Bab 28: Terbongkar satu kisah

Family Completed 2944

~Ammar~

Alhamdulillah, sempat aku berjumpa Puan Suria semasa dia datang melawat pelajar praktikal. Nasib baik Mr. Tan tidak report hal yang bukan-bukan mengenaiku. Aku tahu, melihat aku di sini, pasti membahagiakan pensyarahku semua.

Sejak meninggalkan dunia belajar dan memasuki alam pekerjaan, keyakinan aku semakin bertambah dan aku tidak lagi diserang panik tanpa sebab yang munasabah. Disebabkan itulah aku masih bertahan bekerja di sini walaupun ada masanya tugasan audit memerlukan aku bergerak berdua dengan rakan sekerja perempuan. Aku sudah mampu mengawal diriku.

Mungkin juga semua ini berlaku kerana pertemuan aku bersama Natasha yang lalu. Pertemuan itu benar-benar melegakan hati dan perasaanku, lantas menjadi ubat yang terbaik untuk menyembuhkan aku.

Natasha masih setia menghantar mesej walau sekali pun aku tidak membalasnya. Sekali sekala aku hanya menekan butang Like di Fb Natasha apabila dia mengemaskini statusnya.

Natasha telah lama berhijrah ke Dublin, Ireland. Telah beberapa kali juga Natasha mempelawa aku melawatnya di sana.

Mesej Natasha sebenarnya membuatkan jiwaku meronta-ronta ingin terbang bersamanya di sana.

|Ammar, worst winter ever di sini. But, remembering you, warms my heart and soul|

|Cantiknya musim luruh kali ni. Kalaulah Ammar ada bersama Natasha untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah|

Natasha tidak pernah berselindung dengan perasaannya. Aku kira, pengalaman hitam yang dilaluinya menjadikan Natasha lebih menghargai dan lebih jujur dengan perasaannya.

Aku pula, lebih memilih untuk menyimpan semuanya sendiri.

Aku masih ingin berbakti kepada ummi dan abi. Aku ingin memastikan Nita tamat pengajian Sarjananya dahulu. Dia bercita-cita ingin menjadi seorang pensyarah. Aku ingin tunaikan dahulu hasrat adikku. Untuk itu, aku akan bekerja bagi menampung sebahagian pengajiannya.

"Tolong tunggu, sehingga aku bersedia" kataku sendirian setiap kali Natasha menghantar mesej. Aku tidak pernah membalasnya. Aku tidak ingin Natasha menyimpan harapan.

Andai Natasha untukku, aku mohon agar Allah menjaganya untukku. Andai jodoh Natasha bersama orang lain, aku akan gembira untuk kebahagiaannya.

Setahun yang lepas, aku cuba menjejaki kembali Azizi. Tidak mungkin aku akan tanyakan hal itu kepada Natasha sendiri.

"Aku begitu juga. Jangan risau Ammar, aku hanya menjalankan amanah."

Ah, kata-kata itu sentiasa terngiang-ngiang di telingaku dan bermain-main di fikiranku.

Disebabkan itu, aku nekad mencari Azizi. Tidak susah untuk menemuinya walaupun Azizi telah menukar nombor telefonnya. Aku trace kembali bekas housemates yang masih berhubung atau belajar bersama Azizi.

Aku terjah sahaja rumah sewa Azizi dengan bantuan rakan study group kami dahulu.

"Aku tahu, kau akan datang juga mencari aku suatu hari nanti" kata Azizi sambil memelukku. Walaupun telah lama berpisah, rasa rapat itu masih ada. Seperti tidak pernah berjauhan.

"Kau tahu apa tujuan aku datang"

"Iya, aku boleh agak" balas Azizi "Jom, kita cerita di tempat lain. Ada taman hutan simpan berdekatan sini. Jom, kita jalan-jalan sana"

"Aku tak sesuai nak berjalan beriadah la pakai macam ni. Aku belanja kau makan. Bila lagi nak merasa duit gaji aku? Kita cari kedai makan yang tak ramai sangat orang"

"Molek benarlah tu. Jimat dah makan malam aku"

Aku mencari kedai makan yang tidak terlalu ramai orang. Mudah untuk kami berbual.

"Jom turun!" kataku sebaik tiba di kedai tomyan yang agak kurang pelanggan. Senang kami nak mengimbau kisah lalu, tanpa risau orang yang keluar masuk kedai.

"Kau hutang satu rahsia dengan aku, Azizi. Aku nak kau bayar sekarang hutang itu"

Azizi hanya tersenyum nipis melihatku.

