Kereta Mini Cooper Clubman 2.0 model terbaru itu ibarat kereta mainan sahaja pada Linda tetapi, itulah kereta paling ‘zuhud’ yang dikendarai untuk ke utara. Linda rasa tidak patut kalau dia kelihatan begitu mewah untuk ke kampung halaman Ilham walau pun kenderaan setiap harinya lebih mewah jenamanya. Takut orang kampung melayannya berlebih-lebihan. Dia mahu dilayan seperti orang biasa saja seperti kebanyakan orang lain. Tapi apa yang Linda tidak tahu, apa yang dipandunya sudah cukup ‘luar biasa’ dari kebiasaan. Tentu saja kereta yang diparkir di halaman rumah Pak Baha menjadi tumpuan orang yang melihat kerana tidak ada orang-orang kampung atau kawasan sekitar yang memandu kereta seperti itu.
Maksud kedatangan Linda telah diberitahu oleh Ilham awal-awal lagi kepada Pak Baha, Mak Mah dan Hanis sendiri. Linda akan tinggal bersama mereka sementara bertugas di kampung ini kerana tugasannya kelak menuntutnya untuk tinggal berhampiran dengan tapak projek. Kalau Linda menginap hotel di Pulau Pinang, dia hanya akan banyak membuang masa untuk berulang-alik ke kampung ini. Linda akan meneliti pelan dan pembangunan hotel dalam projek di kampung tersebut termasuk beberapa potensi perniagaan yang bakal dilaburkan oleh syarikat Tan Sri Azman kelak. Alumni Harvard Business School ini menjadi wakil kepada bapanya sendiri, sangat cekap mentadbir urus perniagaan. Dia bukan hanya bergantung pada reputasi bapanya tetapi kebolehannya sendiri telah diakui oleh rakan-rakan korporat atau pesaing-pesaing perniagaan mereka.
“Makcik risau kalau kamu tak selesa. Almaklum, rumah kampung,” kata Mak Mah sambil menghidangkan juadah petang itu.
“Makcik dan pakcik janganlah risau soal itu, saya cuma takut makcik dan pakcik pula yang tak tahan dengan karenah saya pula. Maklumlah, tak pernah duduk di kampung. Tentu ada banyak perkara yang saya kena belajar untuk menyesuaikan diri.” Kata Linda merendah diri. Ilham hanya mengangguk-anggukkan kepala.
Kebetulan pada masa itu terdengar suara kenderaan menghampiri. Tertinjau-tinjau Mak Jah melihat keluar. Kemudian kelihatan wajah orang tua itu tersenyum.
“Assalamualaikum.” Hanis memberi salam kepada tetamu yang hadir.
“Waalaikumussalam.” Mereka yang berada di dalam rumah menjawab serentak.
“Eh, abang dah pulang. Hmmm… cik ni tentu Azlinda, yang Abang Ilham ceritakan?” Hanis tersenyum manis melihat Ilham di situ dan kemudian mengalihkan pandangannya ke Linda. Walau pun bertanya kepada Linda tetapi, Hanis menoleh semula kepada Ilham seperti meminta kepastian pula. Hanis sedikit cemburu melihat Linda- cantik dan jelita pula orangnya. Terasa sedikit tercabar kerana merasakan ada ‘pesaing’ hebat telah tiba malah, di dalam rumahnya sendiri. Namun, segera fikiran itu dibuang jauh-jauh- Hanis cuba menenangkan perasaannya.
“Ya, Hanis. Inilah Linda. Hebat Linda ni, orang lelaki dalam dunia korporat pun ‘takut’ dengannya!” Ilham berseloroh.
“Ish, mengarut saja Am ni.” Linda tersengih-sengih kerana diusik sebegitu. Hanis cuba untuk tersenyum mesra tetapi melihatkan keakraban Linda dan Ilham, dipuji-puji pula gadis itu, tentunya sedikit sebanyak merobek perasaannya juga. Hanis cuba buang perasaan cemburu yang baru terbit dalam ruang hatinya- sungguh, dia tak pernah kenal perasaan ini dahulu- justeru, perlu perasaan ini dilontar jauh-jauh supaya tidak terbawa-bawa sehingga terzahir pula pada pandangan orang lain.
“Oh, makcik dah siapkan bilik tetamu. Linda masuklah ke dalam, berehat.” Mak Mah mencelah. Tersengih dia melihat telatah anak-anak muda di hadapannya.
“Er, makcik… saya ni penakut sikit kalau menginap di tempat yang belum biasa ni. Hmmm… boleh saya tumpang bilik Hanis? Boleh kan, Hanis?”
“Eh, boleh cik Linda. Ada juga kawan Hanis untuk berbual-bual nanti. Mesti seronok!” kata Hanis ceria bagai hilang rasa cemburunya tadi. Hanis pun penakut juga tetapi, memandangkan sudah besar panjang, dia ‘terpaksa’ lah berpura-pura berani- takkan dia nak tidur bawah ketiak ibunya lagi. Dulu masa kakaknya Hajar ada, memang mereka tidur berdua di bilik itu. Gembira sangat Hanis rasakan pada masa itu, ada teman bicara, boleh bergurau senda, berkongsi hati ke hati- pendek kata memang seronoklah!
“Memanglah, kamu pun penakut juga,” celah Pak Baha yang tiba-tiba muncul entah dari mana.
“Ish, ayah ni!” cebik Hanis. Semua orang ketawa melihat telatah Hanis.
********************
“Cik Linda rehatlah, ya. Hanis ada buku-buku yang hendak disemak dan ditanda,” kata Hanis apabila melihat Linda memasuki ruang kamarnya.
“Eh, tak usahlah ber-cik-cik dengan saya. Hmm… berapa umur Hanis?” Linda membalasnya dengan senyuman. Segera dicapainya kain tuala, dan dilapkan rambutnya yang basah.
“Hanis umur 25 tahun.”
“Oh, kalau begitu panggil saja saya Kak Linda. Akak dah 30 tahun!”
“Betul? Akak tak nampak macam tu!” Kata Hanis seperti kaget. Betul, Linda nampak seperti sebaya sahaja dengannya.
“Vitamin dan senaman, dik. Kita ni kalau abaikan kesihatan, alamat cepat tualah!” Hanis hanya mengiakan.
“Er, akak sudah berapa lama kenal Abang Ilham?” Soal Hanis ingin tahu. Kalau boleh semua yang berkaitan dengan Ilham dia ingin tahu.
“Kenapa Hanis tanya? Cemburu?” Linda menduga. Reaksi Hanis pada pertama kali memandangnya petang tadi, ada sedikit kelainan. Sebagai perempuan yang berinteraksi dengan ramai orang dalam dunia korporat, reaksi dan bahasa badan memang merupakan ‘permainan’ hariannya.
“Eh.. mana ada! Er, Hanis saja nak tanya,” gelabah sedikit Hanis membalas.
“Hahaha… jelas Hanis cemburu.” Linda yakin dengan pandangannya. Linda pun cemburu juga tetapi lebih bijak menangani perasaannya. Dia lebih berpengalaman.
“Alah, akak ni- mengusik Hanis pula. Hanis ni bukan siapa-siapa pada Abang Ilham.” Kendur saja suara Hanis. Jelas merudum motivasi dirinya apabila hendak dibandingkan dengan Linda.
“Hanis kan cantik orangnya. Tentu sahaja setiap lelaki ingin dicintai oleh Hanis. Tentu saja Abang Ilham yang Hanis cintai itu pun suka pada Hanis.” Tambah Linda untuk memprovokasi Hanis. Dia mahu melihat sejauh mana gadis itu menaruh hati pada Ilham. Ditahannya rasa cemburu untuk melihat kebenaran yang bersarang dalam hati Hanis.
“Ish, akak ni. Abang Ilham tu lain, kak. Dia baik dengan semua orang. Semua dilayannya dengan baik, mesra dan hormat. Bukan sedikit gadis-gadis di sini yang menaruh hati pada abang Am. Jadi, siapa pun tak dapat menduga gadis yang dia suka.” Hanis masih berteka-teki, merendah diri. Nampaknya bukan senang Linda hendak mencungkil isi hati Hanis. Namun, apa yang Hanis kata itu memang itulah kebenarannya. Begitulah sifat Ilham. Linda yang mahir menilai dan membaca reaksi orang pun sukar untuk membaca atau meneka apa yang Ilham fikirkan.
“Am oh Am… sampai begitu banyak gadis yang kecewa kerananya, ya?” Kata Linda seperti bermonolog. Hanis hanya tersenyum.
“Akak pun apa kurangnya, cantik sangat. Dah tanggal mekap pun nampak jelita. Hanis cemburu tengok akak.” Luah Hanis, memuji. Memang benar, Linda kalau tidak bermekap pun begitu jelita. Cantik dan sihat kulitnya.
“Cemburu sebab akak cantik ke, atau cemburu akak dengan Abang Ilham?” Sekali lagi Linda memancing reaksi Hanis. Hanis jadi hilang fokus sekejap pada tugasannya malam ini.
“Er, Hanis pun nak tahu juga. Apa hubungan akak dengan Abang Ilham?”
“Teman tapi mesra!” Linda ketawa kecil. Hanis menghela nafas seperti lega. Dia turut ketawa, ibarat menemani Linda ketawa.
“Beginilah, Hanis- biar akak berterus terang saja dengan Hanis. Dari pertemuan petang tadi, akak dah tahu Hanis suka dengan Ilham. Akak dah perhatikan gerak geri Hanis. Cara Hanis memandangnya, melayannya, senyum padanya- semua dalam pemerhatian akak tadi,” Hanis kaget. Aduh, tajam sungguh pemerhatian Linda padanya. Hanis sendiri tak perasan entah bila Linda mula menaruh minat terhadap perlakuannya. Adakah begitu jelas sekali gambaran kasih sayangnya pada Ilham pada pandangan Linda? Hanis berasa malu.
“Dari situ akak tahu, Hanis tentu mencintai Ilham, kan?” Hanis tidak bereaksi. Pekerjaannya terhenti dan dia hanya seperti terpaku memandang ke luar jendela. Fikiran dan perasaannya bertarung hebat sekali. Entah bagaimana, dia terasa seperti ditelanjangi untuk perkara-perkara yang dihijabkannya rapat di lubuk hatinya. Betullah kata orang tua-tua. Diam tanda setuju.
“Tapi… er, tapi.. Hanis malulah, kak. Hanis takut kalau sebab ini, Abang Ilham akan jauhkan diri daripada Hanis,” kata Hanis perlahan. Nampaknya, Linda berjaya mendapatkan apa yang dia mahukan daripada Hanis. Jelas kini.
“Dia tidak pernah prejudis terhadap cinta orang pada dirinya.” Kata Linda pada Hanis dengan lembut sekali. Kata-kata itu diiringi dengan senyuman yang penuh makna. Seperti orang yang berangan-angan sedang tersenyum.
“Akak pasti begitu?”
“Ya, pasti.”
“Bagaimana akak tahu?”
“…kerana akak sendiri pernah meluahkan cinta padanya.” Kata-kata Linda ini bagai kilat yang menyambar ke muka Hanis. Tercengang dia mendengarkannya seperti tidak percaya. Berdebar-debar dadanya.
“Hanis janganlah marah pada akak, ya. Akak memang mencintai Ilham sepenuh hati akak. Kau juga mencintai dia, kan? Kita ni senasiblah Hanis. Keputusan untuk memilih itu bukan ditangan kita. Hanya jodoh saja yang menentukan.” Tenang sekali Linda berkata. Kasihan juga dia melihat gadis seperti Hanis seperti menerima tamparan yang hebat sebegitu. Tentu Hanis berasa kecewa dan tergugat sekali angan-angan dan impiannya. Mata Hanis mulai berembun. Linda segera memeluk Hanis dengan penuh kasih sayang seperti seorang kakak dan adik kandungnya sendiri.
“Sesiapa pun akan jatuh hati dengan lelaki seperti itu. Akak telah berjumpa dengan lelaki idaman akak. Akak akan berusaha mendapatkannya. Hanis juga patut sebegitu. Berusahalah, kerana antara kita, belum tentu kita ini dipilihnya atau menjadi jodohnya. Sekurang-kurangnya pada masa hadapan kelak, akak boleh berbangga dengan apa yang akak buat pada hari ini. Akak cuba mencari jodoh yang terbaik buat diri akak sendiri.” Linda cuba memujuk. Perasaan Hanis mulai reda dengan kesedihan. Benarlah kata Linda itu.
“Mana tahu, kalau dah jodoh- kita bermadu!” Seloroh Linda. Hanis tersenyum kelat namun, dia akur.
Share this novel