“Jauh ke tempat itu, Jack?” Tanya Linda seperti tidak sabar walau pun mereka baru saja bertolak dari RMT Motorcycle Training.
“Tidaklah begitu jauh. Kalau trafik baik, kira-kira setengah jam saja. Kalau tidak, tentu lebih lama.”
“Oh, ya… mengapa awak begitu bersusah payah menolong kami, Jack? Big Reese pun seperti marah pada awak?” Hanis pula mengajukan pertanyaan. Linda mengisyaratkan kepada Hanis supaya tidak bertanya lebih. Pada Linda, hal orang lain yang tidak berkenaan tidak perlu kita menyibuk- takut pula mengundang ketidakselesaan pada orang yang ditanya. Mungkin terlalu peribadi.
“Ah, itu… mungkin sebagai satu cara saya meminta maaf. Saya sudah lama ingin berbuat demikian tetapi, tidak berpeluang. Semalam waktu awak menunjukkan gambar pemuda itu pada saya, saya rasa inilah peluang terbaik untuk saya meminta maaf.” Linda dan Hanis saling berpandangan.
“Awak buat salah pada siapa, Jack?” Tanya Hanis ingin lebih mengetahui pokok perkara sebenar.
“Lelaki itu… yang di dalam telefon bimbit awak.”
“Tapi kenapa?” Jack hanya mendiamkan diri. Tentu sukar sekali dia hendak menceritakan apa yang telah terjadi. Paling sukar apabila melibatkan salah faham atau kesalahan yang perlu dibuka pekungnya- tambahan pula di hadapan gadis-gadis yang baru dikenali ini. Takut pula menimbulkan pandangan negatif, berbalik semula pada dirinya sendiri.
“Er, ini… kalau saya ceritakan, saya mohon maaf sekiranya nanti menimbulkan rasa tidak selesa kamu berdua. Mungkin kamu berdua anggap saya ini macam penjahat pula.” Linda dan Hanis saling berpandangan. Suspen bunyinya.
“Hmm… kami tak akan menilai kamu sebegitu. Teruskan cerita kamu, Jack.” Linda seperti memberikan dorongan supaya Jack bercerita lebih lanjut- apa saja ada berkaitan dengan Ilham, tentu saja dia tidak keberatan untuk mendengarnya.
“Er… cerita ni berlaku beberapa tahun lalu. Masa tu saya nakal sangat, gemar bergaul dengan teman-teman yang tidak tentu hala tuju hidup. Saya hanya fikir untuk berseronok saja sehingga saya terjebak dengan seorang usahawan untuk melakukan kerja-kerja kotor untuknya. Yelah, wang mudah dan cepat.” Jack menghela nafas panjang. Ada nada kekesalan pada suaranya.
“Sehingga pada suatu hari, ada pergaduhan di sebuah bar di china town. Saya mabuk pada masa itu. Entah macam mana teman-teman saya mengajak saya turut terlibat sama- atas arahan seorang usahawan jahat untuk menjerat seorang lelaki bernama Jim, supaya sekiranya berlaku sebarang kes maka, kes tersebut bakal dipertuduhkan kepada Jim- sepertinya menimbulkan kekacauan awam itu dilakukan olehnya. Kami diarah supaya berpura-pura bertindak sebagai orang Jim.” Jack membuka rahsia. Nada suaranya seperti tersekat-sekat, bagai payah untuk diluahkan.
“Kami dah mengawasi pergerakan Jim selama beberapa hari, mengintip peluang untuk melakukan kekacauan. Kebetulan, Jim mengamuk kerana mabuk terhadap seorang lelaki- iaitu kawan kamu bernama Am itu. Kami nampak peluang ini dan kami segera bertindak ganas. Selain Am, kawannya Ray turut menjadi sasaran kami. Dia dan Ray hebat mempertahankan diri tetapi, entah macam mana- saya seperti kerasukan syaitan- lantas cuba menikam Ray dengan pisau tetapi, terkena pula pada Ilham. Sampai sekarang saya amat rasa berdosa pada Am. Ayah saya yang kamu berdua jumpa tadi, Big Reese sampai hari ini masih berang dengan saya. Betul, saya betul-betul menyesal. Air arak jahanam tersebut sampai sekarang saya tidak sentuh lagi. Saya serik tetapi, ayah masih seperti tidak dapat menerima perbuatan saya yang lalu.” Mata Jack mula digenangi air. Dia tidak pernah meluahkan bebanan perasaan ini kepada sesiapa pun dan entah bagaimana hari ini seperti tidak dapat dipendamkan lagi. Segera dia mengesat air mata dalam diam-diam supaya tidak kelihatan oleh kedua-dua gadis yang menumpang keretanya. Sebagai lelaki tentu dia malu dilihat dalam keadaan begitu.
Linda dan Hanis terpegun mendengar cerita Jack. Reaksi mereka berbaur antara kasihan, geram dan terkejut dengan apa yang baru mereka dengari ini. Tak sangka pula dalam usaha mereka mencari seorang gadis bernama Florence, apa yang dikutip oleh mereka adalah kisah hidup Ilham sendiri- dan mereka sedang mengikuti jejak-jejak yang ditinggalkan Ilham beribu batu jauhnya tetapi, masih berbekas jelas di bumi Birmingham ini.
********************
“Oh, rupa-rupanya ada gadis-gadis manis yang ingin berjumpa.” Ceria saja Ray mempelawa Linda dan Hanis masuk ke dalam pejabatnya di Sutton Motorcycle cawangan Birmingham Road.
“Eh, siapa pula di dalam kereta tu? Tak panggil dia masuk?” Tanya Ray tertinjau-tinjau melihat kereta yang membawa Linda dan Hanis masih terdapat seorang lagi yang ‘tertinggal’.
“Katanya dia segan dengan kau, Ray.” Balas Linda.
“Siapa?”
“Jack.” Hanis pula bersuara.
“Jack? Budak The Stunna tu?”
“Apa itu The Stunna?” Hanis kehairanan kerana tidak faham.
“Budak Big Reese?” Tanya Ray lagi.
“Anak Big Reese sebenarnya.” Ray tercengang mendengarkan kata-kata Hanis. Dia baru tahu lelaki yang pernah menikam Ilham bukan setakat budak ‘biasa’ dari The Stunna malah, anak kepada ketua The Stunna sendiri- anak Big Reese. Patut la Big Reese beria-ia benar memohon ihsan Ilham untuk tidak membawa kes tersebut lebih jauh.
“Panggil dia masuk, aku nak berjumpa.” Terdapat bibit-bibit geram dan dendam pada nada suara Ray. Hanis seperti tidak syak apa-apa, segera mendapatkan Jack yang sedang menunggu di dalam kereta. Jack pada mulanya agak enggan menuruti tetapi setelah dipujuk Hanis, dia bersetuju- walau pun masih teragak-agak.
“Oh, si bajingan ini rupanya. Kau bernasib baik sebab ada dua orang gadis ini. Kalau tidak, nahas kau aku kerjakan.” Ray berkata dengan geramnya. Gerahamnya bagai terkatup rapat menahan marah. Jack hanya tunduk membisu.
“Sudahlah Ray, dia sudah insaf dan menyesali perbuatannya dahulu. Tidakkah kau boleh memaafkan dia?” Linda cuba menenangkan Ray.
“Aku hampir saja kehilangan kawan baik aku sebab dia ni. Berapa bulan lamanya kawan aku tu terlantar.” Ray masih dengan amarahnya.
“Maafkan, aku Ray. Aku tahu aku bersalah dan tak mampu untuk menebus kesalahanku itu. Tapi, berilah aku peluang untuk berubah.” Jack menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Ray. Mukanya masih tidak mampu menentang muka Ray- ada titik-titik air mata Jack mulai menitik. Ray yang mulanya serba salah untuk bersalaman kini berasa kasihan pula melihat keadaan Jack sebegitu sugul dan lesu.
Jack begitu ikhlas sekali dengan permohonan maafnya. Ray walaupun percakapan dan karekternya agak semberono dan kasar tetapi Ray punya jiwa yang halus- dan mudah pula untuk kasihan kepada orang lain. Linda dan Hanis terharu melihat situasi seperti itu seperti suasana emosi di pagi raya- menitis air mata mereka berdua melihat lelaki-lelaki gagah perkasa seperti Ray dan Jack ini boleh turut sebak menahan air mata. Fitrah lelaki sangat sukar untuk menitiskan air mata dan jika mereka boleh menitiskan air mata- tanda bebanan perasaan itu pastinya sangat berat sekali untuk dipikul dalam diri mereka.
Share this novel