Bab 12: Sebuah Rumah Di Green Lane, Mahar Untuk Sebuah Kasih Sayang

Romance Completed 5295

Telefon bimbit Ilham berdering di dalam kocek seluarnya. Nombor yang tidak dikenali. Teragak-agak juga Ilham hendak menjawab. Namun, dia memang tidak pernah menolak sebarang panggilan- dia pun memicit butang menjawab.

“Assalamualaikum, anak saudaraku,”

“Waalaikumussalam… eh, Tuan Syeikh.” Ilham segera dapat mengecam suara lelaki yang bercakap dengannya.

“Kau senang, anakku?”

“Tentu saja, tuan.”

“Boleh kita bertemu?”

“Insya Allah, boleh. Di mana tuan ingin bertemu?”

“Aku di Sutton Coldfield. Nanti aku berikan teks alamatnya. Boleh bertemu malam ni?”

“Baik, tuan.”

“Jangan lupa bawa isterimu sekali. Aku ingin sekali berjumpa dengannya.”

“Isteri?” Ilham seperti terpinga-pinga sebentar. Oh, tentu yang dimaksudkan adalah Florence!

“Oh, baik tuan.”

“Jumpa malam nanti. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Talian dimatikan. Ilham termenung sebentar. Mana pula Syeikh Ahmad ni dapat berita dia sudah berkahwin pula. Nampaknya Syeikh Ahmad pun ada ‘mata-mata’ yang dipasangnya di Green Lane. Agaknyalah.

Apa pun setelah sekian lama, menerima panggilan telefon daripada Syeikh Ahmad tentunya sesuatu perkara yang mengujakan. Tuan Syeikh ini memang sibuk orangnya. Dijemput pula untuk bertemu adalah suatu peluang yang langka dan tentu sahaja tidak patut dilepaskan.

********************

“Selamat datang, Ilham- anak saudaraku!” Begitu ramah sekali Syeikh Ahmad menyapa. Panggilan ‘anak saudara’ itu menunjukkan keakraban dan tanggapan Syeikh Ahmad terhadap Ilham. Begitulah sifat orang-orang Arab. Jika panggilannya sebegitu, jelas sekali orang yang digelarkan itu dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Florence hanya tersenyum dan memberi hormat-tidaklah sampai dia hendak memeluk Syeikh Ahmad- sebagaimana ‘tutorial’ ringkas yang diberikan oleh Ilham berkaitan adab dan perilaku yang patut dilakukannya kepada seorang muslim.

Rumah agam Syeikh Ahmad kelihatan begitu megah dan mewah begitu juga perhiasan dalamannya. Namun, suasananya sedikit sunyi dan mendamaikan. Bau aroma gaharu bagai menerawang ke seluruh kediaman. Nampaknya, tiada sesiapa yang asing di rumah tersebut melainkan Ilham, Florence, Syeikh Ahmad dan pembantu-pembantunya yang bekerja di situ.

Syeikh Ahmad lalu membawa mereka ke suatu ruang khas di mana hidangan untuk makan malam telah tersedia menunggu. Kelihatan pelayan-pelayan siap siaga untuk memberikan khidmat mereka bila-bila masa sahaja.

“Jemputlah duduk. Kita berbual-bual sambil makan.” Pelawa Syeikh Ahmad. Serentak dengan itu pelayan-pelayan mula beraksi memberikan khidmat, menyediakan napkin, menuang air dan menyediakan menu pertama hidangan.

“Sayang sekali aku tidak berada di England sewaktu walimah kamu berdua.” Syeikh Ahmad mula berbicara. Ilham memandang Florence, Florence seperti tidak kisah apa yang sedang berlaku.

“Aduh, bagaimana saya ingin jelaskan pada tuan. Ini semua salah faham.” Tercengang Syeikh Ahmad mendengarkannya.

“Mustahil, jiran-jiran lama ku berkata kamu dah bernikah dengan gadis Inggeris ini!”

“Tuan ada mendengarkan bahawa sebelum itu saya ditimpa kemalangan?” Syeikh Ahmad menggeleng kepala. Memang dia tidak tahu.

“Apa yang telah terjadi, anakku?”

“Saya ditikam orang kerana salah faham. Beberapa bulan saya terlantar.”

“Begitu?” Syeikh Ahmad kaget mendengarnya.

“Ya, jadi teman-teman yang menjaga saya sepanjang masa itu termasuk gadis ini, Florence.”

“Makin rumit cerita kamu.” Syeikh Ahmad menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Maaf tuan, saya ini yang bersalah kerana memberitahu orang saya ini isterinya, Am. Saya tidak mahu orang di situ berspekulasi tentang Ilham dan saya. Saya tahu kejiranan di situ akan memandang Ilham dengan jelek kalau tinggal serumah dengan seorang gadis seperti saya- dan tidak berkahwin.” Ilham terpana sebentar. Tak sangka Florence begitu memahami adat resam masyarakat di Green Lane. Patutlah, dia beria-ia mewarwarkan dirinya sebagai Mrs Ilham.

“Saya tahu apa yang saya buat ini jelek pada pandangan tuan tetapi, apa yang dapat saya buat sekiranya orang yang berbudi pada saya mengalami kemalangan atas sebab diri saya juga? Saya kasihan melihat Am yang masih sakit- siapa yang menjaga makan minumnya, sakit demamnya, tuan?” Betah sekali Florence menghujahkan rasional tindakannya itu.

Syeikh Ahmad terdiam sebentar. Dikunyahnya makanan perlahan-lahan dan sebenarnya itu memberi sedikit ruang dan masanya untuk berfikir sebelum menuturkan kata-kata.

“Sebenarnya, anakku… aku tidak mahu mengadili perbuatanmu itu. Tentu kamu punya alasan untuk berbuat sebegitu, mungkin atas sebab darurat atau apa saja. Aku kenal anakku ini, Ilham sebagai seorang muslim yang berperibadi tinggi- tentu saja aku risau kalau timbul fitnah antara kalian kelak.” Lembut sekali tutur kata Syeikh Ahmad sambil memandang muka Florence.

“Aku ingin meminta maaf padamu, anakku. Aku menganggap kamu sebagai anak tetapi, pada waktu kamu kesusahan aku tidak berada disampingmu. Salah aku kerana menganggap wang yang ku berikan dapat memberikan keamanan padamu,” sebak saja suara Syeikh Ahmad berkata-kata. Suasana seperti dirundung pilu.

“Jangan begitu, tuan. Pemberian tuan selama ini sungguh telah banyak membantu hidup saya selama ini. Tidak terbalas budi tuan pada saya.” Ilham cuba menenangkan Syeikh Ahmad yang kelihatan begitu kesal sekali atas apa yang terjadi.

“Hmmm… sebenarnya apa hajat tuan menjemput kami ke sini?” Florence mencelah apabila keadaan kembali reda.

“Oh, tidak ada apa-apa. Aku cuma mahu meraikan perkahwinan kamu. Mana tahu begini pula ceritanya.” Lambat sekali Syeikh Ahmad membalas seperti ada sesuatu difikirannya.

“Maria, tolong ambilkan dokumen di dalam laci itu,” arah Syeikh Ahmad kepada pelayannya sambil menunjukkan almari kecil terletak berhampiran meja makan tempat mereka ‘bersidang’.

“Berikan kepada lelaki muda itu.” Pelayan wanita yang bernama Maria itu hanya akur sahaja.

“Buka dan bacalah.” Ilham membuka dokumen yang berada di dalam sampul itu dan mula membaca isi kandungannya. Ilham berkerut-kerut seperti memikirkan sesuatu yang berat sekali.

“Saya tak faham.”

“Janganlah kau menolak, anakku. Memang sudah niatku begitu. Kau terima saja.” Florence kehairanan dan segara Ilham memberikan dokumen itu untuk diteliti oleh Florence.

“Tapi tuan- pemberian ini terlalu besar. Saya tak-”

“Tidak. Kalau kau masih menghormati aku, kau terima saja. Kalau kau menolak bererti kau menjatuhkan maruah aku ini, anakku.” Kata Syeikh Ahmad, tegas sekali bunyinya. Suasana kembali sunyi. Hanya sesekali kedengaran bunyi pinggan dan sudu berlaga.

“Tapi, kenapa tuan?” Ilham mula memecahkan suasana.

“Niatku adalah sebagai hadiah perkahwinan kamu. Walau pun kamu masih belum berkahwin, anggap saja hadiah ni ku berikan sebagai pendahuluan untuk perkahwinan kamu kelak. Aku akan doakan kamu segera bernikah.” Florence hanya tersipu-sipu mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Syeikh Ahmad. Hatinya pun ingin sebegitu. Tidak dapat dibayangkan kalau dia dapat jatuh cinta dengan lelaki lain lagi.

“Janganlah kau berlengah lagi. Kalau gadis ini sanggup bersusah payah keranamu, dia telah lama bersedia untuk hidup dan semati denganmu, anakku. Dia gadis yang baik. Jagalah maruah dirinya dan juga diri kamu.” Lembut sekali suara Syeikh Ahmad berbicara. Ilham hanya menganggukkan kepalanya tanda akur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience