Selesai kursus di Pulau Pinang, perbincangan demi perbincangan perlaksanaan projek pembangunan giat dijalankan oleh Ilham bersama Yayasan Ilmi selaku pelaksana dan penasihat yang dilantik. Sebagai orang yang penting dan wakil pertubuhan ini, tugas Ilham adalah untuk memastikan segala berkaitan ground work telah dilaksanakan dengan baik dan sistematik supaya tiada sebarang pertindihan tugas atau konflik yang boleh menganggu gugat kelancaran pembangunan yang bakal dilaksanakan.
Selama beberapa minggu Ilham berada di Kuala Lumpur supaya pasukan pelaksana dapat segera merangka pelan pembangunan dengan terancang. Setelah diperhalusi, dinilai dan pertimbangkan sewajarnya, mereka telah mencapai suatu resolusi mampan untuk memulakan proses pembangunan. Mereka yakin untuk melaksanakannya dalam tempoh yang telah ditetapkan malah, mungkin lebih cepat jika tiada sebarang halangan yang serius.
“Encik Ilham dah tiba? Tan Sri sedang menunggu.” Seorang gadis berkata melalui talian telefon bimbitnya.
“Baik. Beri saya 5 minit.” Ilham segera bergegas untuk segera menemui orang yang dimaksudkan oleh gadis tadi. Dari ruang parkir ke lif untuk ke tingkat 25 Menara Prestige di Jalan Pinang ini bukanlah suatu tugas yang sukar tetapi, memakan sedikit masa juga. Tambahan pula kalau ramai yang sudah menunggu di hadapan lif. Terpaksalah dia menunggu giliran pula. Tunggu lagi.
“Haaa… masuk, Ilham.” Ceria saja wajah Tan Sri Azman mempelawa.
“Abang bila tahu kamu di Kuala Lumpur, cepat-cepat abang minta si Catherine tu book jadual kamu.” Kata Tan Sri Azman, merujuk kepada sekretarinya yang menghubungi Ilham sebentar tadi.
“Maaflah sebab buat temujanji mengejut sebegini,” sambung Tan Sri Azman lagi.
“Aduh, jangan begitu bang… takkan abang panggil, saya tak datang.” Tersenyum sahaja Ilham membalas, hanya memanggil Tan Sri Azman sebagai abang sahaja- tentu perhubungan mereka sangat akrab- tanpa protokol dan tata tertib VIP yang perlu dijaga.
“Eh, kamu datang tadi naik motor sajakah? Rugged nampak?”
“Tentulah, bang. Kuala Lumpur kan jammed selalu. Nak jumpa abang kan kena tepati masa. Orang sibuklah katakan.”
“Itulah, seronok jadi kamu. Bila-bila masa boleh ride. Bila-bila masa boleh buat kerja. Motor abang kat rumah tu dah berkulat agaknya kat bawah selimut.”
“Jom lah, kita ride ke utara. Kampung abang juga, kan?”
“Oh, tak sempat Am… er, kalau lajak ke Siam, abang akan pertimbangkan.” Seloroh Tan Sri Azman.
“Amboi, akak kalau dengar…”
“Syhhh,” kata Tan Sri Azman sambil melekapkan jari telunjuk kanannya ke bibir. Mereka ketawa.
Mereka berdua amat mesra sekali. Tentu sahaja kalau orang luar akan berasa pelik melihat keakraban mereka ni seperti rakan sebaya walau pun dari perbezaan umur memang agak ketara. Ilham itu mungkin baya-baya anak Tan Sri Azman sahaja tetapi, bual bicara mereka tetap senada.
“Apa hajat abang panggil saya ke mari?”
“Bagaimana dengan cadangan abang tempoh hari? Dah ada jawapan?”
Ilham tersenyum. Beria-ia benar kenalannya ini membuat tawaran supaya dia mengetuai satu cabang perniagaan yang dimiliki oleh bilionair ini dalam industri automotif. Benar, Tan Sri Azman boleh saja mengupah siapa saja di dunia ini untuk bekerja dengannya. Dia lebih daripada mampu. Tapi, budak hingusan ini juga yang dipilih- fikir Ilham di dalam hatinya.
“Tawaran tu memang menarik sekali, bang. Bukan calang-calang,” Ilham mula menyusun atur bicara.
“Jadi?” Ceria saja wajah Tan Sri Azman.
“Apa yang jadinya, bang. Tak layak pun.”
“Ah, kamu hanya beralasan saja. Masakan ‘adik’ Nick Bloor tak layak!” Getus Tan Sri Azman, kecewa sedikit.
Apabila disebut nama Nick sebentar tadi, ingatan Ilham mula menerobos ke ruang kenangan bagaimana dia boleh berjumpa dengan Tan Sri Azman ini. Pada masa itu Tan Sri Azman menemani sahabatnya Datuk Razak mempunyai misi perniagaan di Birmingham. Datuk Razak yang mempunyai minat mendalam dalam dunia pemotoran ingin membuka sebuah concept store dan menjadi pengedar sah motosikal jenama Triumph di Malaysia. Sebelum berjumpa dengan Nick untuk membincangkan urus niaga keesokan harinya, mereka terlebih dahulu melawat National Motorcycle Museum di Solihull. Kebetulan mereka bertemu Ilham di situ. Pada mulanya mereka sekadar berbual-bual kosong sahaja, tambahan pula Ilham sudah lama tidak pulang ke Malaysia- tentu banyak perkara ingin diketahuinya. Dapat pula berjumpa orang Malaysia yang mempunyai minat yang sama, tentu sahaja perbualan mereka lebih panjang lagi. Apabila diberitahu untuk bertemu Nick atas urusan perniagaan, Ilham menawarkan diri untuk menjadi ‘penunjuk arah’ ke pejabat Nick. Pada masa itu, Ilham sendiri tidak mengenali sahabat-sahabat barunya itu merupakan tokoh-tokoh korporat yang disegani di Malaysia dan mereka sendiri tidak tahu Ilham adalah ‘adik’ kepada Nick Bloor, pemilik Triumph Motorcycles.
Oleh yang demikian, apabila berlangsungnya pertemuan bersama Nick, Tan Sri Azman dan Datuk Razak berasa aneh sekali apabila kehadiran mereka dialu-alukan dengan cara yang begitu mesra sekali. Satu pejabat Triumph seperti ‘membentangkan karpet merah’- terutamanya kepada Ilham- semua yang ada menyapanya dengan mesra. Bertambah pelik lagi apabila Ilham sendiri yang membukakan pintu bilik Nick dan menyapa Nick dengan mesra- begitu juga Nick yang begitu ceria dengan kehadiran Ilham. Itu suatu pengalaman yang luar biasa. Segala urusan mereka menjadi begitu mudah dan lancar- tanpa banyak soal. Disebabkan Nick Bloor sendiri mengaku Ilham seperti adiknya, tentu mereka berdua selaku orang Malaysia, tidak malu mengaku yang Ilham sebagai adik mereka juga. Begitulah. Bangga mereka mempunyai ‘adik’ seperti Ilham yang disegani oleh orang luar.
“Hahaha… di sana, saya ‘adik’ Nick Bloor. Di sini saya ‘adik’ abang. Masakan abang tak kenal adik sendiri?” Ilham ketawa kecil bagai geli hati melihat telatah Tan Sri Azman.
“Sebab adik lah, abang mahu kamu sentiasa berada di sisi abang. Tolong abang. Bantu abang jaga bisnes abang.”
“Abang Razak juga minta begitu. Mana saya nak pilih?”
“Razak pun?”
“Yalah.”
“Kamu pilih abang lah. Abang tawar 2 kali, apa saja yang Razak tawarkan.”
“Ish, ke situ pulak. Saya bukan nak tawar menawar dengan abang.”
“Habis tu?”
“Saya nak tawarkan sesuatu kepada abang.”
“Apa dia? Macam nak menjadi menantu abang saja,” mengekek ketawa Tan Sri Azman. Ya, memang dia punya anak gadis yang jelita. Azlinda atau Linda saja. Gadis melayu moden yang aktif.
“Aduh, kenapa hari ni saya asyik terkena saja.”
“Itu lah. Ditawarkan kerja, gaji besar kamu tak mahu. Kalau kamu mahu bisnes abang ni pun abang boleh bagi percuma tapi, syaratnya kamu kahwinlah dengan Linda tu,” makin galak Tan Sri Azman mengusik.
“Habis takkan dengan pak mertua saya nak berabang-abang pula?”
“Apa salahnya? Pak mertua kamceng dengan menantu- boleh jadi contoh tauladan.”
“Kalau lawan cakap dengan abang memang tak habis. Nak dengar atau tak tawaran saya ni?” Ilham mulai serius. Sesekali dia kena buat begitu. Tan Sri Azman ni kalau siapa tak kenal baik tentu menganggap dia seorang yang sangat serius- almaklum bekas tentera lah katakan. Tetapi, kalau dah kenal, memang kelakar orangnya. Rajin berseloroh macam Pak Baha juga.
“Ah, lama tak jumpa apa salahnya nak bergurau sedikit.” Tan Sri Azman masih ketawa, walau pun sudah reda sedikit. Dikeluarkan sapu tangan dari kocek sut biru tuanya, lalu dikesat air matanya yang meleleh kerana ketawa tadi.
“Haa.. serius sangat, apa dia kamu nak cakap kan tu?” Tan Sri Azman mulai serius.
“Abang tahu kan sebab apa saya ke utara?”
“Hmmm.. pasal projek motor apa entah tu? Alah, abang ingat-ingat lupa lah.”
“Automotive tourism ni, bang.”
“Lain benar bunyinya tu. Belum pernah dengar sebegitu kat Malaysia ni.”
“Menarik, kan?”
“Hmmm.. jadi apa tawarannya?”
“Rakan niagalah bersama koperasi kampung tu.”
“Boleh untung?”
“CSR lah sikit, bang. Untung tu ada tapi, tidaklah seperti ‘masuk’ seperti bisnes abang yang bak ribut tu.”
“Hmmm…” Tan Sri Azman berfikir panjang.
“Sebenarnya saya memerlukan kepakaran teknikal untuk melatih peserta atau orang kampung dengan kemahiran-kemahiran baru contoh automotif, peruncitan, hospitaliti.. banyak lagi. Abang kan boleh buat pelaburan modal insan, di samping ada sedikit sebanyak pulangan.”
“Abang Razak dah sedia nak buka showroom motosikal, aksesori dan pusat baik pulih motosikal kuasa tinggi di sana. Apabila kompleks perniagaan itu siap sahaja, dia antara yang terawal akan buka ‘tikar’. Buat sementara ini, pakar motosikal telah dihantar ke sana untuk mengajar.” Ilham menerangkan panjang lebar. Ya, sekarang selain dari mengajar pelajar-pelajar sekolah terpilih, Naim dan pelajar-pelajar tersebut sedang giat mempelajari selok belok membaiki motosikal berkuasa tinggi, jenama umum yang diguna pakai oleh majoriti bikers di Malaysia. Untuk jenama-jenama lain yang lebih ‘rumit’ (biasanya jenis premium), Datuk Razak akan membuka cawangannya di sana nanti bersama pakar-pakarnya sendiri. Namun, peluang kerjaya untuk masyarakat kampung tetap akan bercambah melalui Datuk Razak ini sahaja- belum lagi yang lain-lain.
“Crowd pulling?”
“Komuniti bikers dan kereta yang ramai keahliannya sudah maklum. Mereka bersedia saja untuk buat program mereka, kelak. Dah tak sabar dah.”
“Jangka siapnya?”
“Dalam jadual, setahun.”
“Hmm…Ok juga… abang fikir untuk kereta, hotel abang boleh sertai.”
“Baik. Begitulah!” Ilham tersenyum, gembira.
“Bila boleh mula?”
“Begini, bang.. kerja tanah akan mula pada bulan depan. Pelan pembangunan projek sudah dapat kelulusan daripada autoriti. Kalau diikutkan, minggu depan pun dah boleh mula buat latihan tenaga kerja.”
“Kau rasa mana lebih baik? Buat di sana atau di sini saja?”
“Kalau buat di sini, kos tinggi untuk membawa mereka datang. Baik pakar saja yang pergi ke sana.”
“Tempatnya?”
“Bergantung mana yang sesuai. Sekolah ada, pusat latihan peladang pun boleh sewa, hotel-hotel di Penang, dewan orang ramai. Tang material untuk mengajar, pihak abang kena sediakanlah.”
“Untuk latihan hotel tu, abang akan guna satu hotel 5 bintang kawan abang punya di Penang untuk pakar di sana latih. Macam latihan pekerja baru di hotel itu. Untuk automotif ni abang lebih minat nak buka ruang pameran dan pusat sehenti di sana. Boleh kan?”
“Memang itu lah yang saya fikirkan.”
“Ops, sebelum abang lupa, abang akan hantar Linda semak perincian pelan untuk pembinaan hotel tu juga nanti. Boleh dia bagi input apa yang patut.”
“Linda? Alamak.”
“Tak usah nak alamak-alamak sangat. Kamu hadap saja. Orang lain punya la tergila-gilakan Linda, kamu ni boleh buat tak tahu macam tak ada perasaan. Apa kamu ni ada perkara yang ‘lain’ daripada yang normal ke?”
“Ish, ke situ pulak abang. Saya ni normal saja,” nafi Ilham sekeras-kerasnya. Tan Sri Azman hanya ketawa.
“Ok kalau macam tu, mengaku normal kan… tentu lapar, ya tak? Ini dah nak masuk waktu makan tengah hari ni. Abang dah aturkannya. Kamu jangan nak menolak,” kata Tan Sri Azman seperti memberi amaran.
“Aik, macam tak ada kaitan saja, ni ajak makan pun macam mengugut saya.”
“Ya lah. Kamu tu kalau tak ‘dipusing-pusingkan’ selalu saja menolak, mana nak dengar kata orang. Hmm.. kamu pergi dulu, di Mandarin Oriental. Abang menyusul. Ada kerja sedikit.” Tambah Tan Sri Azman.
“Baiklah Tan Sri. Saya menurut perintah.” Balas Ilham seperti memperli ‘kegarangan’ Tan Sri Azman. Mereka ketawa lagi.
********************
Mandarin Oriental dengan Menara Prestige tidaklah sejauh mana. Rasanya kalau berjalan kaki dengan tenang pun paling lama 10 minit. Memang tak jauh. Tetapi, Ilham malas pula nak menapak. Lepas makan boleh terus naik motor pulang ke rumahnya. Kalau cuaca dan mood baik hari ini, mungkin dia akan ke utara semula. Kalau malas, esok lusa sahaja. Itulah perancangannya hari ini. Oleh kerana Tan Sri Azman ajak makan tengah hari maka, dia berasa tentu bukan pasal makan sahaja. Bersembang lebih kurang-tup tap-habis masanya hari ini. Nampaknya kemungkinan besar, esok saja dia ke utara.
Selalunya, kalau cuaca tidak begitu panas, Tan Sri Azman gemar makan di Aqua Restaurant- lebih terbuka dan santai. Senang orang tua itu menghisap curut. Kalau panas sebegini, tentu tempatnya di Mosaic. Ilham pasti sebegitu- dan hari ini dia menghala ke restoran Mosaic yang bertempat di Mandarin Oriental. Bab makan sebenarnya, Ilham tidak kisah di mana tetapi, dia lebih gemar kalau makan masakan Melayu. Lama tinggal di perantauan, tentu lah antara yang dirindui adalah ulam-ulaman. Bab itu yang restoran Malaysian Delight di Birmingham tak mampu nak sajikan. Siapa pula nak import pucuk jering, buah kerdas, pucuk ceritik, pucuk putat dan sebagainya. Di Kuala Lumpur pun susah. Yang ada pun kalau tak pegaga, kacang kelisa- tak pun daun selom- mana seronok.
“Hai, sayang,” Ilham tersentak apabila bahunya di pegang orang. Segera ‘orang’ itu mengambil tempat duduk di hadapannya dan tersenyum ceria.
“Er, Lin rupanya. Mana tahu Am ada di sini?” Ilham sedikit terpinga-pinga.
“Papa yang beritahu, minta temankan Am makan tengah hari di sini. Sibuk sikit katanya. Eh, Am dah order?” Sah! Memang saja Tan Sri Azman mengenakan dia hari ini. Ilham hanya mengangguk dan meminta pramusaji untuk mengambil pesanan seterusnya.
Ilham berasa sedikit janggal dan serba salah apabila berhadapan dengan Linda. Dia memang kenal Linda. Lebih daripada itu- dia kenal anak Tan Sri Azman ini secara peribadi. Pertemuan mereka bermula apabila dia pulang ke Malaysia dan menumpang sekejap di rumah Tan Sri Azman kerana kakak Ilham, Kak Izzah dan keluarganya melancong ke Korea- justeru dia tiada tempat menginap di Kuala Lumpur. Ilham sendiri tidak merancang sebegitu. Asalnya, dia hanya datang melawat abang angkatnya itu dan merancang untuk tinggal menyewa di hotel murah di sekitar bandaraya sementara menunggu Kak Izzah pulang- kira-kira seminggu lamanya. Apabila diketahui oleh Tan Sri Azman begitu keadaannya- dia hanya bercerita, bukan meminta simpati pun- didesak oleh papa si Linda ini berulang kali supaya Ilham tinggal bersama dengannya sehingga Ilham terpaksa mengalah.
Namun, dari seminggu menjadi seminggu lagi, seterusnya jadi sebulan, kemudian hingga berbulan-bulan dia tinggal bersama dengan Tan Sri Azman. Apabila Ilham berhasrat untuk keluar, Tan Sri Azman akan menegah, melarang, memujuk malah, ada kalanya seperti memaksa. Ilham jadi serba salah. Pelbagai alasan dan argumen akan di’hujahkan’ oleh Tan Sri Azman- seperti dia belum mampu berdikarilah, rumahnya besar sunyi- dan bermacam-macam lagi supaya Ilham ada bersamanya. Antara syaratnya adalah kalau Ilham dah dapat tawaran bekerja, dia boleh lepaskan dengan senang hati. Dia tak mahu Ilham hidup susah di Kuala Lumpur. Tetapi, Ilham mengerti- apa jua alasan Tan Sri Azman- kecenderungan abang angkatnya itu selain ‘memancing’ Ilham untuk bekerja dengannya, ada satu perkara yang pasti adalah soal anaknya, Linda. Linda paling penting. Linda anak tunggal yang akan mewarisi hartanya yang berbilion tetapi tiada lelaki yang boleh diharapkan untuk menjaga Linda kalau dia sudah tiada. Kalau silap lelaki, habis anaknya ini. Tetapi itulah. Linda biasa hidup dalam kemewahan. Linda perlu lelaki yang boleh mengajar erti kehidupan- dan itu, sama ada disengajakan atau secara kebetulan seperti dibebankan ke pundak bahu Ilham.
“Lin lama tunggu khabar Am… berbulan-bulan Am tak ada berita. Lin telefon pun tidak berangkat. Orang Yayasan Hilmi kata, Am outstation tetapi tak beritahu di mana. Apa ni, Am? Am tak kasihan pada Lin ke?”
“Lin rindu pada Am…” nampaknya bola mata Linda mulai berair. Aduh, Ilham menjadi serba salah. Ilham sendiri mati bicaranya. Ceritalah bagaimana masalah pun- sebagai seorang yang strategis- dia tidak banyak masalah menangani pelbagai persoalan dan masalah cuma, soal perasaan memang bukan kemahirannya! Dan berulang-ulang kali juga dia diuji dengan keadaan sebegini dan jalan keluarnya hanyalah- menjauhkan diri sejauh dan selama yang boleh.
“Er, Lin janganlah macam ni…” Ilham cuba untuk memujuk. Dihulurkannya sapu tangan kepada Linda untuk mengelap air mata yang diseka. Linda segera mencapai sapu tangan yang dihulurkan dan perlahan-lahan dia mengelap air matanya, berhati-hati dan cermat sekali- mungkin bimbang comot maskaranya nanti kalau dilakukan secara semberono.
“Am memang sampai hati, kan? Am tak pernah peduli perasaan Lin. Tak tahu seksanya Lin menanti jawapan Am selama ini. Am hanya tahu soal hidup Am saja. Lin? Am tak pernah peduli!” Luah rasa hati Linda, yang seperti lama terbuku di hatinya. Dia berasa puas. Puas dapat meluahkannya.
“Maafkan Am, Lin. Sungguh, Am benar-benar sibuk sekarang. Janganlah kata Am tak peduli pada Lin.”
Perbualan mereka terhenti seketika ‘diganggu’ oleh pramusaji yang menghidangkan makanan yang dipesan. Lantas, tanpa banyak soal- mereka mula menjamah makanan- bagai telah terlupa perbualan tadi. Sungguh, kelaparan itu lebih ‘berkuasa’ dari emosi. Keperluan fisiologi lebih utama daripada keperluan emosi- bak kata Maslow.
Seperti ‘menebus’ kesalahannya, petang hingga ke awal malam, Ilham menghabiskan masa bersama Linda, menemani kesukaan gadis itu di sekitar Kuala Lumpur. Sungguh, walau pun Ilham kurang selesa untuk ‘berkepit’, Ilham berasa bahagia melihat gadis itu boleh tertawa dan ceria ditemaninya. Terkadang dia kurang mengerti perasaannya sendiri. Bukan dia tidak suka pada Linda tetapi dia sendiri tidak pasti ‘suka’ yang bagaimana untuk dia berikan kepada gadis ini. Dia tidak pula memberikan harapan tetapi, harapan itu jualah yang ditagih oleh Linda. Dia hanya melayan sebagaimana ‘patut’ dan ‘perlu’ dilakukannya sebagai seorang manusia terhadap manusia yang lain. Adakah perlu dia mengikut rentak intepretasi orang lain terhadap layanan yang dia berikan sedangkan intepretasi itu subjektif maksudnya? Entahlah, dia hanya mengikut aturan jalan Tuhan. Kalau sudah sampai masanya, tentu dia akan beroleh jawapan. Itu pasti.
Share this novel