“Saya akan pulang ke sini semula.” Ilham memandang Florence dengan pandangan kasih sayang. Mata Florence mulai berkaca.
“Saya akan menunggumu, Am.” Sebak sekali suara Florence. Pelukannya itu makin dieratkan.
“Janganlah awak khuatir, saya akan kembali segera. Jangan menangis, ya?” Ilham memateri janjinya, memujuk- lalu mengelap air mata Florence yang kini mengalir laju.
“Aku tak tahu nak kata apa, bro… semoga kau cepat-cepat kembali.” Ray pun mulai sebak. Harap muka saja ganas macam peninju profesional. Hati macam bunga. Gugur juga berselerakan.
“Kau jagakan bakal isteriku ini baik-baik.” Kata Ilham kepada Ray namun, pandangannya tetap ditatap pada wajah Florence- ada sedikit senyuman kerana kata-kata itulah yang Florence nanti-nantikan selama ini.
“Jangan risau, bro. Kau mesti balik semula ke sini. Kalau kau tak balik, aku heret kau dari Malaysia!” Ilham ketawa kecil. Ray begitu serius mengucapkannya.
“Kau pun sama Ray. Jaga diri baik-baik. Kalau tidak, tiada siapa yang nak aku harapkan menjaga, Flo untuk aku.” Ray mengangguk-angguk kepala, laju. Ilham tahu Ray pun sedang menahan sebak di dadanya. Ilham sendiri merasakannya begitu. Begitu sukar sekali meninggalkan orang yang tersayang dan sahabat baik setelah sekian lama dia di tanah asing yang kini seperti sudah menjadi seperti kampung halamannya sendiri.
“Am, cepat-cepat kembali, ya?” Florence berharap.
“Insya Allah, Flo. Berikan saya setahun untuk saya berada di tanahair saya. Saya pasti kembali.” Ilham melepaskan pelukan Florence perlahan-lahan dengan rasa berat hati. Panggilan akhir untuk penerbangan dari Birmingham Airport ke Kuala Lumpur telah berkumandang. Tangan-tangan mereka kemudian melambai-lambai, tanda perpisahan.
Tidak berapa lama kemudian, pesawat Emirates yang dinaiki oleh Ilham sudah pun membelah awan-awanan merentasi bumi Birmingham.
Share this novel