Bab 21: Yang Setia Menanti Dan Yang Mengharap Kasih

Romance Completed 5295

“Betul ni, Am? Awak tidak bergurau, kan?” Ceria saja suara Florence yang didengari oleh Ilham melalui pembesar suara telefon bimbitnya. Keceriaannya itu turut kelihatan pada wajahnya- melalui aplikasi panggilan video yang dibuat oleh Ilham.

“Serius, Flo. Saya rasa tak perlu tunggu setahun di Malaysia. Dalam tempoh 4-5 bulan ini pun rasanya sudah cukup.” Ilham tersenyum.

“Awak merindui saya, kan? Sebab itu awak mahu pulang segera?” Florence mengusik.

“Saya takut awak yang tak boleh lena tidur kerana rindukan saya.” Ilham menangkis usikan Florence dengan gurauannya.

“Tidur saya sangat lena, kalau awak mahu tahu,”

“Serius?”

“Seriuslah! Awak selalu hadir dalam mimpi saya.” Manis sekali Florence berkata-kata. Tersengih saja Ilham mendengarnya, berbunga-bunga rasa hati.

“Saya sudah bersedia, Am. Saya sudah ke Birmingham Central Mosque tempoh hari selepas awak balik ke Malaysia. Saya sedang belajar tentang Islam dan saya sukakannya. Saya nak beritahu, bila-bila masa saja saya akan menjadi seorang muslim.” Sambung Florence dengan bersungguh-sungguh.

“Alhamdulillah, moga mudah urusan awak, Flo. Jangan bertangguh-tangguh lagi jika sudah ada keinginan untuk menjadi muslim. Awak ada masa yang banyak untuk belajar tentang Islam.” Balas Ilham, terharu kerana Florence sudah berinisiatif tentang perancangan masa depan untuk bersama dengannya. Tanpa paksaan- tanpa perintah yang diberikan.

“Saya rancang begitulah. Saya tidak sabar lagi untuk menjadi seorang isteri. Lepas tu, awak boleh ajarkan lebih banyak lagi pasal Islam kepada saya, kan?”

“Tentu sekali. Kita boleh belajar bersama-sama. Saya pun banyak kekurangan lagi. Awak begitu mencintai saya?”

“Awak pun, kan?” Kini Florence pula mengenakan Ilham. Ilham hanya mengangguk-angguk kecil dan tersenyum sahaja dengan keletah Florence. Florence hanya tersenyum manis. Bahagia jelas berbayang di wajahnya.

“Baiklah, saya sudah tempah tiket pada minggu hadapan. Jemput saya, boleh?” Florence hanya mengangguk sahaja, tanda janji sudah dipateri.

Mereka kemudian berbual mesra dan bergurau senda. Tentu sahaja perkhabaran Ilham akan kembali semula ke Birmingham suatu berita yang sangat dinanti-nantikan oleh Florence. Dia sentiasa berdoa pada Tuhan semoga tempoh perpisahannya dengan Ilham tak lama. Dia tak sanggup menunggu lebih lama lagi- dan doanya dimakbulkan. Tentu sahaja dia berasa amat bersyukur. Kini, tiada apa yang diharapkan oleh Florence melainkan Ilham segera pulang ke sisinya. Dia mahu memeluk lelaki itu semahu-mahunya- dan kali ini dia turut ingin lelaki itu mendakapnya bagaikan tidak mahu melepaskan dirinya lagi- dengan ikatan yang sah. Dia ingin dihalalkan.

*********************

Seperti biasa, Tan Sri Azman akan menghalang Ilham dari keluar dari kediamannya. Kadang kala, perbuatan Tan Sri boleh diibaratkan bangsawan feudal dengan kuasa autokrasi bertaraf kuku besi dan Ilham seperti rakyat marhaen dibawah jajahan takluknya. Begitu, tidak pula Ilham berasa rimas dengan perbuatan abang angkatnya itu. Ilham tahu, Tan Sri Azman seronok bersama dengannya. Dari satu sisi yang lain, dia juga seorang peminat automotif terutamanya motosikal yang tegar- seperti juga Ilham sendiri. Memang seronok kalau ada teman yang ‘sekepala’.

“Saya kena pergi juga, bang. Ini soal hidup saya juga.”

“Alah, tak seronok lah macam ni. Kamu duduklah di sini, sampai bila-bila- takkan itu pun tak boleh.”

“Ish, takkan sampai begitu. Linda tentu saja tak selesa.”

“Mula-mula dulu memang begitu, tengoklah sekarang ni. Kalau nampak kamu saja, ceria betul mukanya!” Celah Puan Sri Faridah tiba-tiba, mengerling pada suaminya seperti mengisyaratkan sesuatu. Tan Sri Azman mengangguk-angguk, tanda setuju dengan kata-kata isterinya- dan faham apa yang diisyaratkan.

“Kalau kamu setuju, abang nak jodohkan kamu dengan Linda. Ok tak?” Giliran Puan Sri Faridah pula mengiakan kata-kata suaminya. Senyum lebar pula- mungkin sebab suaminya faham apa maksud isyarat kerlingan matanya tadi.

“Takkan Linda mahu?” Ketawa Ilham mendengarkan cadangan Tan Sri Azman yang dibuat secara tiba-tiba.

“Eh, kalau dia tak mahu pun- abang sebagai ayah ada kuasa mutlak tau!” Kata Tan Sri Azman, menepuk-nepuk dadanya- mendabik dada atas ‘mandat’ yang ada pada dirinya. Puan Sri Faridah menggeleng-geleng kepala sambil ketawa kecil.

“Betul kata abang kamu tu, Am. Akak pun setuju saja. Takkan kamu tak ada sedikit pun rasa kasih sayang pada, Lin?” Serius sahaja Puan Sri Faridah bertanya. Ilham hanya diam- soal perasaan ini perlu diatur bicara dengan teliti. Kalau silap, semua orang boleh berkecil hati, apatah lagi sekiranya ada berkaitan dengan penolakan terhadap tawaran sebegini. Nak menolak pun kena ada seninya.

“Beginilah, akak-abang… kalau sudah jodoh takkan ke mana. Saya serahkan sahaja soal ini pada Illahi. Tetapi, apa yang saya pasti saya kena juga berangkat dalam masa 3 hari lagi. Saya ada urusan masih belum diselesaikan dan tentunya tak dapat dipastikan bila pula saya akan pulang.” Tan Sri Azman dan Puan Sri Faridah hanya diam membisu. Mereka tahu jawapan Ilham itu, tiada kepastian yang dapat dimateri sebagai janji. Jawapan selamat, kata orang. Namun, mereka memahami. Mereka menghormati.

“Saya minta maaf kalau apa yang saya kata ini membuatkan abang dan kakak tak gembira. Saya seronok tinggal di sini. Layanan abang dan kakak pun cukup baik kepada saya terutamanya- Linda semenjak akhir-akhir ini, kami jadi sangat akrab. Saya tahu tentu semua orang pun perasan soal ini- sampaikan Harun driver abang pun bertanya pada saya tentang hal ini. Boleh kata, satu rumah pun sudah bertanya,” kata Ilham dengan kata-katanya yang lembut kepada Tan Sri Azman dan Puan Sri Faridah.

“Jadi, tentunya kurang manis jika kami berdua bersama dalam satu rumah tanpa ikatan yang sah, tambahan pula situasi kami yang akrab ini boleh mendatangkan fitnah pula nanti- walau pun di bawah pemantauan abang dan akak. Tentu abang dan akak faham kan?” Tan Sri Azman dan Puan Sri Faridah hanya mengangguk-anggukkan kepala, mengetujui kata-kata Ilham.

“Sebab itu kalau boleh dipercepatkan!” Saran Tan Sri Azman, ceria sekali bunyinya seperti dapat ‘buah’ check mate dalam permainan catur. Lain yang hendak dimaksudkan oleh Ilham, lain pula idea yang timbul dalam fikiran Tan Sri Azman. Macam biasa, Puan Sri Faridah menjadi penyokong tegar suaminya, mengiakan sahaja. Tentu dalam soal ini, lebih afdal Tan Sri Azman yang berbicara walau pun mastermindnya adalah Puan Sri Faridah sendiri.

“Tapi-”

“Tak ada tapi-tapinya lagi, Am. Kamu selesaikan urusan kamu segera dan balik semula ke sini. Jangan risaukan persoalan lain.” Potong Tan Sri Azman seperti memaksa. Ilham mati kata.

“Am janganlah khuatir dan rasa terpaksa, ya? Apa yang kami buat ni untuk kebaikan Am dan Linda juga. Harap Am tak hampakan harapan kami.” Puan Sri Faridah pula menambah seperti memujuk apabila tiada balasan daripada Ilham. Puan Sri Faridah tahu, perkara seperti ini jika dipaksakan tentu sahaja mengundang ketidakselesaan kepada Ilham. Biarlah suaminya sedikit berkeras tetapi, dia perlu memainkan peranannya untuk mengimbangkan situasi. Barulah apa yang dirancangkan boleh berhasil.

Ilham hanya mengangguk kecil. Dia tahu tiada gunanya dia berbalah secara berlebih-lebihan dengan abang dan kakak angkatnya. Lagi pula, itu hanya sekadar perancangan mereka. Tentu sahaja tidak molek untuk berkeras kerana pada akhirnya, takdir jua yang bakal menentukan.

Apa yang mereka tidak sedari ketika itu, perbualan mereka didengari oleh Linda yang kebetulan melalui tempat itu. Dia sengaja menyembunyikan dirinya supaya setiap butir kata Tan Sri Azman, Puan Sri Faridah dan Ilham dapat diikuti tanpa ada gangguan, lebih-lebih lagi jika kehadirannya ada di situ tentu sahaja merencatkan perbualan mereka. Tidak pula tersangka oleh Linda, perbincangan mereka bertiga merujuk kepada dirinya juga. Linda tersenyum gembira. Itulah yang diharap-harapkan. Linda mula berdoa dalam hati semoga apa yang dirancangkan terjadi. Linda telah mula mencintai dan menyayangi Ilham. Linda tidak mahu berhenti mencintai lelaki itu dan dia merasakan ikatan yang sah itu merupakan salah satu cara bagaimana cinta ini dapat segera disimpul mati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience