Hanis dan Linda hanya terpana seketika melihat gambar Ilham dan Florence terpampang di ruangan tamu. Inilah dia! Inilah wajah pemilik kunci hati Ilham selama ini. Wanita yang sentiasa ada di dalam hati seorang lelaki. Yang setia berdiam di situ walau pun pada zahirnya, dia telah tiada lagi di dunia. Dalam kesayuan mereka memandang gambar itu, terdapat juga bibit-bibit cemburu. Terkadang mereka bertanya dalam hati- kenapa bukan aku yang hadir dulu sebelummu. Sebabkan itu, kau menjadi terlalu istimewa pada Ilham.
“Eh, duduklah. Kenapa tercegat sahaja di situ,” Ilham mempelawa. Hanis dan Linda seperti tersedar, mereka hanya mengangguk-anggukkan kepala.
“Kamu berdua?” tanya Ilham pada Ray dan Jack.
“Bro, aku ada urusan lagi di pejabat. Nanti kita jumpa, jangan kau lari!” Ray mengisyaratkan dua jarinya ke mata dan mengarahkan jari-jari itu kepada Ilham, seperti memberitahu- aku sedang memerhatikan kau. Ilham hanya ketawa kecil.
“Tugas aku selesai di sini kerana cik-cik berdua tadi sudah ketemui apa yang mereka cari. Aku beransur dulu, Am. Terima kasih kerana memaafkan kesalahan aku.” Ilham hanya mengangguk-angguk kecil mendengar kata Jack. Ilham malas ambil pusing, ini perkara tak perlu diperbesar-besarkan. Benda remeh saja.
Sepemergian mereka berdua, suasana menjadi hening seketika. Hanis dan Linda masih melayani perasaan dan sesekali bola mata mereka menerokai ruangan rumah Ilham, bagai mencari sesuatu. Rumah townhouse gaya British ini tidaklah sebesar mana. Besar lagi rumah Hanis di kampung dan lebih besar lagi rumah Linda di Kuala Lumpur namun, ianya cukup selesa, ringkas, romantis dan bersih. Ada rasa ketenangan tetapi, terselit kesunyian.
“Minumlah,” Ilham menghidangkan teh lalu duduk berhadapan dengan mereka berdua. Hanis dan Linda hanya menurut. Mereka meneguk teh beraroma bunga cammomile tersebut dengan perlahan, menikmati dan seperti enggan untuk menghabiskannya. Almaklumlah, air teh ini dibuat oleh lelaki tersayang. Terasa rugi kalau cepat dihabiskan. Mereka mahu menikmatinya selama yang boleh.
“Kamu berdua ini jangan kata, apa yang berlaku adalah kebetulan.” Ilham memulakan bicara menatap kedua-dua gadis di hadapannya. Hanis hanya menunduk kerana tak upaya bertentang mata dengan Ilham. Walau pun, soalan yang lahir dari mulut Ilham adalah sukar untuk dijawab tetapi, ‘soalan’ dari pandangan Ilham nyata lebih berat. Linda pun begitu. Dia tetap membisu.
“Rasanya, kamu berdua bersepakat memboikot. Tak apalah.” Ilham hanya tersenyum lalu bangkit dari duduknya, melangkah ke jendela. Pandangan Ilham menerobosi ruangan laman rumahnya, terpegun pada bunga-bunga daisy yang rimbun dan mekar.
“Maafkan Lin, Am,” Linda mulai berbicara.
“Lin cuma ingin tahu pasal, Am. Hanis pun begitu.” Perlahan sekali suara Linda.
“Ya bang. Kami cuma.. ” Hanis mulai mencelah namun, sukar pula dia hendak menyusun kata untuk menjelaskan pada Ilham.
“Cuma?” Ilham menjeling ke arah mereka tetapi segera pandangan diubah semula kepada rimbunan bunga-bunga daisy di luar. Hanis dan Linda mati kata-kata. Suasana menjadi kembali hening.
“Beginilah...” Ilham mulai menghindari dari jendela dan melangkah ke arah Linda dan Hanis. Dia memandang kedua-dua gadis ini dengan penuh kasih sayang. Tiada riak marah atau kesal pada wajah Ilham cuma, Ilham tidak menyangka sampai begitu sekali mereka berdua cuba menjejaki kepastian tentang hidupnya. Beribu-ribu batu mereka mengembara atas sebab ini tentunya, Ilham akan berasa tidak senang hati. Kalau ada apa-apa kecelakaan berlaku, pastinya dia akan ‘cedera’ dihukum perasaannya lagi.
“Kalau Hanis ingin tahu perasaan abang terhadap Hanis dan kepada Lin, tentu saja Am sayangkan Lin dan abang sayangkan Hanis. Kalau itu yang kamu berdua cari-inilah jawapannya.” Pendek saja Ilham berbicara. Sependek itu juga bunga-bunga hati Hanis dan Linda berkembang sebelum tersedar hakikatnya, mereka tidak seistimewa mana.
“Tapi Am... siapa kami di hati Am kalau Am sayang kedua-duanya?” Linda seperti tidak puas hati, datang semangat penentangannya, perjuangan hak-hak wanita lagaknya. Hanis turut sama berkobar-kobar.
“Siapa yang lebih Linda sayang- mak atau ayah?” Linda tersentak dengan persoalan yanng Ilham berikan. Ini soalan yang tidak terdetik pada fikirannya. Mana bisa dia memilih?
“Ini tak adil, bang. Mana boleh abang umpamakan memilih Hanis atau kak Linda seperti mak atau ayah. Mana boleh dipilih-pilih dalam soal itu.” Hanis menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
“Jadi, Hanis rasa mana yang lebih adil untuk abang pilih? Hanis atau Linda?” Sekali lagi Hanis dan Linda terdiam.
“Atau lebih baik abang undur diri saja ya, Hanis. Betulkan, Lin? Semuanya akan OK.”
“Tidak Ilham. Lin tak boleh,” bergetar suara Linda menahan kepiluan.
“Hanis pun.. abang jangan pergi dari hidup Hanis.” Hanis turut sayu.
“Habis tu? Sampai bila masalah kamu berdua nak selesai?” Hanis dan Linda mulai bercelaru. Mudahnya, sebagaimana yang Ilham cadangkan. Tapi, ini bukan algoritma penyelesaian masalah. Ini masalah perasaan. Masalah kasih dan sayang bukan boleh dibuat dan diciptakan. Perasaan itu hadir tanpa logik akal fikiran.
“Jadi abang sanggup melepaskan kasih sayang abang pada Hanis dan kak Linda?” Hanis mula menyoal Ilham. Dalam permainan sorong papan, balik papan sebegini, entah mengapa Hanis yang lebih reserved dan lemah-lembut lebih agresif pula. Mungkin ini sisi lain Hanis yang terkadang dapat Ilham lihat terutamanya, berkaitan soal hati.
“Abang tak tahu, Hanis. Pada abang, kasih sayang abang tak perlu ada ROI.” Ilham tersenyum kecil.
“Apa maksud, Am?” Linda meminta kepastian.
“Kasih sayang itu adalah anugerah Tuhan. Lin. Apakah dengan kasih sayang bermaksud kita perlu memiliki? Mengapa kita tak boleh meraikan kasih sayang itu sewajarnya tanpa desakan untuk memiliki. Andai esok, kamu berdua berjumpa dengan orang sayang pada kamu, dan kamu sayang pada mereka tanpa perlu bergelut pada soal ‘pemilikan’ maka, Am pun akan berasa bahagia. Maksudnya, Am akan lebih berbahagia sekiranya orang yang Am sayang berasa bahagia. Mudah kan?”
Linda dan Hanis terdiam sahaja, menyelami isi hati Ilham. Sebagai wanita, sukar sekali untuk rasional soal memiliki dan dimiliki. Mereka ingin dimiliki dan memiliki. Pastinya, eksklusif tanpa berkongsi. Walau pun mereka berdua boleh berkongsi rahsia hati sesama mereka namun, berkongsi kekasih hati atau suami- pastinya tidak sekali!
Share this novel