Bab 3: Yang Turun Ke Hati, Yang Membayang Di Mata

Romance Completed 5295

Malu!

Pertama, seumur hidup Hanis auratnya tak pernah dilihat oleh lelaki bukan mahram. Ini first time (dalam umur sedewasa ini)!

Kedua, bukan setakat aurat yang ‘biasa-biasa’. Berkemban pula!

Ketiga, tanpa usul periksa- Hanis ‘berdansa’ bagai nak gila! Sedangkan pegang tangan dengan lelaki bukan muhrim pun tak pernah, ini siap mencekak, memeluk, er…menumbuk, menanduk hishhh… malunya!

Keempat, minta maaf pun tak sempat.

Malunyaaaaa!

“Ha, Ilham… masuklah. Kau dah makan, nak?” Suara Mak Mah jelas kedengaran pada pendengaran Hanis, almaklumlah, bilik tidurnya ini berhampiran dengan ruang tamu. Kalau ada tetamu datang, tentu Hanis dapat menangkap butir bicara dari dalam biliknya.

“Oh, sudah. Tadi makan dengan kawan, makcik- dengan Zarif tadi,” suara itu menjawab. Hanis pasti itulah suara yang paling ‘nakal’ sekali, asyik mengganggu fikiran dan perasaannya kini. Aduh, makin tebal rasanya perasaan malu itu datang. Lebih-lebih lagi apabila Hanis teringatkan peristiwa tadi. Oh, cik Hanis… keadaan awak tadi seperti telanjang saja. Orang itu dah lihat ‘segala-galanya’!

“Pakcik tak balik lagi, makcik?”

“Tadi katanya selepas Isyak dia dijemput ke gelanggang. Ada la tu, orang nak minta tunjuk ajar ke, nasihat ke…”

“Eh, tak masuk ke, Ilham?”

“Pakcik, tak ada segan pula saya. Saya duduk di serambi ini sajalah.”

“Kalau macam tu, biar makcik suruh Hanis buat air dulu...Hanissss! Buatkan air untuk Abang Ilham kau sekejap, nak!” Laung Mak Mah. Hanis segera bergegas menuruti perintah.

“Baik, mak.” Jawab Hanis pendek sahaja. Tak tanya pun nak air apa. Yelah, ada sesetengah orang amat cerewet tentang makan dan minum mereka. Tak boleh kopilah, minum teh anginlah, manislah, apalah- ah, Hanis hanya boleh fikirkan air yang paling biasa orang minum. Teh O sudah. Habis masalah.

Hanis sebenarnya berasa amat berat sekali untuk melangkah ke dapur, bukan kerana dia malas ke dapur tetapi Hanis tahu, untuk sekian kalinya, dia terpaksa- paling tidak- bertegur sapa dengan lelaki itu. Bertemu dan melihat senyuman Ilham cukup membuatkan seolah-olah diri Hanis seperti diejek-ejek sahaja. Yang paling Hanis takut melihat pandangan mata Ilham, cukup membuatkan dirinya seperti ditelanjangi buat kali kedua!- walau pun sebenarnya tidak begitu- senyuman Ilham cukup manis. Pandangan matanya cukup redup dan sesiapa saja yang memandang atau dipandangnya pasti terasa tinggi maruahnya. Pandangan mata Ilham penuh dengan kasih sayang bukan pandangan lelaki mata keranjang. Tapi, itulah. Malu punya pasal. Serba tak kena jadinya.

Sebenarnya, Hanis sangat menghormati Ilham seperti abangnya sendiri. Sewaktu kecil-kecil dahulu, kalau tidak ayah dan emaknya, Hanis pasti mahu Ilham yang mengajarnya mengaji Al-Quran. Ilham pandai mengaji dan pandai pula mengajar. Lebih seronok lagi mendapat tunjuk ajar daripada Ilham daripada ayah dan emaknya sendiri. Ilham pandai melayan dan pandai juga mengambil hati budak-budak yang belajar dengannya. Apatah lagi Hanis. Hanis memang banyak kerenah. Kalau ayah atau emak sendiri, walau pun dia dimanjakan sebagai anak yang paling bongsu- soal mengaji mereka tegas. Tak betul bacaan, habis Hanis dileteri mereka. Apa lagi, sebek la muka Hanis. Tetapi kalau dengan Ilham, Hanis berasa sangat gembira sampaikan hari-hari kalau boleh dia nak mengaji dengan Abang Ilham. Suara Ilham pun merdu sekali bunyinya.

“Hanis oh Hanis… dah siap ke belum?!” Tersentak Hanis dari lamunan kenangannya mendengar laungan Mak Mah dari serambi rumah.

“Eh…er, sudah emak!” dengan pantas pula tangan Hanis mengacau gula di dalam teko. Entah berapa lama agaknya Hanis idle tadi. Kuatnya berangan cik Hanis ni!

Hanis menghidangkan minuman yang dibuatnya tadi dengan berhati-hati. Turut serta sedikit juadah buat ‘menemani’ air teh yang disediakan. Tugasan ini memang nampak mudah tetapi sebenarnya amat susah sekali. Bukan sahaja disebabkan kerana perlu cukup adat dan tertibnya untuk menghidang- di hadapan emaknya yang cukup cerewet bab ini tetapi, terpaksa pula berhadapan dengan ‘juri’ yang paling disegani. Jadi, tugasan mudah ini menjadi teramat susah pada Hanis.

“Er, minum bang.” Jemput Hanis, sopan. Sesekali Hanis mengerlingkan mata untuk melihat reaksi Ilham.

“Hanis jemputlah minum sekali.” Lembut sekali tutur bicara Ilham, ada getaran halus boleh boleh membikin hati gadis terpana.

“Ya lah, Hanis. Marilah duduk di sini temankan Abang Ilham kau ni. Mak nak solat sekejap, ralit pula tadi.” Ah, Hanis berasa emaknya mula berhelah. Helah lama- kata orang- memberi peluang untuk mereka berdua berbual tanpa kejanggalan kerana kehadiran orang tua di situ. Masalahnya, Hanis makin janggal berada di situ.

Hanis menjadi kian serba salah. Nak memandang, bertentang mata- rasa tak kena pula. Nak mulakan bicara- apa pulak topik hendak dibualkan. Takkan Ilham berminat nak tahu pasal kelas menjahit yang baru dia sertai. Tak mungkin pula pasal resepi masakan. Apatah lagi pasal cabaran wanita moden masa kini- itu ‘ilmiah’ sangat. Ah, seksa sekali nak memecahkan kejanggalan ini. Makin lama makin tak keruan Hanis berada di situ, menemani Ilham.

“Boleh tahan penangan Hanis, ya?” Ilham memulakan bicara.

“Er, tak adalah bang. Biasa-biasa saja teh O tu.”

“Oh, bukan teh ni… timba besi tadi.”

“Er, aa..itu, er..,” kelu lidah Hanis hendak menyusun kata. Elok mahu reda perasaannya, timbul pula ingatan yang memalukan itu lagi.

“Hanis minta maaf, bang. Sumpah Hanis ingat ada pencuri masuk rumah.” Hanis tertunduk bagai menyesali kekhilafannya siang tadi. Sebenarnya tunduk itu bukan sebab terlebih adab yang hendak dia tunjukkan tetapi, kerana Hanis berasa begitu malu sekali. Malu sebab berkembanlah, apa lagi!

“Ah, tak apa-apalah. Abang tak marah pun, seronok lagi ada.” Ilham mengusik. Kasihan melihat Hanis begitu canggung untuk berada bersamanya kini.

“Apa yang seronok?”

“Hahaha, bukan senang nak tengok orang berkemban kan?” Aduh, Hanis kena lagi sebiji. Ilham hanya menyeringai kelucuan. Hanis terasa kedua-dua pipinya bagai kebas dan tebal. Mana Hanis nak sorok lagi muka ini. Oh, tidak!

“Er, abang tak bagi tahu siapa-siapa, kan? Malu Hanis, bang.” Hanis memohon simpati Ilham, mengharap benar dikasihani.

“Eh, itu kan rahsia kita cuma…”

“Cuma?”

“Tang dahi yang berplaster ni, ayah Hanis dah tahu siapa gerangannya punya angkara.” Ilham masih tersengih-sengih mengusik emosi Hanis.

“Ayah tahu?” Hanis panik.

“Hmmm… tak boleh nak mengelak Hanis. Abang dah bagi alasan tadi, dia tak percaya.” Ilham mula beralasan, untuk memancing reaksi lanjut daripada Hanis.

