“Tak bolehlah begitu, Datuk. Aging syarikat Datuk dengan syarikat saya sudah melebihi fasiliti kredit yang kami berikan. Sepatutnya hanya 90 hari sahaja- kini dah lebih 120 hari.” Linda berkata dengan tegasnya. Mana boleh lagi nak bertoleransi sampai begitu sekali. Apabila ada mesyuarat dengan Tan Sri Azman, teruk juga Linda ‘dilanyak’ walau pun Linda ini anaknya- gara-gara hutang syarikat Datuk Rahman inilah. Mana boleh tahan.
Sesekali Linda mengerling kepada pemuda ‘pilihan’ Tan Sri Azman ini, Ilham namanya. Dari tadi hanya berdiam diri sahaja. Entah apa yang Tan Sri Azman lihat kepada pemuda ini. Setakat duduk diam, melihat Linda bersoal jawab- baik dia duduk rumah saja. Memang buat orang hilang mood.
“Saya sendiri dah jelaskan pada cik Linda. Kelewatan pembayaran itu bukan sebab kami sengaja menangguhkan pembayaran tetapi, disebabkan approval loan daripada pihak bank kepada pelanggan-pelanggan kami masih tertangguh. Kami dah berurusan dengan pihak bank tetapi akan berlaku sedikit kelewatan sebab mereka sedang hadapi sedikit technical issues.” Datuk Rahman cuba meyakinkan kepada Linda sekali lagi. Ya, dia boleh bagi apa jua alasan tetapi, alasan apa pun yang gunakan oleh Linda untuk menjustifikasi kelewatan pembayaran syarikat Datuk Rahman- pun ‘dilanyak’ juga!
“Masalah sekarang Datuk, cerita tentang syarikat Datuk ni dah sampai jadi bualan industri. Ramai dah panik dan mula nak kemukakan saman. Syarikat kami pun tidak teragak-agak untuk berbuat sedemikian sebab kami pun nak securekan pembayaran hutang dari syarikat Datuk kalau masuk insolvensi nanti. Bukan sedikit Datuk, 10 juta!” Datuk Rahman kelu tidak berkata. Nampak keruh saja muka lelaki ini.
“Minta maaf, boleh saya berkata sesuatu.” Tiba-tiba sahaja Ilham ‘memohon’ untuk mencelah. Kalau tidak dibenarkan, takut pula nanti mengadu dengan Tan Sri Azman. Linda berharap Ilham tidak mengeruhkan lagi keadaan. Baru dengar sejam dua perbincangan Linda dengan Datuk Rahman dah Ilham dilihat oleh Linda seperti mula nak memandai-mandai. Linda dan Datuk Rahman telah berbincang soal hutang piutang ni sejak krisis 2-3 bulan lepas lagi bukan setakat hari ini saja- pun masih belum ada solusi konkrit yang boleh diguna pakai.
“Boleh saya dapatkan laporan audit terkini syarikat Datuk? Kalau boleh sekali laporan kewangan syarikat Datuk sehingga bulan lepas?” Ilham bertanya. Linda berasa kurang senang dengan Ilham yang secara tiba-tiba meminta laporan kewangan syarikat orang.
“Boleh, tetapi tuan hanya boleh lihat di dalam pejabat ini sahaja.”
“Saya faham Datuk.” Datuk Rahman segera mengarahkan kakitangannya untuk cetak laporan kewangan dan juga laporan audit terkini ke dalam pejabatnya melalui talian interkom. Tak berapa lama, laporan itu telah tersedia di hadapan mereka.
“Minta maaf, ya Datuk dan cik Linda. Saya semak dulu laporan-laporan ini sebentar.” Ilham segera meninggalkan Linda dan Datuk Rahman yang berada di meja lalu beralih ke bahagian tetamu di dalam bilik Datuk Rahman. Linda berasa sedikit ‘lega’ kerana dengan berlalunya Ilham dari situ, hatinya lebih ‘aman’ untuk bernegosiasi. Linda menyambung semula perbincangan dengan Datuk Rahman yang tergendala sebentar tadi.
Tak berapa lama kemudian, Ilham kembali menyertai Linda dan Datuk Rahman. Di tangannya masih memegang laporan-laporan kewangan yang diberikan oleh Datuk Rahman tadi. Muka Ilham kelihatan tersenyum sahaja- tentunya ini menjengkelkan Linda- tatkala dia sedang berurusan, kalut memikirkan solusi terbaik, Ilham boleh buat muka seperti tiada masalah dalam dunia ini. Menyakitkan hati saja..
“Maaf ya, Datuk…cik Linda. Boleh kita berbincang sebentar berkenaan laporan-laporan ini?”
“Hmm…” Linda hanya memberikan respon pendek. Datuk Rahman hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Saya dah semak dan buat sedikit sebanyak analisa berkaitan prestasi syarikat Datuk. Saya berpendapat, masalah hutang tertunggak tersebut bukan sahaja boleh diselesaikan kepada syarikat kami tetapi juga kepada semua vendor yang terlibat.” Muka Datuk Rahman kembali ceria.
“Bagaimana tu, tuan?” tanya Datuk Rahman ingin tahu.
“Begini, Datuk… sebelum saya mengemukakan cadangan, saya mahu Datuk bekerjasama dengan kami sepenuhnya. Boleh?”
“Tentu saja. Saya jamin saya akan memberi kerjasama penuh, asalkan ada penyelesaiannya.”
“Bolehkah Datuk panggil semua vendor syarikat Datuk supaya diadakan mesyuarat di sini?”
“Takkan semua? Ada sebahagiannya tidak terlibat dalam hutang tertunggak. Hanya projek tertentu sahaja.” Muka Datuk Rahman kembali berkerut.
“Kalau mahu penyelesaian menyeluruh, beginilah caranya. Kalau tidak, tentu Datuk lebih faham apa yang akan berlaku sekiranya perkara ini berlarutan sehingga 2-3 bulan lagi.” Datuk Rahman berfikir sejenak. Betul kata juga kata pemuda ini. Kalau tidak disegerakan tindakan penyelesaian, dia akan bukan setakat ‘melayan’ banyak surat tuntutan malah, saman!
“Datuk jangan bimbang, saya akan berbincang dengan Tan Sri berkenaan perkara ini. Insya Allah, Tan Sri akan menyokong inisiatif ini.”
“Tetapi, apa yang tuan nak buat nanti?”
“Datuk jangan risau soal itu. Pada hari tersebut saya akan beri jalan penyelesaian dan consensus semua pihak, termasuk pihak Datuk sendiri.”
“Baiklah tuan. Saya akan dapatkan mereka yang terlibat seberapa segera. Insya Allah dalam minggu depan.”
“Baik. Doa-doakan semoga urusan kita ini berjalan lancar.”
“Amin.”
Semasa keluar dari syarikat Datuk Rahman, Linda dan Ilham berjalan beriringan. Hati Linda tertanya-tanya juga apa sebenarnya yang Ilham ini ingin lakukan tetapi, disebabkan masih tersisa ego dalam diri- dibatalkan saja niatnya itu. Pada Linda, asalkan tidak menjadi bebanan dirinya pada kemudian hari, sudahlah. Biar Tan Sri Azman saja yang bertanggungjawab atas peristiwa hari ini kalau berlaku masalah kelak. Linda tak mahu jadi mangsa buat damage control.
Perjalanan Ilham dan Linda terpisah kerana mereka tidak datang ke sini bersama-sama. Linda memandu kereta dan Ilham pula menunggang motosikal- pinjam daripada Tan Sri Azman. Entah motosikal apa- Linda tak peduli. Sengaja Linda keluar awal untuk tidak bersama dengan Ilham dalam satu kereta. Macam kejam sangat perbuatan itu tetapi, Linda tak ingin lelaki itu bersama-sama dengannya. Dilihat bersama seperti tadi pun sudah cukup menjengkelkan Linda. Sungguh, Linda memang tak suka dengan Ilham. Benci betul.
Share this novel