Bab 11: Dasar Dagang, Dagang Bertempat

Romance Completed 5295

Tatkala papa mempelawa pemuda yang tidak tentu asal usulnya ini menginap di rumah mereka, Linda sangat tidak bersetuju. Entah siapa-siapa yang papa bawa masuk rumah- nampak macam samseng jalanan sahaja. Berjaket kulit, berseluar jeans lusuh- tentu saja tidak masuk dek akal bagaimana papa boleh bergaul dengan orang sebegini. Malah, selama ini, tak pernah ada kawan-kawan papa yang bergaya atau berpakaian macam ini. Sumpah, ini memang pelik.

“Papa, boleh Linda cakap sesuatu?” Tanya Linda, cuba berprivasi di pejabat Tan Sri Azman.

“Apa dia, sayang. Papa sibuk ni.” Tan Sri Azman masih tidak menoleh. Masih khusyuk menatap dokumen yang dipegangnya.

“Tolonglah, papa. Penting ni.” Tan Sri Azman mula bereaksi, diletakkan dokumen yang dipegangnya di atas meja. Segara di arahkan pandangan ke muka anak gadis tunggal kesayangannya itu- berkerut-kerut mukanya.

“Ok. Papa bagi 5 minit.”

“Sekurang-kurangnya 15 minit lah, pa.” Linda merayu.

“Ok, 15 minit. Mulakan.” Balas Tan Sri Azman sambil melihat jam tangan mewahnya.

“Papa ni, masa dengan pun nak berkira…” getus Linda.

“Ok, 5 minit sudah berlalu,” tersengih sahaja Tan Sri Azman mengusik anaknya.

“Yelah, yelah… Lin nak tanya- siapa yang papa pelawa tinggal bersama kita tu? Papa ‘kutip’ dari mana?”

“Apa pula kutip… kalau boleh kutip macam tu saja, papa nak 8 lagi orang macam Ilham tu.”

“Oh, Ilham namanya… Lin tak suka la, papa bawak sembarangan orang tinggal bersama kita. Papa kan tahu kita tinggal 3 beranak saja. Lin ni perempuanlah, papa. Ada lelaki luar dalam rumah, Lin tak selesa!”

“Alah, dia tinggal seminggu sahaja. Kakaknya pergi melancong- apa salahnya?”

“Kan banyak hotel di Kuala Lumpur ni? Kalau papa nak tolong sekali pun, menginap di salah satu hotel kita kan lebih sesuai?”

“Dia dah menolak pelawaan papa pun- papa yang paksa!”

“Habis tu?”

“Ish, mana boleh adik angkat papa tu papa nak biarkan tak tentu tempat tinggalnya!” Tegas Tan Sri Azman.

“Adik angkat? Biar betul papa? Jauh benar jarak umur papa dengan si Ilham tu?”

“Eh, kamu cemburu ke papa dan mama ada adik angkat yang muda?” Sengih sahaja Tan Sri Azman mempersendakan anak gadisnya itu. Memang Linda nampak tak puas hati betul.

“Papa ni main-main kan? Seminggu tu lama, pa. Apa-apa boleh jadi. Kalau dirompaknya kita atau dirogolnya Lin- macam mana? Papa sanggup?”

“Astaghfirullah… sampai begitu teruk sekali Lin pandang Ilham, ya? Sayang… jangan hanya memandang luaran orang sampai menilai akhlak dan keperibadian orang sebegitu rupa, sehingga kamu menjatuhkan hukuman atas kesalahan yang tak dibuat.” Tegur Tan Sri Azman, lembut.

“Sayang, kamu cubalah mengenali Ilham itu. Papa tahu kamu bijak menilai orang tetapi, ada juga jenis orang yang kamu takkan dapat baca pemikirannya dan keperibadian secara mudah.”

“Maksud papa?”

“Papa malu nak katakan tetapi, seperti mana sikap kamu terhadap Ilham kini, begitu jugalah sikap papa waktu pertama kali papa bertemunya.” Kata Tan Sri Azman seperti kesal.

“Banyak perkara yang kamu dapat pelajari dari pemuda itu, sayang.”

Linda hanya mengeluh pendek. Kalau papanya telah tetap membuat keputusan maka, tiada siapa yang dapat merubah pendiriannya itu. Betul, papanya fleksibel, penuh toleransi tetapi hanya berkaitan perkara-perkara ‘cabang’ dan bukan ‘pokok’. Ibarat pohon yang rendang dan kuat, yang bisa dipatah-patahkan hanyalah ranting-ranting di hujung dahan sahaja. Itulah Tan Sri Azman seorang tokoh korporat yang disegani- gurunya, bos besarnya, papanya. Mahu atau tidak, Linda hanya menurut kata.

********************

Sepatutnya sebagai tetamu, rutin Ilham adalah mudah. Dia hanya perlu dilayan kerana kalau dia ingin berbuat sesuatu, tentu sahaja tugasan itu telah pun di penuhi oleh sekalian pekerja-pekerja Tan Sri Azman di villanya. Tukang masak, tukang kemas, tukang kebun, pemandu- apa lagi yang Ilham boleh buat sebagai tanda terima kasih- tidaklah hanya sekadar makan dan tidur sahaja. Ibarat orang hidup menumpang, mestilah ada budi bicara dan adab menumpang.

“Bang, motor-motor lama abang ni, Norton, BSA, Enfield, Lambretta, AJS semua ni siapa yang menjaganya?” Tanya Ilham pada Tan Sri Azman. Dibelek-beleknya koleksi motosikal Tan Sri Azman dengan teliti. Semuanya telah dipulihara dengan baik tetapi berhabuk di dalam garaj sahaja. Bukan sekadar motosikal lama, model baru-baru seperti Triumph Thruxton, BMW R Nine T, Harley Davidson, Indian Motorcycles pun ada. Ini betul koleksi orang-orang kaya. Tunggang pun mungkin sekali dua sahaja. Lebih-lebihnya hanya sekadar menjamu mata.

“Oh, motor-motor lama ni, si Harun driver lah yang dok bawak. Tapi, itu lah… dia sendiri pun ikut abang ke hulu ke hilir pergi kerja- tak ada masa dia nak jaga. Takkan Sabtu Ahad dia kena datang sini pula. Bagi peluanglah dia bersama keluarga.”

“Habis tu, takkan dibiar saja tak dihidupkan? Rosak pula motor ni nanti,” berkerut-kerut Ilham memikirkan sejumlah koleksi berharga Tan Sri Azman seperti tidak diendahkan. Orang kaya sangat, begitulah agaknya. Rosak saja, apa ada hal- upah orang bawak pergi bengkel. Ongkosnya, belakang cerita.

“Ha, kamu dah ada di sini, apa lagi- bolehlah tolong abang tengok-tengokkan apa patut!” Kata Tan Sri Azman, ceria.

“Takut tak rosak, jadi rosak pula nanti,” usik Ilham. Mereka ketawa serentak.

“Amboi, apa saja yang gembira sangat tu?” Puan Sri Faridah mencelah tiba-tiba. Dibawa bersama talam untuk hidangan pagi itu.

“Cerita orang lelakilah, yang. Orang perempuan apa tahu?” Balas Tan Sri Azman acuh tak acuh saja.

“Bukan cerita pasal perempuan lain kan, Am?” Puan Sri Faridah mengalih perbualan kepada Ilham, seperti mencungkil rahsia.

“Eh, tidaklah kak. Pasal motosikal saja.”

“Orang lelaki memang begitu, dari muda sampai tua asyik dengan ‘mainan’ saja,”getus Puan Sri Faridah.

“Eh, nasib baiklah kita ni suka ‘mainan’, kalau tak ada hobi macam ni- kita gila perempuan- haaaa… siapa yang susah?” Tan Sri Azman mula nakal bergurau.

“Eh, orang tua ni. Ada hati ya, bang? Nak kena cincang?” Balas Puan Sri Faridah sambil menunjukkan aksi mencincang kepada Tan Sri Azman. Tan Sri Azman hanya mengekek ketawa melihat telatah isterinya. Ilham turut ketawa bersama.

“Itulah Ilham. Abang dah cakap kepada kamu dulu. Abang bukan takut pada isteri, tau? Dia yang tak takut pada abang!” Tambah Tan Sri Azman. Ketawa mereka berderai lagi.

Deraian ketawa dan gurau senda mereka dapat didengari oleh Linda yang kebetulan berlalu di situ. Semenjak 3-4 hari ini, beginilah suasana di rumah. Seperti ada kebahagian datang menjenguk keluarga mereka. Suasana begitu menyenangkan sekali. Bukan sahaja pada keluarga Tan Sri Azman malah, ianya turut berjangkit kepada pekerja-pekerja yang lain.

“Sayang… mari ke sini, nak. Kita makan sama-sama?” Pelawa Puan Sri Faridah apabila melihat anak gadisnya sedang berlalu. Teragak-agak sedikit Linda untuk menyertai mereka yang berada dia di gazebo berhampiran garaj motosikal papanya. Kalau Ilham tiada di situ, mungkin hatinya lebih ‘seronok’untuk ke sana. Mahu tak mahu, terpaksa juga di menurut.

“Baru pulang dari gym?” Tanya Tan Sri Azman sekadar berbasa basi. Bukan kerana dia ingin tahu. Tentu saja dia tahu rutin anaknya itu pada hujung minggu sebegini. Linda hanya mengiakan sahaja.
“Mama tengok, Lin sekarang seperti tidak gembira saja sejak akhir-akhir ini?” Puan Sri Faridah memecahkan kesunyian. Linda seperti acuh tak acuh sahaja. Banyak perkara yang bermain di fikirannya kini. Soal kerja pun ada, soal ketidakselesaannya dengan kehadiran Ilham pun ada.

“Er, abang, kakak… saya masuk ke garaj sekejap. Ada kerja yang belum selesai di situ.” Ilham segera meminta diri. Pada Ilham sebagai orang luar, tentu Linda tidak selesa sekiranya dia turut berada di situ.

“Eh, tunggu dulu Ilham. Mana tahu ada buah fikiran kamu yang boleh selesaikan masalah Lin ni,” halang Tan Sri Azman. Berkerut-kerut muka Linda memandang Tan Sri Azman seperti membantah- tapi, tidak terlihat oleh Ilham perbuatannya itu. Puan Sri Faridah hanya tersenyum kecil melihat telatah anak gadisnya.

“Hmmm… betul juga cakap papa. Masalah orang muda ni, orang-orang tua seperti kami ini hanya boleh dengar dan bagi nasihat sahaja.” Tambah Puan Sri Faridah. Makin berkerut muka Linda mendengar pendapat mamanya pula.

“Aduh, kalau abang dan kakak kata begitu, saya ni cetek pengalaman takkan nak memandai-mandai pula.”

“Jadi, papa dan mama dah dengar sendiri, kan? Encik Ilham kita pun tak ada ‘ilham’ untuk membantu Linda.” Kata Linda seperti mengejek Ilham. Ilham hanya terdiam tidak membalas.

“Kalau berkaitan hutang dan saman yang kamu nak buat pada syarikat tu, esok kamu pergi berbincang dengan mereka dan bawa Ilham ni.”

“Bincang apa, papa? Syarikat tu kalau diisytiharkan bangkrap, kita juga melepas. Hutang 10 juta siapa nak bayar?”

“Hahaha… kamu ikut saja kata papa. Ilham, kamu senang kan esok? Boleh tolong ‘adik’ kamu ni?”

“Abang biar betul?” Ilham tercengang-cengang kerana terperangkap dengan ‘permainan’ anak beranak ini.

“Abang tahu kamu mesti bosan di rumah. Apa kata, sesekali temankan Linda dengan urusan kerja dia? Sekarang ni Linda banyak buat urusan dan negotiation di luar, kalau ada orang lelaki temankan, abang tidaklah risau sangat.” Luah kebimbangan Tan Sri Azman. Walau pun Linda boleh saja goyang kaki di pejabat tetapi, pada masa hadapan, Linda perlu mahir selok belok perniagaan dan berurusan dengan pelbagai latar belakang orang. Ini apa yang sedang Tan Sri Azman sedang usahakan. Kalau dia punya anak lelaki, tentu sahaja hal ini tidaklah menjadi begitu rumit.

“Betul kata abang kau. Akak pun fikir begitu juga.” Tambah Puan Sri Faridah. Ilham dan Linda hanya terdiam sahaja seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Baiklah, saya boleh temankan Linda.” Ilham membalas perlahan setelah menimbangkan sesuatu. Linda diam tak terkata apa. Dia kemudian hanya mengangguk lemah. Entah apa yang papa dan mamanya khuatirkan, dia sendiri kurang pasti. Setakat pergi berurusan tentu sahaja banyak perkara telah diuruskan dengan jayanya tanpa bantuan sesiapa. Kenapa perlu Ilham turut bersama? Apa yang lelaki itu boleh buat?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience