Bab 26: Badai Kerinduan

Romance Completed 5295

Birmingham Airport masih kelihatan sama. Hampir dua dekad yang lalu merupakan kali pertama Ilham menjejaki kakinya di lapangan terbang ini, di sebuah negara yang begitu asing bagi dirinya- tanpa saudara mara dan sahabat taulan untuk mengadu nasib demi memperjuangkan cita-citanya. Kali kedua pula dia kembali kerana sebuah cinta. Kini, mungkin sebab dirinya sendiri- dan dia sendiri tidak pasti, mungkin mencari semula jejak-jejak dahulu- mengembalikan semula semangat lama dengan permulaan ‘baru’. Mungkin juga sebab kerinduannya pada tempat ini yang memanggil-manggil dia kembali lagi. Dia tiada jawapan yang pasti tentang tujuannya kini.

Sebagai sebuah lapangan terbang, antara yang tersibuk di UK- kehadiran manusia yang berbondong-bondong menguruskan hal sendiri bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Masing-masing hanya mempedulikan agenda mereka sendiri. Begitu juga Ilham. Dia tidak mempedulikan mereka sebagaimana mereka turut berkelakuan yang sama. Ini bukan tempatnya untuk membina hubungan mesra walau pun tempat ini bisa mewujudkan emosi dan sejarah yang menyentuh hidup seseorang. Ini tempatnya menghubungkan malah, menjarakkan sebuah ikatan. Di sini bisa menghapuskan kerinduan dan juga menambahkan keseksaan batin orang yang ditinggalkan. Lumrah sebuah tempat yang menjadi titik pertemuan dan perpisahan. Inilah dia.

Sebagaimana dahulu, tiada sesiapa yang menjemputnya- begitu juga pada kali ketiga ini. Keadaan ini seperti déjà vu yang sentiasa memanggil kenangan silam kembali memenuhi fikiran. Apabila dikenangkan pula, semakin lama semakin ianya menyakitkan hati. Ianya ibarat suatu fragmen yang berpecah belah dan secara rawaknya mengambil tempat di ingatan- dan setiap kali serpihan fragmen ini terpapar di layar kenangannya- setiap kali itu wajah Florence akan muncul dengan senyuman dan telatahnya. Wajah itulah, yang sering membayang- menjadi senyum dan tangisnya, menjadi duri dan penawarnya.

Apabila Ilham melihat seorang gadis yang berlari-lari anak dan teruja mendapatkan seorang lelaki yang baru saja tiba, hampir melompat gadis itu memeluk lelaki tadi- semakin membadai gelora di dalam dada Iham. Nun di sana sini dan hampir semua penjuru- melihat pasangan yang berjalan beriringan- semakin penyeksaan itu menjadi lebih sadis dan mengerikan. Ilham berasa keseorangan dalam keributan orang ramai disekelilinngnya. Bukankah keseorangan di dalam ramai adalah suatu bentuk kesunyian yang paling sunyi sekali?

Ilham melangkah perlahan-lahan meninggalkan keriuhan manusia yang masih berpusu-pusu di ruang legar ketibaan. Terlalu banyak ‘drama’ di situ dan dia ingin segera berlalu. Dia ingin segera mendapatkan Florence dan meluahkan kerinduannya. Ada banyak yang hendak diceritakan. Dia mahu Florence dengarkan segala-galanya. Dia tahu, pasti Florence akan setia mendengarnya tanpa jemu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience