Ilham meninjau persekitaran, mencari tanda-tanda atau sesuatu yang pernah dia kenali dulu. Mungkin sesuatu yang dapat dia pastikan ianya tetap di situ dan tak pernah berubah selama hampir 20 tahun dahulu. Semakin lama, dia menjadi semakin biasa. Dia pasti memang itulah rasa dan suasana yang pernah melekat dalam ingatan dan kenangannya yang lalu. Mungkin deretan bangunan, jalan dan segala jenis pembangunan bisa sekali mengelirukan pengamatan namun, ini kampung halamannya. Ilham berasa seperti yakin kalau dicampak 10 tahun lagi, dia masih boleh untuk mengenali tempat ini sebagaimana ianya terpahat dalam ingatan atau mungkin juga naluri perantau yang kuat di dalam dirinya. Tentu sekali banyak yang berubah tetapi, bagai telah termaktub koordinat dalam dirinya, ibarat salmon mencari jalan pulang- tepat bak GPS- kepastian ini tiada sangsi lagi. Bezanya, inilah naluri tanpa pengaruh teknologi.
Ilham menongkat motosikal di bahu jalan dan lantas helmetnya ditanggalkan. Rasa sedikit berdesing di telinga tatkala angin petang itu menjamah mukanya. Ya, perjalanan jauh dari Kuala Lumpur melalui jalan lama ke Tanjung Karang- Teluk Intan- Beruas- Parit Buntar- Nibong Tebal… hah, banyak sekali tempat yang dilalui, pastinya amat meletihkan. Kenapa tidak di lebuhraya? Ya, mengapa tidak? Tetapi apakah destinasi itu lebih penting daripada perjalanan? Mungkin pada konklusinya, destinasi itu adalah muktamad. Namun pada Ilham, destinasi itu- dan jika umur ini masih ada- tetap jua akan tiba tetapi, apakah ‘pembelajaran’ yang dapat ditimba sepanjang perjalanan? Ah, dia mula berfalsafah pula.
Dalam kehanyutan menjustifikasikan falsafah yang mungkin boleh diguna pakai untuk situasinya kini, dia mulai berasa kejanggalan kerana tersengih seorang diri di bahu jalan itu. Patutlah tadi ada brader motor Honda cup model C60, dua tiga kali menoleh memandang. Pada mulanya, Ilham merasakan mungkin atas asbab motosikalnya-Triumph Bonneville T100 Black berkuasa 865cc yang mempunyai rupa retro ala café racer- membuatkan orang menoleh lebih sekali. Takkan pula brader tadi menoleh untuk melihat Ilham bak melihat gadis-gadis genit berbaju ketat dan padat berpeleseran di tepi jalan- tentu sekali bukan!
Namun, apabila Ilham benar-benar menyedari, ianya bukan masalah rupa motosikalnya hatta ‘kegenitan’ dirinya tetapi, kerana kelakuannya amat ‘menentang arus’ daripada norma-norma budaya yang berlaku di kampung itu- betapa lucunya melihat orang seperti Ilham yang berhenti di bahu jalan sebelah bendang tersengih-sengih dan mengomel sendirian bak bercakap dengan bunian- pada hari yang kian larut petangnya. Mungkin brader tadi pun telah menganggap Ilham sendiri seperti spesis bunian juga.
Oleh yang demikian, sebelum ianya menjadi spekulasi berpanjangan, Ilham perlu segera beredar dan kembali kepada perencanaan asalnya. Dia perlu kembali segera menjadi ‘manusia’ semula dan untuk menjadi manusia, dia perlu kembali kepada sesuatu yang dia pasti sandarannya. Sandaran kepada falsafah, pemikiran, ideologi dan ‘kebunianan’ atau apa saja boleh difikirkan dan yang direncanakan, tidaklah menjamin keberhasilan untuk memanusiakan orang atau menjayakan gagasan.
Ilham memutuskan untuk bersandarkan kepada sesuatu yang dia yakin dan pasti dan lebih utama disegerakan, bersesuaian dengan fitrahnya. Tatkala itu, kedengaran azan maghrib mula memecahkan suasana persekitaran, menuntut dan mengingatkan Ilham tentang keutamaannya sekali lagi.
Ilham ‘menyahut’ panggilan itu. Dia ada rencana yang perlu dilaksanakan- dan ini adalah yang terpaling besar rencana hidupnya sebagai manusia.
****************************************************
“Assalamualaikum.”
Ilham menoleh ke arah sapaan tadi lantas menjawab salam. Dia melihat seorang lelaki tua tersenyum memandangnya lantas mengambil tempat di sebelah motosikalnya. Ilham tersenyum sambil memerhatikan lelaki tua itu- sedang menghidupkan enjin motosikal.
“Cantik motor, pakcik. BSA Bantam ya?”
“Anak punya lebih cantik, Triumph. Jenama lama tu.”
“Pakcik punya lebih lama. BSA kan umpama bapa kepada Triumph.”
Pakcik itu tersengih sahaja dan Ilham boleh nampak riak wajah lelaki tua itu, walau pun dengan samar-samar cahaya kalimantang menyuluh dari surau- agak bangga, mungkin kerana pujian yang Ilham berikan kepada motosikalnya. Memang patut dipuji kerana jarang lagi mahu berjumpa motosikal klasik yang masih elok penjagaannya tambahan pula, dengan kepayahan hendak mencari alat-alat ganti motosikal klasik British ini sekarang. Walaupun motosikal tersebut nampak sedikit usang tetapi dari deruman yang terhasil daripada hentakan kaki lelaki tua tersebut adalah amat ‘merdu’ dan mengasyikan untuk jentera yang sudah lanjut usianya.
“Tak tunggu Isyak, pakcik?”
“Oh, tidak. Ada tetamu nak datang ke rumah. Solat di rumah sajalah.”
“BSA pakcik ni tahun 1960an kan? Pakcik beli awal tahun 70an…”
Tersentak dan terdiam sejenak lelaki tua itu dan diperhatikan Ilham dalam-dalam. Timbul persoalan bagaimana pemuda ‘asing’ ini tahu pula sejarah motosikalnya ini. Mungkin kerana kesamaran cahaya, dia seperti terlalu berusaha untuk meneliti pemuda itu dengan lebih jelas. Sesekali dia membesarkan dan mengecilkan pula matanya untuk melihat lebih jelas. Ilham hanya tersengih-sengih- bagai cuba membantu, walau pun begitu, Ilham tidak juga ‘menghulurkan’ muka untuk lelaki tua itu melihat lebih jelas.
“Pakcik apa khabar?” Ilham mengusik lelaki tua itu, menambahkan lagi ‘derita’ lelaki tua itu untuk mengamati dan mengingati sesuatu. Lantas Ilham menghampiri dan menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Hantu kau, Ilham. Aku yang tua ni kau main-mainkan!”
Tangan dihulur Ilham ditarik oleh lelaki tua itu pantas lantas segera pula dipeluknya batang tubuh Ilham, kemas. Kiri-kanan silih berganti bagai pak-pak Arab kalau berjumpa sesama sendiri. Sesekali terasa kudrat lelaki tua ini menarik dan memeluk Ilham seperti lagak penari salsa berdansa. Nasib baik saja Ilham tidak dicium oleh lelaki tua itu- tentunya agak pelik kalau orang Melayu yang berbuat sedemikian. Tentu pula lebih haru dilihat orang ramai yang lalu-lalang di perkarangan surau ini.
“Hahaha, lemas saya Pak Baha. Tak sangka sudah berusia pun masih kuat lagi, pendekar kampung la katakan,” Ilham cuba meredakan ‘aksi-aksi’ yang telah berlaku dari terus berlarutan. Andai dibiarkan, aksi-aksi ‘kerinduan’ ini entah bila akan berakhir.
“Nasib baik tak kena sedas!” Seloroh Pak Baha, menunjuk-nunjukkan sekepal penumbuk, betul-betul di hadapan hidungku.
“Jom, kita balik. Makcik kau dah sediakan nasi panas dengan lauk-pauk yang kau suka.” Ajak Pak Baha yang masih belum habis dengan keterujaannya melihat Ilham.
Setelah mencapai kata putus, mereka segera beredar dan Ilham hanya membontoti BSA Pak Baha dengan Triumphnya. Perjalanan mereka tidaklah sejauh mana, dan dalam perkiraan Ilham (dan seingatnya) rumah Pak Baha adalah sekitar 2 kilometer dari surau tadi. Sedang elok untuk imam tua merangkap guru silat ini berulang-alik dari rumah ke surau.
Perjalanan pendek itu, walau pun bagai tidak memakan banyak masa tetapi jauh pula Ilham rasakan. Setiap batu-batuan sepanjang jalan itu bagaikan bercerita kepadanya, menggamit nostalgia lama. Jalan ini masih tidak banyak berubah, masih kecil seperti dulu almaklumlah, jalan ini dibina atas ban yang tidak mungkin pula dilebarkan lagi. Kiri dan kanan pula bendang yang terbentang. Cuma kini, jalan tersebut lebih cantik turapan tarnya, sudah wujud sebilangan lampu jalan untuk menerangi dan tanda-tanda arahan undang-undang jalan raya- ada jalur-jalur kuning menunjukkan perlunya kenderaan diperlahankan, termasuk bonggol jalan, arahan maksima kelajuan dan lain-lain lagi yang tidak sempat Ilham amati kerana ianya tidaklah menarik fikirannya untuk betul-betul mengamati melainkan konsetrasinya kepada ‘marshal’ di hadapannya kini.
Ilham cuma bernostalgia sedikit- membandingkan antara dahulu, yang lama dan basi itu berbanding kini, yang lebih moden, tersusun dan baru. Terkadang Ilham seperti tercari-cari pula dalam sepanjang perjalanan itu seperti pokok kekabu besar yang menjadi ‘penanda’ simpang, atau mungkin kunci air terusan yang menunjukkan destinasi yang hendak dituju bakal menjelang tiba. Sesekali, perjalanan di atas ban ini diganggu dek serangga-serangga yang bertebaran gila merempuh mereka, tertarik dengan cahaya lampu motosikal yang sedang bergerak ini.
“Assalamualaikum. Mah, oo Mah, tengok siapa yang datang ni,” Pak Baha seperti tak sabar-sabar walau pun masih sedang menongkat motosikalnya.
Sayup-sayup pula kedengaran suara perempuan menjawab salam. Lama sedikit, barulah nampak kelibat empunya suara tadi. Ilham dan Pak Baha telah sampai ke ambang pintu semasa Mak Mah menampakkan dirinya.
“Oh, anak aku! “ Teriak Mak Mah memandang Ilham dan segera pula dia menerpa memeluk. Erat sekali, seperti tidak mahu dilepaskan lagi.
“Hah, makcik… ni cemburu pula pak cik nanti, peluk lama-lama macam ni,” Ilham mengusik nakal. Sekilas nampak berlinangan air mata perempuan yang berumur lebih setengah abad ini. Pasti ada sesuatu yang mengusik perasaannya. Perlahan-lahan pelukan itu direnggangkan tetapi pipi muka Ilham pula menjadi mangsa cubitan dan tamparan manja Mak Mah dan sesekali dia cuba menyeka air matanya.
“Sudahlah tu, Mah. Budak ni jauh berjalannya, biarlah dia mandi, makan dan berehat dulu.”
Pak Baha cuba meredakan keadaan walhal, sekeras mana penumbuk pendekar tua ini, hatinya- amat halus sekali. Apatah lagi dengan pertambahan usianya, membuatkan hati tuanya lebih sensitif dan mudah terusik. Ilham tahu perkara ini kerana masa di surau tadi, reaksi Pak Baha pun seakan hampir reaksi Mak Mah cuma, dia lebih berpengalaman ‘mengendalikan’ air matanya. Pendekarlah katakan.
Serambi rumah Pak Baha ini hanya sederhana besarnya. Semasa kecil-kecil dahulu, serambi ini digunakan oleh Pak Baha sekiranya ada rakan dan taulan bertandang, bersembang dan berseloroh pada waktu petang setelah selesai sesi pengajian Al-Quran. Pada waktu malamnya Pak Baha akan meninjau-ninjau anak-anak muridnya bersilat di halaman rumah dari serambi inilah. Anak-anak mengaji Al-Quran pula ditempatkan di wakaf dibawah pohon rambutan yang rendang bersebelahan dengan gelanggang silat.
Pak Baha selama yang Ilham kenali hanya bekerja kampung, mengusahakan tanah bendang seluas 10 relung di sekitar tapak rumahnya. Dia juga ada memiliki tanah dusun di hujung kampung yang ditanamnya pokok durian, langsat, manggis dan cempedak. Kalau tak silap, pokok petai pun ada. Kalau tiba musim buah atau musim menuai, Pak Baha akan jadi sangat sibuk pada waktu siang dan Mak Mah akan menggantikan suaminya mengajar anak-anak mengaji Al-Quran. Kesibukan Pak Baha adalah kerana dia adalah man of the family. Pak Baha mempunyai tiga orang anak dan tidak ada anak lelaki- walau pun ramai murid-murid silatnya ingin menawarkan bantuan tetapi, seringkali ditegah oleh Pak Baha. Pak Baha tak mahu disalahtafsir oleh orang tua mereka. Lagi pula, kudrat itu lebih berhak dituntut oleh orang tua mereka yang kebanyakannya bekerja kampung seperti Pak Baha juga. Kalau dibenarkan untuk membantu sekali pun, hanya kerja-kerja yang tidak menuntut banyak masa seperti mengait dan mengopek kelapa atau setidak-tidaknya menyapu halaman sahaja.
Tetapi ada sedikit pengecualian. Pak Baha sedikit ‘sayang’ kepada Ilham dan seorang lagi rakan, Zarif. Teruk juga mereka dikerah membantu Pak Baha dan pastinya, Ilham kerap ponteng kerja. Kalau disuruh menebas semak samun di dusun, Ilham sibuk memanjat dan makan buah langsat atas pokok. Jenuh juga Ilham nak makan buah langsat atas pokok sebab pangkal pokok langsat payah hendak dijadikan tempat berpijak. Boleh kebas kaki yang terselit di celah-celah pangkal pokok langsat. Tapi itu bukan halangan dan ‘azab’ berbanding hendak menebas. Lebih seronok begitu daripada menebas semak samun di dalam dusun. Kalau di bendang pula, Ilham lebih sibuk menahan tauk atau memasang jaring merentangi tali air daripada membajak tanah sawah- kecuali kalau traktor Persatuan Peladang disewa oleh Pak Baha. Itu seronok sedikit, bagai memandu kereta kebal atau monster truck. Kasihan pula mengenangkan Zarif yang lebih taat dan setia itu yang sering melakukan kerja-kerja yang sepatutnya menjadi bahagian Ilham.
Kalau ada sebarang tugasan yang akan Ilham lakukan dengan sepenuh jiwa dan raga mungkin membantu murid-murid mengaji Al-Quran dan bersilat. Dulu-dulu, Ilham fikir mahu jadi ustaz. Ustaz yang boleh bersilat rasanya. Itu tak aneh kerana rujukan terdekat Ilham itu Pak Baha sendiri. Pada masa itu, Ilham berasa Pak Baha merupakan manusia paling cool sekali. Tambahan pula, ayah Ilham sendiri sudah lama meninggal semenjak dia kecil lagi dan Pak Baha mungkin yang paling hampir dengan figura seorang ayah pada Ilham. Kata emaknya, Pak Baha dari segi perwatakan memang seperti arwah ayah Ilham cuma, ayah lemah sedikit tubuh badannya lantaran penyakit lelah tetapi, lebih lembut bahasanya berbanding Pak Baha yang kuat berseloroh. Tambah emak, kalau ada yang memimpin pokok cerita, pasti orang itu adalah Pak Baha dan kalau tukang senyum, pasti itu ayah. Namun menurut emak, walau pun nampak seperti arwah ayah lebih menurut sahaja tetapi, sekiranya ada perkara-perkara yang agak sukar untk diselesaikan, Pak Baha sendiri akan meminta dan menurut nasihat dan buah fikiran ayah. Mereka berdua saling melengkapi dan sangat akrab semenjak dari dulu, hampir sebaya dan belajar pondok pun bersama. Kata orang tua-tua di kampung, Pak Baha dan ayah memang rapat hubungannya mengalahkan adik-beradik kembar. Begitulah.
“Jauh menung tu, Ilham?” Sapa Pak Baha, mengambil tempat di hadapan Ilham lalu mengemaskan silanya.
“Haha, tak ada apa-apa pakcik. Hmm, hairan juga selalunya lepas Isyak begini ramai orang berlatih silat.”
“Oh, sudah hampir 10 tahun pakcik tak mengajar silat. Abang Man kau yang ambil alih dah. Budak-budak silat sekarang belajar di rumah Abang Man kau.”
“Abang Man? Abang Man yang mana satu?” Ilham cuba mengingati. Bagai berusaha gigih pula sehingga mengerutkan dahinya walau pun dia tidaklah sebingung mana.
“Abang Man… alah, rasanya berlatih sama dengan kau dulu. Kau tak ingat Ilham? Yang tegap-tegap, tinggi-tinggi, hidung mancung, rambut ikal-” Ilham terdiam sejenak, cuba menggambarkan watak yang diceritakan oleh Pak Baha. Fikirannya bagai melayang laju dan pantas sejauh 10 ke 20 tahun yang lalu. Semakin lama, imej itu semakin jelas dan-
“Oh, Abang Man! Man Benggali kan, pakcik? Haha… yang itu saya ingat. Pernah sekali waktu sparring, dia tertendang saya sampai ke perdu rambutan tu, nasib baik tak ke hospital,” Ilham gelak besar. Pak Baha turut sama. Tragis sekali peristiwa itu. Sampai sekarang Ilham masih terasa-rasa tendangan ‘tanpa bayang’ Abang Man Benggali yang muncul secara tiba-tiba itu.
“Kenapa pakcik tak mengajar lagi?” Ilham kembali bertanya apabila tawa mereka semakin reda. Tempoh hampir 20 tahun tidak pulang ke kampung pastinya banyak cerita yang Ilham ingin ketahui.
“Tak laratlah, Ilham. Dah tua-tua macam ni ingat nak tumpu pada aktiviti agama lebih sedikit. Bab bendang, dusun tu pakcik panggu pada orang kampung dah. Cuma budak-budak masih ada yang mengaji Al-Quran tapi sudah tak ramai macam dahulu. Sekarang depa hantar kat sekolah agama petang kat masjid besar dekat jalan utama nun.”
“Pakcik masih jadi imam di surau kampung? Tadi masa berjemaah kat surau, pakcik tak jadi imam? Saya ingat pakcik tak ada di surau, nasib baik nampak BSA tu ada parking. Kalau tidak saya terus lajak ke rumah.”
“Hah, sesekali kita cutilah… hahaha,” tawa Pak Baha.
“Sekarang ni, kalau pakcik tak jadi imam, almaklumlah imam tua yang kadang-kadang uzur ni, ada Haji Hamid dan Ustaz Zarif boleh gantikan. Lega sedikitlah.” Lambat sedikit Pak Baha hendak melunaskan balasannya kepada Ilham. Yang didahulukan adalah gurauan terlebih dahulu. Itulah Pak Baha.
“Lebai Hamid sudah haji rupanya… er, Ustaz Zarif? Zarif kawan saya ke?” Ilham sedikit teruja.
“Zarif mana lagi! Hahaha… Zarif yang kau dok buli tu lah,” Pak Baha ketawa lagi
“ Oh, ya…Haji Hamid dengan pakcik naik haji sama-sama. Lama dah tu, lebih kurang tempohnya sama lamanya pakcik tak mengajar silat.”
“Hmm.. berapa lama kau tak balik sini, Ilham? Ada 20 tahun?”
“18 tahun, pakcik.”
“18 tahun? Lama sungguh. Pakcik ingat kau tak mahu pulang-pulang lagi. Apatah lagi apabila orang kata kau dah pergi ke London dulu. Pakcik ingat kau nak jadi mat saleh pasal kami dok tunggu-tunggu saban tahun tak juga kau muncul-muncul. Kat sini pula dah banyak dah benda yang berubah dah, Ilham.”
“Tak ada yang berubah pun? Pakcik masih nampak handsome? Anak dara boleh terpikat lagi,”
“Syhhh, itu rasanya tak perlu nak beritahu. Pakcik tahu tu.” Tawa mereka pecah berderai.
“ Sebenarnya ke Birmingham, pakcik. Bukan ke London.”
“Sama la tu.. orang kata ke England, mesti ingat ke London.”
Ilham mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju walau pun sebenarnya Birmingham tu terletak di tengah-tengah England bak negeri Pahang di semenanjung Malaysia ini dan London pula di sebelah tenggara, setentang dengan Bristol yang berada di barat daya England. Tetapi paling mudah, kalau ke England pasti orang akan ingat ke London. Benarlah kata-kata Pak Baha itu.
“Hah, lupa nak tanya… macam mana kau tahu nombor telefon rumah pakcik? Terkejut pakcik bila kau telefon tiba-tiba.”
“Oh, itu saya dapat dari Fac. Alumni sekolah kampung ni. Ada budak yang berikan.”
“Siapa namanya?”
“Entahlah pakcik, kebanyakan mereka pakai nama gelaran. Saya pun tak ingat siapa yang berikan.”
“Mudah sungguh teknologi sekarang, ya. Sampai London pun nombor rumah pakcik orang boleh tahu.”
“Hahaha.. apa nak dihairankan, pakcik memang selebriti kampung. Semua orang kenal. Kalau tak silap satu daerah kenal, Haji Baharuddin- pendekar!” Aku menambah. Tersipu-sipu pula Pak Baha mendengarkan kata-kata Ilham. Tersenyum simpul orang tua itu dibuatnya.
“Hish, malu nak mengaku… dah tak larat dah, Ilham ooi,” dalih Pak Baha.
“Kau masih bersilat lagi?”
“Hah, tak ada lagi pakcik. Takat senaman silat aje lah. Kut dulu, dengan mat saleh dan negro saya bertumbuk, hahaha…”
“Menang?”
“Selagi tak pakai pistol, pakcik… bolehlah menang.” Mereka ketawa lagi.
“Hai, anak-beranak ni dok sembang apa sampai bergegar serambi ni.” Celah Mak Mah tiba-tiba. Ditangannya memegang dulang berisi dua cawan dan sebiji teko. Aroma kopi O kampung segera menusuk hidung.
Mak Mah menghidangkan kami kopi O panas. Hitam dan pekat. Sekali kena mungkin sampai esok subuh boleh jaga. Pantas tangan perempuan tua itu menyediakan hidangannya walau pun nampak sedikit ketar-ketar tatkala mengimbangi berat teko semasa menuangkan isinya ke dalam cawan-cawan kosong kami. Masa memang nyata musuh manusia. Bagai sekelip mata saja bisa merubah seseorang itu daripada kuat kepada lemah, yang muda menjadi tua dan hidup-mati. Amatlah rugi sekira masa yang ada itu dibazirkan begitu sahaja. Patutlah orang kata, masa itu emas. Ilham fikir, masa itu lebih mahal daripada emas. Masa tak boleh dibeli-beli lagi. Kalau habis, habislah.
“Ilham, malam ni rasanya tidurlah di sini. Esok kalau kau nak balik ke rumah pusaka tu, baliklah.” Cadang Mak Mah. Pak Baha hanya mengiakan tanda setuju dengan pelawaan isterinya itu.
Rumah pusaka. Rumah peninggalan arwah ayah dan emak Ilham. Rumah Kedah lama yang sederhana besar dan tempat mereka empat beradik membesar bersama-sama. Telah lama Ilham tidak menjejak kaki ke dalamnya selama kampung ini ditinggalkannya dahulu. Merasai damainya jiwa dan aura berada di dalam rumah yang bisa memberikan ‘perasaan’- inilah kediaman. Kini Ilham berasa amat rindu dengan rumah itu. Rindu yang tak terbilang- walau pun pada masa dahulu, dia lebih kerap melilau sekeliling kampung daripada berada di rumah. Lebih banyak masa dihabiskan di rumah atau bersama Pak Baha inilah. Sebab itu Pak Baha dan Mak Mah menganggap Ilham seperti anak sendiri.
“Eh, risau pula saya ni. Kan rumah pakcik dan makcik ada anak dara..” Ilham cuba mengingati sesuatu.
“Kak Na kau dah lama menikah, empat orang anaknya. Hajar pula dah dua orang anak. Dua-dua tak tinggal di sini. Seorang di Kuala Lumpur dan seorang lagi di Kuantan,” jelas Mak Mah. Pak Baha hanya diam sahaja sambil menghirup kopi yang dihidangkan kepadanya. Mungkin memberi peluang kepada isterinya itu bersembang dengan Ilham.
“Hanya Hanis sahaja yang tinggal. Ni dia tak ada di rumah, berkursus ke Pulau Pinang. Esok lusa baliklah tu. Oh, ya… rumah pusaka kau tu janganlah kau bimbang tentang keadaannya, Hanis selalu mengemas rumah tu tiap-tiap minggu. Katanya kalau kamu adik-beradik balik, taklah nanti macam rumah hantu.”
“Pakcik kau pun kalau ada apa-apa yang rosak, dia akan betulkan. Tiap-tiap tahun disapu minyak takut kalau reput kayu,” Mak Mah terhenti sejenak seperti sedang menyusun kata-kata.
“Alah, pakcik bukannya ada apa-apa yang nak buat.” Celah Pak Baha dan menyambung semula hirupan kopi O panasnya. Pak Baha tak mahu jasanya itu diperbesar-besarkan, bimbang mengurangkan keihlasannya jika perkara itu diungkit-ungkit.
“Hmm… apa cerita kau dan adik-beradik yang lain?” Tanya Mak Mah.
“Oh, mereka sihat-sihat saja. Kakak saya, Kak Zati duduk di New York, kerja dengan MPOC, promosi minyak kelapa sawit. Abang Ismail bekerja di kedutaan Malaysia di Jakarta dan Kak Izzah pula di Lembaga Hasil.”
“Hmm… menjadi betul anak-anak Ustaz Hilmi. Alhamdulillah, kalau dikenangkan dulu-dulu,” Mak Mah sedikit sebak.
“Tak ada apa-apalah, makcik. Kisah lama semua tu,” Ilham cuba meredakan suasana.
“Ha, kau pula apa cerita? Balik seorang saja? Mana anak dan isteri?”
“Hahaha… anak isteri apanya, makcik. Bujang lagi ni, siapa pula yang mahu kacang hantu macam saya.”
“Siapa yang tak mahu, Ilham. Makcik tengok kamu ni nampak segak saja, belajar sampai luar negeri. Bab agama tentu saja boleh, kan? Dulu kan kau sekolah agama sampai sekolah menengah, selalu tolong pakcik dan makcik ajar budak-budak mengaji. Anak Ustaz Hilmi- mana nak tumpah kuah kalau tak ke nasi kan, bang?” Tambah Mak Mah. Pak Baha mengangguk-angguk.
Hati siapa yang tak berbunga kalau dipuji sedemikian tapi, segera Ilham mematikan perasaan itu. Takut pula melarat menjadi penyakit perasaan nanti. Bahaya tu.
“Nak meletup saya makcik dengar puji-pujian tu. Lebih sangat dah tu, dah macam bukan saya dah.” Ilham hanya tersengih-sengih menolak pujian kembali kepada Yang Haq.
“Tengok, bang… malu pula dia. Betullah tu. Selain daripada arwah mak kau, makcik ni sudah kira emak kedua kau dah, Ilham. Setiap ibu kenal anaknya. Hah, dah berapa umur kau sekarang?”
“Aik, tadi kata kenal anak..?” Ilham mengusik.
“Bertuah punya budak. Loyar buruk pula dia,”
“…35 dah makcik. Remaja lagi.”
“ 35 tahun? Remaja tua dah tu, Ilham. Oh, kau sebaya Hajar ya? Hajar pun dah dua anaknya tau.”
Mereka bertiga rancak berbual bermacam-macam perkara meliputi perkara-perkara kini dan juga yang telah menjadi kenangan. Sedikit sebanyak dapat juga Ilham merangkul semula tentang apa yang telah tinggalkan sepanjang 18 tahun yang lalu. Jadi, tidaklah dia terlalu janggal dan berasa asing sekali berada di kampung halamannya sendiri. Tidaklah juga ‘meracau’ mencari titik-titik penyambung cerita-cerita yang telah berlaku dari sebuah rentetan masa yang panjang.
Share this novel