"Sabar la Ammar. Kita makan dulu. Ni air baru sampai ni. Aku lapar ni"

Ish, geram pulak aku budak Azizi ni. Santai je gaya dia menghirup air Neslo ais tu.

"Kau kerja mana sekarang?" tanya Azizi sambil mengerling ke dapur kedai, mengintai samada makanannya dah tersedia atau belum.

"Aku kerja audit firm, Tan & Co., KL aje. Nak join ke apa?"

"Aku nak cari tempat praktikal. Aku pergi situ, boleh? Kau jadi supervisor aku?" tanya Azizi.

"Tengok keadaan. Kalau kau cerita apa maksud di sebalik kata-kata terakhir kau masa kita berpisah dulu, dan aku berpuas hati, aku akan mempertimbangkan permohonan kau nanti untuk latihan praktikal."

"Tapi... kalau aku tak puas hati, aku buang aje resume kau nanti hahaha!"

"Okay, aku tak nak cerita" selamaba Azizi menjawab sambil menyambut pinggan yang dihulur oleh pelayan dan meletakkannya di hadapanku. 

Aduhai, nak kena negotiate la pulak dengan budak ni.

"Yalah, yalah! Kau menang. Nanti bagi aku resume kau. Aku pass pada boss. Cerita sekarang jugak. Jangan ubah topik dah. Aku nak balik jauh lagi. Esok aku kena outstation ke Perlis" aku mengalah jua.

"Panjang ceritanya" kata Azizi.

"Pendekkan. Yang penting sahaja" malas aku melihat muka Azizi. Aku membenamkan sudu ke dalam timbunan nasi goreng kampung. Sedap sungguh aroma nasi goreng ni.

"Okay, kau dengar aje. Jangan menyampuk" 

***
|Flashback bermula daripada malam yang malang dan panjang|

Pada malam itu, ayah Natasha, seperti kebiasaannya melarikan diri apabila menimbulkan masalah, mengarahkan Natasha mengemas beg dan membawa perkara yang penting sahaja.

Selama membesar bersama ayahnya, Natasha sudah tahu apa yang perlu dibawa apabila mereka tergesa-gesa meninggalkan suatu tempat.

Ayah Natasha berhutang keliling pinggang akibat suka berjudi, tidak kira secara sah atau haram. Semua disapunya asalkan dijanjikan hasil.

Dan, Natasha sudah lupa bagaimana wajah ibunya. Natasha ditinggalkan ibunya bersama ayahnya sewaktu dia baru memasuki alam persekolahan. Ibunya benci hidup susah bersama ayahnya yang kaki judi dan kaki hutang. Ibunya minta diceraikan, dan lari bersama lelaki yang lain.

Bagaimana aku tahu semua ini?

Ayahku dan ayah Natasha adalah adik beradik. Ayahku kekal di kampung kerana menjaga arwah atuk dan nenekku pada ketika itu.

Ayah Natasha berniat untuk menyorok di sempadan Malaysia-Thailand sehinggah kes mereka dilupakan. Itu perancangannya.

Natasha?

Nasib baik ayahnya tidak berniat untuk membawa Natasha bersama. Menyusahkan katanya. Lalu, Natasha diturunkan daripada kereta bersama sekeping kertas yang bertulis satu alamat, dan beberapa keping wang sebagai bekal.

Natasha tidak berani kemana-mana pada malam itu dan membuat keputusan untuk berehat di surau yang berdekatan. Surau berkunci. Natasha tidur sahaja di pintu pagar.

Sewaktu Subuh, orang kampung menemui Natasha kesejukan sehingga demam. Apabila melihat alamat yang tertera di atas kertas yang dipegang Natasha, orang kampung segera menghantar dia ke rumah ayah saudaranya.

Aku tengah memakai kasut sekolah waktu itu. Orang kampung memanggil ayahku. Katanya ada budak perempuan pengsan demam panas, pegang kertas bertulis alamat rumah kami. Apabila ayah keluar, ayah terus tahu siapa Natasha.

Ya, aku tahu kau ingin bertanya. Natasha kakak sepupuku.

Setelah itu, Natasha tinggal bersama kami. Dalam kehidupan Natasha yang serba kekurangan dan serba tidak tentu, Natasha berjaya meraih 8A di dalam SPM. Ayah dan ibuku mendorong Natasha untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana Natasha layak untuk memohon biasiswa.

Alhamdulillah, rezeki buat anak yatim itu.

Kenapa yatim kau ingin tanya?

Ayah Natasha ditembak entah siapa sewaktu melintasi sempadan negara. Mayatnya dijumpai pihak tentera dua hari kemudian di tebing sungai.

Natasha langsung tidak menangis apabila mendapat khabar itu. Dia hanya terduduk sahaja di lantai. Setelah itu, dia bangun seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kami tidak pernah bincangkan hal itu lagi.

Aku tidak tahu apa yang terbuku di hati Natasha. Hati Natasha semakin sukar diteka. Aku tidak tahu samada dia gembira atau sedih, suka atau benci.

Pernah juga sebelum ke oversea, aku nampak Natasha sentiasa menangis sendirian dan menyebut nama kau.

"Maafkan aku, Ammar" katanya berulang kali.

Apabila aku bertanya kenapa, dia kata dia rasa bersalah yang amat sangat. Dia mendapat tahu kebanyakkan perihal kau daripada Raihan. Dia hampir kemurungan. Nasib baik ayah dan ibuku cepat membawanya mendapatkan rawatan di hospital. Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja sebelum Natasha membuat persediaan ke luar negara.

Kerana kasihankan kakak sepupuku yang sentiasa sahaja risaukan budak bernama Ammar, aku tanyakan padanya di mana Ammar belajar, dan bidang apa.

Kalau ada peluang, selepas SPM, aku akan memohon di tempat yang sama dan bidang yang sama. Aku akan membantu Ammar semampuku bagi pihak dia. Itu janjiku pada Natasha.

Setelah beberapa lama mencari, hanya pada semester akhir kita ditakdirkan bertemu. Sungguh indah aturan Allah. Kita ditemukan sewaktu kau memerlukan pertolongan, dan sewaktu aku hampir berputus asa mencari kau.

Raihan juga tidak tahu begitu banyak perihal kau. Natasha cuba mesej kau. Kau senyap tidak pernah membalas sehingga kini, betul? Sebab itu agak sukar aku mengesan di mana kau, Ammar.

Pada hari kau nampak Natasha di library, sebenarnya dia balik bercuti panjang. Pada masa itu, dia sedang menghabiskan pengajian ACCAnya di universiti di Dublin, Ireland.

Dia hanya ingin membuat kejutan padaku kerana tahu aku akan ke library pada malam itu, tidak sangka kau berada di sana.

Berhari-hari dia menangis melihat kau terlantar di hospital selepas kes kau jatuh pengsan di library. Dia hampir murung lagi sekali. Luarannya mungkin nampak kuat, tapi dalamnya rapuh. Dia masih gagah berdiri, tekun berusaha hanya kerana kau.

Aku tidak salahkan Natasha yang mudah terhiris perasaannya, kisah hidupnya penuh liku. Andai terluka, dia merawatnya sendiri. Andai berjaya, dia meraikannya sendiri. Tiada sesiapa yang benar-benar berada disisinya selama ini. Dia bergantung hanya kepada dirinya sendiri.

Namun, Natasha tetap berterima kasih kepada ayahnya yang tetap menjaganya walaupun tidak sempurna. Walau kerap didera fizikalnya apabila ayahnya kecewa kalah judi.

Dan, setelah hampir kehilangan segalanya, dia tahu dia masih ada kau. Dia yakin kau sentiasa merindui dia. Kerana kau, dia terus kuat.

Kau ada perasaan yang sama?

Kalau ya, katakan sahaja ya Ammar.

Aku tak faham kenapa kau memilih untuk mendiamkan diri sahaja.
***
Lidahku kelu mendengar cerita Azizi. Pandanganku kosong.

Aku merasakan hidupku serba susah akibat kejadian malang itu. Aku merasakan akulah mangsa keadaan. Tanpa sedikit pun aku tahu, bahawasanya, Natasha juga mangsa keadaan seperti aku. Malah, lebih buruk lagi, Natasha tiada sesiapa untuk menyokong dirinya. Sedangkan aku punya ummi, abi dan Nita yang tidak pernah meninggalkan aku dalam apa jua keadaan.

Maafkan aku Natasha kerana mementingkan diri...

Aku merasa sungguh malu. Aku juga malu pada Azizi yang rupanya telah mengorbankan minat sendiri demi janjinya pada Natasha untuk membantuku.

Selepas menghantar Azizi pada malam itu, aku tanpa segan silu memeluk Azizi. Aku berjanji pada Azizi yang aku akan menghubungi Natasha.

Aku tidak ingin sesaat pun mengabaikan Natasha lagi.

"Maafkan aku Natasha" ucapku sendirian sewaktu memandu pulang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience