Bab 13: Dia?

Family Completed 2944

~Ammar~

"Alhamdulillah, boss kasi aku tukar hari kerja. Nanti aku join korang ya" beritahu aku kepada Azizi yang baru balik daripada kampus.

"Alright!" balas Azizi sambil tersenyum keletihan.

Azizi kelihatan seperti baru lepas berlari marathon 15km gayanya. Rambut kusut masai dan bajunya basah lencun.

"Ko okay ke?" tanya aku sambil memakai kasut. Aku ada kuliah sekejap lagi. Baik aku gerak awal sikit.   Kalau panas, aku boleh tumpang merasa angin sejuk air-conditioner bilik pensyarah sebelum mula kuliah.

"Motor aku tetiba mati kat simpang depan sana tu. Jenuh la aku tolak motor tu, apahal ntah. Nantilah aku tengok dia. Nak mandi, solat, tidur dulu. Ko balik tak lepas kuliah? Ke terus lepas library?"

"Tengok keadaan. Kalau kelas habis macam biasa, aku lepak sana teruslah. Pape roger. Aku gerak dulu" balas aku sambil berdiri kembali membetulkan pakaianku.

Sekali pulas sahaja, kereta Kancil aku berjaya dihidupkan. Alhamdulillah. Jenuh nak menapak kalau tak ada motor atau kereta.

Jarak parkir pelajar dan bangunan akademik tidaklah terlalu dekat, adalah dalam 500 meter aku perlu berjalan sebelum menemui bangunan yang pertama untuk tumpang berteduh. Aku awal 20 minit.

"Jenguk pensyarah mana ada la kejap"

Aku menghayunkan kaki ke arah blok pensyarah. Aku tahu mereka sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelajar mereka andai mereka sedang lapang.

Buka sahaja pintu utama, angin sejuk menyentuh lembut wajahku yang kemerahan dek kepanasan. Aku melangkah perlahan-lahan mencari pensyarah yang aku kenali.

"Ammar, sini sekejap" terdengar suara seseorang memanggilku.

Pucuk dicita, ulam mendatang.

"Baik, puan" aku menambah kelajuan langkahku.

"Ya?"

"Saya masuk dan duduk boleh, puan? Nak tumpang air-cond. Sejuknya" tanyaku sambil terus menarik kerusi dan duduk tanpa menunggu jawapan.

"Ikut suka awaklah. Eh, apa persediaan awak nak test hujung minggu ni? Tak ada pun datang jumpa saya untuk revision ke semak jawapan awak ke apa ke?" bertalu-talu soalan ditanya.

"Puan, jangan risau. Saya dah jumpa geng study. Malam ni saya start join diaorang. Saya harap saya dapat la sikit aura budak pandai tu. Rasanya puan kenal kot budak-budak tu" aku cuba menyakinkan pensyarahku.

"Really? That's great. Kenapalah sebelum ni tak jumpa mereka ya? Kalau tak, lama dah awak pun tamat pengajian. Itulah, jodoh dan ajal di tangan Tuhan. Allah takdirkan awak bertemu mereka hanya pada semester ini. Moga ada sinar kejayaan untuk awak, Ammar"

Aku lihat pensyarah aku begitu gembira dengan berita itu. Ini antara sebab aku suka meluangkan masa bersama pensyarah, waima untuk berbual sahaja. Mereka sentiasa, secara sedar atau tidak, mendoakan kebaikan buat para pelajar yang menemui mereka.

Mungkin doa itu tidak dimakbulkan sekarang, tetapi disimpan untuk masa hadapan. Adalah hikmahnya. Allah jualah yang Maha Mengetahui.

"Saya harap awak do better dalam test sebab markah quiz awak ni... Erm... Tak berapa comel"

"Lagi satu, ada dapat apa-apa bahan daripada Shida dan Tina? Kalau Shida tak nak cakap dengan awak, awak cuba approach Tina. Tanya Tina apa progress mereka. Awak pun perlukan masa untuk siapkan bahagian awak tu"

Puan melihat jam di handphonenya "Eh, dah hampir waktu kuliah. Tolong bawa beg buku saya ni dulu. Kita jumpa di kelas"

Aku tanpa berlengah terus berdiri, dan menyambut beg yang dihulur. "Baik, puan. Saya gerak dulu"

Kelas habis seperti yang dijadualkan, 6.05 petang. Tanpa break yang panjang.

Aku kagum dengan pensyarah yang seorang ni. Selesu mana pun beliau tatkala melangkah ke kelas, beliau akan berubah segar dan bertenaga apabila mula bercakap. Kadang-kala, beliau lupa untuk berhenti bercakap walaupun selepas sejam berdiri, bercakap dan mengelilingi bilik kuliah itu. Salute!

Apabila beliau melangkah keluar kelas, aku terus menyangkut beg usangku ke bahu dan bergegas keluar mencari surau terdekat. Aku belum solat Asar. Dan, aku yakin ramai lagi begitu.

Lorong-lorong di bangunan akademik semakin sibuk dipenuhi pelajar yang berpusu-pusu keluar daripada bilik kuliah masing-masing. Aku teringat surau di perpustakaan. "Alang-alang nak jumpa Azizi and the gang di sana, baik aku solat sahaja di sana" getus hatiku.

Aku tetap sahaja di sejadah menanti Maghrib. Lagi pula, tiada sesiapa sewaktu aku tiba untuk solat Asar tadi.

Aku memegang dadaku. Apasal luar biasa berdebar ni? Sebab nak memulakan sesuatu yang barukah? Atau, sebab aku bakal berasa rendah diri di kalangan adik-adik yang bijak pandai sekejap lagi? Apakah pendapat mereka pasal aku extend tak berkesudahan ni?

"Aduh, kerja syaitan semua ni. Tak nak aku buat benda baik."

"Aku berlindung kepada Allah SWT daripada Syaitan yang direjam"

Sesudah solat Maghrib, aku duduk termenung menunggu mesej atau panggilan daripada Azizi.

Grukkkk! Grukkk!

Alamak, kuatnya perut aku berbunyi. Lapar benar ni. Tapi, aku malas dah keluar daripada perpustakaan ni.

Aku teringat ada cafe layan diri di dalam perpustakaan. Hasil usaha kakitangan perpustakaan buat para pengunjung yang kadang-kala ralit dan berlama-lamaan di perpustakaan sehingga lupa untuk keluar makan. Sekurang-kurangnya, ada sesuatu untuk dibuat alas perut.

Aku cepat-cepat ke sana. Dapat roti pun jadilah dulu buat hilang lapar.

Daripada kejauhan aku dapat melihat rak makanan masih terisi, atas meja juga ada beberapa tray tersusun. Dalam peti ais, aku tahu mereka selalunya meletakkan air minuman, samada di dalam kotak, tin atau botol. Tengoklah apa rezeki aku.

Elok sahaja aku tiba di hadapan rak makanan, barulah aku perasan, ada pelajar lain juga di situ. Perempuan. Sendirian. Tapak tanganku mula berpeluh.

Aku tidak betah lagi berada berduaan dengan mana-mana perempuan sejak peristiwa lalu. Aku dapat merasakan kadar degupan jantungku juga meningkat.

Aku tidak dapat bergerak. Kakinya melekat ke lantai.

Memburukkan lagi keadaan, aku seperti kenal susuk tubuh itu. Memang tak akan aku lupakan sampai bila-bila.

"Tidak mungkin!" aku pejamkan mataku.

"Ammar..." sayup aku mendengar namaku dipanggil. Aku tidak dapat membuka mataku. Aku tidak lagi dapat merasakan tubuhku.

"Ammar!" aku mendengar dia menjerit memanggil namaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience