Bab 4: Merungkai Kemelut

Romance Completed 5295

“Macam mana, Naim?” Tanya Ilham pada Naim, pemilik bengkel motosikal yang gigih membetulkan kerosakan sebuah motosikal milik pelanggan. Motosikal lama jenis Honda CD100. Selain itu terdapat lagi sebilangan motosikal jenis lama di dalam bengkelnya sama ada milik pelanggan atau mungkin milik Naim sendiri tetapi banyak yang sudah tersadai usang.

“Aku tak pandai, Am. Tak pernah aku pegang motor macam tu. Setakat jenis ‘besi-besi buruk’ macam ni aku tahu lah. Lagi pun aku tak punya modal yang besar, kalau ikutkan apa yang kau cakap tu- tak mampu aku bayangkan!”

“Habis tu siapa pula yang nak servis motor aku sepanjang aku di kampung ni? Tahu pula kau di mana nak bubuh minyak enjin tu?”

“Hahaha, motor kau tu fesyen lama! Rupa enjin, block, ekzos semua tak adalah ganjil sangat macam motor-motor besar yang baru-baru ni.” Ketawa Naim bagai mengejek ‘ketidakcanggihan’ motosikal Triumph Bonneville milik Ilham itu.

“Itu jangan kau risau Naim, ada pakar yang akan membimbing selama yang cukup untuk kau bersedia. Genius rempit macam kau, takat benda-benda macam ni apa sangat?” Cabar Ilham pada Naim. Dia kenal Naim, kalau semangat rempit yang pantang dicabar tu masih ada seperti mana usia dia belasan tahun, pasti dia akan menyahutnya tanpa gentar. Kali ini cabaran dalam perkara yang positif- takkan dia menolak pula. Ilham hanya sengih melihat Naim seperti mati kata. Kembang kempis nafasnya seperti tercabar- ini yang Ilham mahu.

“Aduuh, serba salah aku ni Am. Minat juga aku sebenarnya cuma, aku takut tak mampu dan tak faham dari segi modal dan pengurusannya.” Jawab Naim seperti mengeluh.

“Hahaha, kalau itu yang kau kisahkan, ditanggung beres semuanya. Asal kau mahu, sudah! Kira selesai.” Kata-kata Ilham penuh semangat. Naim mengangguk, seperti berfikir jauh dan masih belum bisa tercandu dengan kata-kata Ilham.

“Ya, Naim… ini peluang kau untuk menjadi usahawan yang lebih berjaya. Aku ni lihat semenjak kau berhenti berlumba haram, kau buka bengkel ni- kau dah banyak berubah. Tak lagi buat perkara sia-sia, eloklah sekiranya perubahan itu ada kesinambungan yang lebih mantap buat contoh anak-anak muda yang lain.” Sambung Zarif menyokong cadangan Ilham kepada Naim.

Naim. Naim tak sepandai Ilham dan Zarif pada zaman persekolahan malah, SPMnya pun sekadar cukup-cukup makan. Apalah yang hendak diharapkan pada Naim selain daripada kepakarannya mengubahsuai motosikal dan berlumba haram pada masa lalu. Dia passionate dan obses sekali dengan jentera beroda dua itu. Mahir pula selok belok dan ragam motosikal. Apa saja yang Naim tak boleh lakukan dengan motosikal? Menyeluruh. Dari segi mekanikal dan elektroniknya. Dari modifikasi dan teori kelajuannya memang tak terbilang lagi di kampung ini. Ah, sedangkan dulu ada saja mat-mat rempit ‘bertali-arus’ mendapatkan khidmat ‘consultancy’ Naim- hampir satu pelusuk daerah dan daerah-daerah yang berjiran pun kenal dengan Naim ‘Jockey’. Lagenda ‘hitam’ dunia perlumbaan haram dan terkenal dengan setting motosikal yang tepat dan laju- walau pun pelajarannya tidak ‘selaju’ bakat yang dimilikinya. Nasib baik tidak mati atas jalan sebagaimana nasib rider-rider haram yang lain.

Tetapi, itu dulu. Menurut Zarif, selepas ayahnya meninggal, Naim banyak berubah. Dia anak sulung dan adik beradiknya ramai-8 orang semuanya. Naim hilang tempat bergantung dan untuk menyambung kelangsungan hidup mereka sekeluarga, bermacam-macam pekerjaan yang Naim lakukan. Cakaplah apa saja- menoreh getah, kerja kilang, despatch- belum lagi pekerjaan-pekerjaan yang subhah dan haram yang pernah juga diceburi- informer tonto, runner kepada pusher, bouncer kelab dangdut di Pulau Pinang- demi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Tapi, itu mungkin bukan jiwanya. Dia lebih ‘tenang’ dengan bunyi ekzos motosikal. Lebih ‘bernafas’ dengan asap motosikal dua lejang.

Sebelum itu, Naim hanyut dalam pencarian hidupnya sendirian. Mujur dalam pencarian itu, mungkin kerana takdir, dia kembali bertemu dengan Zarif yang baru sahaja dapat bertukar kerja di kampung halaman sendiri. Bermula sebagai kenalan lama, mereka berubah menjadi kawan dan kini sebagai sahabat karib. Walau pun nampak secara zahirnya seperti Zarif yang menjadi pelanggan setia Naim untuk tujuan berkaitan motosikal tetapi dari satu segi, Naimlah ‘pelanggan’ setia Zarif. Setia mendengar dan menadah ilmu daripada ustaz muda itu.

Alhamdulillah, hidup Naim kini lebih sejahtera dengan bengkel motosikalnya. Bengkel yang beroperasi di belakang rumahnya itu cukup menampung hidup mereka sekeluarga. Dengar cerita ramai juga adik-adiknya kini sudah berjaya ke menara gading hasil daripada usahanya itu. Ilham yang hanya mendengar cerita pun turut berasa bangga. Kalau dulu Naim mengadu ‘kejantanannya’ di jalanan tetapi, apa yang didapati hanya kehidupan ‘pondan’ semata-mata kerana kehidupan tersebut umpama mati sebelum berjuang- hanya ada seronok tanpa tanggungjawab. Kini, dengan usaha gigihnya memikul amanat dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, memastikan mereka kemudiannya dapat berdikari sendiri (malah lebih ‘bersinar’ daripada dirinya sendiri) bukan suatu perkara yang enteng dan remeh. Ini barulah ‘jantan’ yang sebenar!

“Hmmm… beginilah, Naim. Rancangannya akan aku bentangkan dalam taklimat bersama usahawan dan bakal usahawan yang terpilih nanti. Jika ianya berjalan sebagaimana yang dirancangkan, Insya Allah kita akan berjaya. Kalau tidak, kau nampak tu…” kata Ilham sambil menunding jari di luar bengkelnya.

“Apa yang kau tunjuk? Motor kau adalah!” Naim menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“…hah, betullah tu. Bonneville aku tu jadi kau punya. Puas hati?” Cabar Ilham lagi.

“Wah, pemurah betul kau Am!” Balas Naim seperti berteriak. Kalau sudah DNA rider tu rider jugalah.

“Tapi kalau Naim berjaya, Am?” Zarif pula mencelah.

“Kalau Naim berjaya, Bonneville tetap milik dia.”

“Betul ni, Am?” Terbeliak mata Naim kerana teruja.

“Ya, kalau kau berjaya Naim, Bonneville kau boleh ambil tapi bukan aku punyalah. Kau beli la sendiri!” Ilham tertawa puas. Zarif dan Naim turut tertawa bersama walau pun tawa Naim tidaklah sekuat tadi sewaktu Ilham menawarkan Triumph Bonneville percuma kepada dia untuk sebuah kegagalan. Siapa yang tak mahu? Ingat senang ke Ilham hendak ‘menggadaikan’ teman kesayanganmya itu demi memberi semangat kepada orang lain? Gila ooo!

“Kalau macam tu, aku akan sertai kamu berdua nanti. Apa salahnya mencuba, kan?” Ilham dan Zarif serentak berpandangan. Masing-masing faham. Mereka tersenyum puas. Lantas tangan dijabat bersama Naim tanda persetujuan yang paling ‘jantan’ sekali!

****************************************************

Persetujuan Naim bukanlah perkara paling muktamad, kerana untuk mewujudkan konsep perniagaan berasaskan automotive tourism memerlukan pembangunan menyeluruh meliputi barangan dan perkhidmatan yang terpilih. Pusat perniagaan tersebut perlu menjadi seperti bandar automotif. Ada pusat baik pulih, mendapatkan alat-alat ganti, pusat jualan, penginapan, perkhidmatan makanan, aktiviti-aktiviti permotoran, promosi, pendidikan, khidmat nasihat, pusat kesihatan dan lain-lain termasuk juga seni dan kraftangan tempatan. Barulah menyeluruh pembangunannya.

Justeru, Naim hanya ‘bahagian’ paling kecil dan Naim tidak mampu untuk mengendalikan operasi berskala besar seperti itu. Penubuhan koperasi sebagai pentadbir kepada projek ini adalah perlu supaya tenaga-tenaga orang-orang kampung dapat digembeleng- pun begitu, mereka perlu mendapatkan bantuan dan tunjuk ajar pakar-pakar sehingga koperasi ini dapat berfungsi seperti sepatutnya. Ini akan menjadi tanggungjawab Yayasan Ilmi untuk menyediakan sokongan pakar termasuk memantau perjalanan pentadbiran perniagaan yang bakal diuruskan oleh koperasi. Maksudnya, pemilik pusat perniagaan ini akan menjadi hak milik koperasi atau secara tak langsungnya adalah milik orang-orang kampung ini juga- kerana ianya projek komuniti dan bukan milik eksklusif individu tertentu.

Oleh kerana koperasi kampung ini masih baru, usahasama dengan korporat-korporat terpilih akan dilakukan supaya koperasi sudah ‘disediakan’ dengan perniagaan yang ready made. Perkongsian dan usahasama ini kelak akan menjana keuntungan koperasi melalui dividen dan sewa. Selain daripada itu, pembangunan usahawan kampung akan dibangunkan melalui koperasi dengan kerjasama persatuan-persatuan berkaitan seperti pembangunan wanita, desa, peladang dan lain-lain. Pendidikan dan latihan pula bersama-sama dengan sekolah, Yayasan Ilmi dan syarikat-syarikat korporat yang terlibat akan bertindak sebagai rakan kongsi strategik.

Apa yang orang-orang kampung bakal nikmati adalah penjanaan pendapatan melalui syer koperasi- dividen akan dibayar secara bulanan seperti konsep gaji, peluang pekerjaan yang pelbagai, peluang perniagaan dan banyak lagi manfaat yang bakal diperolehi. Pembangunan bandar automotif ini akan menjadi industri ‘eksklusif’ penduduk-penduduk kampung. Kelak, anak-anak kampung yang berkelayakan dan mempunyai kemahiran ini- graduan, tenaga pakar- akan menyambung dan mengembangkan lagi ke peringkat lebih tertinggi. Mereka boleh cari makan dengan pendapatan lumayan di kampung sendiri. Itulah roadmap muktahirnya.
Pemasaran, pengoperasian, pengurusan kewangan dan perkhidmatan sokongan adalah paling fundamental dalam projek ini. Semuanya Ilham telah rangkakan sebagai pangkal kepada segala aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan. Melalui pangkal asas ini, ianya akan memudahkan untuk ‘meliarkan’ lagi percambahan idea pembangunan projek tetapi, apa pun paling utama sebagaimana manusia punya asa, Tuhan jugalah yang berkuasa menentukan segala-galanya- dan senjata utama- doa- itulah perkara pertama yang Ilham akan lakukan sebelum setiap usaha diambil. Mohon pada The Big Boss Yang Maha Besar dahulu. Itu ketertiban yang Ilham anuti. Sedangkan sehelai daun pun takkan boleh berganjak tanpa izin-Nya, inikan pula perkara yang lebih besar hendak dilakukan.

****************************************************

Ilham meneliti rakaman drone sebagai tinjauan lokasi yang bersesuaian untuk projek yang bakal dilaksanakan bersama Zarif. Sesekali Zarif akan bercerita menerangkan perihal pemilikan hartanah orang-orang kampung yang terlibat, lagak seperti narrator dokumentari selari dengan rakaman yang dibuat. Ilham hanya mengangguk-angguk mengiakan sahaja tanpa banyak soal. Sesekali dia mencelah untuk bertanya lebih lanjut jika terdapat kemusykilan.

“Tapi Am, kawasan yang kau spot sebagai tempat yang sesuai tu banyak masalahnya,”

“Masalah apa pula?” Ilham berkeriut sedikit mukanya. Risau juga kalau tempat yang telah berkenan di hati terpaksa dibatalkan. Banyak kerja juga nak pastikan dari segi strategik, fasiliti dan accessibility yang seakan-akan dengan yang dipilih tak dapat dipenuhi oleh lokasi yang lain.

“Banyak tanah kat kawasan tersebut tak tentu pemilik terkini. Masalah pusaka!” Jelas Zarif.

“Pusaka?”

“Yelah, nama dalam geran pasti masih nama arwah. Orang kampung ni kau tahu-tahu sajalah. Selagi cukai tanah dibayar, selagi boleh duduk, selagi itu nama masih nama arwah. Tak peduli langsung nak urus pusaka.”

“Tapi, kalau bab hasil tanah, ada bendang ke, ada dusun ke- masing-masing berebut hak.” Tambah Zarif lagi.

Ilham termenung sejenak mencari solusi. Walaupun perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang dia inginkan terjadi tatkala perancangan sedang dibuat untuk memulakan sesuatu tetapi, sedikit sebanyak – atau paling teruk boleh merencatkan langsung apa yang telah direncanakan.

“Apa kau nak buat tentang hal ni, Am?” Tanya Zarif bagai mendesak.

“Hmm.. adakah orang kampung ni ada masalah menjejaki waris?”
“Setahu aku hanya sebilangan kecil sahaja yang sukar dijejaki. Lain-lain tu Insya Allah, masih lagi pulang ke kampung atau paling tidak pun, tahu lah di mana mereka tinggal,” terang Zarif seperti berkira-kira dengan jawapan yang diberikan.

“Kalau begitu, aku ada caranya.”

“Ah, macam MacGyver saja jawapan kau,” usik Zarif. Ilham ketawa kecil, lucu sedikit bila disebutkan nama MacGyver yang menjadi siri kegemaran mereka waktu kecil-kecil dahulu.

“MacGyver apanya, Rip. Khidmat ‘fardhu’ dah ni. Pusaka ni tertakluk kepada faraid. Yang faham faraid ni pun ramai yang hanya faham bab pecahan pembahagian- itu pun kalau nak banding dengan masyarat terbanyak- ramai yang tak tahu pun faraid. Apatah lagi nak cerita bab At-Takharruj (pemuafakatan waris), roh faraid tu sendiri. Lagi la ke laut dalam perginya.”

“Aku sendiri susah nak kata, Am. Kalau bab faraid memang boleh nak jawab tapi, aplikasi terhadap harta, bagaimana nak buat mereka ni nak muafakat- aku pun jammed juga,” balas Zarif. Mereka ketawa lagi. Memang benar, ada pengetahuan tetapi tidak tahu nak guna pun umpama pakai baju tapi serupa telanjang juga. Sia-sia.

“Jadi, kau ada caranya?” Soal Zarif.

“Insya Allah, ada Rip. Nanti aku terangkan pada kau. Apa-apa pun, kau standby aje,”

“Aye aye, chief!” Tabik Zarif. Ilham spontan menyucuk pinggang Zarif. Zarif mengelak sambil ketawa. Ini macam jenis ustaz pun ada.

****************************************************

Perbincangan semakin hangat. Riuh rendah suasana di balai raya seketika sebelum ditenangkan oleh Pak Baha. Ilham hanya membiarkan sahaja, biar dahulu orang-orang kampung berspekulasi. Biar mereka hadam dan kembangkan idea dan pemikiran. Biar sedikit kontroversi. Ilham hanya tersenyum dalam hati.

“Ini macam nak rampas tanah kami!” Kata seorang lelaki.

“Menang sorak, kampung tergadai!” Tambah seorang lagi.

“Anak cucu kami esok nak duduk mana?”

“Kami nak makan apa esok?”

Ah, pelbagai lagi suara-suara kegusaran, bantahan dan keluhan kedengaran. Itulah. Hanya berani bersuara di belakang panggung. Depan panggung, angkat kepala pun belum tentu berani melainkan beberapa kerat informal leader dari kalangan mereka yang berani bersemuka.

“Tuan-tuan, puan-puan dan sahabat sekelian…,” Ilham kembali menyambung penerangan. Tak pasti sama ada volume speaker dalam dewan ini mengejutkan mereka atau mungkin perhatian mereka yang musykil ini kembali tertarik kepada pokok bicara mesyuarakat pada hari ini- mereka kembali tenang dan khusyuk.

“… saya amat memahami sekiranya ada di kalangan kalian masih khuatir tentang apa yang sedang berlaku. Saya faham sekiranya ada yang tertanya-tanya mengenai apa yang bakal tuan-tuan dan puan-puan perolehi, jaminan hak, pengagihan hasil malah, nasib kalian dan waris-waris kalian pada masa akan datang… saya mengerti sekali,” hadirin masih lagi terpana tidak bersuara.

“… oleh yang demikian, segala perancangan untuk memajukan projek ini bukanlah hanya semata-mata milik saya. Bukan milik sesiapa pun secara eksklusif tetapi, pemilikan projek ini melibatkan kerjasama perkongsian antara di pihak saya dan juga seluruh warga kampung. Tanah-tanah yang bakal dibangunkan seluas 100 ekar lebih ini telah saya teliti dari pelbagai aspek, dan sungguh, milik anda ini tidak akan dipindahmilik kepada sesiapa pun melainkan diurustadbir semula dengan lebih baik oleh mereka yang mahir dan pakar, terdiri daripada pakar-pakar dari pihak kami serta melibatkan pakar-pakar yang kalian semua percayai dan lantik terdiri daripada warga kampung ini juga- pemuda pemudi kita yang berkelayakan.”

“Pajakan tanah kalian ini ibarat tanah yang yang dipanggu. Hasilnya akan diagih-agihkan mengikut luas tanah yang dipanggu, keuntungan bersih semasa dan bakal diagih-agihkan kepada peserta-peserta oleh koperasi kampung ini.”

“Tapi, pajakan tu lama sangat tuan, kami hanya biasa pajak takat setahun dua sahaja,” potong seorang penduduk.

“Betul, lama sangat tu sampai 40-50 tahun!” Sahut seorang lelaki tua di sebelahnya.

“Baik, kalau itu persoalannya, saya akan jawab dengan jujur dan saya harap kalian dapat juga jujur dengan saya,” Ilham tersenyum sahaja. Teringat waktu perdebatan terbuka anjuran universiti semasa belajar di Birmingham dahulu. Orang barat lebih terbuka dan keras sekali persoalan yang mereka ajukan. Tiada soal sensitiviti perlu dijaga. Mereka hanya mahu jawapan bernas yang mampu memuaskan logik akal mereka. Masyarakat kampung masih lagi beradab tertib bila mengajukan persoalan. Walau terkadang ada juga yang sedikit lantang- tapi ini masih lagi dalam lingkungan ketertiban cuma, tidak boleh diperjelaskan hanya semata-mata logik, teknikal dan kewarasan semata-mata tetapi, soal sensitiviti, resam budaya, perasaan dan ihsan perlu diadun dalam perbahasan.

“Adakah di kalangan kalian yang tanahnya bakal dibangunkan tersebut, namanya tercatat sebagai pemilik dalam geran?” Penduduk kampung terdiam dan saling berpandangan. Ada yang menggeleng sesama mereka dan ada sedikit bunyi seperti humming bak lebah madu menghinggapi bunga. Berdengung-dengung seketika.

“Itu tidak menjadi soal, tuan. Tanah tu hak kami turun temurun,” sahut seorang lelaki yang sama- yang kerap bangun membangkang apa jua yang hendak dicadangkan. Seperti biasa dalam setiap acara apa pun pasti ada watak seperti Dennis The Menace seperti ini. Orang seperti ini perlu segera ‘dimatikan’ dengan cara berhemah sebelum ‘ideologi’ mereka ini mempengaruh orang-orang lain seperti kerasukan. Itu bakal mengundang barah.

Pak Baha berbisik kepada Ilham. Ilham hanya mengangguk-angguk, tanda faham.

“Saya setuju dengan apa yang dikata oleh Abang Hamzah tadi,” sambung Ilham tenang. Lelaki yang lantang bernama Hamzah itu sedikit tercengang- mungkin kerana dia tidak menyangka Ilham akan menyebut namanya (ini pun sebab Pak Baha berbisik tadi, mengenalkan, dan ada sedikit perkara lain yang disampaikan).

“…ya, ini soal tanah yang diwarisi turun-temurun. Tanah pusaka, bukan?” Hadirin seperti mengiakan. Memanglah tanah pusaka, kalau mereka tak mengakui pun, semua sedia maklum.

“Boleh jual?” Saja Ilham bertanya lagi untuk menambahkan derita mereka.

“Siapa yang pernah cuba untuk menjual tanah ini? Tentu sahaja tak boleh melainkan, kalau nama tuan-tuan atau puan-puan telah tercatat sebagai pemilik tanah. Kalian boleh dakwa apa saja tentang tanah tersebut tetapi dari sudut perundangan dalam Akta Tanah- kalian BUKAN PEMILIK TANAH tersebut!” Mereka masih terdiam. Sengaja Ilham memandang tepat kepada Hamzah sewaktu menekankan ayat BUKAN PEMILIK tersebut. Nampaknya dia terkesan. Kelu tidak berkata apa.

“Begini, sahabat-sahabat yang saya kasihi sekelian. Untuk lebih jelas perihal tanah pusaka dan pewarisan ini, saya jemput semuanya hadir pada ke masjid malam ini untuk kuliah maghrib berkenaan perkara yang telah dibangkitkan oleh Abang Hamzah tadi, semoga lebih jelas perihal tanah pusaka.”

“Tetapi apa yang ingin sampaikan di sini adalah-Pertamanya; Pembangunan projek ini adalah mirip kepada inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh pihak kerajaan Malaysia dalam konteks pembangunan luar bandar dan perancangan bandar. Seperti mana yang kita dengar dan lihat contohnya, industri desa dengan satu produk, satu kampung. Kini, pembangunan tersebut bukan lagi dilihat dari skala kecil tetapi lebih kepada secara komersil berskala besar. Berapa banyak projek seperti satu produk, satu kampung yang bungkus dan gagal? Ini kerana pelbagai faktor dan kelemahan-kelemahan perlaksanaan yang tidak diambil serius dan ianya hanya gah masuk TV dan surat khabar semasa dirasmikan tetapi seperti kekurangan ilmu dan bantuan sokongan secara berterusan melalui pemantauan pakar-pakar tak ada. Bagi duit, suruh buat, dah buat- pasaran pula tak ada atau terlalu perlahan. Maka, matilah. Bungkus.”

“Keduanya; Penglibatan projek ini bukan saja melibatkan antara saya dan kalian sahaja. Projek ini melibatkan pembangunan menyeluruh kementerian-kementerian dan juga agensi-agensi kerajaan secara bersepadu mengeluarkan peruntukan sehingga ratusan juta untuk membangunkan pembangunan seperti ini. Kementerian Luar Bandar, Kementerian Perlancongan, Kementerian Sains dan Teknologi, Belia dan Sukan, Sumber Manusia, Kewangan, Pelajaran dan lain-lain telah menerima inisiatif ini melalui cadangan Yayasan Ilmi, sebagai pelaksana. Usaha ini bukan sahaja sekadar pembangunan berbentuk material tetapi juga melatih kemahiran pengusaha-pengusaha secara kolektif, pembangunan tenaga pakar muda dari kalangan peserta, seterusnya memastikan kemandirian pembangunan ini berterusan sehingga setiap daripada kalian, anak-anak kalian dan generasi seterusnya dapat memanfaatkan kemahiran ini sebagai punca nafkah yang lumayan tanpa perlu mengemis kerja di bandar-bandar besar.”

“Ketiga: Nilai kehidupan dan kerohanian. Ini ibarat bisnes keluarga. Satu kampung ini adalah keluarga yang besar. Kita kenal keluarga kita. Setiap daripada kita tidak sama kebolehannya, tidak sama tahap akal fikirannya dan takkan boleh sama kemampuannya. Atas sebab ketidaksamaan ini, apakah tidak ada sebab untuk yang kuat mendukung yang lemah, yang bijaksana memikirkan penyelesaian kepada yang bermasalah, yang sihat membantu yang sakit, yang celik memandu yang buta dan yang pandai mengajarkan yang jahil? Percayalah, setiap apa yang dijadikan oleh Allah SWT tiada yang sia-sia. Sedangkan batu dijalanan seperti tidak berharga itu boleh digunakan untuk membina bangunan yang indah tersergam, apakah kalian itu lebih rendah nilainya dari sebiji batu?” Hadirin terdiam membatu. Ya, bagai kena dengan cerita batuku itu. Ilham hanya tersenyum dalam hati. Dia menjangkakan ramai yang akan tersentap dengan ayat ‘sekolah’ sebegini.

“… jadi, apakah tempoh pajakan selama 40 hingga 50 tahun yang kalian gusarkan kehilangan hak tersebut lebih besar daripada apa yang saya katakan tadi?”

“Tahukah kalian, tempoh pajakan tersebut adalah tempoh pemantauan untuk memastikan projek ini benar-benar dalam landasan yang betul, kos pelaburan pula dapat dipulangkan semula kepada kerajaan melalui kutipan cukai dan tukaran asing. Adakah kalian berfikir, kalian atau anak-anak kalian atau waris-waris kalian yang benar-benar mahir mengendalikannya dalam tempoh singkat? Jika kalian semua telah bersedia, dan pakar-pakar kami yakin berkenaan keupayaan kalian kelak, projek ini akan diserahkan terus kepada koperasi kampung ini sepenuhnya- yang mana sebagai peserta, kalianlah orang paling beruntung.”

“Hasil yang kalian dapatkan sebanyak RM18-20 ribu setahun untuk tanah bendang seluas 3-4 relong atau hasil-hasil tanah yang belum tentu kutipannya termasuk tanah yang terbiar yang penuh semak dan menerung- yang pasti tak ada hasil- apakah ini yang kita maksudkan untuk diwarisi oleh anak cucu kita?”

“… dan dalam perkiraan saya, sekurang-kurangnya penjanaan pendapatan yang boleh dinikmati bersama secara minimumnya adalah sebanyak RM2-3 ribu sebulan dalam tempoh tahun pertama pengoperasian bergantung kepada keluasan tanah yang dimajukan. Belum lagi masuk gaji pengusaha dan agihan keuntungan melalui koperasi.”

Hadirin di dalam dewan orang ramai ini masih terdiam bagai menaakul perkara yang rumit sekali.

“Seperti mana yang saya katakan awal-awal tadi, saya amat memahami kekhuatiran sahabat-sahabat sekelian. Mungkin kalian khuatir tentang terputusnya punca pendapatan terutamanya, untuk tanah-tanah yang masih diusahakan. Janganlah bimbang, sepanjang projek ini dibangunkan, pampasan pendapatan akan diberikan kepada yang layak.”

“… hak tanah kalian, masih tetap hak kalian malah, terdapat lagi imbuhan dan faedah-faedah sampingan yang telah saya jelaskan. Apakah kita masih mahu menyanggah pembangunan atas alasan dan anggapan semata-mata?”

“Ada sesiapa yang tidak bersetuju?”

Pada saat ini, hadirin masih lagi membisu. Bisu tetapi Ilham pasti hati mereka telah berkata dan menyetujui apa yang dia katakan. Bisu dan diam tanpa ada lagi bangkangan- ini tanda awal sebuah kemenangan.

****************************************************

Seusai solat Maghrib, kuliah berkenaan kefahaman faraid dan tadbir urus harta pusaka di sampaikan oleh Ustaz Ahmad Soleh, seorang dai’e ilmu faraid dan pakar pusaka. Berbondong-bondong khalayak datang ke masjid malam ini melebihi hari-hari yang biasa. Ada yang tak pernah muncul di masjid pun hadir malah, lebih awal lagi daripada tok bilal sendiri- bak kata Zarif. Hampir semua yang hadir pada mesyuarakat siang tadi, hadir untuk melanjutkan kefahaman seperti yang telah dicetuskan oleh Hamzah. Sebenarnya, Ilham telah awal-awal menjangkakan hal tersebut melalui siri perbincangan dengan Zarif dan Pak Baha sehari dua sebelum mesyuarat. Ilham telah mengkaji latarbelakang lokasi dan isu-isu setempat sebelum sebarang pembentangan dapat dibuat. Kalau hanya sekadar menyondol membabi buta, apa hasilnya. Sebelum mendapat ikan, pasanglah lukah dahulu. Takkan ikan boleh dapat hanya menyeru dari atas darat. Jadi, kuliah Maghrib daripada penceramah jemputan ini bukanlah sekadar kebetulan semata-mata.

“Ustaz, saya nak tanya… tanah yang saya duduk sekarang ni asalnya milik ayah saya. Kami ada 4 beradik- saya anak sulung lelaki dan adik perempuan saya 3 orang. Jadi Ustaz, saya faham sebagai anak lelaki tentu saja saya lebih berhak untuk mewarisi tanah pusaka tersebut berbanding adik-adik perempuan saya yang lain… betul, Ustaz?” tanya seorang lelaki dalam pertengahan 50an dalam kuliah tersebut.

“Untuk menjawab soalan tersebut, saya ingin bertanya kepada tuan- semasa arwah meninggal, siapa waris yang masih hidup ketika itu?” Ustaz Ahmad Soleh meminta kepastian. Lelaki tadi bagai termenung sejenak, memikirkan sesuatu.

“Hmmm, pada waktu itu arwah mak saya masih ada, kami 4 beradik…”

“Saya cuba jawab secara ringkas, sebab untuk lebih terperinci kenalah kita bincang lagi persoalan salasilah ni lebih lanjut tetapi kalau mengikut maklumat yang Tuan berikan tadi, pembahagian hak faraid terhadap waris-waris arwah ayah Tuan adalah seperti berikut:

Pertama: Bahagian ashabul furud yakni fardhu kepada pasangan maka, ibu tadi memiliki hak 1/8 atas sebab arwah memiliki anak iaitu Tuan dan 3 beradik perempuan tadi.

Keduanya: Baki 7/8 tadi adalah bahagian Tuan dan adik beradik perempuan dikira melalui nisbah 2 kepada 1, iaitu 2 bahagian kepada Tuan dan 1 bahagian bagi setiap anak perempuan tersebut…” Ustaz Ahmad Soleh mula menulis sesuatu, sesekali beliau menekan-nekan telefon bimbitnya seperti mengira sesuatu.

“Maka setelah congakan pembahagian yang saya buat.. hak ibu adalah 5/40 untuk keseluruhan harta, Tuan mendapat 14/40 dan setiap adik beradik perempuan Tuan sebanyak 7/40. Jadi tuan, untuk memikirkan soal berhak atau tidak anak lelaki seperti tuan lebih layak berbanding waris-waris yang lain tidaklah begitu benar kerana kalau dicampurkan setiap bahagian anak perempuan, mereka memiliki hak sebanyak 21/40 atau 52.5%. Lebih banyak lagi daripada bahagian tuan yakni hanya 35% dan campur baki bahagian asobah menjadi 47.5% sahaja! Jadi maknanya majoriti bahagian tanah tersebut sebenarnya adalah milik waris-waris yang lain.” terang Ustaz Ahmad Soleh. Terkejut lelaki tadi dengan penjelasan yang didengarinya.

“Ingatlah hadirin muslimin dan muslimat sekelian, Allah SWT telah berfirman dalam pelbagai ayat berkenaan larangan atau amaran berkenaan memakan harta batil ini sebagaimana maksud dalam Surah An-Nisa ayat 29: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 168: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

“Seterusnya maksud hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad-nya, dari Kaab bin Ujrah radhiallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh dari harta yang haram. Neraka lebih layak untuknya- dan banyak lagi hadis-hadis sahih berkaitan ini, tetapi cukuplah sedikit sebanyak dalil-dalil yang hendak saya sampaikan buat renungan dan pengetahuan jemaah sekelian ”

“Justeru, hadirin yang saya hormati sekelian, amat berat sekali persoalan harta pusaka ini. Jangan kita melengah-lengahkan atau sambil lewa pengurusan harta pusaka ini kerana harta pusaka ini melibatkan hak waris-waris lain. Andai kata setiap hasil yang tumbuh dari tanah tersebut contohnya, dalam kes Tuan yang bertanya tadi, sekiranya hasil tanah tersebut adalah durian, dari 40 biji- maka sebanyak 19 biji saja yang Tuan berhak terhadapnya. Andai kata Tuan telah mengambil lebih daripada itu dan waris-waris lain tidak redha- secara automatiknya, Tuan telah termakan harta batil. Haram hukumnya.”

“Namun bukan tidak ada jalan keluar dari permasalahan ini, saya akan hadir lagi pada bulan hadapan supaya jemaah yang hadir dapat mewarwarkan kepada sahabat-sahabat lain yang mempunyai masalah urus pusaka ini dan bersedia mengumpulkan waris-waris terdekat untuk memulakan proses urus pusaka. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian jangan bimbang dengan kosnya kerana segala proses urus pusaka kelak bakal ditaja oleh pihak Yayasan Ilmi dan mereka telah berhubung dengan Pejabat Pusaka Kecil untuk memudahkan urusan ini.”

“Bagaimana kalau ada waris yang tidak dapat dijejaki, Ustaz?” soal seorang jemaah.

“Secara ringkasnya, bahagian waris yang tidak dapat dijejaki akan dipegang amanahnya oleh koperasi kampung ini sehingga ianya dituntut oleh waris tersebut.” Jelas Ustaz Ahmad Soleh.

Sebelum menunaikan solat fadhu Isyak pada malam tersebut, ramai jemaah saling bersalaman dengan Ustaz Ahmad Soleh dan mengucapkan terima kasih atas penjelasan beliau. Ramai yang tidak sedar dan hanya beranggapan sembarangan berkenaan isu pewarisan tanah pusaka ini. Ramai yang terjunam ke dalam fitnah harta pusaka ini kini, menghulur tangan meminta diselamatkan. Alhamdulillah, sesungguhnya hanya pada Dialah kita sembah dan memohon pertolongan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience