Bab 7: Cinta-cinta Yang Bertebaran

Romance Completed 5295

Kes pergaduhan di Indi Vidual Bar menjadi sangat ‘viral’ dari kalangan komuniti setempat terutamanya dalam scene bikers di Birmingham. Presiden The Stunna (Stunna Motorsports Club), Big Reese bersama Ray Square dari The Vikings turut melawatnya pada hari ini. Big Reese berkata beberapa perkara dengan Ilham. Tentu saja dia khuatir kerana terdapat anak buahnya terlibat dalam hal seperti ini- memburukkan imej kumpulan motosikalnya sendiri.

Tetapi Ilham masih tidak dapat berbual panjang. Kudratnya masih belum kuat sepenuhnya. Tatkala sedar dan pulih sedikit, pihak polis dah mula ‘melawat’ untuk mendapatkan fakta kes. Menurut mereka, Jim Taylor kini ditahan dan suspek yang menikamnya itu juga sudah berada di lokap untuk siasatan lanjut. Tak banyak yang dapat dibicarakan. Pengaruh bius juga masih menebal. Ada ketikanya dia berasa seperti perlahan sendiri pemikirannya sehingga, doktor yang menemani turut ‘menghalau’ anggota-anggota polis yang membuat siasatan kerana seperti mendesak inginkan jawapan.

Florence satu-satunya yang sentiasa setia menemani dan melayan pelawat yang hadir menjenguk Ilham. Jiran-jiran dari Green Lane, kawan-kawan dari universiti, geng motor-Ilham seperti tidak ‘bernafsu’ untuk bermesra- walau pun dia ingin sekali berbuat sedemikian. Benar, fikirannya terkadang secara tiba-tiba boleh melayang-layang tanpa sebarang ‘subjek’ yang hendak difikirkan. High dengan ubat bius lagi.

Walau pun dalam keadaan sedemikian, dia masih boleh berasa kehadiran Florence. Bau Florence bagai melekat dalam persekitarannya ibarat mawar kembang pagi- bukanlah secara harfiahnya seperti mawar- tetapi aroma itu menyenangkan hatinya. Apabila dia berasa sedar sedikit, dapat dilihatnya Florence sentiasa di sisi. Kelihatan berkaca-kaca mata gadis itu memandangnya, senyumannya begitu ikhlas sekali dan sesekali ada tangisan jujur dari gadis ini. Ilham tak mampu menenangkannya. Ada kalanya dia berasa seperti tubuhnya langsung tak dapat digerakkan.

“Kenapa awak menangis, Flo. Saya kan masih hidup.” Tersekat-sekat suara Ilham untuk bercakap.

“Saya kesal Am. Sebab saya, awak jadi begini,” keluh Florence, menitik air matanya lagi. Lalu dia menggengam tangan Ilham dan meletakkan dalam kucupan bibirnya. Ilham tak terkata apa. Dia sendiri pasrah dengan kudratnya yang lemah untuk menolak, tambahan lagi fikirannya masih kebingungan.

****************************************************

Setelah hampir sebulan, pagi itu Ilham dibenarkan keluar wad dan ditemani oleh Florence dan Ray. Bil hospital dijelaskan oleh mereka melalui wang yang dibiaya oleh komuniti The Stunna dan The Vikings. Nick yang hadir untuk melawat turut terkejut dengan apa yang telah menimpa. Tetapi atas lantaran kesibukan rutin hariannya, dia tidak dapat berlama-lama. Niat dia untuk membayar segala kos perbelanjaan perubatan Ilham, berasa hampa kerana ianya telah dilangsaikan awal-awal lagi. Namun kehadiran Nick tidaklah sia-sia kerana sebenarnya memang Ilham ingin berjumpa dengan Nick.

“Baiklah dik, kalau kau benar-benar dah pulih, telefon saja kalau nak berjumpa.”

“Terima kasih, Nick. Memang saya perlu berjumpa denganmu nanti. Penting.”

“Saya minta diri dulu. Jaga diri baik-baik Am. Kalau perlukan apa-apa telefon saja. Kalau tak dapat dihubungi, telefon pembantu saya, si Alice tu. Jangan diam-diam saja dengan abang sendiri!” Tambah Nick seperti memberi amaran. Ilham hanya mengangguk mengerti. Lantas, setelah berbasa basi, Nick beredar meninggalkan Ilham, Florence dan Ray di lobi hospital.

Sesampainya di rumah Ilham, Ray segera meminta diri kerana ada urusan peribadinya yang masih belum selesai. Tinggallah Ilham dan Florence di situ. Serba salah Ilham kerana terpaksa berdua-duaan dengan Florence di sini. Ilham memang tinggal seorang diri di rumah ini semenjak tahun pertama dia tiba di Birmingham. Rumah jenis townhouse ini asalnya milik seorang kaya dari Timur Tengah yang meminta Ilham menjaganya sementara Ilham masih di Birmingham. Ilham masih ingat bagaimana dia ‘ditemui’ oleh Syeikh Ahmad di masjid Green Lane ketika dia menumpang tidur di situ. Memang Ilham tidak terfikir akan bergelandangan di bumi UK- dapat saja surat tawaran belajar dari universiti dan lulus visa pelajar- tanpa banyak cerita, dia terus terbang dari tanahair- tanpa wang belanja yang banyak dan tanpa mengenali sesiapa pun di sini. Memang dia buat kerja gila. Hampir dua tiga bulan dia menumpang di masjid ini sehingga ditawarkan oleh Syeikh Ahmad yang kebetulan mempunyai perniagaannya di Birmingham, untuk menjaga satu unit rumah yang dimilikinya, layaknya seperti janitor untuk rumah ini. Malah, dibayar pula upah menjaga rumah itu- memang sesungguhnya Allah telah memudahkan urusannya. Alhamdulillah.

Semenjak dari itu, Ilham tidak pernah lagi bersua dengan Syeikh Ahmad tetapi bayaran ‘penjagaannya’ terhadap rumah ini tidak pernah tertunggak bertahun-tahun. Wang hasil pemberian Syeikh Ahmad inilah Ilham guna untuk menampung yuran pengajian dan sara hidupnya. Jika ada kerja kecil-kecilan separuh masa, Ilham buat juga sebagai belanja tambahan. Ada kalanya, dia sendiri tertanya-tanya ke mana ‘ghaibnya’ Syeikh Ahmad ini. Bimbang juga kalau Syeikh Ahmad ni ‘bunian’ di alam nyata. Menurut jiran-jiran lama beliau yang masih tinggal di kejiranan ini, Syeikh Ahmad ini mempunyai banyak hartanah sekitar Birmingham. Beliau selalu menetap di rumah agamnya di kawasan elit Sutton Coldfield kalau sesekali datang ke England. Jadi rumah ini kalau dinilaikan bukanlah apa-apa sangat melainkan nilai sentimental pada Tuan Syeikh tersebut kerana merupakan hartanah pertama yang beliau dapatkan semasa masih ‘susah’ dahulu. Kebetulan masa beliau bertemu dengan Ilham, Syeikh Ahmad berasa kerinduan untuk ke kawasan kejiranan ini dan berjumpa dengan kawan-kawan lamanya. Rezeki Ilham mereka bertemu.

“Sementara awak masih belum sepenuhnya sihat, saya akan menemani awak di sini. Awak tak kisah kan?” Kata Florence sambil menarik beg besar ke dalam rumah. Ilham sedikit teragak-agak untuk menjawab. Kalau dikatakan tidak, dia sendiri masih belum mampu betul untuk berdikari kini. Kalau dibenarkan, satu cerita lain pula.

“Tak sangka rumah awak ni cantik dan kemas. Tak seperti rumah lelaki bujang!” Ceria saja suara Florence.

“Er, saya bimbang sedikit kalau hanya kita saja tinggal berdua.” Pelbagai persoalan mulai bersarang di benak Ilham.

“Kenapa? Teman wanita awak marah?” Soal Florence, memancing reaksi Ilham.

“Kan awak tahu saya tidak ada teman wanita,” balas Ilham menggeleng. Florence tersenyum nakal.

“Bagus, saya sudah jadi isteri awak. Awak jangan lagi ada hati nak ada teman wanita lain.” Kata-kata Florence walau pun spontan dan nakal tetapi nada ‘amarannya’ sangat jelas kedengaran.

“Isteri?” Ilham terpinga-pinga, tak mengerti.

“Ya, saya beritahu pihak hospital begitu tempoh hari. Apa, awak ingat mereka akan benarkan bukan waris menemani awak sepanjang malam di hospital?”

“Hanya sebab itu awak mengaku sebagai isteri?” Giliran Ilham pula memancing reaksi Florence.

“Tentu tidak.”

“Jadi? Apa sebabnya?”

“Er, tentu lebih dari sekadar itu!” Kata Florence sambil tersenyum manis. Jawapan yang tergantung seperti itu sudah membuatkan Ilham berasa ‘seram’. Bagaimanakah agaknya hidup bersama gadis barat yang cantik ini untuk hari-hari mendatang. Takut sakit di badan hilang, sakit ‘di dalam’ pula yang berlaku. Tentu bukan mudah untuk sembuh kelak.

“Awak sangat baik pada saya Flo…” kata Ilham seperti berbisik. Tiba-tiba datang rasa keharuan kerana mempunyai seseorang yang begitu mengambil berat sedang dia sendiri jauh dari perantauan. Florence menghampiri Ilham yang masih berkerusi roda. Segera Florence- seperti melutut- di sisi Ilham.

“Awak lebih baik lagi pada saya, Am. Saya sepatut meminta maaf kepada awak dan lebih dari itu.” Kata Florence, sebak. Ada manik-manik kaca di ruangan matanya yang biru itu. Apabila ditenung dalam-dalam mata Florence, Ilham seperti melihat ruangan lautan yang luas. Penuh dengan pelbagai perasaan terkandung di dalamnya.

Mereka masih larut dengan perasaan yang berbaur-baur. Terkadang tiada perkataan yang dapat menjelaskan pengertian yang paling dalam dalam lubuk hati mereka. Lantaran itu, dunia mereka kini seperti tidak mempunyai bunyi dan kata-kata. Sunyi tetapi kaya dengan bicara.

****************************************************

Hidup bersama dengan seorang gadis cantik di dalam satu rumah walau pun sungguh mengujakan tetapi, sangat menyiksakan batin lelaki muslim seperti Ilham. Manakan tidak, perihal aurat dan penglihatan sukar untuk dijaga. Sebagai lelaki normal tentu sahaja cabaran nafsu nafsi ini menjadi sangat rumit. Ilham hanya boleh menyedapkan hati atas sebab darurat. Nasib baik juga Florence tidak terlalu seksi di rumah namun, ada juga waktu dan ketikanya- Florence buat ‘hal’- dengan selamba berkemban dengan tuala singkat apabila keluar dari bilik air, atau suruh Ilham mengancing butang colinya- aduh, seksa sekali. Ilham berasa yang banyak menyelamatkannya hanyalah sebab dia sakit sahaja. Kalau sihat, tidak dapat dijamin dia boleh bertahan.

Kebiasaannya selepas menyediakan sarapan dan membantu Ilham menguruskan diri, Florence akan bersiap-siap ke Sutton Motorcycles. Perniagaan abang sepupunya, Jim masih berjalan seperti biasa tetapi dalam keadaan tenat- kalau manusia, tentu dah boleh dibacakan Yasin. Hanya pelanggan-pelanggan setia sahaja yang masih menggunakan khidmat mereka. Jualan motosikal pula merudum teruk. Entah berapa lama lagi dapat bertahan begitu. Namun, apa yang Ilham kagum dengan Florence adalah komitmennya yang tetap tinggi dan tanpa berbelah bahagi terhadap Sutton Motorcycles walau pun dilanda musibah kewangan yang dasyat.

Tatkala meninggalkan Ilham pagi itu untuk ke tempat kerja, Ilham sempat mendengar Florence menegur jiran-jiran yang tinggal berhampiran. Dia memang peramah sekali. Ramai yang menyenangi sikapnya yang peramah itu. Sesekali, ada juga jiran yang berziarah untuk melihat keadaan Ilham tetapi banyak bertanya tentang ‘Mrs Ilham’- nampaknya tentu Florence yang cakap begitu- berbanding keadaan diri Ilham sendiri. Terkial-kial Ilham nak menjawab perihal ‘isterinya’ itu. Kalau hendak diberitahu keadaan sebenar, tentu sahaja mengundang spekulasi di kawasan kejiranan Ilham itu kerana rata-rata mereka adalah muslim. Kuat pula komuniti muslim di situ.

Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan pintu kedengaran dan suara Ray memanggil Ilham.

“Masuklah, pintu tak kunci!” Laung Ilham. Tak lama selepas itu kedengaran suara tapak kaki menghampiri.

“Ambil angin pagi…” jelas Ilham walau pun tidak ditanya oleh Ray.

“Ambil angin atau melihat buah hati pergi kerja?” Gurau Ray, tersengih-sengih mengusik.

“Ish, ke situ pula. Macam mana, Ray? Dah dapat kerjasama dari komuniti bikers setempat?” Soal Ilham menukar topik bicara.

“Jangan bimbang, bro… presiden-presiden kelab motosikal dah bagi persetujuan- The Vikings, The Stunna, Tru Riders, Buffalo Soldiers- kau cakap saja bila.”

“David Garcia?” Soal Ilham lagi.

“Oh, bajingan tu selalu lepak di Prisma Night Club.”

“Di mana?”

“Bristol Street.”

“Dekat dengan teater… apa nama tu,”

“O2 Academy?”

“Ya… dekat atau tidak?”

“Cuma berhadapan saja, bro.” Ilham mengangguk-angguk faham.

“Bila kita nak serang?” Aduh, Ilham menepuk dahi. Ray ketawa melihat telatah Ilham.

“Asyik nak bertumbuk sahaja, bila nak selesai?”

“Hahaha… lebih baik bertumbuk daripada berbincang tetapi berakhir dengan penumbuk juga.”

“Hmmm… kau perli aku ni, Ray.”

“Maaf, bro. Kali ini aku tak mahu pisang berbuah dua kali.” Serius sahaja muka Ray mengucapkan. Masih lagi geram pada peristiwa tempoh hari.

“Jadi bagaimana dengan kes kita, tu? Aku dengar kau tidak buat laporan tentang Jim dan budak The Stunna?”

“Aku cakap pada polis hanya salah faham sahaja. Mereka bukan musuh kita.”

“Jadi, apa yang kau rancang sekarang?”

“Rancangan akan aku beritahu kau nanti. Sekarang tolak kerusi aku ni dan jom ke hospital. Aku ada pemeriksaan kesihatan hari ini. Nanti doktor marah kalau lambat.”

Ray hanya akur sahaja. Memang itu ‘tugas’ rutin Ray semenjak kebelakangan ini- membawa Ilham untuk ke hospital setiap kali untuk pemeriksaan lanjut. Apa nak buat, dia juga yang ‘memohon’ menjadi ‘sukarelawan’.

****************************************************

“Betul kau perlukan wang sebanyak itu, adikku?” Soal Nick seperti kurang percaya.

“Betul Nick, oh-abang besar.” Nick ketawa mendengar Ilham memanggilnya sebegitu. Memang dia sendiri menganggap Ilham sebagai adiknya sendiri, bukan sebab dia tidak ada adik sendiri tetapi, entah macam mana perlakuan dan kebijaksanaan pemuda ini memikat hatinya. Ini pun gara-gara Ilham pernah menolong Nick dalam suatu kejadian samun yang hampir meragut nyawa Nick sendiri. Sampai sekarang dia berasa terhutang budi. Walau pun sedemikian, Ilham tidak pernah mengambil kesempatan atas jasa yang telah ditaburkan. Ada beberapa kali Nick menawarkan Ilham untuk menerima wang, kerja dan manfaat-manfaat lain tetapi ditolak begitu sahaja.

“Cukuplah kita menjadi saudara jika Tuan benar-benar mahu membalas budi,” kata Ilham. Itu cukup membuatkan Nick terkesan sampai ke hari ini. Tiba-tiba pada hari ini, Ilham sendiri meminta bantuan kepadanya- merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh Nick untuk membalas jasa, tentu sahaja dia tak akan menolak.

“Kalau kamu tidak keberatan, boleh kongsi dengan saya, sebab musababnya itu?” tanya Nick ingin tahu. Bukan sebab dia kedekut untuk memberi sejumlah wang sebegitu besar, apatah lagi dengan Ilham tetapi, Nick berpendapat tentu ada sesuatu yang mengujakan sedang berlaku. Nick tak mahu tertinggal kapal.

Ilham menceritakan segala perancangannya pada Nick. Nick hanya mengangguk-angguk penuh minat dan sesekali menyampuk. Ray yang turut berada di situ pun turut mengangguk-angguk. Dia sendiri pun berasa teruja sebab baru nampak jalan ‘cerita’ tentang apa yang Ilham rancangkan sebelum peristiwa di Indi Vidual Bar lagi. Kadang-kadang Ray berasa malu dengan Ilham yang lebih cool berbanding dirinya yang lebih semberono- walau pun dia selalu mendakwa dia manusia yang cool di seluruh England. Mungkin coolnya Ray Square ini terletak pada aksi-aksi stunt motosikal kuasa tinggi yang bisa dilakukannya dengan enteng sekali. Setakat wheelie pelbagai gaya tu dah macam sarapan paginya. Tetapi bab lain, Ray terpaksa mengaku sahabatnya, Ilham lebih hebat. Agaknya, inilah rupa pemimpin sejati-kata Ray dalam hati.

“Baik, syabas adikku. Saya sendiri belum pernah terfikir strategi membantu orang dengan cara sebegini. Harap sedikit pertolongan daripada abangmu ini akan memudahkan urusanmu dan membuahkan hasil.” Nick tersenyum bangga.

“Mudah-mudahan, Nick.” Mereka berjabat tangan mesra.

Dalam perjalanan pulang dari pejabat Nick Bloor, Ilham hanya berdiam diri sahaja. Ray yang memandu pickupnya itu hanya bersiul-siul kecil, seperti tidak kisah pun apa yang berlaku. Sesekali dia menyanyi (lebih kepada rapping sebenarnya) mengikut lagu-lagu yang diputarkan radio. Ilham ketawa kecil.

“Kenapa?” Tanya Ray kerana tak puas hati- bukan sebab marah.

“Kelakar sangat.”

“Apa yang kelakar?”

“Yalah, baru tadi kalau kau bercakap seperti orang British tulen, berdialek Brummie lagi. Tapi bila rapping, kau jadi seperti orang kulit hitam asal Amerika!” Ilham sambung ketawa.

“Hahaha… pandai kau mengenakan orang.” Ray turut ketawa kecil.

“Jadi ke mana kita sekarang? Balik ke Green Lane?” Tanya Ray pendek.

“Hantar aku ke Watling Street, aku ingin berjumpa Florence.”

“Hmmm… Sutton Motorcycles?”

“Ya, mana lagi.”

“Baik. Hmmm… nak pulang nanti macam mana? Kau masih belum sihat sangat, takkan nak naik motosikal?”

“Sekejap saja singgah.”

Ray kembali bersiul-siul kecil. Tatkala ini dia lebih tertarik dengan lagu-lagu yang diputarkan di radio. Kemudian dia terdiam seperti memikirkan sesuatu. Mungkin dia bosan sebegitu.

“Wilnecote… itu, terletaknya rumah Flo kan?” Ray tiba-tiba bertanya.

“Ya, kenapa kau tanya?”

“Dekat betul tempat kerjanya itu dengan rumahnya. Tetapi dia sanggup tinggal bersama kau di Green Lane, jauh nak berulang tu.”

“Apa jauhnya, lebih kurang 15km saja.”

“Nak bandingkan Wilnecote?” Cabar Ray.

“Memanglah Wilnecote, Flo boleh jalan kaki pergi kerja. Apa sebenarnya kau nak tanya ni, Ray?”

“Er, sebenarnya aku.. cemburu dengan kau!” Ray ketawa kuat-kuat.

“Apa yang kau cemburukan?”

“Tidaklah, manusia yang ‘sejuk’ seperti engkau, dicintai dan dijaga rapi oleh seorang gadis cantik-siapa yang tak cemburu!”

“Masakan aku begitu? Tanya Ilham tak puas hati.

“Aku tahu kau layan Flo dengan baik, penuh hormat tetapi, kau tak faham hati wanita, ke?”

“Apanya?”

“Flo mahu lebih daripada itu. Dia perlu dan mahukan cintamu, kawan.”

“Ah, kau macam doktor cinta pula. Apa cerita kau dengan budak Cina dari china town tu?”

“Oh, itu part time lover saja! Hahaha.” Ilham menggeleng- kepala hotak kau lah Ray!

“Ok, ok bro… itu soal lain. Hal kau ni menarik sikit. Flo sanggup bersusah payah demi kau. Sakit pening kau-ingat tak masa di hospital? Waktu kau terbaring tak sedar diri, dialah yang berjaga sepanjang malam. Kalau ada apa-apa tak kena dengan nafas kau saja pun, dia panggil doktor kau tahu? Ni aku tengok sendiri bro. Aku sendiri pun sampai lelah melihat dia begitu. Itu tanda apa, kau tahu tak?” Ilham menggeleng.

“Itu tandanya, dialah soul mate kau bro!” Tambah Ray macam menyanyi lagu rap, menjawab sendiri persoalan yang dia utarakan.

“Kau sudah macam tukang ceritalah, Ray. Kau pandai menokok tambah.”

“Aku tak peduli itu semua. Kalau aku dengar kau melukakan perasaan Flo saja, aku tumbuk kau.” Kata Ray serius sambil menunjukkan sekepal penumbuknya. Ilham akui penumbuk itu memang kuat-sebab pernah merasainya dulu. Tapi Ray juga mungkin dah terlupa, tangan itu pernah kena buah kunci silat Ilham. Melolong juga dia kena buah kunci silat ibarat budak kecil minta aiskrim. Merayu meminta ehsan sebab terlampau sakit. Padan muka Ray.

Setibanya di Sutton Motorcycles di Watling Street, suasana begitu suram. Tidak semeriah seperti pertama kali Ilham ke sini berjumpa dengan Florence. Walau pun beberapa kali ke sini, Ilham tidak pernah berpeluang berjumpa dengan pemiliknya, Jim Taylor. Kalau tidak, tentu salah faham di Indi Vidual Bar tidak berlaku sama sekali. Ilham yakin itu.

“Hello…” Ray melaung dari kejauhan. Nampaknya ada sahutan dari dalam bengkel. Mereka berpandangan dan senyum- ya, suara Florence yang menyahut.

“Eh, kamu berdua! Buat apa di sini?” Kata Florence teruja melihat Ray dan Ilham bersama. Segera dia meluru ke arah mereka berdua dan mendepangkan kedua-dua belah tangannya untuk memeluk. Ilham segera menolak Ray ke tepi supaya tidak dipeluk Florence. Biar dia yang menyerah diri. Ray hanya ketawa melihat telatah Ilham.

“Ah, begitu sekali kau cemburu. Aku ingat kau berhati batu!” Kata Ray ketawa besar.

“Saya pun tak sangka, Ray.” Tambah Florence sambil memeluk Ilham, erat. Ilham berasa serba salah. Segera dia rengangkan pelukan Florence.

“Tengok, dia jual mahal semula.” Muncung saja mulut Florence dengan reaksi Ilham seperti itu.

“Bukan jual mahal, Ray kan ada di sini- tak manis…” Ilham beralasan. Florence masih mencebik.

“Hmmm… macam mana keadaan awak, Am? Apa doktor kata masa pemeriksaan tadi?”

“Alhamdulillah, terima kasih atas jagaanmu, Flo. Saya berasa semakin sihat dan kuat. Minggu depan tak perlu lagi buat pemeriksaan lanjut.”

“Baguslah begitu.” Mendatar sahaja suara Florence. Bukan kerana dia tidak gembira untuk Ilham tetapi, dia tahu sudah sampai saatnya dia terpaksa ‘berpisah’ dengan lelaki itu. Dulu dia juga berjanji sedemikian. Ilham memang tidak membenarkan dia tinggal bersama tetapi, sebab Florence berkeras juga dan memberi jaminan, terpaksalah Ilham beralah.

“Hmmm… awak tidak apa-apa, Flo?” Tegur Ilham lembut setelah melihat reaksi Florence yang kelihatan agak sugul. Ilham mengerti apa sebenarnya yang bermain dalam fikiran gadis itu. Dia pun berasa agak sedih juga. Dah terbiasa dengan telatah Florence yang manja dan kadang-kadang gila-gila itu, tentu saja dia akan berasa rindu nanti. Tapi apa boleh buat. Itu salah, walau pun masyarakat barat melihat tiada apa yang salah.

“Tak ada apa-apa Am, saya OK sahaja. Er, apa hajat kamu berdua datang ke sini? Takkan semata-mata datang melawat?” Ray hanya mengangkat bahu dan menuding jari ke arah Ilham.

“Aku ikut saja, buah hati kamu ni,” balas Ray berseloroh. Florence tersenyum sahaja apabila Ray menyebut buah hatinya dan menuding ke arah Ilham. Memang dia menganggap Ilham sebegitu. Mulanya, Florence berasa ragu tentang perasaannya terhadap Ilham. Dia senang dan mesra dengan lelaki itu tapi, dia masih tak pasti. Tetapi, insiden yang berlaku yang hampir meragut nyawa Ilham, Florence yakin jelas perasaannya. Dia tahu, dia tak boleh kehilangan Ilham. Jika Ilham kecundang tempoh hari, Florence yakin dia akan berasa seperti hilang separuh nyawanya sendiri.

“Pandai saja kau mengusik, Ray. Oh, abang sepupumu ada, Flo?” Florence dan Ray berpandangan. Ray hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja, supaya Florence memberitahu. Rasanya, kalau Ray sendiri tidak menemani Ilham berjumpa Nick, tentu sahaja dia akan bereaksi serupa dengan Florence. Cari pasal ke apa- ya, mungkin itulah apa yang akan terpacul keluar dari pemikiran.

“Er, sungguh ni Am? Saya risau kalau terjadi peristiwa buruk kepada awak lagi.” Risau sungguh Florence ketika ini. Bagaikan trauma yang lepas masih belum hilang. Ilham hanya mengiakan dan dengan berat hati Florence membawa Ilham ke bahagian belakang ruang pameran jualan untuk ke pejabat Sutton Motorcycles. Florence memegang lengan Ilham dengan rapat sekali bagai tidak mahu dilepaskan, mengiringi langkah lelaki itu. Ilham hanya membiarkan saja perlakuan Florence tanpa banyak bicara. Dia sendiri merasakan ‘sesuatu’ yang penuh kasih sayang.

“Aku tunggu kamu di luar. Kamu tahu mana nak cari aku.” Kata Ray apabila Florence menoleh memandangnya. Ilham yang membelakanginya hanya memberi isyarat jari- menunjukkan OK.

****************************************************

Jim sedang santai- duduk di atas kerusi malas, kaki diletakkan di atas meja. Di atas meja itu berselerakan fail-fail dan dokumen-dokumen kerja yang belum dibereskannya. Pandangan jauh memandang siling pejabatnya. Sesekali dia memejamkan mata- mencuba berimiginasi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Dia buntu. Dalam kebuntuan itu, dia mengurut-ngurut alisnya, bagai orang pening kepala. Sekali lagi dia hampa. Tiada jawapan.

Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan pintu pejabatnya, membuatkan dia terhenti dari apa yang sedang diperlakukannya sebentar tadi. Adik sepupunya menjengah dan kelihatan seorang pemuda yang dikenalinya- Ilham! Dia kaget sebentar. Dia sendiri tidak tahu hendak bereaksi sebagaimana yang patut- hanya menjemput lelaki itu duduk dan dia sendiri termanggu sebentar untuk memulakan bicara. Ya, dia hilang punca sebentar. Sedikit sebanyak dia berasa sangat bersalah dan malu dengan pemuda ini. Sepatutnya, dialah yang perlu bertemu pemuda ini, meminta ampun dan maaf. Kalau boleh melutut sekali pun dia sanggup. Dia juga malu pada Florence, adik sepupunya itu. Florence memang marah sangat dengannya. Hampir beberapa minggu Florence tidak hadir ke kerja kerana marah padanya. Florence hadir pun sebab mengenangkan ada beberapa motosikal pelanggan setia yang masih belum diselesaikan. Kalau tidak, kalau di rayu sekali pun oleh Jim, pasti tidak akan dilayan oleh Florence.

“Saya ingin berbincang, menyelesaikan apa yang belum sempat saya jelaskan tempoh hari.” Jim hanya mengangguk-angguk sahaja mendengarkan kata Ilham. Perasaan bersalahnya masih menebal. Betapa mulianya lelaki ini, bukan sahaja tidak kisah pada perkara yang lepas, malah memaafkannya begitu sahaja. Kalau tidak, Jim tentu sudah merengkok dalam penjara.

“Apa yang ingin beritahu tempoh hari adalah- saya ingin menawarkan pembelian pemilikan Sutton Motorcycles- sekiranya kamu bersetuju.”

“Bagaimana saya hendak bersetuju sekiranya saya kehilangan ‘hidup’ saya?”

“Itu yang saya hendak jelaskan. Pemilikan ini bukan milik peribadi saya dan yang paling penting, pegangan kecil pemilikan masih milik kamu.”

“Kalau bukan kamu yang membeli- siapa pula?” Tanya Jim kehairanan.

“Adik sepupu kamu, Florence!” Kata Ilham sambil tersenyum. Florence sendiri terperanjat mendengarkan kata-kata Ilham. Mana pula dia hendak mencari wang memiliki perniagaan abang sepupunya ini.

“Kamu serius?!” Jim seperti tidak percaya.

“Tentu saja, Jim. Saya tahu, sekiranya pernigaan ini masih dalam pemilikan keluarga, kau mesti tidak keberatan menjualnya, betul?” Jim hanya mengangguk-anggukkan kepala.

“Tetapi, apa yang Florence boleh buat kalau dia membelinya sekali pun? Perniagaan sudah teruk, jualan merosot, pekerja habis lari. Saya rasa tiada apa lagi yang boleh diperbuat. Ni semua sebab sabotaj si banjingan itu. Mujur tak ada yang mati malam itu.” Keluh Jim begitu menyesal.

“Begini, Jim. Disebabkan itu, saya meminta supaya pemilikan itu ditukar milik dengan bayaran minimum kepada adik sepupumu sebanyak 75%. Kau pegang lagi 25% supaya usaha kau membangunkan Sutton Motorcycles itu tidak sia-sia selama ini. Saya ada caranya untuk membangunkan semula perniagaan ini dan soal David janganlah kau risau- semua dalam pertimbangan saya.” Ilham memberi jaminan. Ada sinar di wajah Jim yang keruh sebentar tadi.

Florence pun berasa ceria. Memang Ilham tidak mungkir janji untuk membantunya. Tapi, itulah. Apa yang dibayar Ilham untuk membantu- begitu besar sekali apa yang dipertaruhkan sehingga melibatkan nyawanya sendiri. Florence berasa amat terharu. Tidak pernah ada seorang lelaki yang begitu tulus sekali tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan dari usaha yang dilakukannya. Masakan boleh begitu dalam dunia yang penuh permainan politik, wang dan kuasa ini. Nyata, Ilham adalah ‘spesis’ manusia yang hampir ‘pupus’ dari muka bumi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience