Bab 29: Cinta Yang Kekal Tetapi Jauh Untuk Diraih

Romance Completed 5295

Perjalanan pulang dari Birmingham ke Malaysia memberikan banyak masa kepada Linda dan Hanis untuk berfikir panjang dan matang. Segala persoalan telah ditemukan hanya jawapan sahaja yang perlu dipertimbangkan semolek-moleknya. Sesekali, mereka berdua berbincang bersama dan sesekali mereka hanya melayani permasalahan hubungan mereka dalam fikiran masing-masing. Tidak keputusan yang ampuh dapat dicapai dalam perjalanan yang panjang ini. Ya, masa itu panjang- tetapi sangat singkat sekali untuk mereka dapatkan apa yang hati mereka inginkan.

Ilham adalah lelaki yang penyayang. Dia menyayangi semua orang yang berada di sekelilingnya. Dia menyayangi Tan Sri Azman seperti mana dia sayang Pak Baha, sayangnya pada Puan Sri Faridah seperti juga kepada Mak Mah. Begitu juga Linda dan Hanis. Ray, Zarif, Nick, Jim, Big Reese, Jack dan sahabat-sahabatnya yang lain. Oleh kerana kasih sayang yang diberikan, sebagai imbalan, dia juga dikelilingi oleh orang-orang turut menyayanginya dan antara yang bertuah adalah Florence. Florence terlebih dahulu meraih peluang itu. Florence dapat mengisi suatu tempat teristimewa dalam hati Ilham.

Malangnya, apabila Linda dan Hanis muncul- mereka ‘memaksa’ Ilham untuk memberi hak eksklusif itu kepada salah satu daripada mereka. Tentu orang yang sarat kasih sayangnya seperti Ilham tidak mahu terjebak dengan ‘perangkap’ kasih sayang ini. Mengapa pula dia perlu memilih? Dia tidak pernah memilih pun untuk menyayangi tetapi, kenapa perlu dibebani tanggungjawab memilih untuk sayang itu kepada Ilham- kerana dia memang bisa menyayangi mereka semua- dan dia telah membuktikannya!

Andai Florence masih ada, tentu saja ini tidak menjadi masalah. Florence terlebih dahulu mengisi ruang teristimewa dalam hatinya. Ilham pasti menolak mereka berdua tanpa kompromi- bukan sebab tidak menyayangi mereka- tetapi ‘tempat’ itu bukan tempat mereka. Titik.

Amat mudah sekali kalau Linda dan Hanis boleh melepaskan Ilham tetapi, mereka tidak boleh. Ilham terlalu ‘mahal’ untuk dilepaskan. Tuntutan perasaan itu terlalu berat untuk mereka melepaskan. Mereka boleh menderita untuk tidak memiliki tetapi, bukan derita untuk membiarkan lelaki itu pergi. Aduh, kalaulah mereka boleh berkongsi namun, fitrahnya wanita memang bukan begitu!

“Kalau kau mencari cinta itu pada Ilham maka, kau akan menemuinya. Tetapi, jika kamu inginkan hanya untuk diri kamu sendiri maka, carilah lelaki lain yang lebih ‘setia’ kepadamu.” Kata Ray pada beberapa hari yang lepas, sebelum mereka berangkat pergi. Sebagai kawan yang memahami hati budi Ilham, yang memahami perilaku lelaki itu- kenyataan yang dikatakan oleh Ray merupakan satu bicara ringkas tetapi, memberi seribu makna.

Apakah Linda dan Hanis bisa mengakui hakikat ini?

-----TAMAT-----

Kesinambungan cerita dalam novel seterusnya THE BIG BOSS Nota: Watak2 seperti Nick Bloor, Florence Colgate, Ray Square, Big Reese, Tan Sri Azman, kelab2 motosikal The Stunna, The Vikings, tempat2 Green Lane, Handsworth, Sutton Motorcycle, RMT Motorcycle Training, Indi Vidual Bar, dll lagi mmg wujud dlm realiti- sekadar 'inspired' saja dan ianya sekadar fiksyen semata2.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience