Bab 7: Semester baru

Family Completed 2944

~Ammar~

"Abi, Ammar nak balik kampus awal sikit la. Petang nanti cadangnya nak pergi dah. Ammar nak tengok rumah sewa, bayar deposit, dan... Ammar nak cari kerja part-time." kataku suatu pagi sambil mulutku mengunyah pisang goreng panas. Manis rangup.

Ummi kata ada pisang masak setandan, jadinya pagi petang menu kami pisang goreng. Tadi aku nampak ummi jinjit plastik berisi tepung naik sendiri, gula kastor dan telur sekembali dia daripada pasar pagi Ahad. Mesti berubah kek pisang kejap lagi tu. Mau dua tiga biji kek juga tu. Nak kami buat bekal balik kampus la tu.

"Elok le tu. Nak abi ikut?" soal abi sambil membelek handphone di tangan.

"Kamu bila pula Nita?" tanya abi sambil berpaling kepada Nita yang kelihatan khusyuk menyuap mi goreng basah special resepi ummi.

"Nita? Erm... Hari Ahad depanlah. Abi dan ummi hantar ya?" jawab si Nita sambil tersengih bak kerang busuk.

Aku dah agak dah. Takkan la ummi dan abi nak ke utara selepas tu ke selatan pula menghantar kami dua beradik seminggu dua ni. Walaupun sama universiti, kami berlainan kampus. Biar ajelah mereka hantar budak Nita tu. Lagipun, ni pertama kali dia nak menyewa rumah. Last semester, dia menginap di kolej universiti. Sah-sahlah barang Nita banyak.

"Ammar drive sendirilah. Kan Ammar ada sang Kancil tu. Kesian dia terperap sepanjang cuti semester ni"

"Ammar bukan budak hingusan macam Nita tu" sengaja aku mengusik Nita.

Nita mencebik bibirnya sambil mengangkat pinggan dan cawan ke singki. Kelentung! Kelentang! Bunyi pinggan kaca berlaga di dalam singki.

"Woit, anak dara kena lemah-lembut, nanti tak ada yang masuk meminang" usik aku pada Nita.

Lagi panjang muncung bibir Nita dan berjalan keluar daripada dapur sambil menghentak-hentak kakinya.

"Tak ngusik adik kamu tak boleh ke?" tegur ummi yang tiba-tiba muncul daripada belakang aku.

"Opocot!" aku terkejut tiba-tiba disapa ummi.

Usai sarapan, aku menuju ke bilik.
Ummi nampaknya sudah menyinsing lengan bajunya dan mengeluarkan mixer daripada kabinet dapur. Okay, baking mode ummi dah on.

Aku meninjau sana sini mencari barang untuk dibawa bersama ke rumah sewa. Aku bercadang untuk membawa keperluan asas sahaja. Bilik sewa aku sudah dilengkapi katil, meja belajar dan almari. Perabot dan peralatan lain untuk kegunaan bersama penyewa lain juga telah disediakan tuan rumah. Aku harap betullah seperti yang dikata. Lagipun aku cuma ada tiga kursus untuk diambil semester ini. Tidak banyak barang yang aku perlukan.

Aku punggah kesemua barang yang diperlukan ke dalam kereta kecil aku. Just nice. Semua muat dalam but kereta. Dapat bayangkan tak betapa sedikit barang keperluan aku?

Sambil-sambil mengisi barang, aku mengelilingi dan memeriksa keretaku. Tayar okay. Minyak hitam okay. Air okay. Enjin hidup. Cun! "Minyak?" tanyaku kepada diri sendiri. "Erm kena singgah dulu stesen minyak mana-mana nanti"

Aku kembali ke dalam rumah. Capai handphone dan meneliti mesej Whatsapp. "Mak aih, banyaknya mesej!" Aduh, jenuh aku nak scroll semua ni.

Mataku terpaku kepada satu mesej.

Assalamualaikum Ammar
Boleh kita jumpa?
Saya ada benda nak cakap dengan Ammar, please?

Kepalaku ligat memutar memori lepas. "Argh!" aku baling sahaja handphone ke atas katil tanpa membalas mesej tersebut. Nanti-nantilah aku fikir.

Azan Asar berkumandang. Cue untuk aku bersiap menuju ke utara. Aku bergegas ke bilik air mengambil wuduk.

Ummi dan abi seperti biasa akan bersolat di surau.

Mereka memiliki kedai runcit bersebelahan rumah kami. Hanya mereka berdua yang menguruskan kedai runcit tersebut. Setiap waktu solat, mereka akan tutup sementara atau mengamanahkan kepada aku atau Nita untuk menjaga sebentar sebelum ke surau.

Sudah menjadi rutin harian mereka setelah ummi dan abi memilih untuk pencen awal dan memulakan perniagaan kecil-kecilan mereka. Kerana perniagaan merekalah aku berminat untuk memilih bidang perakaunan.

Cuma, aku tidak menyangka setelah 4 tahun, aku masih belum berjaya menamatkan pengajian diploma tersebut. Namun, minatku masih utuh dan tidak luntur.

"Ummi, abi, Ammar gerak dulu ya. Doakan Ammar selamat ya." aku menghulurkan tangan untuk bersalam dan memeluk kedua orang tuaku sekembali mereka daripada surau.

Nita juga ada dan hanya tercegat di muka pintu. Tangannya melambai kepadaku apabila aku melihat ke arahnya. Aku membalas lambaian tersebut sambil mengundurkan kereta.

Aku anggarkan perjalanan aku akan memakan masa selama 4 jam.

"Welcome back, Ammar" kataku kepada diri sendiri sambil tanganku menepuk bahu sendiri. "You did well last semester, you need to do better this one last semester"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience