Ilham memandang David Garcia yang duduk berhadapannya dengan tenang dan bersahaja. Dia hanya mengukir senyuman melihat seorang kapitalis tulen ini kelihatan marah sehingga merah padam mukanya. Memang lelaki itu kena check mate malam ini. Pengawal-pengawal peribadi David telah ‘dipeluk’ oleh orang-orang Big Reese. Kini dia berseorangan. Berseorangan di dalam ramainya manusia di Prisma Night Club ini.
“Tenang, David. Kami hanya mahu berbincang.”
“Kamu semua?” David menggelabah melihat Ilham yang kemudian duduk di sampingnya. Dipandangnya kiri dan kanan. Satu persatu ketua-ketua kelab atau presiden kelab-kelab motosikal datang mengerumuni- duduk memenuhi ‘box’(ruangan khas di dalam kelab itu yang ditempah oleh David) dengan mereka berdua. Muka David makin pucat apatah lagi apabila senior bikers seperti Big Reese duduk di sebelah sambil memeluk bahu David seperti ‘rakan’ lama.
“Boleh kita mulakan bicara?” David tidak terkata apa dan hanya mengangguk-angguk kepala tanda akur.
“Beginilah, kami tahu kau bercita-cita tinggi untuk memonopoli bisnes ini. Kami telah semak latar belakang dan cara kau bekerja. Itu sangat menarik hati kami, David.” Kata Ilham, sinis bunyinya.
“Kalian ini siapa? Aku tidak berbuat apa-apa salah pada kalian!” Bentak David, menafikan. Terlupa sebentar yang dia bukan dalam keadaan yang menyenangkan.
“Hahaha… itu lucu sekali, David. Mungkin kalau kau hanya mahu berniaga, memang tidak salah. Tapi, apa yang kami tahu, bukan setakat itu. Kau sendiri tahu jawapannya.” Muka David berubah tetapi segera dikawal supaya tidak nampak seperti orang yang bersalah.
“Apa yang kami tidak suka dengan caramu David adalah sikap tamak, bukan kebijaksanaanmu. Jika kau ada cara untuk mendapatkan alat-alat ganti lebih murah- kami suka. Jika ditawarkan servis dan caj murah- kami gembira- dan apatah lagi jika pelbagai jenama motosikal boleh kau satukan dibawah satu bumbung- kami mengalu-alukannya, David. Itu kebijaksanaan yang kami harus jadikan contoh.” Muka David kembali berdarah apabila disebut-sebut tentang keusahawanannya. Apatah lagi kata-kata Ilham tadi diakuri sahaja oleh presiden-presiden komuniti bikers seluruh Birmingham ini.
“Tetapi apa yang kami tak gemar adalah- demi mencapai maksudmu, kau sanggup mensabotaj bengkel-bengkel dan pusat-pusat jualan motosikal yang lain. Kau masukkan budak-budak kau dalam kelab-kelab mereka ini untuk menjalankan propaganda memburukkan bengkel-bengkel dan pusat-pusat jualan motosikal yang lain. Setiap kerosakan, bengkel itu atau bengkel ini yang buat. Budak-budak yang kau upah, sanggup dengan sengaja merosakkan motosikal sendiri demi untuk membenarkan apa yang mereka dakwa- dan sehingga kau sanggup pula ganti dengan motosikal baru. Paling teruk, kau juga upah mekanik-mekanik yang bekerja dengan bengkel-bengkel tersebut untuk turut mensabotaj pelanggan-pelanggan mereka sendiri dengan upah yang lumayan. Yang diupah sebagai jurujual pula, hanya berlengah-lengah membuat jualan dan senyap-senyap pula mencadangkan pusat jualan syarikatmu. Selepas itu, apabila bengkel atau pusat jualan mereka merudum, kau minta beli dengan harga murah. Jika mereka enggan, kau akan lebih giat lagi menekan perniagaan mereka. Bukankah begitu?” Muka David kembali berubah. Merah padam mukanya.
“Kau tak ada bukti!” Bentak David.
“Bukti, David? Kau sanggup nak lihat buktinya?” Ilham tersenyum bersahaja. Ditenungnya wajah David yang serba-salah, seperti menunggu jawapan- dan David seperti kelu lidahnya. Disoal di dunia pun sudah kelu nak menjawab, kalau di akhirat kelak- ah, manusia seperti ini apa yang dihairankan tentang akhirat, bisik hati Ilham.
Ilham memberikan isyarat- lebih 10 orang lelaki tampil ke hadapan. Lelaki-lelaki merupakan budak-budak upahan David Garcia yang bekerja sebagai penyebar propaganda dan mekanik-mekanik di bengkel-bengkel motosikal sekitar Birmingham. David cuak melihat mereka. Memang sah David kenal mereka. Budak The Stunna yang menikam Ilham tempoh hari turut tunjuk mukanya.
“Ops, ada lagi David. Di sini ada maklumat-maklumat transaksi bank termasuk juga transaksi pembelian dan pendaftaran motosikal baru yang tertera antara kau secara peribadi atau syarikat yang kau miliki dengan mereka sebagai balasan untuk mereka lakukan kerja-kerja kotor yang kau arahkan.” Ilham mencampakkan fail di atas mejanya untuk disemak oleh David kalau masih enggan mengaku.
“Er..aku..aku,” David cuba bersuara. Tersekat-sekat dan pucat sekali mukanya ibarat melihat malaikatul maut di hadapan mata.
“Tenang, David. Seperti mana yang aku katakan tadi, kami hanya mahu berbincang. Kalau kau enggan, jangan salahkan kami kalau kau tidak dapat ‘hidup’ dengan perniagaanmu di bumi Birmingham ini.” Kata-kata Ilham ini menyebabkan David seperti terkena renjatan elektrik. Memang ‘hilang’ nyawa dan semangatnya untuk melawan lagi. Dirasakannya, manusia yang begitu lemah lembut bicaranya ini bagai raksasa yang amat besar sekali. Dia bagai semut yang sangat kecil. Apatah lagi, kata-kata lelaki bernama Ilham ini disambut dengan sorakan semangat oleh orang-orang yang mengikutinya.
“Begini, David… kami sedia memaafkan kau dengan senang hati, tak begitu Big Reese?” Ilham mengalihkan pandangannya pada Big Reese yang masih memeluk bahu David.
“Oh, itu kalau ada kau di sini, bro. Kalau kau tak ada, kami akan melanyak si bangsat ni sampai mati.” Perlahan sahaja Big Reese berkata sambil sebelah tangannya menepuk-nepuk dada David. David kembali pucat. Ilham tahu Big Reese hanya berseloroh- dalam pada masa yang sama memberi amaran keras kepada David.
“Kau cuma terlupa satu perkara asas dalam perniagaan, David. Perniagaan bukan untuk melayan seleramu, sebagai pemilik perniagaan. Perniagaan adalah bagaimana kau dapat memenuhi selera komuniti yang memerlukannya. Dalam komuniti permotoran di sini, mereka yang kau lihat hari ini mewakili komuniti besar yang mempunyai ‘kuasa’ untuk menyenaraihitamkan atau memboikot sehingga ‘mati’ perniagaanmu, David- dari bengkel yang kau ada, dari pusat jual beli yang kau miliki- mereka boleh pastikan komuniti mereka tidak ‘berselera’ atas apa saja yang kau tawarkan. Kau faham?” David hanya mengangguk-angguk lemah.
“Justeru, kami mahu kau serahkan semula bengkel-bengkel dan pusat jual beli yang telah kau aniayai kepada pemilik sebenar. Berniagalah secara jujur lagi benar, David. Kalau kau jujur, kami sebagai komuniti bikers di Birmingham akan sentiasa menyokongmu.” David berasa lega. Dia kembali dapat merasai degupan jantungnya yang tadi seakan terhenti.
“Ingat, David. Ini kali terakhir kami mahu berbincang. Kalau kau buat lagi, kau mati!” Kata Big Reese sambil menoleh kepada David Garcia, tatkala kami mula melangkah keluar dari kelab malam itu beramai-ramai. Ilham tahu, amaran sebegitu pasti diingati oleh David seumur hidupnya. Dia sendiri kalau jadi David- pasti sudah terkencing dalam seluar!
********************
Berita mengenai ‘perbincangan’ Ilham dan David menjadi bualan hangat dalam komuniti bikers di Birmingham. Dalam tempoh semalaman sahaja, Ilham menjadi seperti ‘selebriti’ setempat. Pemilik-pemilik bengkel dan pusat jualan motosikal ramai yang datang berjumpa dengannya sama ada di Green Lane atau pun di universiti- mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan. Tentu sahaja Ilham melayan mereka dengan mesra dan baik sekali. Sekarang kalau Ilham melawat ke bengkel untuk servis motosikal, kalau dikenali- tentu sahaja dapat servis percuma. Kalau berkendara di jalanan, ada saja bikers yang akan menyapanya. Kalau sempat, siap bersalaman.
Melalui modal permulaan yang diberikan oleh Nick kepadanya, Ilham membuka cawangan Sutton Motorcycles di Birmingham Road. Kini Sutton Motorcycles menjadi pengedar tunggal motosikal jenama Honda di Birmingham- atas penstrukturan semula perniagaan yang dilakukan oleh Ilham- supaya Sutton Motorcycles lebih fokus kepada satu jenama untuk pembaikpulihan dan juga jualannya. Tak seperti sebelum ini, dilambakkan dengan pelbagai jenama dan membebankan bahagian penyelenggaraan untuk mekanik-mekanik yang bekerja. Justeru, kecekapan mereka yang bekerja di Sutton Motorcycles dari bahagian jualan, baik pulih, pengurusan dan lain lebih cekap dan tersusun. Secara tak langsung, komuniti-komuniti bikers seluruh Birmingham dan kawasan sekitarnya, terutama pemilik Honda dan bakal pemilik jenama itu akan merujuk Sutton Motorcycles sebagai pakar yang dipercayai.
Tugas Florence kini mengawal selia dan memberi latihan kepada mekanik-mekanik baru di Sutton Motorcycles tetapi Birmingham Road merupakan cawangan yang menjadi keutamaan Florence. Pembukaan cawangan ini selain merupakan strategi perniagaan, ianya merupakan taktik Ilham supaya Florence segera berpindah dari rumahnya. Segalanya dilakukan agar tidak nampak ‘terdesak’ atau seperti ‘menghalau’ Florence keluar. Untuk pembukaan cawangan baru, tentu sahaja khidmat Florence perlu diperlukan lebih banyak di cawangan tersebut memandangkan cawangan di Watling Street telah lama established dan boleh dikendalikan oleh Jim. Lagi pun, Florence adalah pemilik baru Sutton Motorcycles, memang wajar dia kena lebih berusaha keras membangunkan perniagaannya. Jadi, mereka mencari kediaman Florence di kawasan kejiranan yang berhampiran- dan Florence mula menginap di situ.
“Am, saya berasa hairan dengan awak.”
“Apa yang dihairankan Flo?”
“Apa yang awak dapat dengan menolong kami dan ramai lagi di sini?”
“Birmingham ini saya sudah anggap tempat tinggal saya Flo. Apa yang saya dapat?”
“Ya, perniagaan keluarga kami kini kian maju. Awak boleh mengambilnya dahulu dengan mudah kerana kami memang terdesak. Kami tidak boleh berbuat apa-apa pun kalau awak mahu berbuat begitu. Tapi awak tidak ada apa-apa pun untuk bahagian awak sendiri.”
“Hmmm… mungkin bahagian saya, kasih sayang orang di sini?” Kata Ilham sambil merenung lembut ke mata Florence. Florence tersipu-sipu dengan perbuatan Ilham.
“Seriuslah.” Florence mencebik, manja sekali.
“Saya seriuslah ni. Kalau awak ukur dari sudut material, memang saya tidak beroleh keuntungan apa-apa. Tetapi, dari sudut lain- ada kawan yang mengambil berat, ada masyarakat yang menghormati, ada ‘orang’ yang menyayangi- bukankah itu lebih tinggi nilainya, Flo?” Florence hanya tersenyum sahaja.
“…dan semua yang saya perolehi di sini, lebih daripada yang saya harapkan.” Tambah Ilham lagi.
“Apa yang awak harapkan, Am?” Tanya Florence, mendapatkan kepastian.
“Saya ada tempat tinggal yang baik, ada pendapatan yang dapat memenuhi keperluan, ada motosikal yang saya suka dan ada mekanik cantik yang boleh diharapkan,” usik Ilham pada Florence. Merah pipi Florence mendengarkan pujian daripada Ilham. Melayang-layang dia dibuai perasaan.
“Oh, lupa saya nak bertanya… bagaimana jadual pembayaran pinjaman yang Nick berikan tempoh hari? Awak dan Jim puas hati tentang jadual itu?”
“Hmmm… tak ada masalah, Am. Saya dan Jim sudah berbincang dan ikut prestasi perniagaan kami sekarang, tempoh pembayaran semula itu mungkin boleh dipendekkan lagi.” Ilham hanya mengangguk-angguk kecil.
“Oh, ya… kami bercadang untuk memberikan sedikit share Sutton Motorcycles kepada awak. Kalau tak mahu share, boleh kami beri sedikit elaun bulanan kepada awak? Tanda terima kasih kami.”
“Janganlah begitu. Cukuplah tanda terima kasih saya kepada awak, kerana awak telah bersusah payah menjaga saya selama berbulan-bulan, Flo.”
“Tapi-”
“Tidak ada tapi-tapinya lagi. Saya harap awak menghormati kehendak saya.” Kata Ilham tegas. Florence hanya diam membatu. Benarlah, lelaki ini begitu berpegang kepada prinsip yang dipegangnya. Florence tahu, tidak ada gunanya dia memaksa kerana itu bakal menganggu suasana harmoni mereka berdua kini.
Share this novel