Pertemuan Ilham dan Florence pada pagi itu sungguh mengharukan. Tidak berhenti-henti air mata Florence mengalir kerana kegembiraan. Sungguh Florence benar-benar merindui Ilham. Nampak sahaja kelibat Ilham yang mundar mandir di ruangan menunggu, Florence tidak segan-segan lagi berteriak dan berlari-lari ke arah lelaki yang yang dicintainya itu. Hampir saja dia melompat untuk memeluk Ilham.
“Awak nampak kurus sedikit, Flo. Apa awak sakit?” Florence menggeleng-geleng kepalanya. Air mata gembira masih lagi mengalir tak henti-henti. Ilham segera mengelap air mata itu dengan perasaan kasih sayang.
“Kalau sakit pun di sini.” Kata Florence sambil menepuk dadanya, mengisyaratkan ‘kesakitan’ rindu yang dialami.
“Saya sudah di sini, biar saya ubatkan.” Kata Ilham memanjakan Florence. Lantas, Florence segera merangkul lengan Ilham erat ke tubuhnya.
“Awak tentu bukan doktor yang terbaik.” Kata Florence seperti berbisik ke telinga Ilham.
“Mengapa pula? Saya yakin awak akan baik sepenuhnya.”
“Tiada doktor yang akan membiarkan pesakitnya hampir hilang nyawa, tahu?” Florence mencebik manja.
“Oh, sebab doktor awak ini belum certified. Baru habis housemanship, baru berani untuk mengubat.”
“Hmm, saya mahu tuan doktor periksa betul-betul. Saya mahu segera sembuh!” Kata Florence seperti mendesak dengan riak wajahnya seperti merajuk.
“Oh, penyakit ni memang kena dirawat segera Flo... ianya berbahaya dan mudah berjangkit,”
“Berjangkit?”
“Ya, kalau tidak dirawat sempurna, ianya boleh berjangkit pula pada doktor yang merawat!” Florence hanya ketawa mendengar kata-kata Ilham. Hilang muka rajuknya itu.
Florence berasa begitu bahagia sekali. Hampir setengah tahun menanti dan merindui bukan suatu jangkamasa yang mudah. Apatah lagi tanpa deadline yang pasti pada penantian itu. Kini dia tidak perlu menanti lagi. Lelaki dambaannya kini di hadapan mata. Secara fizikalnya, aroma tubuh dan hembusan nafasnya- semuanya itu bagai mengembalikan semula semangat Florence yang hilang hampir sepenuhnya.
Mereka kemudian berjalan beriringan dan meninggalkan Birmingham Airport, menuju ke Gree Lane, ke rumah bernombor 18. Rumah yang penuh memori indah mereka berdua- dan bakal dipenuhi lagi segala yang indah dan mengasyikkan. Rumah yang mereka pernah diami bersama selama beberapa bulan dan bakal didiami untuk berpuluh tahun lagi. Rumah milik mereka sendiri di Birmingham.
Perjalanan ke Green Lane dari Birmingham Airport, tidaklah lama, hanya sekitar 20 minit sahaja dan bersama dengan orang yang tersayang tentu perjalanan itu terasa begitu pendek sekali. Seketika, mereka berdua telah tiba di hadapan rumah bernombor 18 di Holmwood Street. Nampaknya suasana lengang sahaja.
“Rumah puan Mariam seperti berkunci saja, dia ke mana Flo?” Tanya Ilham seperti tertinjau-tinjau mencari kelibat wanita separuh umur bernama Mariam itu.
“Oh, katanya dia ke London- melawat anak.”
“Lama?”
“Dia baru bertolak kelmarin. Katanya, mungkin sebulan dua. Dia meminta saya melihat-lihatkan rumahnya sepeninggalan dia nanti.”
“Oh, begitu. Berikan saya kunci.” Florence segera menyerahkan kunci rumah kepada Ilham. Sebaik sahaja pintu terkuak, Ilham segera mengemas barangan yang dibawanya sambil dibantu oleh Florence.
Ilham segera duduk dan bersandar di atas sofa. Florence pula mengambil tempat di sebelah Ilham dan menyandarkan kepalanya ke bahu Ilham. Tangan Ilham segera dicapai dan diselitkan jari jemarinya ke celah-celah jari jemari Ilham, lantas digenggam erat bagai tidak mahu dilepaskannya lagi. Buat seketika, mereka hanya terdiam tidak bersuara.
“Adakah awak nak begini selama-lamanya?” Ilham bertanya Florence, lembut. Florence tidak bersuara, tetapi dikucupnya tangan Ilham dengan penuh kasih sayang. Florence kemudian mengangguk dan memandang redup pada Ilham, seperti mengharap Ilham segera mengucupi bibirnya yang merah pucat itu.
Ilham hanya meletakkan jari telunjuknya pada bibir Florence lantas diusapnya lembut pipi gadis itu dengan penuh belaian.
“Sekarang ini, tentunya kita tak boleh berkelakuan sebegini. Bukankah awak telah belajar mengenai Islam dan keadaan kita sebegini tentunya tidak wajar tanpa ikatan yang sah, bukan? ”
“Maafkan saya, Am.” Florence tersipu. Sungguh, dia tidak dapat mengawal limpahan kerinduannya terhadap Ilham dan tentunya sukar untuk dia beradaptasi sesuatu yang menjadi perkara biasa pada resam budaya orang-orang Inggeris yang mewajarkan perlakuannya itu.
“Sudikah sekiranya tiada batas lagi diri saya ini untuk awak?”
“Maksud awak, Am?” Mata Florence mulai berkaca-kaca, seperti meneka tetapi bagai faham pula maksud yang hendak disampaikan oleh Ilham. Ilham mengeluarkan sesuatu pada kocek bajunya. Sebuah kotak kecil berwarna merah segera terlihat di celah genggaman Ilham. Perlahan-lahan dibukanya kotak itu dan sebentuk cincin bertahta berlian kelihatan, bersinar sekali pada mata Florence yang kian kabur digenangi air mata.
Ilham segera mengeluarkan cincin dan menyarungkan ke jari manis Florence. Florence tidak tertahan lagi menahan keharuannya. Air matanya tumpah lagi. Hari ini sungguh merupakan hari yang paling bahagia buat dirinya. Doanya selama ini telah pun dikabulkan Tuhan.
********************
Dengan sekali lafaz sahaja, Ilham dan Florence telah sah menjadi suami dan isteri. Suasana pernikahan mereka di Birmingham Central Mosque begitu sederhana sekali dan hanya dikelilingi oleh saudara mara dan sahabat taulan yang terdekat. Ray dan Jim turut menitiskan air mata menyaksikan hari bersejarah Ilham dan Florence. Nick hanya tersenyum melihat pasangan dua sejoli itu disatukan. Dia berasa sangat bahagia, barangkali atas sebab perkahwinan ini, secara automatisnya Nick mendapat adik baru.
Florence sungguh cantik sekali berpakai menutup aurat berwarna putih dan Ilham turut memakai pakaian putih, nampak begitu sedondon dan murni sekali apabila mereka bersama. Hadirin turut mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baru tersebut.
“Alhamdulillah, semoga kamu pernikahan kamu berdua dirahmati Allah.” Syeikh Ahmad mendoakan Ilham dan Florence.
“Terima kasih, tuan syeikh. Kami suami isteri amat berbesar hati dalam kesibukan tuan, dapat juga hadir ke walimah kami.” Kata Ilham lalu berjabat tangan dan memeluk Syeikh Ahmad yang banyak berjasa kepadanya.
“Tidak ada apa-apa, anakku. Mulai hari ini tanggungjawabmu sudah bertambah. Pandai-pandailah kau mengaturnya. Mohon pada Allah moga diberi petunjuk dalam perjalanan hidupmu dan untuk membimbing isterimu itu.” Syeikh Ahmad memberikan kata-kata nasihatnya sebelum meminta diri untuk beredar kerana ada urusan yang lain.
Setelah selesai walimah, Ilham dan Florence segera kembali ke Green Lane. Tentu sahaja sebagai pengantin baru, ruang privasi untuk bermesra bersama itu menjadi dambaan setelah dibatasi dengan kekangan syarak. Oleh sebab batasan itu- setelah dipenuhi tuntutan dan syarat- percintaan mereka kini lebih manis dan mengasyikkan. Bagai merpati sejoli yang tak bisa lagi dipisahkan- dan mereka tenggelam dengan cumbuan, hilai tawa, keasyikan dan kemanisan cinta itu bagai esok tiada lagi.
Share this novel