Florence Colgate seorang gadis British berambut perang bermata biru terang ini sedang mengerjakan rutin harian sebagai pemilik Sutton Motorcycles- melakukan rondaan dan meninjau outletnya yang terkenal sebagai pengedar motosikal berjenama Honda. Dia memiliki dua cawangan seperti ini di Birmingham- jadi, setiap pagi dia akan meronda dengan CB750 K8 keluaran batch terakhir model ini pada tahun 1978, berulang alik antara dua cawangannya- lebih kurang 30-35 kilometer jarak antara keduanya. Ya, setiap pagi kalau dia rajin. Kalau malas menjengah, abang sepupunya Jim Taylor akan membantu di Watling Street.
Memandangkan cawangan terhampir dengan kediamannya adalah cawangan di Birmingham Road maka, cawangan inilah yang bakal dilawati terlebih dahulu, selepas itu barulah dia ke Watling Street melalui lebuhraya dan merentasi laluan ke Dorridge, Solihull, Marston Green, Coleshill, Polesworth dan akhirnya di Tamworth. Perjalanan di latari dengan pelbagai permandangan termasuk ladang-ladang berkonsepkan garden farming, hutan-hutan kecil, pekan-pekan, kawasan perumahan dan lain-lain lagi yang menarik mata untuk ditinjau. Tetapi bagi Florence, perkara itu biasa saja. Dah jemu. Cuma menunggang motosikal retronya ini saja dia masih belum jemu. Sebab menjadi kesukaannya, dia tak kisah menunggang jauh berbatu-batu. Ngauman enjin 4 silinder dan deruan angin menampar diri ibarat suatu terapi yang mendamaikan.
Namun, setiap kali melalui Solihull atau lebih tepat lagi di National Motorcycles Museum, fikiran Florence akan mengimbau kenangan pertemuannya dengan seorang pemuda di sana hampir satu dekad yang lepas- yang telah menawan hatinya. Sungguh, sampai kini dia masih terkenang-kenang bak gila bayang. Bukan biasa-biasa. Bisa meruntun kalbu.
Ya, hari itu amat cerah sekali. Hari paling indah pernah dirasakannya. Dia hadir ke muzium tersebut kerana ada satu program yang dianjurkan oleh pihak muzium- taklimat atau lebih tepat pertemuan mesra bersama lagenda tokoh pemotoran British, John Bloor- yang memiliki Triumph Motorcycles. Hari itu amat meriah. Ramai peminat, pemilik dan fanatik motosikal turut hadir. Dia tak mahu ketinggalan. Boleh berjumpa kawan-kawannya di sana. Mereka memang akan berkumpul di acara seperti ini dan tambahan pula, boleh juga berkenalan dengan kawan-kawan baru nanti. Maklumlah, dia sendiri terlibat secara langsung dalam industri ini- the more the merrier. Acara seperti ini tentu saja dapat meluaskan networking Florence dalam perniagaan motosikal.
Suasana ketika itu memang meriah tetapi, dalam kemeriahan itu pandangannya tertancap kepada dua orang lelaki yang sibuk berbual mengenai motosikal yang dipamerkan. Sambil berlalu (berpura-pura) meninjau-ninjau motosikal klasik dan retro , dia mencuri dengar-hebat sekali perbualan mereka. Bukan sekadar berbual kosong mengenai minat mereka terhadap motosikal tetapi juga berkenaan teknologi, strategi pemasaran, supply chain, budaya- wah, sangat ilmiah tetapi santai. Seorang daripada mereka agak muda seperti sebaya dengannya manakala seorang lagi lelaki tempatan yang sedikit berumur. Yang muda itu, orang Asia agaknya- itulah, tanggapan pertama yang muncul di benak Florence. Pada mulanya, dia sendiri kurang peduli dengan mereka berdua tetapi, sebab gatal mulutnya untuk bertegur sapa-itu pun sebab mereka berdua hampir serentak memandangnya jadi, agak kekok atau kurang adabnya kalau tidak menyapa-
“Hai…,” spontan saja Florence menegur.
“Hello…,” serentak mereka menjawab dan tersenyum.
“Oh, maafkan saya kalau menganggu anda berdua berbicara,”
“Tidak menjadi soal, cik.” Sahut lelaki Asia itu mesra.
“Betul, apatah lagi sekiranya yang mengganggu itu gadis yang cantik!” Sambung lelaki tempatan itu pula. Lelaki berdua itu tersenyum, cenderung kepada keakraban persahabatan. Tidak membuatkan orang berasa asing dan terpinggir.
“Anda berdua sangat asyik berbual, sekejap lagi kan hampir mula acara bersama Tuan John Bloor. Rugi kalau ketinggalan. Bukan senang nak bermesra dengan orang yang berpengaruh dalam dunia motosikal British!” Mereka berdua hanya tersenyum sahaja, menyetujui.
“Tak mengapa, cik. Abang besar saya ini, hari-hari berjumpa dengan beliau!” Kata lelaki Asia tadi sambil menepuk bahu rakannya itu.
“Ah, kamu bergurau-”
“Serius.” Potong lelaki Asia tadi, pantas.
“Haha… teruk sekali adik Melayu saya mempermain kamu. Saya Nick. Nick Bloor,” mereka berdua ketawa sahaja melihat dia masih keliru. Ah, patut dia lebih cekap menangkap maksud lelaki Asia tadi.
“Apakah hubungan Tuan dengan John Bloor?” tanya Florence meminta kepastian.
“Saya? John bapa saya.” Balas Nick selamba sahaja, mukanya sedikit mengusik, tersengih.
“Oh, bertuahnya saya hari ini!” Florence seperti bersorak, teruja.
“Saya Florence, dan kamu?” Florence menghulur tangan pada lelaki Asia yang menemani, Nick Bloor. Mesti ‘seseorang’ juga ni, kalau tidak takkan begitu mesra dia dengan Nick, anak seorang lagenda permotoran British.
“Saya Ilham,” lelaki itu tidak menyambut tangannya tetapi, begitu meletakkan tangan kanannya di dada dan menunduk sedikit, sopan. Mungkin dia orang Jepun, fikir Florence. Tapi tak sepet pula. Mungkin jenis ‘hybrid’ agaknya.
“Maafkan saya kerana tidak menyambut tangan awak, saya harap awak tidak berasa kecil hati.”
“Oh, tidak. Saya OK sahaja.” Balas Florence mesra.
Seterusnya, mereka bertiga saling berbual mesra. Bertukar-tukar fikiran dan minat terhadap motosikal dan perniagaan. Apa yang Florence perhatikan, Nick banyak sekali mengangguk-angguk apa saja yang Ilham katakan terutamanya, berkaitan dengan strategi pemasaran dan pengoperasian. Sesekali dia akan bertanya jika kurang faham. Florence hanya tahu Ilham seorang pelajar di Universiti Birmingham. Sebagai pelajar, tentu saja dia akan lebih banyak bertanya kepada Nick, selaku orang penting dalam Triump Motorcycle Ltd (kini Nick adalah CEOnya). Ini terbalik pula.
Pada mulanya, Florence tidak ambil pusing sangat berkenaan perbincangan mereka. Untuk tidak kelihatan kekok, dia sesekali akan mengangguk-angguk juga, seperti faham. Atau sesekali mencelah. Tapi apabila dikenangkan semula dia sendiri terasa geli hati. Ya, entah apa pula di fikiran dan tanggapan lelaki berdua itu terhadapnya. Mungkin mereka ketawa dalam hati. Apa pun, kalau diamati kini, semenjak 2008 Triumph Motorcycle telah menjana banyak kejayaan dari segi perniagaan mereka berbanding dahulu- mirip seperti apa yang dicadangkan oleh Ilham. Hebat lelaki ini. Patutlah Nick Bloor asyik dan khusyuk mendengar saja apa yang dikatakan Ilham dengan penuh minat. Namun, Nick tidak kurang juga idea-ideanya yang bernas.
****************************************************
“Hai, lelaki budiman,” tegur Florence.
“Hai…eh, Flo. Apa yang awak buat di sini?” Ilham seperti terkejut. Manakan tidak, berjumpa dengan Florence di Old Joe (menara jam) di universiti ini bukan sesuatu yang dia akan jangkakan.
“Awak tidak suka saya ke sini? Awak takut teman wanita awak marah?” Usik Florence.
“Eh, bukan begitu. Saya suka awak datang tetapi, saya bimbang sekiranya awak datang mengejut begini, saya khuatir tidak dapat melayan awak dengan sempurna-”
“Bukan sebab teman wanita?” Usik Florence.
“Saya bukan sesiapa di sini. Tiada yang mahu.” Ilham tersenyum sahaja dengan gelagat Florence. Dia tahu Florence hanya cuba menduga. Malah, dia lebih tahu apa sebenarnya maksud hati Florence tetapi, dia tidak mahu berfikir ke arah itu.
“Mustahil, awak kan kacak, Am.” Berkaca-kaca sinar mata Florence memandang Ilham.
“Saya setuju. Tetapi awak lupa sesuatu.”
“Apa dia?”
“Saya pokai.” Spontan saja Ilham membalas. Ilham tahu itu saja yang dapat mematikan usikan Florence terhadapnya. Kalau terlalu merendah diri, dia akan terus mengusik sampai Ilham sendiri berasa canggung. Almaklum, gadis Eropah lebih agresif dari gadis Asia. Tidak ada persoalan ‘timba dan perigi’.
Mereka serentak ketawa. Florence berasa sangat senang hati. Semenjak hampir dua tahun dari hari pertama mereka bertemu, mereka berdua menjadi teman akrab. Tak sangka boleh bertemu semula di sebuah café berhampiran Sutton Motorcycles. Dia yang mula menegur Ilham. Ilham beberapa kali cuba mengecam, sebab mungkin terdapat comot bekas minyak hitam di muka Florence, menyukarkan untuk meneka. Pada masa itu, dia sedang bekerja dengan abang sepupunya Jim Taylor sebagai cif mekanik. Ya, siapa sangka dia seorang mekanik motosikal!
“Oh, gadis cantik itu!” Sorak Ilham apabila diingatkan semula oleh Florence tentang pertemuan mereka beberapa minggu sebelumnya.
“Maaf, kenapa comot sekali muka awak? Ada apa yang rosak yang boleh saya bantu?”
“Oh, Tuhanku. Patut awak melihat saya seperti melihat hantu!” Segera Florence mengesat mukanya dengan sapu tangan yang dihulur oleh Ilham.
“Jangan marah sebab ambil masa mengecam awak. Awak sedikit lain.”
“Kenapa, saya sudah menjadi gadis ‘hantu’ pada awak?”
“Tentu tidak, awak lebih cantik daripada itu.” Berbunga sekali Florence mendengar. Lelaki di hadapannya ini lebih gentleman berbanding lelaki British yang dikenali sebagai lelaki gentleman di dunia. Pandai menjaga perasaan orang.
“Flo, apa yang awak menungkan, tu?” Tersentak Florence dari lamunannya dengan teguran Ilham. Walaupun cuma seketika lelaki itu meninggalkannya, ternyata lamunanya begitu jauh menerobosi ruang waktu yang lama. Tersedar, dia hanya tersenyum memandang Ilham yang turut mengukir senyuman manis. Ya, lelaki di hadapannya itu kalau sekali imbas seperti biasa-biasa sahaja kalau hendak dibandingkan dengan dirinya (kalau sesekali melaram sebagai gadis moden British) tetapi ada gaya dan daya pemikat yang luar biasa. Nampak seperti kasar dengan budaya bikers ala café racer tetapi orangnya amat halus budi bahasa. Sentiasa menyenangkan.
“Nah, kopi yang awak minta.” Florence segera menyambutnya.
“Oh, ya… tentu ada hajat besar hingga awak datang mencari saya di sini.” Tanya Ilham meminta kepastian. Florence hanya menghirup kopi panas, mengambil sedikit masa untuk berbicara. Ilham hanya membiarkan saja. Suasana café di universiti ini seperti hening walaupun sebenarnya agak hingar bingar dengan pelajar-pelajarnya. Bermacam ragam.
“Selalu awak cari saya di Green Lane, itu pun awak telefon dahulu?” Tanya Ilham lagi, tetapi tidak mendesak. Hanya memecahkan kesunyian bicara antara mereka. Selalu begitulah, Florence kalau berhajat berjumpa dengannya, dia akan datang ke kawasan kediaman Ilham di Green Lane. Hubungan mereka yang pada mulanya, berjumpa di acara permotoran, seterusnya bertukar-tukar fikiran berkaitan teknikal, pembaikan motosikal dan secara alami, berkembang menjadi teman tetapi mesra.
“Kejutan!” Jawab Florence seperti bersorak pula. Tetapi riak mukanya bagai dibuat-buat untuk ceria. Ilham memandang dia dengan pandangan yang pelik tetapi, prihatin. Nampaknya lelaki ini pandai membaca gelodak perasaannya. Pandangan mereka bertemu, mata Ilham seperti berbicara menyoalnya. Florence tewas dalam ‘bicara’ sunyi seperti ini.
“Hmm… macam mana saya nak cakap dengan awak ni..” sambung Florence seperti berbisik, cuba berterus-terang. Florence tahu, tidak ada gunanya di berdalih lagi. Lelaki di hadapannya ini tidak mudah dikaburi dengan dalih dan penafian.
“Seperti serius nampaknya.”
“Ya, antara hidup dan mati.”
“Begitu serius?”
“Nampaknya macam tu lah…” lemah saja Florence menjawab.
Florence lalu menceritakan perihal masalah kewangan dan jualan di Sutton Motorcycles. Jim pula seperti kehilangan arah, kerap mabuk-mabuk dan kakitangannya mula berhenti kerja. Sebagai adik sepupu dan terlibat pula secara langsung sebagai cif mekanik di sana, tentu saja ini amat menggusarkan Florence. Memang Sutton Motorcycles ibarat hidup dan mati kepada Florence.
Ilham mendengar dengan teliti setiap butir bicara Florence. Sesekali berkerut-kerut muka gadis itu menceritakan perihal masalah yang dihadapinya. Ilham tahu, Florence adalah enthusiast dalam kerjanya. Segala selok belok perihal permotoran diikuti, dipelajari dan diamalkan dengan penuh minat dan dedikasi tidak berbelah bahagi.
“Saya tahu, ianya bukan masalah awak, Am. Saya pun tidak mengharapkan apa-apa daripada awak tetapi, lega hati saya dapat bercerita masalah ini dengan teman seperti awak.” Kerisauan masih jelas berbayang pada wajah Florence walau pun tidaklah ‘segelap’ tadi. Mungkin Florence berasa amat lega sekali dapat berkongsi masalahnya.
“Hmmm… tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,” Ilham berkata lembut. Nampak sedikit bercahaya wajah Florence.
“Awak ada caranya?” Wajah Florence mulai bercahaya. Dia teruja untuk mengetahui apa yang bakal dicadangkan oleh Ilham. Selama mereka berkawan, Ilham sering sahaja mempunyai solusi yang dia tidak pernah terfikirkan. Mungkin atas dasar itu, Florence menceritakan permasalahannya pada Ilham, moga-moga ada solusi yang boleh dianjurkan oleh lelaki itu.
“Insya Allah, ada. Tapi di mana saya boleh dapatkan Jim malam ini?
“Hmm… setahu saya, dia selalu berkunjung di Indi Vidual Bar berhampiran china town,” balas Florence.
“Oh, apa yang awak sebut tadi- insya, eh apa ya?”
“Insya Allah- maknanya jika Tuhan mengizinkan.” Pendek saja Ilham membalas.
“Insya Allah, awak tentu boleh selesaikan.” Balas Florence walau pun terkial-kial menyebut kalimah suci tersebut. Ilham hanya tersenyum sahaja melihat telatah gadis manis bermata biru itu.
****************************************************
Malam itu, Ilham berseorang menuju ke china town di Birmingham mencari lokasi Indi Vidual Bar seperti yang dimaklumkan oleh Florence. Tempat ini bukan asing bagi Ilham sebab di sini ada Genting Casino- ya, mengingatkan dia pada negara tanahair- walau pun bukan itu yang dia ingin ingatkan- selain dari Restoran Malaysian Delight yang berhampiran di situ. Selalunya dia ke china town kalau ingin mencari buah durian. Tempat lain di Birmingham susah sedikit hendak dapatkan ‘bahan-bahan’ Asia atau Malaysia terutamanya. Teringat dia pertama kali makan durian bersama Florence. Merah muka gadis itu seperti udang di bakar. Loya sangat katanya tetapi, selepas beberapa kali, Florence lebih hantu durian daripada dia sendiri. Baru minah saleh ni tahu penangan King Of Fruit.
Melalui di ruangan pejalan kaki berhadapan dengan Hotel Ibis yang berwarna merah bata- seperti warna trademark bandar Birmingham- dia berjalan perlahan tetapi tegas ke arah bar yang dimaksud. Dari kejauhan, ada seorang lelaki berkulit hitam sedang terpacak menunggu seseorang dan apabila dia terlihat Ilham, lantas mukanya tersenyum mesra.
“Maaf Ray sebab menunggu.” Mereka bersalaman dan berpelukan gaya bikers. Ya, Ray Square ni seorang biker kental dan orang kuat dari Vikings Motorcycle Club di Birmingham ini. Antara kelab motosikal terlama di sini dan khas untuk orang-orang berkulit hitam. Jadi, pasti permohonan Ilham untuk menjadi ahli sudah pastinya akan ditolak, sebab dia lebih cerah kulitnya daripada mereka. Walaupun kelab ini hanya untuk orang-orang berkulit hitam tetapi, mereka tidak pula bersikap rasis sebagaimana sesetengah kelab atau persatuan berorentasikan warna kulit atau ras bangsa.
“Tidak menjadi soal, bro. Orang yang kau cari ada di dalam. Kalau perlukan apa-apa, aku ada di luar.” Kata Ray serius dan menunjukkan ke arah seorang lelaki di dalam bar tersebut. Ilham hanya tersenyum seperti dapat meneka apa yang Ray fikirkan.
“Ah, aku mahu berbual sahaja, bukan nak pukul oranglah.”
“Hahaha, aku faham. Tapi bukan boleh jangka kalau berbual dengan orang mabuk. Lagi pula, ramai kenalan Jim di sana. Kalau satu lawan satu atau satu lawan dua, mungkin kau menang. Kalau ramai, itu dah jadi cerita lain.” Tingkah Ray menjelaskan. Ilham hanya menggeleng kepala sambil ketawa. Teringat dia apabila Ray datang ke universiti mencari pasal dengan seorang pelajar di sana atas sebab pergaduhan geng motosikal. Perkara remeh saja pun. Kebetulan dia yang berada di sana- mungkin dianggap satu geng dengan pelajar tersebut- turut hendak digasak. Itu ‘rezeki’ bawak Triumph buruk di universiti. Jenuh juga nak bersilat dengan Ray yang bak lembu kudratnya. Walaupun bermula atas sebab salah faham malah, bertumbuk pula tetapi, apabila terungkai salah faham yang berlaku, mereka berdua jadi karib pula. Ini mungkin sebab Ilham pun mudah memaafkan dan sifat Ray yang gentleman.
Ilham melangkah masuk ke dalam bar tersebut. Nasib hari ini tidak ramai orang. Kalau malam minggu pasti penuh dan sesak, lebih-lebih lagi yang terkinja-kinja menari dengan muzik yang bising. Tentu saja apa butir kata tak dapat difahami. Boleh hilang suara kalau terpaksa memekik untuk bercakap.
Di suatu sudut, kelihatan Jim Taylor sedang minum sendirian. Dia kelihatan kusut- minum dan bersulam asap rokok. Air kuning keemasan tu sudah tentu bukan jus epal. Sesekali ada saja orang atau mungkin rakan Jim menyapa- dan Jim hanya buat seperti endah tak endah. Dia dalam dunianya.
Tatkala Ilham menuju ke arah Jim, banyak mata mula memandang liar ke arahnya. Mungkin sebab dia bukan regular di sini. Yelah, apa tujuan Ilham nak ke sini pun, melainkan kalau dia turut sama ingin mabuk seperti mereka. Atau nak menari terkinja-kinja. Itu pun dia sudah berasa berdosa untuk tempat seperti ini. Masuk saja, penuh bau arak dan asap rokok. Lemas. Kalau bukan sebab Florence meminta, tentu saja tak ingin Ilham ke tempat seperti ini.
“Hello, Jim. Boleh saya duduk di sini.” Tegur Ilham berbahasa. Walau pun Ilham sering mendengar perihal Jim melalui Florence, ini adalah kali pertama dia bertemu dengan tuan punya nama ini. Jim masih buat tak kisah tentang kehadirannya di situ tanpa reaksi tapi menjeling tajam.
“Boleh kita berbicara, Jim?” Jim masih membatu.
“Ni soal Sutton Motorcycles-”
“Jadi si bangsat David hantar kau ke sini?” Tiba-tiba saja Jim naik berang. Dihentaknya gelas arak itu ke meja. Bertaburan kaca di atas meja tersebut. Jim berdiri dan kelihatan amat marah. Seluruh orang di dalam bar, memandang mereka. Pastinya reaksi Jim mengundang perhatian ramai walau pun dengan bingitnya muzik dialunkan di dalam bar itu.
“David? Siapa David? Saya-” Dus, penumbuk Jim mula melayang. Sekilas saja hampir mengenai Ilham. Nasib baik dia sempat mengelak. Kalau tidak, ‘bocor’ muka dia malam ini.
Ilham segera bangun, berhati-hati. Dia cuba menenangkan Jim berkali-kali. Namun, Jim masih terus menggila menghayunkan beberapa lagi tumbukan. Ilham mengelak dan melarikan amukan Jim keluar dari bar tersebut. Di luar bar lebih lapang. Ilham tak mahu ada yang tidak kena mengena menjadi mangsa Jim.
Tapi apa yang tidak disangkakan oleh Ilham, entah dari mana-mana berkerumun lelaki-lelaki bengis mengepungnya. Mungkin sekali kawan-kawan, Jim- fikirnya. Ah, ini sudah menjadi banyak soal jawab. Ray yang cuba untuk masuk campur, Ilham isyaratkan supaya beredar. Ilham tidak mahu soal salah faham ini melibat pergaduhan geng pula dan boleh mencetus pergaduhan kaum kerana Ray berkulit hitam dan mereka yang cuba berkonfrontasi dengan Ilham, adalah sebangsa dengan Jim.
“Saudara-saudara sekelian, ini hanya salah faham kecil saja, saya mohon diberi peluang untuk menjelaskan.” Pinta Ilham, lembut pada mereka mengelilinginya.
“Cakap pada si bangsat, David- aku takkan jual perniagaan aku pada dia. Dia boleh main dengan orang lain. Ini aku, Jim. Jim Taylor!” Teriak Jim. Masih mabuk dan kacau jiwanya.
Celaka sungguh malam ini. Belum sempat hendak menjelaskan, bertubi-tubi mereka menyerang Ilham. Belum kira lagi kata-kata makian dan cacian. Paling celaka sekali siapa pula si David yang Jim jeritkan dari tadi? Jenuh Ilham bersilat dan mengelak. Ada yang terpaksa dia tumbuk dan ada yang kena penendang. Sesekali ada juga penumbuk atau penendang sesat, singgah di batang tubuhnya. Paling haru melawan kaki-kaki botol yang tak kenal erti sakit ini- macam zombie. Tak sempat dikira, Ilham menganggarkan paling kurang ada 10 orang mabuk yang sibuk ‘berkung-fu’ dengannya.
Dalam situasi yang agak kelam kabut itu, Ray Square tidak menghiraukan larangan Ilham. Masakan dia boleh berpeluk tubuh apabila melihat sahabatnya dalam keadaan yang genting sebegitu. Bikers adalah bersaudara- itu prinsip asas dunia bikers. Dia turut sama menyinsing lengan dan membanting tulang bersama-sama Ilham pada malam ini. Ray tahu sebab apa Ilham melarangnya dan dia juga tidak pun menghubungi The Vikings untuk backup, dia pun sedar impaknya kalau hal sebegini berpanjangan tambahan pula ada di kalangan mereka itu ada kelihatan bikers dari The Stunna, antara kelab motosikal berpengaruh di Birmingham.
Mereka masih bergasak hebat. Tentu sahaja mereka yang masih waras dan berakal, bebas dari kekeliruan alkohol ini dapat berfikir lebih tangkas untuk bertindak. Tetapi apabila berlawan dengan ‘makhluk’ yang tidak berakal betul bak zombie pasti tidak juga mudah. Suasana menjadi kian genting.
“Ray!” Teriak Ilham kerana telah mengesan bahaya yang tak diduga. Tidak ada masa lagi- Ilham segera menerpa dan bertindak- tup!
“Am! Oh, tidak!” Ray panik.
Ilham hanya ingat beberapa perkara. Ya, ada seorang lelaki secara sulit membuka pisau lipat secara senyap menuju ke arah Ray yang membelakangi- blind spot yang boleh mengundang bahaya jika dibiarkan. Ilham tidak berniat untuk mengorbankan diri. Tetapi perkara ini berlaku seperti kilat. Sepantas Ilham cuba bertindak menyelamatkan Ray- lebih pantas pisau itu menusuk- kini dia pula sebagai pengganti. Dia ingat kesakitan selepas ditusuk. Dia ingat Ray memangkunya. Dia ingat ada seorang gadis berambut perang segera menerpa ke arahnya- tetapi dia kurang pasti siapa. Dia ingat- mungkin sudah sampai masanya- dia segera mengucapkan kalimah tauhid- biarlah kalimah ini menjadi perkara terakhir yang boleh diucapkannya. Selepas itu dunianya kelam dan memadamkan ingatannya pada yang lain-lain tadi. Dunianya hitam.
****************************************************
“Bagaimana doktor?” Florence resah. Doktor yang memeriksa Ilham masih belum memberikan sebarang kata.
Ray pula hanya tersandar keletihan di atas kerusi di suatu penjuru. Malam semalam dirasakan begitu panjang sekali. Pagi ini dia telah menerima bahananya- mengantuk keterlaluan. Sesekali dia menjeling ke arah Florence yang seolah-olah tidak kunjung habis tenaganya. Hairan juga dia melihat Florence sebegitu gelisah sepanjang malam menjaga Ilham. Semenjak bila pula kawannya ini ada teman wanita, cantik pula tu- fikir Ray dalam kelesuannya- antara tidur dan jaga. Dia sendiri tidak tahu entah berapa kali dia terlelap dan terjaga dalam keadaan begitu. Tak seberapa ketika, dia terlena sendiri.
“Siapa waris lelaki ini?” Tanya doktor tersebut.
“Saya, er… isterinya,” balas Florence pendek.
“Oh, puan jangan risau. Walaupun luka di bahagian perutnya agak parah tetapi, beliau sangat bertuah, tiada komplikasi selepas pembedahan tadi dan tidak ada organ yang penting yang terkena cuma, perlukan sedikit masa untuk pemulihan dan perlu banyak berehat.” Terang doktor panjang lebar.
“Berapa lama suami saya perlu berada dalam unit kecemasan, doktor?”
“Pihak hospital akan memantau perkembangan suami puan, sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-4 hari lagi di unit kecemasan ini. Kalau tiada apa-apa yang serius, suami puan akan dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan susulan.”
Florence berasa amat lega. Dia berasa seperti tidak tentu punca sebentar tadi. Sebetulnya perasaan itu telah bermula semenjak semalam lagi- semacam ada kegelisahan yang tak tentu, berperang dalam perasaannya. Lantas, dia cuba menelefon Ilham. Tidak berangkat pula- makin kalut lagi apa yang dirasakan.
Lantas dia segera ke china town, sebab dia tahu pasti Ilham ke sana. Paling menggusarkan apabila seperti ada sesuatu yang telah berlaku di sana. Riuh seperti ada kecemasan atau rusuhan kecil. Debaran di dadanya semakin laju apabila hampir tiba di bar kerana ramai sekali orang berkumpul seperti sesuatu yang tidak kena- dan- Ilham! Berkali-kali Florence cuba mempercayai matanya namun, pantas lagi kakinya melangkah mendapatkan Ilham yang rebah berlumuran darah dipangku oleh seorang lelaki berkulit hitam. Florence berteriak dan menangis. Dia tak peduli sekelilinginya lagi. Dia tak peduli abang sepupunya yang turut berada situ- seperti tergamam, tidak bereaksi. Dia menangis semahu-mahunya. Seperti anak-anak kehilangan ibu- dan dia seperti itu- takut yang tidak boleh disangkal lagi kerana berperang dengan perasaan hatinya untuk tidak kehilangan lelaki ini.
Kini Florence tidak lagi berasa sebegitu. Nafasnya lebih lancar tanpa sekatan debaran di dadanya atau kerisauan yang memukul perasaannya. Tiba-tiba sahaja, dia berasa lesu. Segera diambilnya kerusi tetamu dan duduk disebelah Ilham yang masih berbaring tidak sedarkan diri. Mungkin sebab Ilham masih dibawah pengaruh bius. Florence mengusap tangan Ilham dengan lembut, berhati-hati tetapi penuh dengan kasih sayang yang erat. Dia sedar Ilham tidak pernah sekali pun memegang tangannya, dan Ilham tak akan berbuat sedemikian. Pasti Ilham tak selesa kalau dia berbuat sedemikian dan pasti lelaki itu sedaya upaya mengelakkan. Tapi Florence hanya spontan. Spontan pula dia mengucup tangan lelaki yang dikasihinya itu. Antara kelegaan hatinya, melayan perasaannya, Florence terlelap di sisi Ilham. Damai dan tenang perasaannya kini.
Share this novel