“Er, teruklah macam tu. Ayah tentu marah Hanis nanti…” Hanis mencebik. Entah kenapa terasa ingin bermanja pula. Cik Hanis ni dah mula dah ni. Mula nak mesralah tu.

“Ayah mesti marah punya! Habis la Hanis..,” usik Ilham lagi.

“Abanglah, bertahun-tahun tak balik kampung, tiba-tiba saja muncul. Siapa yang nak sangka?” aku menukar topik bicara. Memang benar Hanis ingin tahu kenapa.

“Eh, bukankah abang ada beritahu ayah yang abang nak balik? Hanis tak tahu?”

“Bila?”

“Dalam 2-3 hari lepas, rasanya.”

“Oh, Hanis ke Pulau Pinanglah, bang. Biasalah, cikgu kan banyak kursusnya. Hanis cuma tahu ayah dan emak ada aktiviti di balai raya tadi, itu pun Hanis call sebab mereka tak ada di rumah. Jadi, Hanis ke rumah abanglah sebab sudah lama tak jengah. Pasal abang balik ke kampung ni, langsung tidak diberitahu kepada Hanis. Kalau tidak, tentu tak berlaku kejadian macam tadi,” panjang lebar Hanis menceritakan kronologi kejadian bagai membuat laporan polis kepada Ilham supaya Ilham tahu dia bukannya seorang ‘kaki pukul’.

“Abang cuti lama ke? Berapa lama abang nak tinggal di sini?” Sambung Hanis lagi setelah melihat Ilham hanya tersenyum mendengar celoteh Hanis yang makin betah. Lagi pun, inilah peluang Hanis untuk menukar topik perbualan kepada sesuatu yang tidak mengingatkannya kepada kejadian siang tadi.

“Hmmm… nak kata abang cuti tidaklah pula. Kalau nak tanya berapa lama tu pun abang tak tahu lagi. Mungkin sehari dua lagi atau selama-lamanya. Siapa tahu?”

“Abang ni, misterilah. Dulu pun abang ni banyak ‘tanda tanya’nya. Sekarang ni makin complicated lagi.”

“Ah, mana mungkin. Hanis dulu baru umur berapa tahun untuk memahami jiwa remaja abang. Sekarang ni…er, mungkin boleh faham sedikit kut.”

“Kenapa pula macam tu? Sepatutnya Hanis takkan boleh faham abang lagi, abang makin tua kan, makin payah difahami?”

“Oh, tidak. Semenjak remaja, abang maintain remaja!” Mereka ketawa bersama. Hilang rasa serba salah dan perasaan malu Hanis- yang tak tentu arah tadi. Itulah cara Ilham. Dia boleh membuatkan orang berasa selesa dan senang untuk bersembang dengannya.

Mereka terdiam kemudiannya, tiba-tiba- bagai hilang punca cerita. Kata orang kalau tiba-tiba sahaja diam ni tandanya malaikat lalu. Apabila sudah dewasa sebegini, malaikat yang lalu bukan lagi persoalannya. Mungkin cerita malaikat lalu, orang terdiam ni sudah masuk kategori cerita-cerita Israiliyyat yang kabur hujahnya. Ini soal kesinambungan cerita. Adakah mungkin cerita Ilham dan Hanis berakhir di sini saja? Ilham mengambil ruang masa yang ada ini untuk menikmati air dan sedikit juadah yang dihidangkan oleh Hanis. Hanis melayannya dengan mesra.

“Assalamualaikum,” salam Pak Baha memecahkan kebuntuan suasana. Ilham dan Hanis menjawabnya hampir serentak.

“Ha, Ilham… bila sampainya?” Pak Baha tersenyum menyapa. Sempat juga Pak Baha mengerling kepada Hanis tanda ‘restu’ untuk dia terus berada di situ.

“Baru saja, pakcik.”

“Eh, mana mak kau?” Tanya ayah pada Hanis pula.

“Mak tadi kata nak bersolat. Mungkin dah habis, kut. Hanis panggilkan ya, ayah?” Hanis segera beredar. Janggal pula sekiranya ayahnya berada di situ. Lagilah kekok untuk dia hendak berbicara dengan Ilham. Hmmm, pada masa hendak berlalu pergi, sempat pula Hanis mengerling pandang pada Ilham. Ish, segak juga!

Tak lama kemudian, suasana di serambi rumah kembali rancak dengan tawa Pak Baha dan Mak Mah. Sudah lama rasanya Hanis tidak melihat ayah dan emaknya sebegitu- kalau ada pun mungkin setahun sekali, jika Kak Na dengan Kak Hajar pulang ke kampung menyambut hari raya. Itu pun tak meriah sembangnya seperti mereka bersembang dengan Ilham. Suami Kak Na, abang Nasa yang bekerja sebagai pegawai polis di Kuala Lumpur dan suami Kak Hajar, abang Dzul jurutera JKR di Kuantan agak canggung pula kalau bersembang dengan Pak Baha dan Mak Mah. Mungkin mereka begitu menghormati Pak Baha dan Mak Mah sebagai mertua dan automatik, takut terlanggar ‘pantang larang’ ketika berbicara. Mungkin juga mereka tidak pandai ‘masuk jarum’ memenangi hati mertua mereka ini. Pada Hanis, ini semua bergantung kepada karekter masing-masing. Kalau ‘keras’, keraslah jadinya. Kalau peramah tentu mudah sahaja. Tetapi tak semua yang peramah itu memiliki ‘sesuatu’ yang membuatkan sesiapa sahaja akan tertarik untuk berbual bicara. Ada juga yang peramah tetapi menjengkelkan orang pula.

Tentunya Ilham ini mempunyai ‘sesuatu’ yang bisa menambat hati ayah dan emak Hanis. Hanis pasti yang itu kerana dia juga telah merasai ‘sesuatu’ itu. Sesuatu yang misteri dan complicated seperti Ilham itu sendiri. Sesuatu yang tak pernah ada 25 tahun dahulu yang kini datang menyapa, mahu berkenalan dengan perasaan jiwa raganya. Aduh, cik Hanis… belum habis lagi ‘kekacauan’ perasaannya lagi nampaknya.

****************************************************

“Awal pagi ni nak keluar, nak? Biasa dekat nak pukul 7 pagi, baru kau nak bertolak,” tegur Mak Mah apabila melihat Hanis sudah pun melangkah keluar dari rumah.

“Oh, hari ini ada taklimat awal pagi oleh guru besar, mak. Terpaksalah awal sikit hari ni.” Kata Hanis sedikit lemah. Kurang tidur agaknya.

“Kau sihat Hanis? Mak tengok macam tak semangat saja pagi ni?”

“Tak ada apa-apalah mak… agaknya pasal tak dapat tidur semalam, tak boleh nak lena.” Hanis segera menghidupkan enjin kereta, untuk memanaskannya buat seketika dan kemudian menuju semula kepada emaknya yang berdiri di muka pintu untuk menciumnya- rutin harian, memohon restu.

“Hanis pergi dulu ya, mak? Balik nanti mak nak Hanis belikan apa-apa?”

“Jalan elok-elok ya, nak? Mak tak mahu apa-apa, Nis. Kalau ada pun rasanya entah bila kau nak ‘belikan’ untuk emak ni…” suara Mak Mah seperti orang merajuk seperti orang mengidam nak makan buah nangka milik sultan saja bunyinya.

“Apa dia mak? Insya Allah, Hanis akan cuba tunaikan.” Pujuk Hanis bagai memujuk anak kecil.

“Mak nak kau ‘belikan’ menantu untuk mak, boleh?” Emak tersengih memandang Hanis. Pagi-pagi mendengar ‘lawak’ sebegini pastinya sama sekali dijangka oleh Hanis. Macam tahu-tahu saja semalam dia menjadi sedikit ‘angau’ memikirkan soal Ilham.

“Hish, mak ni… dahlah, mak ni buat Hanis malu sajalah. Hanis pergi dulu ya, mak. Assalamualaikum.” Pantas pula tindakan Hanis- salam, peluk, cium- dan meninggalkan situasi yang ‘kurang memihak’ kepadanya pagi ini. Itu kalau ada Pak Baha, akan bertambah lagi usikan seperti itu, akan melarat-larat dan berkembang setaman sampaikan Hanis hanya boleh menahan muka dan telinga sahaja mendengarnya.

“Jangan lupa ya, Hanis!” Sempat pula Mak Mah berpesan sebelum sempat Hanis menutup pintu kereta. Hanis pura-pura seperti tidak mendengar. Hanis tahu emaknya faham benar dengan tingkah Hanis itu. Terdengar ketawa kecil Mak Mah sayup-sayup walau pun Hanis telah berada di dalam kereta. Seronok kerana berjaya mengenakan anaknya pada pagi ini. Pagi yang penuh provokasi.

Seketika kemudian, Hanis telah berada dalam ruang dunia sendiri hanya bertemankan suara deejay stesyen radio popular, berceloteh bak burung murai dengan setiap butir kata mereka sukar pula untuk diperincikan perihal dan pokok ceritanya. Lebih-lebih lagi dengan kebingungan dan kecelaruan perasaan Hanis pada pagi ini. Sudahlah semalam susah benar matanya nak lelap. Emaknya pula entah tiba-tiba bangkitkan soal menantu. Ah, rasa seperti di‘khianati’ pula. Dia sendiri keliru. Keliru dengan situasi dan dalaman diri yang tidak menentu semenjak sehari dua ini. Kalau hendak dibandingkan semasa awal mengenal dewasa, tatkala mengalami perubahan emosi dari kanak-kanak ke alam dewasa, penuh kekeliruan dan pergolakan perasaan- yang Hanis alami kini lebih confuse!

Tatkala memasuki perkarangan sekolah, mata Hanis tertancap kepada sebuah kenderaan yang dia kenal pemiliknya- motosikal- er, apa ya? Motosikal besar, klasik itu. Ah, dia sendiri tak pasti apa jenamanya tapi, milik Ilham. Berkali-kali juga Hanis mengelip-ngelipkan matanya untuk memastikan imej itu adalah sahih dan nyata, bukan hanya khayalan atau ilusi optik. Hanis rasa, mulai suka dengan keadaan atau penyataan berkenaan ilusi optik itu- lebih ilmiah bunyinya berbanding khayalan atau paling teruk- gila bayang! Oh, tidak. Hanis tidak gila bayang. Sudah puas dia mencubit tangan sendiri dan motosikal hitam itu tidak juga lenyap dari pandangan dan sudah termaktub hukumnya Hanis tidak berkhayal, mengalami gangguan optik, ilusi- atau apa saja termanya- apatah lagi gila bayang!

Telefon bimbit Hanis tiba-tiba berdering. Terkial-kial sedikit Hanis hendak menekan butang menjawab panggilan dengan penuh ‘bekalan’ dijinjingnya dan ianya bukan suatu kerja enteng- biasalah orang perempuan- baru habis parkir kereta, nak tutup pintu kereta pun pakai pinggul saja.

“Assalamualaikum, er, maaf menganggu ya… Cikgu Hanis dah sampai sekolah ke?” Suara yang berkumandang dari speaker telefon bimbit segera Hanis kenalpasti- suara pengetua.

“Waalaikumussalam… oh, saya baru saja sampai cikgu. Er, saya terlewat untuk taklimat pagi ni ke?”

“Oh, bukan macam tu… kan masih ada lagi setengah jam. Hmmm, kalau macam tu, boleh saya berjumpa cikgu sekejap sebelum taklimat di bilik saya?”

“Baiklah, saya segera ke sana .” Tut! Talian dimatikan. Positif dan produktif sekali jawapan yang Hanis berikan. Esok kalau ada penilaian prestasi, ada harapan cerah cik Hanis score tahun ini.

Sela beberapa minit, Hanis tiba di pejabat sekolah yang menempatkan bilik pengetua. Oh, nampaknya pengetua ada tetamu pagi ini. Awal benar tetamu ini datang bertandang, tentunya ada misi yang mustahak sekali. Biasanya supplier buku pun tidak seawal ini untuk datang melobi. Segera Hanis memberi salam dan mengetuk pintu- dan lantas pintu dibuka setelah menerima respon daripada pengetua untuk kebenaran masuk dan-

“Eh, abang! Apa abang buat di sini,” Hanis kaget sebentar. Benar-benar tak diduga Ilham berada di bilik pengetua, Cikgu Anuar pagi ini. Berkelip-kelip mata Hanis untuk memastikan ini bukan ilusi optik atau gila bayang lagi.

“Hah, Cikgu Hanis kenal dengan Encik Ilham ni?” Kata Cikgu Anuar sambil menepuk bahu Ilham di sebelahnya. Ilham hanya tersengih. Dia nampak tenang sahaja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Apa pula tak kenal-”

“Hanis ni adik saya, bang.” Ilham memintas menjelaskan pada Cikgu Anuar. Adik? Berbaur pula rasa tidak senang di hati Hanis dengan gelaran adik tu. Adik saja? Kenapa Hanis tidak berasa seronok dengan gelaran itu padanya?

“Adik betul ke atau-”

“Adik sayang ni, bang…hahaha…,” Ilham dan Cikgu Anuar serentak ketawa. Akrab nampaknya mereka berdua, macam sudah kenal lama. Berbunga pula rasa hati apabila mendengar perkataan ‘sayang’ daripada Ilham. Terbang sekejap cik Hanis ni.

“Abang dengan Cikgu Anuar sudah kenal lama ke?” Tanya Hanis kepada Ilham.

“Lama dah, cikgu Hanis…erm, ada la 10 tahun lamanya. Seingat saya rasanya pertama kali kami berjumpa di Birmingham Central Mosque kan, Ilham?” Tanpa dipinta, Cikgu Anuar pula yang menjelaskan.

“Sebenarnya dekat Belgrave Middleway tu, bang. Thruxton abang tersadai tepi jalan tu, dah lupa?”

“Hahaha… mana boleh lupa, lepas tu kau bawak abang balik rumah kau. Er, apa nama tempat tu?”

“Green Lane, bang.”

“Haaa… Green Lane. Tapi sebelum tu kita pergi makan ayam goreng-”

“Oh, FFC tu, dekat Conventry Road… tak dapat KFC, Faraz Fried Chicken pun jadi la hahaha…”

“Hahaha, seronok pula masa tu di negeri orang walau pun ada pahitnya juga, kan? Eh, alamak… hampir lupa pula pada Cikgu Hanis ni.”

Hah, tahu pun. Tak pernah pengetua seceria begini. Selalu serius sahaja apatah lagi nak melihat pengetua ketawa terbahak-bahak. Agaknya kalau kucing bertanduk pun belum tentu Cikgu Anuar gelak terbahak-bahak seperti tadi. Macamlah lucu sangat cerita mereka sampaikan Hanis yang berada di sini terasa bagai makhluk asing yang baru berkunjung ke planet bumi, tak faham di mana lucunya!

“Begini, Cikgu Hanis… encik, ops- Abang Ilham cikgu ni mahukan penyertaan saya secara aktif dalam program pembangunan kampung, yang mana saya telah bersetuju kerana akan ada penglibatan sekolah kita secara aktif dalam aktiviti ini tetapi, memandangkan kesibukan saya dari segi komitmen jawatan saya- JKKK, di persatuan guru negeri, pejabat pelajaran- tak mampu rasanya…”

“…tapi, program ini saya berminat sangat sebab ada kena mengena dengan hobi dan kecintaan saya dalam dunia permotoran. Oleh itu, saya harap cikgu Hanis boleh membantu saya, sebagai wakil saya dan sekolah kerana pada penilaian saya, cikgu amat energetik dan amat sukakan cabaran baru. Boleh cikgu? Saya yakin cikgu boleh!” Oh, rupa-rupanya Cikgu Anuar minta aku berjumpa dengannya pada awal pagi ini sebab ini saja. Ingatkan apa yang penting sangat. Buat suspen saja.

“Er, saya tak pasti apa yang cikgu dan abang mahu. Kalau untuk kebaikan semua orang- sekolah dan masyarakat sekitar, saya akur dengan permintaan cikgu- saya akan melakukan yang terbaik dan yang terdaya.”

“Saya amat berbesar hati dan gembira mendengar persetujuan cikgu. Patutlah Ilham gelar cikgu-adik sayang- saya pun nak sayang cikgu jugalah- cikgu sayang!” Hah, nampaknya penyakit berseloroh mula menjangkiti sekolah ini pula. Apa nak buat? Sengih saja dan buat-buatlah ketawa walau pun tak berapa kelakar. Bunyi perkataan sayang itu yang datang daripada pengetua tidak seperti Ilham. Kalau Ilham, Hanis boleh rasa terbang melayang. Pengetua? Mahunya terjunam serta-merta!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience