumpang jadi, saya khuatir sekiranya ianya membahayakan untuk cik.”
“Saya faham. Jadi, ke mana destinasi kita?”
“Saya fikir kita pergi ke tempat yang dekat terlebih dahulu- ke china town. Di situ ada kumpulan motosikal melepak terutamanya di bar yang terdapat di situ.”
“Awak lebih arif. Ayuh.”
Teksi hitam ikonik gaya British ini meluncur membelah kepekatan malam Birmingham. Tatkala itu, Hanis sedang berkira-kira tentang apa yang bakal dilakukan manakala, Linda masih cuba mengumpulkan semangatnya yang direnggut siang tadi.
Pagi itu Linda kembali ceria semula. Begitu cepat dia kembali seperti yang Hanis kenali. Jelita, sophisticated, jelita dan bijaksana. Betul juga kata pepatah, hati perempuan itu sekeras kerak nasi. Sesekali terkena air, lembik juga. Fitrahnya sebegitu. Semestinya jika Linda kembali seperti sedia kala, perancangannya lebih teliti dan tersusun rapi tak seperti Hanis yang lebih spontan dan bersahaja. Walau pun Hanis sebegitu, sifat malu dan polosnya begitu tebal- tetapi tidak pula sampai ‘terkunci’ komunikasinya dengan orang lain. Hanis petah dan ramah kalau dia selesa dengan orang yang pandai mengajaknya untuk ‘lawan’ bicara.
Begitu berbeza sekali karekter mereka berdua ini tetapi mereka tetap akrab. Linda tidak bisa cemburu dengan Hanis dan Hanis juga seperti tidak merasakan Linda sebagai seteru dalam perebutan cinta Ilham. Cemburu sedikit-sedikit tentu juga ada. Sedikit-sedikit sahaja. Cukup sekadar untuk ‘tanda’ ianya wujud dan sesekali datang bertandang.
********************
“Kita tunggu siapa ni, Hanis?” Tanya Linda kerana hampir 10 minit berada di luar hotel tanpa ada kelibat yang menamatkan penantian mereka di situ.
“Haa… rasanya itu pun dia!” Hanis melambai-lambai kepada sebuah kereta yang sedang menuju ke arah mereka.
“Hai, silakan masuk.” Pelawa seorang pemuda Inggeris yang memandu kereta tersebut.
“Terima kasih, Jack… oh ini saya kenalkan kakak saya, Linda.”
“Hai, gembira bertemu awak, Jack.” Linda berbasa-basi, sekadar menunjukkan kemesraan.
“Awak berdua sudah sedia?”
“Ke mana?” Linda bertanya kepada Hanis tetapi, dikeraskan sedikit suaranya supaya Jack dapat mendengar pertanyaannya itu.
“Oh, kita akan ke RMT Motorcycle Training di Tyseley. Dekat saja dari sini. 10 minit sahaja dah boleh tiba di sana.” Jawab Jack seperti memahami pertanyaan itu ditujukan kepadanya. Benar kata Jack, lebih kurang 10 minit mereka tiba di lokasi melalui Small Heath Highway yang menghubungkan dengan Conventry Road dan seterusnya ke Kings Road untuk tempat itu.
RMT Motorcycle Training rupa-rupanya merupakan tempat latihan menunggang motosikal yang terletak di dalam sebuah kawasan gudang-gudang atau seperti kawasan industri kecil. Kalau di Malaysia, ibarat sekolah memandu- tapi ini khas untuk motosikal sahaja. Selain dari RMT Motorcycle Training, terdapat pelbagai jenis perniagaan berasaskan automotif, hardware, kilang-kilang kecil, bengkel baik pulih kenderaan dan lain-lain lagi. Sedikit sebanyak, faham juga Linda mengenai perancangan Hanis malam tadi untuk mencari maklumat yang dikehendaki. Linda kagum juga- bagaimana Hanis, gadis pemalu ini dapat berkomunikasi dengan masyarakat sekitarnya dengan baik untuk mencapai maksud yang dihajati. Tidak sia-sia Hanis dilantik jadi setiausaha koperasi kampung yang memerlukan dia dapat berkomunikasi dengan berkesan. Tentu atas sebab latihan kerjayanya sebagai guru. Mungkin juga atas asbab Ilham juga, menjadi guru tidak rasmi kepada Hanis semenjak akhir-akhir ini.
Lelaki bernama Jack itu mengajak Linda dan Hanis masuk ke dalam bangunan RMT Motorcycle Training untuk bertemu dengan seseorang di dalamnya. Tempat ini dipenuhi trek-trek kecil untuk latihan menunggang motosikal. Pada pagi itu, terdapat sejumlah penunggang baru sedang dilatih oleh jurulatih masing-masing. Mereka lengkap dengan pakaian keselamatan dan begitu berdisplin sekali menerima arahan yang diberikan.
Jack kemudian meminta Linda dan Hanis menunggu sebentar di luar pejabat kecil yang terdapat di dalam pusat latihan tersebut, supaya Jack dapat berbincang terlebih dahulu orang yang hendak ditemui sebagai pemberi maklumat. Sejurus kemudian, Jack keluar dengan senyuman dan mempelawa mereka untuk masuk ke dalam pejabat kecil itu.
“Hai, gadis-gadis cantik. Jack kata kamu berdua mencari orang di Birmingham?” Tegur seorang lelaki berusia sekitar 60an, berbadan besar, penuh bertatu di lengannya, berjanggut panjang dan bermisai tebal- pendek kata kalau dianggap sebagai seorang ahli gusti profesional pun orang percaya. Sedikit gugup Hanis melihat lelaki itu, tambahan lagi lelaki itu dikelilingi oleh rakan-rakannya yang turut memiliki imej yang hampir serupa.
“Betul, tuan. Saya mencari seorang gadis bernama Florence.” Kata Linda, tenang sahaja.
“Maaf, gadis cantik- kami di sini, yang aktif dengan motosikal biasanya ada nama gelaran. Kau tahu nama gelaran mereka, atau mungkin gambar mereka?” Lelaki itu kembali bertanya. Linda dan Hanis menggeleng kepala.
“Kalau begitu, susahlah. Tiada apa yang saya boleh tolong.”
“Er, tapi mungkinkah tuan kenal dengan kawan perempuan tersebut… seperti lelaki dalam gambar ini?” Segera Linda menunjukkan gambar Ilham yang terdapat pada telefon bimbitnya.
“Eh, dia ni… hahaha!” Lelaki itu ketawa besar, ceria sekali wajahnya.
“Kenapa, tuan? Ada apa-apa yang tidak kena dengan lelaki ini?” Hanis pula bertanya. Hairan melihat reaksi lelaki berbadan besar itu sebaik saja wajah Ilham ditunjukkan kepadanya.
“Hey, Jack… sudah kau minta ampun dengan lelaki ini?” Tergagap-gagap Jack untuk berkata-kata apabila lelaki berbadan besar itu menyergahnya sebegitu.
“Oh, minta maaf ya gadis-gadis cantik kalau suara saya menakutkan kamu. Oh, ya… mengapa mencari gadis yang berkawan dengan Am ni? Kamu siapa?”
“Tuan kenal, Ilham.. ops, Am? Kami ini kawan Am dari satu negara!” Hanis seperti bersorak girang.
“Begitu, rupanya. Tentu saja kami kenal. Hampir seluruh bikers Birmingham kenal. Kalau bukan kerana dia, sudah pasti industri perniagaan motosikal dan komuniti bikers di sini akan menjadi kacau bilau dan si Jack ni pasti dah disumbat dalam penjara!” Kata besar lelaki berbadan besar itu sambil ketawa besar. Jack hanya merenung lantai, merah padam mukanya menahan malu. Linda dan Hanis hanya berpandangan sesama sendiri kerana tidak tahu apa yang telah berlaku.
“Hmm… sekejap ya, saya buat satu panggilan kepada sahabat saya. Saya pasti dia kenal gadis yang kamu cari.” Segera pula lelaki berbadan besar itu menelefon seseorang dan bercakap-cakap sebentar. Kemudian, setelah selesai dia memalingkan mukanya kepada Jack. Jack masih lagi merenung lantai, tidak berani menatap mata lelaki berbadan besar itu.
“Jack, kau bawak gadis-gadis cantik ni ke Sutton Motorcycles di cawangan Birmingham Road. Ray Square tunggu kau di sana.” Arah lelaki berbadan besar itu. Jack hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham dan akur.
“Oh, ya… kalau kamu berjumpa dengan Am kelak, katakan Big Reese kirim salam.” Pesan lelaki berbadan besar itu kepada Linda dan Hanis. Linda dan Hanis tersenyum dan akur dengan pesanan Big Reese. Setelah berterima kasih atas bantuan yang diberikan, Jack segera membawa mereka berdua keluar dari situ dan mula menuju ke Birmingham Road untuk berjumpa seseorang yang boleh dirujuk untuk mencari Florence, bernama Ray Square. Harapan mereka untuk bertemu Florence kini semakin hampir.
Share this novel