Bab 19: Merangka Kembara

Romance Completed 5295

“Kak, boleh Hanis tanya sesuatu?” Hanis memandang Linda yang sibuk dengan komputer ribanya, masih bekerja pada malam ini.
“Hmm… sekejap, ya Hanis. Akak tengah balas emel penting ni.” Kata Linda serius. Pun begitu, masih nampak cantik. Hanis seperti terpesona. Cemburu pun ada.

“Ok, siap. Apa tadi?” Tanya Linda mesra. Semenjak lebih sebulan dua bersama, sebilik pula- mereka menjadi sangat akrab bagai adik beradik.

“Oh, tadi apa ya? Haa.. Hanis nak tanya akak- waktu Abang Ilham pulang dari England, berapa lama dia tinggal dengan Tan Sri?”

“Eh, Hanis tahu tentang itu? Tentu Ilham ceritakan?”

“Alah, sembang-sembang kosong dengan Abang Ilham. Hanis tanya bagaimana Abang Ilham boleh kenal dengan akak.”

“Begitu. Dah mula menyelidiki ‘musuh’, ya?”

“Ish, akak ni… takkan sampai bermusuh. Hanis dah anggap akak ni macam akak Hanis sendiri.”

“Betul? Akak pun sayang Hanis macam adik sendiri.”

“Jadi, soalan tadi tu?”

“Sekejap... hmm… rasa-rasanya dalam 5-6 bulan juga. Banyak juga perkara dalam tempoh itu. Selepas itu, dia kata ada urusan di England. Lama juga dia menghilang.”

“Hilang? Tak ada hubungi langsung akak?”

“Berbulan-bulan tak ada khabar berita. Kemudian, dia hubungi akak sebab nak beritahu dia bersama dengan Yayasan Ilmi. Lepas tu hilang semula berbulan-bulan, rupa-rupanya dengan Hanis kat sini.” Hanis ketawa kecil dengan usikan Linda.

“Lama juga dia tidak bertemu dengan akak, ya?”

“Itulah, semenjak dia kembali ke England dan kemudian berjumpa di KL, rasa-rasanya lebih setahun.”

“Hanis tak dapat bayangkan kalau tak jumpa Abang Ilham selama itu. Hebatlah kak.”

“Bergantung juga Hanis. Akak ni sebab rutin harian memang sibuk dengan kerja. Kalau berseorangan itu, menitik juga air mata akak menahan rindu. Lepas tu akak jadi marah dengan diri sendiri, sedih sebab orang yang kita kenang-kenangkan seperti tak pedulikan kita.” Ada sedikit getaran emosi dalam nada suara Linda. Hanis pun berasa dekat sekali dengan perasaan itu. Dia pun pernah merasakannya cuma tidaklah sebegitu panjang dan lamanya ‘sakit’ seperti yang dialami oleh Linda.

“Sabar, ya kak. Insya Allah, semua akan baik-baik belaka.” Hanis memeluk Linda begitu erat. Pelukan itu bukan sekadar untuk menenangkan Linda sahaja tetapi juga perasaan Hanis juga.

“Sudahlah, Hanis. Nak sedih-sedih pun tak ada siapa peduli. Tapi, itulah- bila berjumpa sahaja dengan dia, terus saja boleh baik! Pelik kan?”

“Betul kata akak. Kadang-kadang waktu Abang Ilham buat tak tahu saja tu, sakit hati rasanya. Tapi, bila sekali dia tersenyum pada kita- cair jiwa raga.” Mereka ketawa. Ketawa orang yang angau.

“Eh, Hanis bila cuti sekolah?” Linda mulai teringat sesuatu. Walau pun dalam ‘jadual’ tindakan telah ‘direkodkan’ dalam mindanya, takut pula dia terlupa lantaran kesibukan rutin hariannya yang sibuk.

“Dah dekat dah kak. Minggu depan dah mula. Kenapa, kak?”

“Berapa lama? Hanis ada komitmen lain tak, pada masa itu?”

“Cuti 3 minggu, nasib baik tak ada kursus atau tugasan lain. Memang lapanglah.”

“Bagus, Hanis ikut akak, ya? Kita melancong- akak taja semua!”

“Wah, seronoknya! Jangan akak ajak Hanis pergi Langkawi sudah.” Hanis mengekek ketawa apabila disebutkan nama Langkawi.

“Kita pergi luar negaralah, Hanis. Eh, kenapa dengan Langkawi pula? Kan seronok Langkawi tu?”

“Haha.. tak ada apa-apalah, kak. Teringat Abang Ilham ajak pergi Langkawi. Ada ke patut, kita ni sampai dah jemu berkursus, berkonvensyen di Langkawi, dia ajak pergi Langkawi lagi!”

“Tak, tak… Hanis dah ada paspot kan? Kita nak ‘terbang’ ke England, ni.”

.“Ada dah. Pergi England, ya? Macam ada plan baik, saja? Birmingham?”

“Ya, apa lagi misi kita, kan? Jadi? Kalau jadi, akak tempah tiket sekarang.”

“Positif!” Bersemangat sekali Hanis menyetujui cadangan Linda. Tentu rasa terujanya bukan saja dapat melancong percuma dan ditaja tetapi, menyelidiki jejak Ilham di sana pasti menarik sekali.

********************

“Betul? Bila nak berangkat?” Tanya Ilham seperti kehairanan. Pada Ilham bukanlah hairan mengenai hubungan mesra Hanis dan Linda- kerana pastinya menjadi rakan sebilik menjadikan mereka lebih akrab. Apa yang menjadi kehairanan, mereka berdua selalunya hendak ‘berkepit’ saja dengannya ke mana saja. Kalau tidak Hanis, tentu Linda. Sudah seperti menjadi sistem penggiliran orang bermadu pula.

“Tentu sekali. Esok kami akan berangkat. Lin nak luangkan masa bersama Hanis, masa untuk gadis-gadis sahaja!” Ceria sekali Linda membalas soalan Ilham.

“Tetapi, ke mana?”

“Itu rahsia kami!” Celah Hanis pula. Linda dan Hanis saling berpandangan dan mereka ketawa seperti ‘mempermainkan’ Ilham. Ilham hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Tak mahu beritahu tak mengapa. Yalah, dah ada kawan- kita ni sudah tak penting kan?”

“Alahai kasihannya biarkan Abang Ilham kat sini sorang-sorang. Tapi, Hanis dah tinggalkan seorang perempuan cantik untuk temankan abang kat sini, tau?”

“Oh, ye ke? Bertuahlah abang macam tu. Siapa?” Ilham tersengih-tersengih.

“Kak Timah!”

“Kak Timah?”

“Iya, tak cantik ke Kak Timah tu?”

“Er…” Ilham putus kata. Bertambah-tambah lagi derai tawa Hanis dan Linda. Kak Timah? Aduh, kenapa janda anak lima, berbadan gempal, berbaju gemerlapan berwarna terang merangkap ‘internet jalur lebar’ serta ketua persatuan wanita kampung tersebut yang menjadi pilihan.

“Hmm.. sementara dalam proses pembinaan sekarang, Am kan sudah ada masa lapang. Tak ada rancangan nak ke mana-mana?” Linda menukar topik bicara setelah puas dia dan Hanis mengenakan Ilham.

“Belum ada lagi, Lin.”

“Papa dan mama tanya kalau Am nak sertai mereka pergi umrah?”

“Menarik. Tapi, Am ada kerja yang perlu dibereskan. Hmm… apa kata kalau Tan Sri dan Puan Sri ajak Pak Baha dan Mak Mah ke sana. Tentu lebih seronok begitu.”

“Betul juga. Nanti Lin tanyakan papa dan mama. Mereka pasti gembira kalau ada kawan ke sana. Eh, Hanis jangan lupa tanya ayah dan mak Hanis, ya?” Hanis hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience