Bab 1: Dia masih di sini

Family Completed 2944

Aku mengatur langkah menuju ke kelas sambil otakku bekerja keras membayangkan bagaimana harus aku beraksi di hadapan pelajar untuk kuliah yang pertama kali semester itu.

"Fuh!" aku melepaskan lelah setelah penat mendaki beberapa anak tangga.

"Ah, naik lagi berat badan aku ni gamaknya penangan cuti semester" getus hatiku seraya berada di hadapan pintu bilik kuliah. Aku menarik nafas sedalamnya "Bismillah" dan segera memulas tombol pintu.

"Assalamualaikum w.b.t" ucapku sambil memandang ke arah para pelajar universiti tahun akhir Diploma Perakaunan yang berada di hadapanku. Serentak mereka berhenti bercakap dan melihat ke arahku. Aku tahu apa yang bermain di kepala mereka.

"Pernah jumpa tak lecturer ni?"

"Apa dah nama dia, ek?"

"Garang tak dia ni?"

"Wow, kasut pasar malam je kot!"

"Selekeh"

Aku sudah terbiasa dengan pandangan mereka yang seolah-olah meneroka tubuh badanku daripada hujung kepala sehingga hujung jari kaki. Menilai aku semahu mereka. Aku biarkan mereka seketika begitu. Biar mereka puas melemparkan seribu persoalan yang hanya bakal terpendam di dalam otak mereka sendiri. Atau, persoalan itu bakal menjadi topik perbualan mereka pada hari itu. Dengan kata lain, bahan umpatan mereka pada waktu lapang.

Aku kekal dengan senyumanku sebagai first impression yang aku ni pensyarah yang baik dan naif. Cukup haulnya, tahulah mereka siapa aku.

Sebenarnya, aku juga sedang meneliti setiap wajah yang ada dihadapanku. Sambil menganggar bilangan pelajar lelaki dan perempuan. Aku suka kelas yang ramainya perempuan. Aku tidak perlu gusar tentang penampilanku, terutamanya, auratku. Aku selesa menulis di papan putih tanpa perlu risau mata-mata yang sedang memerhatikanku tatkala aku berada di hadapan mereka. Aku juga melihat-lihat andai ada bekas pelajarku daripada semester yang lalu.

Ya, aku ternampak seseorang. Pelajar lelaki. Segak berkemeja dan bertali leher. Manis wajahnya. Rambut ikalnya digunting pendek. Handsome? Bergantung kepada mata yang melihat. Bagiku, raut wajahnya sedap mata memandang. Tenang sentiasa. Tersenyum bak kerang busuk di tengah-tengah kelas. Dia memang sentiasa begitu. Segera aku menyapanya "Ammar... Berjumpa lagi kita ya"

Semakin lebar senyumannya. Dia mengangkat tangan dan melambai ke arahku. Gembira agaknya aku menyedari kehadiran dia di dalam kuliah yang seramai 35 orang itu.

Geli hatiku melihat dia begitu. Tidak sabar aku ingin menyoal siasat Ammar seusai kuliah. Aku hanya membalas dengan senyuman dan terus menuju ke mejaku untuk memulakan kuliah yang pertama.

"Perhatian semua!"

"Boleh saya tahu kursus apa yang awak akan pelajari pada semester ini daripada saya?"

"Berapa jam kita akan bertemu setiap minggu"

Satu demi satu soalan aku lemparkan kepada mereka semua sebagai sesi ice breaking.

Ada yang tercengang dan tergaru-garu kepala yang tidak gatal. Ada juga yang tidak menghiraukan aku dan hanya menikmati pemandangan di luar bilik kuliah yang dipenuhi para pelajar. Aku kira, mereka cuba mencari wajah yang dikenali. Mana tahu, crush mereka melintas, kan? Suasana di luar bilik kuliah begitu sibuk kerana para pelajar sedang mencari kelas, mencari pensyarah, mencari jadual dan sebagainya. Pemandangan lazim minggu pertama kuliah.

Ada yang hanya menundukkan kepala dengan harapan cara itu boleh menjadikan mereka invisible. Aku rasalah. Aku mengalihkan pandanganku kepada yang lain. Aku harap mereka fikir taktik invisible mereka berjaya apabila aku tidak lagi fokus kepada mereka. Ada juga yang buat-buat mencari jawapan daripada beg kosong mereka itu. Kesian beg itu dibuka tutup berkali-kali. "Bagus, ada usaha" getus hatiku.

Setelah hampir 5 tahun bertugas sebagai pensyarah, aku tidak lagi ambil hati akan sikap ambil mudah mereka itu. Aku kadang-kala meletakkan diri aku di tempat mereka, kerana aku juga pernah berada di situ suatu masa dahulu.

Aku melihat jam di handphone. Wah, dah hampir sejam aku bercakap! Aku kira sudah cukup introduction yang aku berikan kepada mereka semua.

"That's all for today. See you again next class with a textbook, a compilation of past exam questions and the most important document is the lesson plan. Why? For your own reference. So that you know what to expect every class. Okay, bye everyone!"

"Alamak, terpanjang pulak" bisik hatiku. Namun, sekali lagi aku cuba berlapang dada apabila beberapa pelajar tanpa menunggu aku menghabiskan ayat-ayat terakhir telah berlalu meninggalkan bilik kuliah.

"Ammar, nanti senang jumpa saya di office" sempat aku titipkan pesanan buat Ammar.

"Baik, puan!" balas Ammar sambil tangannya diangkat memberi tabik hormat.

"Budak ni la, kan" kataku perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience