“Oh, kamu datang jauh-jauh ni hanya sebab mahu menemui, Florence?” Tanya Ray seperti kehairanan. Tentu saja hairan kerana hidup Florence hanya berkisar tentang Birmingham dan motosikal sahaja. Kalau ada yang ‘luar biasa’ tentu hubungannya dengan Ilham. Sahabat Ray dari Malaysia.
“Ya, kami cuma ingin berkenalan dengannya dan ingin tahu hubungannya dengan, Am.” Linda menambah. Ray mengangguk-anggukan kepalanya. Walau pun begitu, Ray berasa sedikit pelik tentang permintaan gadis berdua itu. Kalau benar mereka berdua sahabat Am- sahabat biasa- apa perlunya mereka berdua bersusah payah datang ke Birmingham untuk mencari Florence? Bukankah lebih senang tanya pada Am sendiri?
“Aku tak ada masalah tentang itu cuma, mengapa kamu berdua ingin tahu, maksud aku- kamu berdua benar-benar ingin tahu hubungan Am dan Flo?”
“Benar!” Serentak Linda dan Hanis membalas, sedikit keterujaan di situ.
“Aku sedikit musykil pada kalian berdua, bukankah lebih mudah kamu bertanya sendiri pada Am?” Linda dan Hanis berpandangan sesama sendiri. Ah, Ray Square ini banyak pula soal jawabnya.
“Er, bolehkah kau menganggap kami sahabat yang mengambil berat terhadap sahabat yang lain? Tak bolehkah begitu?” Linda membalas, menyukarkan lagi Ray untuk mempertimbangkan soalan seterusnya.
“Kau bercakap seperti, Am. Memang aku tak boleh nak berkata apa lagi.” Ray ketawa apabila dibandingkan gaya Linda ‘bersoal jawab’ dengannya kini- seperti itulah, Ilham.
“Baik, kalau kamu berdua ingin tahu, Florence adalah isteri Am. Puas hati?”
“Benar?” Sedikit luar biasa reaksi Hanis. Sebelum ini hanya Linda yang lebih terkesan, kali ini giliran dia pula berasa pergolakan emosi. Kalau beberapa hari lepas, puan Mariam berkata sedemikian, dia boleh sangkal kerana kurang ‘bukti’ tetapi kini, Ray pula bercakap perkara yang sama. Kalau bukan hampir kepada kepastian- apa lagi? Hanis tidak boleh lagi untuk menidakkan kebenaran dan membohongi perasaan dan logik fikirannya lagi. Hanis mulai rasa dadanya padat dan sarat dengan kesebakan. Perasaan pilunya hampir-hampir banjir walau pun dia cuba sedaya upaya menahan sepenuhnya. Dia hampir tewas.
“Ya, aku sendiri hadir majlis perkahwinan mereka di Birmingham Central Mosque lebih setahun lalu, masakan aku sudah lupa.” Kesaksian yang Ray nyatakan kali ini benar-benar meruntun jiwa Hanis. Nafasnya mula kencang. Manik-manik air matanya mula bergenang. Linda yang sedar, segera memaut erat bahu Hanis, cuba untuk mententeramkan perasaan ‘adiknya’ itu. Setelah peristiwa semalam, Linda sudah bisa menerima perkhabaran yang mungkin tidak memihak kepadanya lagi. Dia akur sekiranya inilah worst case scenario yang bakal dihadapi oleh mereka berdua.
“Bolehkah kau bawa kami berjumpa dengan Florence?” Tanya Linda meminta persetujuan. Sesekali dia menjeling kepada Hanis yang kelihatan sugul di wajahnya. Linda mengerti apa yang Hanis rasakan. Dia turut bersimpati kerana dia juga dapat merasakan impak dan himpitan perasaan. Apa yang penting sekarang, Linda ingin berjumpa Florence. Dia ingin benar bersemuka dengan wanita yang berjaya mendiami dan mengunci hati Ilham sehingga lelaki itu tidak betah membuka hatinya lagi. Hebatkah wanita itu?
“Serius?”
“Tentu sekali.” Kata Linda dan Hanis hampir serentak.
“Kau Jack? Nak turut serta?”
“Er, aku menurut ke mana saja cik berdua ni pergi. Aku sudah berjanji untuk menemani mereka. Tapi, di mana?”
“Handsworth!”
********************
Kehidupan sebagai suami isteri sungguh membahagiakan buat Ilham dan Florence. Pasangan ini sangat romantis. Lembut tutur kata Ilham dan layanannya pada Florence- Florence pula yang manja dan menceriakan- kebahagiaan itu bak anugerah dari syurga. Sebulan yang penuh cinta. Dua bulan yang membuatkan mereka yang masih berseorangan tanpa teman menjadi cemburu. Tatkala ini, Ray sendiri pun mahu segera bernikah. Tak kisah siapa- gadis dari china town pun dia rela. Ilham dan Florence bagai sumber inspirasi betapa idealnya suka sama suka, cinta sama cinta- seperti tiada apa-apa yang dapat mencelah dan membelah hubungan itu. Begitulah.
Kehidupan mereka berdua di Green Lane sangat sempurna. Mereka bekerja bersama di Sutton Motorcycles di Birmingham Road, makan tengah hari, minum petang, menaiki motosikal mengelilingi seluruh Birmingham, bersantai di Tasik Aston (tempat yang sering dilawati Florence semasa ketiadaan Ilham, mengingatkan Florence di saat Ilham meluahkan kata-kata ‘hikmat’ padanya) berkebun bunga daisy, memasak, mungkin mandi pun bersama- apa saja pun bersama. Namun, mereka berdua tidak pernah jemu melakukan semua perkara-perkara itu bersama-sama. Mereka pasangan yang baik- pada staf-staf di Sutton Motorcycles, jiran-jiran, kawan-kawan, sahabat taulan semuanya menyenangi mereka berdua dan mereka menyayangi mereka semua.
Memang tiada manusia dan pasangan yang sempurna tetapi, melihat Ilham dan Florence- itulah kesempurnaan yang paling sempurna pernah Ray jumpa selama hayatnya. Tentu sukar sekali mencari dan menjadi sesempurna itu lagi. Ray sendiri bagai asyik melihat kisah cinta ini.
Tetapi, apa yang indah di dunia biasanya tidak kekal selamanya. Begitulah kisah cinta ini. Pada bulan ketiga, Florence mula loya dan muntah, cepat berasa letih, sakit perut dan kurang berselera untuk makan. Pada mula, Ilham hanya menyangka sindrom ‘pembawa budak’- dan tentu ianya amat menggembirakan Ilham yang kepingin anak. Bertambah sempurna hidup mereka kelak. Namun, setelah diperiksa oleh doktor pakar puan- ianya bukan sebab Florence mengandung. Ini membingungkan. Setelah pemeriksaan lanjut, ternyata Florence mengidap kanser perut tahap 4!
Pada bulan ketiga, Florence sudah terlantar di hospital menjalani rawatan kanser. Ilham setia menemani sepanjang masa. Tugas di Sutton Motorcycles diambilalih oleh Ray secara sukarela supaya dia dapat membantu perjalanan perniagaan semasa ketiadaan Ilham dan Florence. Ray tahu, Ilham dan Florence sangat memerlukan bantuannya. Dia tahu, masa mereka berdua sangat singkat untuk mereka bersama berkongsi kasih dan sayang. Mungkin tiada lagi esok. Semuanya menjadi begitu laju. Masa menjadi musuh paling nyata buat mereka berdua.
Hari demi hari, pasangan ini tabah menjalani ujian hidup mereka yang semakin berat dan penuh air mata. Ray sendiri tidak tertanggung untuk melihat sahabat-sahabat baiknya berkeadaan begitu. Disebabkan ini juga, pada Ray merasakan dia ingin hidup berseorangan selama-lamanya, kerana tidak sanggup dirinya melihat penderitaan orang-orang yang disayangi. Ray turut merasai perit dan derita Ilham dan Florence bagai dia sendiri yang mengalaminya.
Tak lama selepas itu, selepas beberapa bulan saja melawan kanser, Florence akhirnya tewas dan pergi untuk selama-lamanya. Paling terkesan sekali adalah Ilham. Begitu berat tamparan hidup dan beban perasaan sedih yang ditanggungnya. Dia mulai murung dan sering menjauhkan diri dari kawan-kawannya termasuk Ray sendiri. Ilham menjadi ‘gemar’ menyendiri di rumahnya. Dia tidak peduli lagi keadaan sekeliling. Dia hidup dalam dunia bayangannya sendiri. Dia seperti mencari-cari semula separuh semangat hidupnya yang bagai direnggut pergi. Puas Ray memujuk dan memberikan semangat namun, ibaratnya mencurah air di daun keladi. Ilham masih sugul dan berdiam diri.
Setelah beberapa lama, Ilham perlahan-lahan bangkit semula dari dasar kemurungannya. Dia tidak lagi tenggelam dalam dunia sengsaranya. Dia mula mendekati dan cuba mendapatkan kembali semangat juangnya terhadap kehidupan. Green Lane Masjid mula menjadi rumah keduanya. Dia mencari ketenangan di situ. Cuba mengumpulkan apa saja yang masih tersisa, jati diri untuk menguatkan dirinya- kewarasan akal dan hatinya.
“Selepas itu, Ray…,” Linda dan Hanis menangis kesedihan. Sungguh, mereka tidak langsung dapat menjejaki bekas luka pada riak wajah Ilham kini. Ilham yang penuh dengan ketenangan, strategis yang bijaksana dalam pekerjaannya, gurau sendanya- Apakah Ilham itu masih Ilham yang sama seperti yang Ray ceritakan?
Ray sendiri sebak untuk bercerita lanjut. Tentu saja cerita ni, sebagai ‘saksi pertama’ sebuah tragedi, dia sendiri turut merasa tempiasnya. Riak wajah Ray turut sugul. Dia mengambil sedikit masa untuk meredakan badai perasaannya sebelum meneruskan cerita.
“Tak lama kemudian, Am datang berjumpa denganku, diberinya kunci rumahnya dan hanya berkata- aku pergi dahulu, kau jangan tunggu aku pulang. Aku tak sempat berfikir untuk bertanya, dan semenjak itu aku tak dengar langsung khabarnya. Kalau dia pulang aku tumbuk mukanya!” Ray mulai menangis sedih berbaur kegeraman. Benar, walau pun dia berkata begitu keras-dia sebenarnya sangat fragile apabila menceritakan kisah sahabat baiknya itu. Nada Ray turut terkandung sebuah kerinduan. Dia memang rindu pada Ilham. Rindu sangat-sangat. Manakan tidak, setiap kali menjengah ke ofis Sutton Motorcycle, terbayang-bayang wajah Ilham dan Florence di situ. Kini, kedua-duanya tiada lagi di depan mata.
Perkarangan Handsworth Cemetery ini begitu hening sekali. Sesekali terdengar bunyi sedu sedan antara Linda, Hanis dan Ray melayani kesedihan. Sungguh, di hadapan pusara Fatihah Colgate Abdullah ini- walau pun Linda dan Hanis tidak mengenali pemiliknya semasa masih hidup- mereka terasa begitu kenal dan rapat sekali hubungan mereka dengannya. Kisah sedih ini pastinya memberi impak yang besar kepada mereka yang pernah mengenali Ilham dan Florence secara peribadi apatah lagi semasa tragedi itu berlaku. Jack yang hanya sekadar menemani, turut sugul mendengarkan kisah ini. Mereka semua hanyut dengan perasaan masing-masing.
“Assalamualaikum…,” lembut sahaja salam itu diberi. Linda dan Hanis menyambut salam itu dengan nada yang perlahan- spontan menoleh untuk melihat orang yang memberi salam- hanya sekadar menoleh, tanpa rasa ingin untuk mengamati kepada orang yang memberi salam kerana mereka masih belum pulih dari kesedihan yang menguasai.
“Eh, Lin dan Hanis apa buat di sini? Ray pun ada?”
“Abang!” Hanis tersentak, tidak tersangka olehnya akan melihat kelibat lelaki yang memenuhi fikirannya kini.
“Am?” Linda dan Ray sendiri bereaksi bagai melihat ‘hantu’.
Spontan Linda dan Hanis segera mendapatkan Ilham- memeluk lelaki itu, sehingga membuatkan Ilham serba salah, tidak sempat membuat apa-apa untuk menghindarkannya. Linda dan Hanis masih tersedu sedan. Ilham tidak mengerti. Dia memandang Ray kehairanan.
“Nasib baik gadis-gadis berdua tu ada di sini, kalau tidak aku tumbuk kau!” Ray geram namun, muka kelihatan sedih dan sebak. Segera Ilham ‘melepaskan’ diri dari Linda dan Hanis, mendapatkan Ray untuk memeluknya. Rindu sungguh Ilham pada kawannya nan seorang itu.
“Maaf, Ray-aku pergi dulu secara tiba-tiba. Kau sihat?” Bisik Ilham di telinga Ray. Makin erat Ray memeluk Ilham.
“Eh, bukankah kau anak Big Reese?” Ilham seperti cuba mengingati. Jack hanya mengangguk. Ilham mengisyaratkan Jack datang dekat padanya, sebab dia ingin bersalaman dengan Jack- kerana Ray masih lagi tidak melepaskan pelukannya.
“Kau kenal budak tu?” Tanya Ray, masih tidak melepaskan pelukannya.
“Apa pula tak kenal. Masa aku terlantar di hospital dulu, Big Reese dah beritahu. Sudahlah, rimas aku kau peluk sekuat ini... sekejap lagi aku yang tumbuk kau kang,” Ilham ketawa kecil. Linda, Hanis dan Jack turut tersenyum melihat telatah Ray dan kata-kata Ilham yang seperti mengulangi ayat yang biasa Ray ucapkan.
“Lin dan Hanis apa buat di sini?” Linda dan Hanis hanya terdiam, menggeleng-gelengkan kepala- mungkinkah mereka hendak beritahu Ilham yang mereka menjejaki lakaran-lakaran cintanya? Inikan rahsia mereka berdua, mana mungkin mereka hendak jelaskannya pada Ilham.
“Oh, rasanya kamu berdua tentu sudah tahu pasal Fatihah?” Linda dan Hanis hanya mengangguk-angguk.
“Bertuah awak, sayangku… hari ini ramai tetamu dapat mendoakanmu dan menghadiahkan Al-Fatihah untukmu di sana,” kata Ilham seperti berbisik pada pusara Florence. Lembut sekali bunyinya ibarat Ilham berkata-kata dengan isterinya semasa masih hidup. Suasana menjadi hening sekali.
Ilham memulakan doa dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di pusara isterinya yang amat dicintai. Bacaan itu khusyuk dan penuh kecintaan. Cinta suci seorang suami kepada isterinya. Ikhlas cinta itu seikhlas bunga daisy putih yang digemari oleh Florence semasa hayatnya. Linda dan Hanis mengaminkan doa-doa yang dipanjatkan ke hadrat Illahi dengan penuh kesenduan.
Share this novel