Bab 13: Mengorak Langkah Beriringan

Romance Completed 5295

Kata-kata Linda tempoh hari membuatkan Hanis bersemangat. Betul kata Linda itu, apa salahnya dia menduga hati Ilham. Kalau ditolak sekali pun dia tak akan mengalah. Bukan kerana tidak ada lelaki lain yang meminatinya, bukan tidak ada lelaki lain yang lebih tampan dan baik daripada Ilham. Tentu ada. Tetapi, ini bukan soal ada atau tidak. Yang lain- tidak diberikan atau dianugerahkan perasaan ‘ini’ kepada mereka. Kalau ada, tentu permainan perasaan ini tidak berlaku.

Hanis tidak mahu kalah. Dia tidak mahu kalah sebelum berjuang dan menemui kekalahan itu. Biar dia merasa itu semua- cinta, perjuangan, kekalahan dan kekecewaan. Dia tidak mahu kalah pada Linda atau pada sesiapa pun. Tentulah hasrat hatinya- kemenangan itu ingin dimiliki. Dia tidak tahu apa takdir di hujungnya nanti namun, dia tidak peduli. Asalkan apa sahaja yang dilakukan- doa dan usahanya- apa sahaja ‘ditangannya’, tidak akan dipersiakan.

“Abang…” Hanis memulakan bicara. Wakaf di hadapan rumahnya ini begitu tenang pada petang ini. Angin pun sepoi-sepoi bahasa meniup.

“Boleh Hanis bertanya sedikit?” Ilham mengambil secawan teh O yang dihidangkan. Ilham menoleh kepada Hanis, walau pun cawan masih dibibirnya- seperti ‘membenarkan’ Hanis untuk meneruskan bicara.

“Apa hubungan abang dengan kak Linda?”

“Hmm… kenapa Hanis bertanya?”

“Kak Linda cantik.”

“Hanis pun cantik juga.”

“Tak secantik kak Linda tu. Cantik, baik dan kaya pula.”

“Hanis pun cantik, baik dan kaya budi bahasa.”

“Abang cuba mengelak soalan Hanis, kan?” Hanis seperti merajuk. Kendur sahaja kata-katanya.

“Apa yang Hanis mahukan sebenarnya?”

“Hanis tak mahu… er, Hanis rasa seperti menganggu abang dan kak Linda.”

“Hmm… bunyinya seperti orang yang merajuk.” Ilham hanya tersenyum melihat Hanis yang kelihatan sugul. Dia mengerti perasaan gadis itu tetapi, dia sendiri tiada jawapan untuk ‘itu’.

“Beginilah, abang dan Linda-ya, kami akrab. Kalau nak dikatakan ada hubungan istimewa pun tidak juga. Setakat itu sajalah.”

“Tapi kak Linda cintakan abang, kan?” Ilham terdiam. Ilham tahu tentang itu. Linda pastinya tahu benar hatinya sendiri. Rasanya Tan Sri Azman dan Puan Sri Faridah pun tahu. Kini Hanis pun tahu. Begitulah Linda. Linda seorang yang jujur dalam perbuatan dan perasaannya walau pun ‘licik’ dalam dunia korporat tetapi dalam soal cinta- Linda seperti mahu menghebahkankannya satu dunia!

“Apa yang sebenarnya abang mahu dalam hidup abang? Gadis seperti kak Linda pun abang tak mudah menerimanya, apatah lagi dengan Hanis?” Bertalu-talu Hanis mengemukakan soalan seperti orang yang kegeraman. Memang kalau boleh, biar petang ini terungkai segala-galanya. Dia mahu tahu segera.

“Kenapa pula dengan Hanis?” Ilham hanya ketawa kecil. Hanis walau pun mendesaknya dengan soalan-soalan ‘berat’ dan penuh emosi pada petang ini, nyata yang terluah hanyalah cerminan perasaan Hanis sendiri tanpa disedari.

“Er… Hanis tak suka abang mempermainkan Hanis begini.” Kata Hanis sedikit berang. Berang bukan kerana dia marah dengan Ilham tetapi cuba menyelindungi keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi. Malunya.

“Aduh, tak sangka banyak sekali salah abang pada kamu berdua.” Kata Ilham perlahan. Dia memandang Hanis dengan penuh kasih sayang. Hanis berasa serba salah. Perasaan kesal mula terbit dari hatinya. Ya, kenapa dia begitu mendesak dan menuturkan kata-kata sebegitu pada orang yang dikasihinya.

“Hanis minta maaf, bang.”

“Abang pun begitu, Hanis.”

“Tapi bang, sampai bila? Sampai bila abang mahu keadaan jadi begini?”

“Keadaan macam mana, Hanis? Kenapa setiap apa yang Hanis atau Linda rasa, abang yang perlu menjawab persoalan itu?”

“Abang lelaki, kami ni perempuan-”

“Jadi?” Ilham mulai bosan untuk terus bertelagah dengan Hanis.

“Bukankah lebih senang abang yang putuskan- Hanis atau Kak Linda.”

“Kenapa abang perlu memilih? Yang perlu memilih adalah Hanis sendiri atau pun Linda. Sudahlah, Hanis… abang sendiri pun tak faham apa yang sebenarnya kamu berdua inginkan daripada abang. Kamu berdua yang bermain dengan perasaan sendiri- lepas tu abang pula kena jadi penimbang tara pula. Adil ke tu, Hanis?” Hanis hanya terdiam membisu. Tersentak juga dia dengan kata-kata Ilham tersebut. Memang betul. Dalam soal hati dan perasaan sendiri ini kenapa perlu memaksa pihak lain untuk mengikuti apa yang kita hajatkan. Siapa pula dia untuk menentukan mahu atau tidak seseorang itu. Perasaan kesal mula menguasai.

“Maaf sangat-sangat, bang. Hanis mungkin terlalu mendesak. Hanis pentingkan perasaan Hanis saja tanpa peduli perasaan abang. Hanis harap abang tidak menghukum Hanis atas apa yang Hanis katakan tadi. Hanis malu pada abang.” Sebak sedikit suara Hanis berbicara. Wajahnya sugul dan menunduk sahaja. Ilham memandang gadis itu dengan perasaan kasihan. Tentu berat bebanan perasaan itu- perasaan ingin tahu, yang sarat dengan harapan.

“Beginilah, Hanis. Kalau dah jodoh abang dengan Hanis- langit dan bumi bukan penghalang!” Tegas suara Ilham. Hati Hanis mulai tenteram. Perasaannya tidak kalut seperti tadi. Hanis takut kecewa. Dia takut tidak diterima. Namun, tersisip suatu pengertian yang lebih dalam di lubuk hatinya tentang apa yang dikatakan oleh Ilham sebentar tadi. Ya, siapa dia di sisi takdir Illahi? Moga dipermudahkan segala urusan, doa Hanis dalam hatinya.

********************

“Hmm… akak tengok petang tadi, Hanis berbual di dengan Ilham. Panjang ceritanya?” Linda mengambil tuala yang disangkutnya di belakang pintu. Segera dililitkannya tuala tersebut menutupi kepalanya ibarat memintal sanggul.

“Entahlah, kak. Hanis cuba mendapatkan jawapan daripada mulut Abang Ilham. Soal kita.”

“Hasilnya?”

“Tiada hasilnya. Hanis pula rasa bersalah.” Linda sudah mengagak. Dia sendiri yang penuh ‘seni’ interogasi pun tidak berhasil mendapatkan jawapan.

“Bersalah? Bagaimana pula jadi begitu?”

“Hanis rasa, Hanis terlalu memaksa, kak. Hanis nak tahu dari mulut Abang Ilham sendiri- siapa pilihannya. Akak atau Hanis.” Linda hanya ketawa kecil. Hanis berasa pelik dengan tingkah laku Linda.

“Kenapa akak ketawa?” Hanis terasa seperti diperkecil-kecilkan pula. Bukankah Linda sendiri yang mendorong dia untuk lebih berani.

“Hanis, oh Hanis. Ini soal perasaan Hanis, soal cinta. Takkan kita hendak memaksa pula.”

“Betul cakap akak. Tadi, Hanis rasa bodoh sangat. Menurut emosi saja. Malu Hanis kalau dikenangkan semula kisah petang tadi.”

“Beginilah Hanis, akak telah fikirkan perkara ini dalam-dalam. Tentu ada sebabnya Ilham susah hendak menentukan pilihannya. Hanis bayangkan, kalau akak ni orang pertama yang dicintai oleh Ilham, tentu saja dia terlebih dahulu menerima akak sebagai teman hidupnya. Layanannya pada akak, sangat baik dan penuh kasih sayang- begitu juga layanannya pada Hanis. Tetapi, kalau bukan akak yang pertama, tentu ada yang terlebih dahulu yang berjaya menawan hatinya itu. Mungkin sebab itu dia seperti tak ‘peduli’ dengan kita.”

“Akak tahu siapa orangnya?”

“Tidak. Sepanjang akak kenal dia, tidak ada seorang gadis pun yang rapat dengan Ilham kecuali Hanis.” Mereka berdua terdiam bagai memikirkan sesuatu yang rumit.

“Barangkali, Abang Ilham ada kekasih di England?” Hanis mula berteka-teki.

“Hmm… satu hal juga tu. Tak pernah pula dia bercerita pasal kehidupannya di sana. Kalau ada pun, cerita pasal motosikal dengan papa saja.”

“Susahlah tu, kak.”

“Hanis tahu ke di mana dia menetap semasa di England?”

“Rasanya macam dia pernah bercerita. Oh, ya masa dia berjumpa dengan Cikgu Anuar, mereka ada bersembang pasal hal itu. Birmingham pastinya.”

“Yalah, papa pun ada cerita pasal itu tapi, Birmingham di mana?”

“Entah. Banyak yang mereka bualkan tapi, fikiran Hanis masa tu melayang-layang,” Hanis ketawa kecil.

“Nanti akak siasat.” Linda mulai yakin dengan langkah yang bakal diambil.

“Katakanlah maklumat tu akak dapat. Apa yang akak nak buat?” Hanis tertanya-tanya. Ya, meski pun mereka tahu, apa relevannya maklumat itu untuk situasi yang mereka alami sekarang.

“Akak belum pasti tapi, kira-kiranya mungkin ada ‘sesuatu’ yang boleh kita lakukan kelak. Tak rugi kan kalau kita ketahui hal yang baru tentang Ilham?”

“Hanis ikut saja, kak.” Hanis tersengih sahaja. Entah. Fikirannya sendiri masih tidak dapat menghadam ‘strategi’ Linda yang sebenarnya. Sekurang-kurangnya, atas kebuntuan yang mereka alami- mungkin ini jalan seterusnya untuk mengenali isi hati dan membaca fikiran Ilham. Mungkin.

“Katakanlah, kak- kita tahu segala-galanya, kelak. Lepas tu apa kita nak buat?” Hanis masih kebingungan.

“Hmm… kadang-kadang, kita tak perlu merancang sejauh itu. Bukan semua yang kita rancang akan membuahkan hasil yang kita jangkakan. Tetapi, selalunya dalam perjalanan semasa kita merancang, ada sesuatu yang lebih baik dapat kita lakukan pada masa itu dan bukan pada masa kini.” Linda mula berfalsafah. Hanis hanya mengangguk setuju- dan pastinya mereka telah bersepakat tentang ‘sesuatu’ yang hanya mereka sendiri memahaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience