Bab 16: Pondok Di Tepi Sawah

Romance Completed 5295

Pengurusan perpindahan penduduk-penduduk yang terlibat dalam dalam pembangunan projek sedang giat dilakukan oleh pihak Yayasan Ilmi ke kawasan berhampiran yang telah dibangunkan terlebih dahulu untuk tujuan tersebut berupa seperti kuarters kakitangan kerajaan tetapi lebih luas dan selesa. Minggu depan, kerja-kerja tanah akan dimulakan dengan segera. Segala jadual pembangunan kini dalam keadaan teratur sebagaimana yang dirancangkan.

“Macam mana Abang Hamzah? Suka rumah baru ni?” Ilham seperti tuan rumah menunjukkan sekeliling ruang dalaman rumah tersebut.

“Ish, lebih baik dari yang abang harapkan. Terima kasih, Am.”

“Sekejap lagi barang-barang abang akan sampai, abang tengok-tengoklah rumah ni. Kalau ada apa-apa yang kurang beritahu saya, ya?”

“Baik, Am. Terima kasih sekali lagi.”

“Tak ada apa-apa lah, bang. Saya beransur dahulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Mereka berjabat tangan dan Ilham kemudian segera mengatur langkah ke arah kereta Linda yang sedia menanti.

“Jadi, bagaimana?” Tanya Linda sebaik sahaja Ilham memasuki ruangan tempat pemandu.

“Alhamdulillah, baik-baik saja.”

“Ada apa lagi tugasan hari ini?”

“Lin punya findings lah. Bagaimana?”

“Lin dah hantar laporan pada syarikat. Tak apa apa-apa yang major cuma, lebih kepada kosmetik saja sebab nak sesuaikan dengan imej korporat termasuk juga konsep automotive tourism ni.”

“Alhamdulillah. Senang kerja macam tu.”

“Cepat juga penempatan sementara tu, kontraktor Yayasan Ilmi bina, ya?”

“Hahaha… cepatlah, guna teknik IBS. Lebih cepat lagi tak perlu renyah dengan approval pelanggan. Jadi, kami pakai rekabentuk mudah dan paling praktikal.”

“Jadi nak ke mana kita, Am?”

“Balik?”

“Alah, jom kita pusing-pusing kampung?”

“Serius?”

“Mestilah!” Linda tersenyum manis. Bukan senang untuk dia berpeluang berdua-duaan dengan Ilham. Selalu atas urusan kerja saja.

Ilham memandu tenang menyelusuri jalan-jalan kampung, sesekali memberikan hon ‘mesra’ dan melambai tangannya kepada penduduk kampung yang berselisih- yang turut memberikan respon yang sama. Mereka kenal Ilham. Linda kira, mungkin Ilham turut mengenali mereka. Linda yang berada di sisi turut tersengih-sengih saja, menunjukkan kemesraan.

“Eh, Am… cantik pondok di tepi sawah tu. Boleh berhenti sekejap?” Ilham hanya menurut sahaja. Dihentikannya kenderaan di pinggir jalan. Linda bingkas bangun dan mula mengorak langkah ke arah pondok yang dimaksudkan.

Memang cantik pandangan pondok di tepi sawah itu. Biasa digunakan oleh petani untuk berteduh, melepaskan lelah setelah berpagi-pagi mengerjakan sawah. Lebih cantik kerana diserikan oleh sepohon kayu yang rendang, memberikan suasana yang redup dari panahan terik bahang matahari. Di hadapan pondok tersebut merentang tali air yang sayup panjangnya. Dahulu, tempat seperti inilah Ilham selalu bermain bersama Zarif. Berteduh di bawah pondok dan memancing ikan-ikan sawah. Nasib dapat keli, haruan atau pun puyu. Kalau ada jala, akan ditebarnya untuk dapatkan sepat ronggeng. Kalau nasib tak baik, rumput rampai saja yang naik. Begitulah.

“Cantik tempat ini, ya? Boleh ambil gambar Lin?” Linda menghulurkan telefon bimbitnya kepada Ilham. Pelbagai gaya diberikan oleh Linda demi memuaskan hatinya dalam mendapatkan gambar yang cantik dan menarik. Linda memang natural kalau bergaya.

Mereka kemudian mengambil tempat di dalam pondok yang tidak berdinding tersebut sambil memerhatikan panorama petang itu. Ilham mula mengimbau nostalgia, mengenangkan zaman kanak-kanaknya di tempat ini- kampung halamannya.

“Jauh menungnya tu, sampai ke England rasanya tu.” Linda menegur.

“Hehe… ada ke situ pulak. Ada-ada saja Lin ni.” Ilham tersengih.

“Mana tahu, terkenangkan minah saleh di sana,” Linda cuba menduga. Ilham sedikit bereaksi- ada benarnya kata-kata Linda ini. Tatkala ini, dalam keadaan damai begini, melihatkan pokok padi pun boleh teringat garden farming di sana. Lebih-lebih lagi pada telatah Florence. Entah kenapa, kerinduan pada Florence begitu pantas menyerang ingatan Ilham apabila berada di saat-saat begini.

“Ish, ke situ pula.” Ilham ketawa kecil.

“Lin nak tanya boleh?”

“Ya. Apa yang Lin nak tahu?”

“Am tahu kan, Lin masa belajar dulu di US?”

“Ya, kenapa?”

“Walau pun selalu juga Lin ke UK tapi belum pernah ke Birmingham. Apa yang menarik di sana?”

Ilham terdiam sebentar. Apa yang menarik nak diberitahu kepada Linda. Terlalu banyak keunikan Birmingham walau pun bukan seperti London- banyak tempat-tempat ikonik yang diketahui semua orang. Kalau nak dibandingkan ibarat nak membandingkan antara Kuala Lumpur dengan Sungai Petani. Tentu jauh berbeza dari segi gaya hidup dan ragamnya.

“Entah, kalau Lin selalu ke London, Birmingham tu memang tak ada apa-apa yang luar biasa tetapi, Am rasa Birmingham lebih damai, banyak latar sejarahnya, kota hijau yang masyhur, dan tempat itu bagaikan kampung Am yang kedua. Orang-orangnya, terutamanya di kawasan yang Am tinggal, baik-baik belaka. Senang nak cari makanan halal. Kalau Lin, tentu membeli-belah lah! Hmm.. apa lagi ya? Scene motosikal di situ pun meriah. Bikers di situ banyak kawan Am.”

“Tak habis-habis dengan motosikal. Sebab itu lah lama di sana?”

“Bukan juga sebab itu. Almaklum, saya ni budak extend, tak sebijak cik Lin kita ni,” usik Ilham pada Linda.

“Am tinggal di mana waktu di sana?”

“Green Lane, Holmwood Road. Eh, kenapa Linda banyak bertanya pasal Birmingham ni?”

“Tentulah Lin nak tahu apa saja pasal Ilham. Salah ke?” Linda memuncungkan mulutnya, tanda protes. Ilham ketawa melihat telatah Linda. Adakalanya kenakalan Linda itu mirip Florence

“Am, jom kita bergambar sama. Malam ni, boleh la Lin peluk dan cium gambar Am nanti.”

“Gambar saja? Orangnya?” Ilham mengusik.

“Betul? Mari sini.” Linda segera menghampiri dan mendepangkan tangannya untuk memeluk Ilham. Ilham mengelak dan terus mengelak sambil berlari-lari anak.

“Tahu takut!” Teriak Linda sambil membaling batu-batu kecil ke arah Ilham yang agak kejauhan. Ilham menjelirkan lidah, mengejek Linda. Mereka ketawa girang.

…dan petang itu semakin larut, memberi tanda sudah tiba waktunya untuk mereka pulang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience