Bab 22: Antara Dua Wanita

Romance Completed 5295

‘Kehilangan’ Linda dan Hanis tidaklah membuatkan Ilham berasa kesunyian. Aktiviti-aktiviti hariannya terhadap pembangunan projek di kampung, membataskan ruang lingkup pemikirannya untuk memikirkan soal yang lain. Namun, apabila kebanyakan kerja telah selesai kerana telah diambil alih oleh orang-orang dari Yayasan Ilmi, semakin kurang pula kerja yang hendak dilakukan- dan semakin pula pemikirannya mula menerokai perkara-perkara yang lebih peribadi.

“Jadi ke tak kau nak ke England semula, Am?” Tanya Zarif pada suatu pagi, ketika mereka bersarapan bersama di warung kegemaran mereka, warung Mak Jah.

“Nampaknya begitulah, Rip. Kerja-kerja di sini pun dah hampir selesai.” Ilham mula menghirup kopi buatan kampung. Sungguh menyegarkan minda pada pagi-pagi begini.

“Apa kata Pak Baha?”

“Kenapa pula?”

“Aik, takkan kau nak menghilangkan diri macam tu saja, macam dulu-dulu?”

“Kali ini aku bukan berhasrat nak menetap lama di sana. Sekadar jumpa sahabat taulan.”

“Jadi, kemudian kau nak menetap di sini?”

“Entahlah, Rip. Belum tahu lagi.”

“Kau ni, Am… cepat-cepat lah kahwin, umur tu dah berapa, takkan nak membujang sampai ke tua.”

“Nak kahwin dengan siapa?” Ilham hanya ketawa kecil.

“Alah, macam la aku tak tahu- kau dengan Hanis dan- siapa nama perempuan dari KL tu?”

“Linda?”

“Haaa… Linda tu kan ada.”

“Jadi?”

“Kalau kau mahu, boleh saja Am. Nak aku pinangkan?” Zarif mengusik.

“Antara kedua-dua orang gadis itu, siapa pula yang kau nak pinangkan?” Ilham menjerat Zarif. Senang saja Zarif bercakap. Kalau nak membeli tayar baru untuk kereta pun dia pening memilih, inikan pula calon isteri. Zarif terdiam sekejap seperti memikirkan sesuatu.

“Hmm… susah juga tu. Apa kata nak senang, kau pilih saja Kak Timah!” Seloroh Zarif. Hampir tersembur kopi dari mulut Ilham mendengarnya.

“Cis, senang kau saja kau nak lepaskan ‘tekak’ kau ya, Rip. Yang parah esok, aku!” Ilham menumbuk perlahan ke arah Zarif. Mudah saja untuk Zarif mengelak. Ketawa besar Zarif pada pagi itu.
“Betul juga, Am… payah jadi orang macam kau ni.” Kata Zarif setelah ketawanya reda.

“Jadi kau faham kan dilemma aku ni. Kalau mahu yang ini, yang di sana apa pula perasaannya.”

“Aku pun tak sangka strategis hebat macam kau pun buntu, Am. Ini memang ironi. Kelakar pun ada.”

“Kau ada cadangan?”

“Ikutkan aku, pinang dua-dua sekalilah!”

“Mampus.” Mereka ketawa serentak.

“Tapi aku hairanlah, Am. Selama ini kau seperti tak kisah pun? Kenapa tiba-tiba kau bercakap soal Hanis dan Linda ni?”

“Eh, bukan ke kau yang sibuk suruh aku kahwin cepat-cepat tadi?” Ilham seperti menyindir.

“Ha’ah, memang betul tapi, dulu kau tak komen pun?”

“Dulu kau pun tak cadangkan calon-calonnya. Linda, Hanis dan Kak Timah. Sekarang dah ada, bolehlah aku komen.” Zarif hanya ketawa mendengarkan kata-kata Ilham terutamanya tentang Kak Timah.

“Ok. Kalau kau tanya aku- aku pilih Kak Timah untuk kau, Am!”

“Kali ini aku tumbuk kau betul-betul, Rip!”

Suasana menjadi sedikit riuh rendah dengan aksi Ilham menumbuk Zarif. Orang-orang kampung yang bersarapan turut kehairanan melihat aksi-aksi mereka berdua. Ada yang hanya tersengih sahaja melihat telatah mereka- yang mana mengenali Ilham dan Zarif- pasti tahu keakraban mereka ibarat adik beradik yang lahir dari rahim yang sama. Seperti kembar yang berkongsi makan pada tali pusat yang sama. Seperti itu. Yang berbeza hanyalah penampilan luaran sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience