Bab 14: Natasha

Family Completed 2944

~Ammar~

Aku merasakan seperti aku telah lama tidur. Aku rasa segar dan tenang. Aku cuba untuk membuka mataku, terasa berat dan sukar. Aku cuba menggerakkan tangan dan kakiku. Semuanya terasa kebas. Seperti berhari-hari tidak bergerak.

Alhamdulillah. Aku masih dapat merasakan pergerakan tangan dan kakiku. Kelopak mataku bergerak-gerak ke atas kerana aku cuba untuk membuka mataku walaupun terasa payah.

"Ammar! Ammar! Alhamdulillah"

"Ammar, cuba buka mata. Ummi dan abi ada ni"

Eh, kenapa aku seperti mendengar suara ummi. Kenapa mereka berada di rumah sewaku.

Apa yang telah terjadi?

Aku cuba membuka mata seluasnya. Silau!

"Apasal macam ada bau ubat ni? Eh! Apa jadi?! Aku di mana sebenarnya? Takkanlah?" ligat otakku cuba merasionalkan apa yang sedang berlaku.

Aku terus mengangkat badanku dengan laju.

"Ammar! Perlahan!" jerit ummi terkejut.

"Ammar kat mana?" mataku masih terasa pedih.

"Hospital ke? Ammar kena pukul lagi ke? Ammar okay ke ummi? Abi?" aku membelek-belek tanganku. Meraba mukaku. Menyelak selimut yang menutupi tubuhku.

Alhamdulillah, lengkap semuanya. Tiada lebam atau luka sedikit pun. Tiada yang berbalut. Aku lega tetapi kebingungan dalam masa yang sama.

Ummi dan abi hanya menggelengkan kepala melihat kelakuanku.

"Kamu pengsan Ammar. Masa kamu di library semalam. Kamu okay. Tak ada apa. Cuma doktor kata, mungkin sebab kamu terkejutkan sesuatu, atau sebab kamu terlalu lapar" perlahan-lahan abi menerangkan keadaanku.

Memori terakhirku datang kembali.

"Mana dia?" aku panik.

"Siapa?" ummi dan abi saling berpandangan.

"Macam mana ummi dan abi tahu keadaan Ammar?" tanyaku.

"Housemate kamu, Azizi yang call"

"Dia kata kamu pengsan di library masa dia tiba di library. Dia nampak daripada pintu masuk library kamu seperti ketakutan melihat sesuatu dan terus rebah. Nasib baik ada seorang pelajar perempuan berhampiran, sempat menarik tangan kamu sebelum kepala kamu menghentak meja"

"Azizi dan pelajar itulah yang meminta bantuan kakitangan library untuk membuat panggilan kecemasan. Kata mereka, kamu langsung tidak sedarkan diri"

"Apa nama budak perempuan tu abinya?" tanya ummi pada abi sehingga berkerut dahinya cuba mengingati.

"Kawan-kawan kamu ada datang melawat pagi tadi. Kamu je yang belum sedar"

"Eh abinya, ummi rasa macam pernah tengok la budak perempuan tu. Kamu kenal ke Ammar?" soal ummi sambil memandangku. Aku terasa seperti jiwaku meninggalkan raganya apabila ummi berkata 'pelajar perempuan'.

"Na... Na... Apa ya? Macam omputih sikit namanya, kan?"

"Nata..."

"NATASHA?!" belum sempat abi menghabiskan sebutannya, aku terlebih dahulu menjerit nama itu.

Nama yang pernah menghantui aku buat beberapa lama. Memori silam kembali berputar di fikiranku. Seperti air yang mengalir laju keluar apabila empangannya telah pecah.

Aku terasa pening.

Serta-merta nafasku menjadi laju kembali.

"Ammar? Takkan dia?" ummi menutup mulutnya kerana tidak menyangka kami berjumpa lagi.

Abi bangkit daripada kerusi. Bergerak mundar-mandir di sebelah katilku. Abi berhenti dan memandang tepat ke mataku. Abi dapat merasakan serangan panik aku bakal kembali lagi.

"Ammar, bertenang. Ingat apa doktor ajar sebelum ni. Tarik nafas sedalamnya, dan hembus seperlahan mungkin. Tarik, hembus. Tarik, hembus. Tenang. Ammar selamat. Tiada sesiapa memarahi dan memukul Ammar sekarang"

"Ammar, pusing sekeliling kamu. Ammar selamat dengan kami sekarang"

"Abi tak sangka peristiwa tu masih menghantui kamu" abi menghampiriku dan menepuk bahuku.

Ummi mengesat hujung matanya.

Kasihan mereka. Mereka sedaya upaya mengubatiku semenjak daripada peristiwa hitam itu.

Aku juga ingatkan aku sudah sembuh sepenuhnya. Nampaknya, aku silap besar.

Perasaan takut masih ada. Trauma.

"Natasha..."

Aku teringat kembali mesej Natasha yang dihantar beberapa bulan yang lalu... Sengaja aku tidak membalasnya.

Aku ingatkan aku sudah boleh mengawal panikku apabila aku tidak merasa apa-apa semasa melihat nama empunya mesej. Rupa-rupanya, melihatnya secara depan-depan, masih memberi impak kepadaku.

Sungguh aku tidak menyangka, selama ini, kami belajar di sebuah institusi yang sama.

Bagaimana mungkin aku tidak pernah terserempak dengannya selama ini?

Aku memejamkan kembali mataku, dan merebahkan diri ke katil. Aku terasa letih yang amat sangat. Aku ingin berehat sebentar.

"Ammar tidur sekejap ya ummi, abi" lalu aku merasakan diri di awang-awangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience