Ilham bangun awal pagi ini. Mungkin seawal mergastua mencari rezeki. Tetapi, mungkin kalah sedikit dengan ayam yang berkokok yang mengejutkannya tadi. Bergegas dia bangun untuk segera ke surau bersama Pak Baha dan kali ini dia tahu selain dari ayam dan Pak Baha, Mak Mah terlebih dahulu bangun sebelumnya. Rasa kemenangan tadi terus lebur.
“Makcik, tak usahlah susah-susah begini. Saya ingat lepas ni nak ke warung Mak Jah depan surau lepas solat Subuh nanti.”
“Apa yang susahnya? Lapik sedikit perut tu,” gesa Mak Mah, mendesak.
Ilham hanya akur. Orang berbudi kita berbahasalah. Kalau ditolak juga, mungkin kecil hati tuan rumah. Lagi pula, rezeki awal pagi jangan ditolak, takut-takut sampai ke petang mendapat murka. Banyak pula halangan nanti. Boleh jadi.
“Ilham, kau ada apa-apa kerja pada pagi ni?” Tanya Pak Baha.
“Oh, banyak sekali pakcik. Ingat nak cari kawan-kawan lama dan ke rumah saya. Tengok kalau ada apa yang boleh dibuat.”
“Kalau begitu, nanti kau ambil kunci rumah kau tu siap-siap. Pakcik dengan makcik ada hal di balai raya. Ada mesyuarat dan sedikit jamuan. Ingat nak ajak kau ke mesyuarat jawatankuasa kerja kampung, manalah tahu kalau ada idea England yang boleh kita pakai..” sengih Pak Baha cuba berseloroh.
“Rugi rasanya saya menolak tapi, apa boleh buat. Lain kali saya ikut ya, pakcik?” Ilham menolak lembut ajakan Pak Baha. Pak Baha hanya tersenyum membalas, tanda ianya tidak menjadi sesuatu yang mengecewakan.
“Jom, dekat nak azan dah ni.”
Ilham segera menghabiskan sarapan sedikit gelojoh untuk segera menyertai Pak Baha yang telah sampai ke ambang pintu. Mak Mah hanya menggeleng melihat telatah Ilham bagai melihat telatah anak-anak kecil yang nakal yang sering merunsingkan fikiran orang tua mereka. Lebih teruk lagi kalau anak-anak kecil tadi adalah ‘remaja’ berumur 35 tahun seperti Ilham. Ilham ketawa dalam hati, membenarkan apa yang mungkin difikirkan oleh Mak Mah.
****************************************************
Seperti yang diduga, Zarif bagaikan disambar kejutan elektrik beribu volt. Berkali-kali dia menggosok-gosokkan kelopak mata dan tidak terkira dia bertanyakan soalan yang telah ditanya. Bagi seorang yang cerdas akal dan fikiran, yang elok pula budi pekerti; tentu sekali reaksi yang ditunjukkan itu tidak cocok dengan tahap dirinya yang menjadi sanjungan orang-orang kampung.
“Hish, macam tak percaya aku. Betul ke kau ni, Ilham? Muhammad Ilham Hilmi?” Tanya Zarif untuk entah berapa kali.
“Sekali lagi kau tanya, Rip… aku tanggalkan jubah kau kat sini,” kata Ilham hampir berbisik, lagak seperti memberi amaran keras.
“Jangan macam tu, Am… aku mengaku kalah.” Ujar Zarif sambil mengelak cucukan jari Ilham ke pinggangnya. Geli.
Jemaah solat Subuh kian berpusu-pusu meninggalkan surau. Sesekali ada juga yang memerhatikan telatah mereka berdua, penuh dengan tanda tanya namun, tidak pula di antara mereka mempersoalkan atau datang bertanya. Daripada reaksi Ilham dan Zarif itu, mereka mungkin boleh mengagak yang Ilham adalah kenalan Zarif. Ada juga yang datang menyapa dan bersalaman tetapi, begitu-begitu sajalah dan kemudian berlalu pergi. Dalam sebilangan mereka itu, ada sesetengahnya yang Ilham kenali tetapi mereka sendiri kurang pasti dengan siapa mereka berjabat salam. Ilham tidak pula berusaha untuk mengingatkan mereka tentang dirinya.
“Kau senang, Rip? Jom kita ke warung Mak Jah,”
“Kau bernasib baik, Am. Hari ni aku free, cuti ganti. Cuti sebab dua tiga hari lepas aku bertugas di luar kawasan termasuk off day.”
“Kalau begitu, marilah!” ajak Ilham sambil melambai kepada Zarif yang agak ketinggalan.
Zarif menuruti dan mereka menuju ke warung Mak Jah yang berhampiran dengan surau. Dari kejauhan terlihat kelibat beberapa orang pelanggan sedang menikmati sarapan dengan berselera. Ada juga yang sedang membaca akhbar dan tak kurang pula melahu menunggu pesanan yang diminta.
Pelayan-pelayan warung Mak Jah pada pagi itu ada lebih kurang tiga orang itu pula kelihatan berpusu-pusu mengambil dan menghantar pesanan. Tidaklah sesibuk mana berbanding dengan restoran mamak di Kuala Lumpur pada waktu pagi tetapi cukup produktif untuk sebuah warung kampung yang kecil ini.
Sesampai sahaja di warung Mak Jah, ramai pelanggan warung menyapa mereka berdua; sebenarnya kepada Zarif yang lebih dikenali sebagai imam muda kampung dan Ilham hanya tersengih bak kerang busuk. Sementari Zarif berbasa basi dengan pelanggan-pelanggan lain, Ilham segera mengambil tempat yang strategik; pandangan yang menghalang ke arah bendang yang terbentang berlatarbelakangkan banjaran Gunung Jerai yang tinggi mengawan dan dapat pula melihat keluar masuk pelanggan ke warung Mak Jah. Mungkin boleh bertemu muka-muka yang pernah dia kenali dulu. Rata-ratanya pada waktu begini ramai sekali orang-orang tua bersarapan setelah selesai solat Subuh tadi. Yang muda-muda nampaknya daripada sekumpulan yang kelihatan seperti jemaah tabligh. Baguslah, muda-muda lagi sudah aktif berdakwah mengembangkan syiar Islam.
“Berapa lama kau nak tinggal di kampung ni, Am?” Tanya Zarif memulakan bicara. Ilham hanya diam sebentar menunggu Zarif memesan makanan daripada pelayan yang kebetulan datang bertanya dan kemudian Ilham pula menurut Zarif untuk pesanan yang sama.
“Kalau seronok, lama sikitlah.” Ilham membalas pertanyaan Zarif apabila pelayan yang bekerja di warung Mak Jah berlalu pergi untuk menyampaikan pesanan.
“Boleh begitu? Macam mana dengan pekerjaan kau, Am? Apakah mereka tidak kisah?”
“Hah, itu kau jangan risaulah. Aku ni macam freelancer. Ada kerja aku buat, tak ada aku melepaklah.”
“Macam tu pun ada, ya? Kalau begitu, menetaplah di sini. Aku pun ada la kawan lama yang boleh ajak lawan bicara.”
“Nak lawan apanya, Rip. Tak terlawan aku dengan hujah kau tu.”
“Ish, mana ada Am… aku kenal kau lama Am. Kut kalau aku ni sampai ke Syria, kau patut dulu dah pergi. Kau kan lebih bijak daripada aku waktu bersekolah menengah agama dulu.”
“Itu kan cerita lama, Rip. Kau yang pergi Syria, aku ‘sesat’ ke negara mat saleh.” Mereka ketawa besar.
“Pengajian agama kau sendiri kan kuat Am. Umur kita masa 16-17 tahun dulu, banyak perkara yang aku masih tak tahu tapi, kau sudah mahir mengenainya-“
“Ah, kau terlalu memperbesar-besarkannya, Rip.”
“Tapi-“
“Tak usah mengimbau hal dulu, Rip. Sekarang ni, kau yang ustaz bukan aku. Bidang agama bukan kemahiran aku- kau tu yang expert.”
“Sayangnya…” Zarif seperti kesal.
“Zarif, jalan setiap manusia tu ada yang mengaturnya,” Ilham cuba mengingatkan Zarif.
“Kau betul, Am. Aku minta maaf. Kadang-kadang kita cenderung melihat sesuatu daripada sudut pandangan kita sahaja. Setiap orang ada tafsir pengabdiannya pada Illahi. Itu cara mereka, dan kita sentiasa fikir cara kita yang terbaik tanpa memikirkan bahawa kita bukan tuan hakim yang menentukan kesudahannya,” Zarif segera sedar untuk tidak menyesali takdir.
“Jadi, apa tujuan kau pulang ke kampung ini selepas bertahun-tahun? Aku kenal kau, Am… tentu ada sesuatu ni. Apa, kau nak kahwin?” Zarif tersengih mengusik.
“Ah, kau ni. Kalau nak dikatakan soal tu, tentu saja aku mahu tapi, itu bukan perkara pokok aku pulang ke kampung. Beginilah, Rip… aku mahu bantuan kau. Aku tahu kau tak pernah tinggalkan kampung kecuali hanya untuk menyambung pelajaran kau sahaja. Kau membesar di sini, kahwin pun dengan Zakiah, kampung sebelah.”
“Hmmm… kalau ada yang boleh aku buat untuk perkara kebaikan, apa salahnya.”
“Bagus, nanti aku ceritakan dengan lebih terperinci. Kau datang rumah aku, ya?”
“Rumah pusaka arwah ayah kau tu?”
“Yalah, mana lagi?”
Ilham telah menerima persetujuan Zarif, kawan lama yang mahu membantu. Zarif pasti mempunyai maklumat yang Ilham perlukan dalam perencanaan aktiviti-aktiviti seterusnya. Zarif bukan sebarang pemuda kampung. Dia amat dihormati sebagai ustaz, imam muda malah mempunyai jawatan yang amat dihormati di pejabat agama Islam negeri. Tentu sahaja, kalau mahu; orang-orang kampung boleh menuruti permintaannya tanpa perlu banyak soal bicara. Kalau keseluruhan aktiviti-aktiviti tersebut diibaratkan sebagai sebuah enjin motosikal, Zarif ini ibarat pelincir. Ilham dah menemui ‘pelincir’ untuk ‘enjin’ dalam rencananya. Kalau bukan Zarif, siapa lagi?
****************************************************
Ilham terpegun seketika semasa memasuki halaman rumah pusakanya itu sehingga agak lama dia membiarkan enjin motosikalnya hidup melahu walau pun, nyata sekali dia telah tiba ke destinasi yang ditujui. Ini kerana mungkin ada ‘godaan’ lain yang membuatkannya bagai tidak keruan sehingga hampir terlupa pula tentang alam sekeliling dan keadaan yang berlaku atau sesuatu yang memerlukan perhatiannya. Nampaknya sesuatu yang ‘menggoda’ itu adalah rumah pusakanya nan sebuah itu. Bagai muncul rasa terharu secara tiba-tiba.
Sepanjang peninggalan keluarga Ilham sekian lama, sekitar halaman rumah ini kelihatan dijaga rapi seperti ada yang penghuninya. Kalau ada ‘kecacatan’ pun, hanya sedikit di bahagian belakang rumah yang telah ditumbuhi belukar kecil. Alah, sedangkan rumah yang sedia berpenghuni pun boleh menjadi little Amazon, inikan pula seperti rumah Ilham yang tidak diduduki bertahun-tahun. Ilham tahu mesti Pak Baha yang mengurus tadbir kediaman ini. Tapi, itulah. Setakat mana yang boleh orang tua tu lakukan- hanya yang termampu mengikut kudratnya yang masih tersisa saja. Alangkan harta sendiri pun banyak dipanggu kepada orang, inikan pula mahu menjaga harta orang lain dengan tiada bayaran- tentu sahaja tidak balik modal. Ilham faham kenyataan itu namun, usaha yang dilakukan oleh Pak Baha sebenarnya melebihi jangkaannya sendiri. Bravo Pak Baha!
Bagai tak sabar untuk menerokai, Triumph Bonneville kesayangan Ilham segera dia ketepikan, bertongkat di bawah pokok mempelam tua di penjuru halaman. Pangkin kayu tempat arwah emaknya melepak, menghirup udara petang pun masih kukuh di situ, walau pun kelihatan sedikit usang dimakan hari. Ada lagi pokok-pokok yang Ilham kenal semasa kecil masih tetap berada ditempatnya dan-
‘Eh, kereta siapa pula tu? Takkan Zarif pula? Kata tadi nak jumpa lepas Isyak..’ bisik hati Ilham. Entah bagaimana, pandangannya tertancap kepada suatu objek ‘asing’ berada di bawah serambi rumah, cantik terletak parkirnya di bawah serambi ibarat porch kereta. Nampak seperti Perodua Myvi atau Suzuki Swift berwarna biru muda. Ilham mengatur langkah menuju ke arah pintu rumah, ingin tahu siapa pula yang mendahului dirinya lagi pada pagi ini. Ini kali kedua kekalahannya untuk pagi ini, Ilham masih bukan menjadi orang yang pertama. Ya, bangun pagi dan kedua- ke rumah sendiri.
Sesampai di muka pintu, tangannya pantas memulas tombol- berkunci pula. Kunci rumah yang diberikan oleh Pak Baha segera dia keluarkan dan dengan 180 darjah pusingan kunci, pintu pun terkuak. Sempat juga Ilham memberi salam sebelum melangkah masuk dan lantas pandangannya tertumpu pula pada ruang tamu rumah yang masih memiliki gaya hiasan yang asal tanpa ada sebarang perubahan. Ya, kerusi rotan kegemaran emak Ilham masih setia di situ. TV Sony tahun awal 90an pun masih lagi berada di tempatnya, atas sebuah kabinet kayu berwarna perang tua. Hiasan-hiasan dinding, foto-foto keluarga, cantik terbela. Semuanya macam tidak berubah sebagaimana yang boleh Ilham ingati sepanjang 20 tahun dahulu. Begitulah rupanya.
Tiba-tiba telinga Ilham tertangkap bunyi air dari arah bilik air, seperti ada orang yang menggunakannya. Ilham lantas menuju ke sana untuk memastikan apakah benar ada lagi orang lain selain daripada dirinya sendiri di dalam rumah ini. Ilham tidak pula memikirkan perkara yang bukan-bukan seperti puaka, jembalang hatta bunian sekali pun yang cuba ‘bermesra’- sebab orang kata untuk rumah yang lama ditinggalkan pasti akan datang ‘penyewa asing’. Itu janggal pada Ilham untuk situasinya kini- takkan puaka pakai Swift. Kalau penyamun , takkan penyamun mahu menyamun sesuatu yang sudah kurang nilainya seperti TV lama, kerusi rotan atau foto-foto lama keluarga Ilham. Barang-barang ini masih jauh hendak dinilaikan sebagai barangan antik yang lebih bernilai. Tambahan pula, kalau penyamun sekali pun; hanya mencari geruh sahaja. Lama juga penumbuk dan silat Ilham ini tak mengenai orang. Untung juga kalau boleh ada sedikit exercise untuk pagi ini.
Ilham berjengket-jengket ke arah punca bunyi yang didengarinya tadi, mengimbangi langkah bagi mengelakkan lantai papan ini berkeriuk dan andai ada penyamun, tentu saja tidak akan perasan kehadiran orang. Kalau kena timing yang betul, tentu sahaja tendangan ‘tanpa bayang’ Abang Man Benggali dapat Ilham ulang semula pagi ini.
Tangga di dapur turuni oleh Ilham dengan cermat dan berhati-hati. Bilik air sudah dalam pandangannya. Ya, betul. Memang ada bunyi air terpasang. Ilham mara perlahan-lahan. Ilham kira sudah macam dalam cerita James Bond dengan aksi yang tunjukkannya. Oh, yang jengket-jengket tu mungkin macam Pink Panther. Dalam keadaan suspen sedemikian, Ilham masih punya sense of humour lagi. Ilham ketawa dalam hati. Lucu pula rasanya.
Pang! Sebiji timba besi hampir saja mengenai kepala Ilham tetapi tersasar ke dinding. Itu nasib baik sempat dielak. Rasa sedikit tergores di dahi. Belum sempat Ilham mengamati dan menenangkan diri, sekali lagi timba itu dihayun balik untuk serangan kedua dan sekelip mata juga, kepala Ilham juga yang cuba disasarkan. Dalam situasi kelam-kabut dan penuh surprise itu Ilham mula nampak peluang untuk bertindak (mungkin atas sebab desakan naluri)- segera dia menyambar tangan yang menyerang, mengilas dan mengunci pergerakan si penyerang dengan tangan kanannya dan tangan kiri pula mencapai leher, mencengkam. Tubuh penyerang berada rapat seperti terdakap di dalam pelukan Ilham, penyerang itu mati langkah.
Si penyerang mula mengaduh, halus pula suaranya. Aroma rambutnya, postur tubuhnya yang rapat dengan tubuh Ilham- ini perempuan! Ilham sendiri terkejut dan serentak pula dia melepaskan cengkaman dan pelukan Ilham yang erat sebentar tadi. Sepantas itu pula dia berpaling dan menghayunkan penumbuknya pula dimuka Ilham. Ilham sempat menangkap tumbukan itu, oh satu lagi tiba- pun dapat tangkap kemas. Tak mungkin penendang pula hinggap sebab kali ini Ilham dapat lihat dengan jelas, penyerang itu hanya berkemban dengan kain batik. Tentu mencari nahas pada diri sendiri saja kalau mahu menendang.
Tuih! Dia meludah betul-betul terkena pada mata kiri Ilham. Terkebil-kebil Ilham cuba melihat, nasib baik mata kanannya masih jelas lagi tetapi, tentu saja sulit sekali hendak mengesat air ludah perempuan ini dengan kedua-dua tangan Ilham masih memegang tangannya. Sepantas dia meludah, sepantas itu pula kepalanya cuba dihantukkan ke muka Ilham. Jenuh Ilham mengelak. Ke kiri dan ke kanan. Nampaknya perempuan ini sangat agresif dan Ilham pula cuba berhati-hati untuk tidak mencederakannya. Ilham tahu kalau dia berkeras, mahu sahaja pengsan perempuan ini dikerjakan. Belum sempat bertanya sudah datang ‘buah’ keras. Macam ni mana boleh tahan. Ilham melepaskan pegangan tangannya sekali lagi, menolak sedikit agar di jauh daripada jangkauan, memberi sedikit masa untuk dia mengelap air ludah perempuan itu. Celaka, ‘main kotor’ pula perempuan ni. Dalam sejarah sepanjang hidupnya, inilah kali pertama dia diludah di muka. Perempuan lagilah enggan nak meludah- yang mahu mencium adalah- teringat pula kisah di Birmingham yang rata-rata minah saleh memang murah dengan ciuman- pun lebih mudah Ilham nak mengelak berbanding seperti diludah pada hari ini. Tak sangka betul!
“Kau siapa!?” Jerit perempuan itu lantas tangannya cuba mencapai apa yang sempat untuk dijadikan senjata. Nampaknya tak ada yang sesuai.
“Kau tu pula, siapa? Suka-suka serang orang. Timba besi tu kalau kena tadi, boleh arwah tau tak?” Ilham memegang dahi. Ya, memang terasa pedih. Bercalarlah agaknya. Nasib baik tak kena kepala tadi.
Ilham memerhatikan perempuan itu atas bawah. Cantik juga orangnya, tambah lagi dengan berkemban macam ni, tentu saja boleh mengundang gelora jiwa. Rambutnya masih basah, mungkin dia baru mandi tadi agaknya. Eh, dia silap rumahkah? Tak mungkin. Kalau silap masuk rumah memang naya Ilham. Tengah dok ‘berdrama’ macam ni, balik ayah atau suami perempuan itu mahu Ilham tak balik lagi 20 tahun ke kampung halaman sendiri nanti. Jadi, siapa perempuan ini? Oh, mungkinkah Hanis? Hanis si cilik dulu? Ya, mungkin juga. Mak Mah kata, Hanis memang kerap ke sini mengemas rumah dan selalu juga menghabiskan masanya di sini. Semasa SPM dan di universiti, rumah keluarga Ilham ini dijadikan ‘markas’ study group dia apabila musim study week tiba, kononnya lebih fokus dan damai di rumah ini. Itu kata Mak Mah. Tak sangka pula si cilik ini sekarang sudah begitu ‘ranum’ sekali- kali terakhir Ilham melihat si cilik ini adalah ketika dia darjah satu atau dua. Ilham tua lebih kurang 10 tahun dari umur Hanis. Ya, begitulah.
Hmmm, nampaknya Ilham ada idea lain. Nama sendiri pun sudah Ilham, berkat atas nama juga tu. Ilham yakin kali ini, perempuan yang dikiranya Hanis ni pasti akan surrender. Dia nak lihat sama ada Hanis boleh tahan atau tidak usikannya ini. Tanpa berlengah, Ilham segera menukar strategi dengan ‘memperagakan’ aksi-aksi nakal, menggoda dan ‘desperado’. Ilham rasa, kalau dia dapat melihat dirinya sendiri di hadapan cermin pasti ianya mengundang rasa mual yang amat sangat. Reaksi yang ditunjukkan oleh Hanis ini amatlah ‘positif’ sekali. Hanis yang tadi bak harimau betina yang garang kelihatan kaget, risau, berkerut, cuak dan- mungkin cuba menahan muntah agaknya- Ilham rasa begitu. Kali ini Hanis lebih takut dan terkejut. Padan muka. Berani lagi ludah muka Ilham. Biar Ilham usik Hanis puas-puas sampai trauma. Baru puas hati Ilham.
“Apa kau nak buat?!” Jerkah Hanis ketakutan. Ada riak ‘ngilu’ dan geli pada wajahnya.
“Marilah, sayang. Meh la abang cium…” rayu Ilham sambil memuncungkan mulut seiras cencorot. Biar bertambah gelinya.
“Pergi kau, syaitan! Jantan sial! Ahli neraka jahanam!”
Pergh, begitu sekali reaksi Ilham terima atas sebab provokasi ‘terlampaunya’. Ahli neraka jahanam tu. Tahap tertinggi untuk sebuah ‘residensi’ terelit penjahat-penjahat. Sampai begitu sekali. Ilham segera mendepangkan kedua-dua tangannya, bagaikan sedang mengepung ayam. Nanti sudah cantik kedudukan Hanis, Ilham akan bermain ‘cekup-cekup’ pula. Ilham menghampiri Hanis perlahan-lahan dengan gaya paling ‘unggul’ yang pernah dia buat. Makin kelam-kabut Hanis. Kekadang ke kiri dan kekadang ke kanan dan pastinya Hanis makin mengundur. Begitulah keadaannya beberapa ketika, macam main galah panjang pun ada. Sesekali Hanis akan menepis tangan Ilham yang mengacah untuk menyambar bahunya. Sesekali kelihatan Hanis seperti berpencak pula. Ikut dari segi gaya langkah, memang nampak gaya silat cekak Iman Baharudin tu ada cuma, tidaklah berapa mantap pergerakannya. Tapi, kalau silap gaya boleh ke hospital kalau kena. Ilham sendiri hampir dipelangkung dengan timba besi. Ini menambahkan keyakinan Ilham bahawa perempuan dihadapannya itu adalah Hanis.
“Hahaha, sudahlah tu Hanis…,” Hanis bagai tersentak apabila namanya sebutkan oleh Ilham.
“Penat dah abang main dengan kamu, pergilah pakai baju.”
“Er, aa.. abang..,eh kau ni siapa?” Nada suara Hanis mulai kendur. Ilham sengaja lambat menjawab pertanyaan Hanis. Perlahan-lahan Ilham menaiki tangga dapur untuk ke ruang tamu.
“Tu lah, lain kali bertanya dulu sebelum bagi ‘hadiah’.” Kata Ilham sinis ketika kakinya menjejaki ke tangga pertama, tanpa menoleh kepada Hanis yang masih termanggu-manggu dan keliru.
“Abang tunggu kamu di luar, bawah pokok mempelam tu.”
Hanis nampaknya akur. Dia mulai tenang dan dapat berfikir lebih jelas tentang keadaan dirinya- bagaikan seperti baru tersedar dia masih berkemban. Sewaktu Ilham mengerling, nampak benar muka Hanis kemerah-merahan kerana malu dilihat dalam keadaan sebegitu. Silap dia juga. Bukankah elok dia hanya tinggal di dalam bilik air dan Ilham boleh bertanya di luar dengan lebih ‘tertib’ daripada berpencak tak tentu pasal.
Ilham segera keluar dari rumah menuju ke pangkin di bawah pokok mempelam tua yang dimaksudkannya sebentar tadi. Takut pula kalau ada orang kampung yang terlihat dia berdua-duaan dengan Hanis. Ini boleh mengundang cerita yang tak enak pula nanti. Lebih cepat mereka menyelesaikan situasi ini, lebih baik lagi untuk mereka berdua. Kalau dilihat orang mereka berdua dia luar rumah, impak ‘penceritaan’ itu tidak seteruk kalau seperti ‘berkhalwat’ di dalam rumah.
Ilham menyalakan sebatang rokok. Jarang juga dia merokok, hanya sesekali untuk waktu-waktu tertentu dan ‘istimewa’. Ilham menyedut asap rokok ini dalam-dalam dan sehabis nafas juga mengeluarkan segala isinya. Inilah yang dinamakan- masuk angin, keluar asap- bak kata Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dalam senikata lagu Bujang Lapok. Memang tak ada makna tetapi adat manusia, yang tiada makna itulah yang menjadi kegilaan dan ketagihan. Ilham mujur sudah kurang merokok. Kalau dulu, sewaktu belajar di Birmingham, rokok bagai teman sejati tambahan pada musim sejuk- buat memanaskan badan. Rokok gulung saja yang mampu pada masa itu sebab di England, rokok dalam kotak memang mahal sekali harganya. Rasanya dalam seluruh negara di Eropah, harga rokok di England adalah paling mahal di dunia. Ilham pasti kerana sepanjang dia berada di Eropah, dia sempat menjengah ke negara-negara Eropah yang lain dan harga satu pek rokok di Belgium adalah lebih separuh harganya daripada England. Ada rakan yang pernah pergi sejauh Poland mendakwa harga rokok di Poland lebih separuh lagi daripada negara Belgium. Maknanya kalau harga satu pek rokok di England adalah £4, harga di Belgium adalah £2 dan Poland hanya £1. Itu harga dulu, sekitar awal tahun 2000. Kini rasanya harga rokok di England lebih mahal lagi. Untuk kaki rokok, harga itu bukan halangan terbesar untuk terus menghisap rokok. Mereka akan terus menghisap rokok walau pun perlu berkompromi dengan jenama dan rasa, asal masih boleh berasap. Itulah godaannya!
“Er, Assalamualaikum…” lembut sekali suara itu menyapa. Ilham menoleh, dan lihatnya sungguh ayu sekali Hanis berbaju kurung lengkap berhijab. Mukanya tertunduk sedikit walau pun dia masih cuba memandang wajah Ilham. Pasti malu atas insiden tadi.
“Waalaikumussalam… er, Hanis duduklah di belah pangkin ni. Abang duduk atas motor saja.”
“Tak apalah, er, encik… eh,” kekok pula Hanis nak menggunakan kata ganti nama abang itu kepada Ilham. Mungkin dia masih sangsi dan curiga. Entah siapa-siapa yang mengaku abang pula.
Begitu cantik aturan-Nya, tatkala Ilham tengah berusaha untuk mendapatkan modal untuk berbicara, terdengar suara salam bersulam deruman enjin motosikal. Bunyi enjin yang sangat mereka kenali. Serentak dengan itu, Ilham dan Hanis membalasnya. Ya, bunyi BSA Bantam Pak Baha! Tersenyum sahaja Pak Baha melihat Ilham dan Hanis di situ. Mak Mah memboncengi Pak Baha turut sama tersenyum. Pak Baha lalu mengambil sedikit ruang dan membrek motosikalnya di sebelah Ilham dan Hanis di tepi pangkin itu. Ilham segera memberi laluan supaya lebih selesa untuk Pak Baha menongkat motosikal dan Mak Mah yang mahu menuruninya. Ilham lihat Mak Mah ada menjinjing mangkuk tingkat sekali sebagai bekalan.
“Nah, Hanis… siapkan makanan ni. Kau dah makan, Ilham?” Tanya Mak Mah lalu menghulurkan mangkuk tingkat yang dijinjingnya ke tangan Hanis. Hanis segera menyambutnya tanpa banyak soal dan lantas menuju ke dalam rumah.
“Kalau makan tengahari ni, memang belum lagi. Buat susah-susah makcik pula.”
“Tak ada susahnya. Ini pun lebihan keraian tadi. Makcik pun tak sempat nak masak jadi, sudah rezeki kitalah hari ni.”
“Eh, kenapa pulak dahi kau bercalar tu?” Tanya Pak Baha ingin tahu.
“Hah, accident berlanggar ranting mempelam yang terjulur tu, pakcik.” Pantas Ilham memberikan alasan. Ranting mempelam yang terjulur berhampiran pangkin ini jadikan mangsa. Kalau pokok mempelam ini boleh berkata-kata, tentu sudah penuh esei dengan makian kepada Ilham bak portal-portal politik di dalam media sosial.
“Cuainya kau nak, nasib baik tak kena mata…” Mak Mah pula menyambung, diperiksanya dahi Ilham bagai anak kecil. Ilham tersengih sahaja diperlakukan seperti kanak-kanak oleh Mak Mah. Pak Baha hanya mencebik, memberi isyarat kepada Ilham tentang tingkah laku isterinya yang seperti ‘merendahkan’ martabat orang jantan seperti Ilham. Begitulah sifat Mak Mah yang penyayang.
“Mak, ayah… er, abang …marilah. Hanis dah siapkan hidangan!” Laung Hanis dari serambi rumah. Laungan Hanis itu tidaklah sekuat mana sebab serambi dengan pangkin di bawah pokok mempelam ini tidaklah jauh jaraknya. Jelas panggilan Hanis itu Cuma tang abang- panggilan kepada Ilham perlahan sedikit bunyinya. Macam dicontrol sahaja nadanya. Mungkin masih janggal lagi.
Mak Mah segera menyahut dan lantas perempuan tua itu mendahului Pak Baha dan Ilham. Mungkin Mak Mah mahu tiba dahulu ke tempat hidangan dan memastikan segala kelengkapan, susun atur, tertib hidangan, resminya, adatnya- pendek kata seperti quality checker lagaknya. Ilham yang agak semberono tak pedulikan sangat mengenai perincian hidangan seperti ini yang Mak Mah inginkan (Ilham dapat merasakan Pak Baha pun tidak secerewet itu) tetapi tidak pada Mak Mah. Layanannya di meja makan memang terpuji, mengalahkan gadis-gadis genit dalam koc business class. Itu sebablah Pak Baha sayang betul dengan isterinya itu.
“Macam kena libas dek orang je tu,” perlahan saja Pak Baha berkata, seperti berbisik kepada Ilham semasa mereka berdua jalan beriringan menuju ke rumah.
“Hahaha, betullah tu.” Ilham hanya mengiakan. Tak guna berbohong pada Pak Baha. Orang tua tu bukan sebarangan, kenal mana pukul, mana jatuh. Adat pendekarlah katakan!
“Siapa buat?” Serius sedikit nada Pak Baha.
“Anak bongsu, pakciklah. Dia ingat saya penyamun, agaknya. Nasib sempat mengelak, kalau tidak, ‘tidur’ saya kat hospital.” Tersengih sahaja Ilham memberitahu. Agak lucu pula peristiwa tadi.
“Astaghfirullah, Hanis…Hanis. Tu la masalahnya kalau anak pendekar ni, Ilham.” Kerut dahi Pak Baha seperti menanggung beban fikiran yang dashyat.
“Tak apa-apalah, pakcik.” Ilham cuba meredakan perasaan Pak Baha yang sedang berperang. Mungkin rasa malu padaku perihal tingkah laku anak gadisnya itu.
****************************************************
“Secara asasnya, aku memang setuju, Am. Tapi, tak tahu pula kalau orang lain mahu turut serta dan faham apa yang hendak kau lakukan itu.” Kata Zarif pada malam itu. Mukanya teruja tetapi terdapat juga tanda tanya yang perlu jawapan segera.
“Kefahaman itu bergantung kepada keupayaan individu, Rip. Sedikit demi sedikit mereka akan faham sebab perkara ini agak besar skopnya. Paling penting mereka faham role mereka sendiri.”
“Jadi, dari mana kau akan mulakan?”
“Pembangunan modal insanlah- yang akan jadi tauke, skilled labournya, finance dan adminnya. Apabila sampai waktunya, masyarakat kampung kita dah bersedia, dah boleh operate dan boleh mentadbir sendiri.”
“Adakah kau nak menyediakannya secara serentak, Am?”
“Ada beberapa bahagian yang aku tengah tengok yang paling asas untuk program ini, pertama untuk bahagian keusahawanan, kedua kemahiran dan ketiga pula pengurusan kewangan. Perlaksanaan latihan ini kita buat secara berperingkat. Aku nak ‘cekup’ dulu taukenya, baru boleh datang yang lain-lain.”
“Jadi, apa perbezaan program yang hendak kau anjurkan berbanding dengan program-program lain yang telah dibangunkan oleh kerajaan dan agensi-agensi berkaitan? Nampak macam serupa saja?”
“Hahaha… kau betul, Rip. Kalau dari segi program memang nampak macam sama, kan? Sama dari segi matlamatnya, Rip tetapi, perlaksanaan tu lain caranya. Dari segi penyediaan platform pembangunan tu, kerajaan dah buat macam-macam; latihan, modal, khidmat nasihat tetapi- dalam dunia perniagaan yang realistik, kita perlu ada 4P!”
“4P?”
“Biasanya orang akan kaitkan 4P ni dengan price, product, promotion dan place- orang marketing pakai 4P sebagai tools atau strategi untuk memasarkan barangan, produk atau pun perkhidmatan. Itu hanya skop yang kecil, terhad pada pemasaran sahaja. Kita perlu melihat 4P yang lebih besar untuk keseluruhan organisasi itu.”
“Jadi, apa 4P yang kau maksudkan?”
“Pemasaran, pengoperasian, pengurusan kewangan dan perkhidmatan sokongan. Setiap satunya akan menyokong dan membantu yang lain bagai sebuah binaan.”
“Oh, aku ingatkan P.Ramlee, P.Kamalanathan-”
“Boleh tahan juga kalau seorang ustaz loyar buruk, kan?”
“Hahaha, jangan marah tuan pengarah… kalau kau jelaskan lagi naik pening aku nanti. Aku fikir, ada betulnya segala langkah program ini aku fahami secara berperingkat juga. Bab ini, kau lah pakarnya. Apa-apa pun aku yakin dengan kau, Am. Kalau ada daya kudrat dan ilhamku, aku pasti membantu.”
“Terima kasih, Rip. Insya Allah, ini bukan untuk orang perseorangan. Ini untuk kemajuan ummah juga.” Zarif hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dari dulu sampai sekarang beginilah rupa dan sifat Zarif. Selagi tidak dipuaskan tanda tanyanya, dia tidak akan berhenti. Dia sentiasa ingin tahu dan sentiasa ingin belajar sesuatu yang dia tidak tahu terutamanya, yang dia yakin ada manfaatnya.
Share this novel