Bab 17: Cerita Ammar

Family Completed 2944

~Ammar~

Sungguh aku terkaget. Puan Niza menyaksikan kejadian aku pengsan di library rupanya. Nak tak nak, aku terpaksa menceritakan sekadar mampu aku. Aku risau juga, andai aku mendapat serangan panik tatkala memutar kembali memori lama.

"Bismillah" kataku perlahan.

Aku memilih untuk bercerita sebahagian sahaja. Cukuplah untuk mereka mengerti apa yang menyebabkan aku jatuh pengsan.

Setelah aku menutup pintu bilik Puan Alya, aku duduk kembali menatap wajah-wajah mereka yang kelihatan teruja untuk mendengar kisah silamku.

Aku tutup pintu kerana tidak ingin cerita ini tersebar luas apabila didengari juga oleh orang lain. Mereka berdua ini rakan baik. Aku percaya cerita aku ini tidak akan pergi jauh tetapi hanya di kalangan mereka sahaja.

"Ada sebab saya jatuh puan. Dan, ianya bukan disebabkan saya tidak sihat atau mempunyai penyakit kronik dan sebagainya."

"Saya diserang perasaan panik yang melampau sehingga degupan jantung saya akan menjadi semakin laju, telapak tangan saya akan mengeluarkan peluh sejuk tanpa henti dan pandangan saya mula kabur. Saya juga merasakan dunia saya seperti berpusing"

"Sejak kejadian 5 tahun lepas, saya sebenarnya takut apabila bersendirian dengan orang perempuan"

Dapat aku lihat, mata kedua pensyarahku membulat, dan kedua tangan mereka menutup mulut mereka yang terlopong. Mereka diam tidak berkata apa. Hanya melihatku dan menunggu aku bercerita lebih lanjut.

Aku menarik nafas sedalamnya. Perit untuk aku ingat kembali. Namun, mereka di hadapanku ini perlu tahu supaya mereka tidak menganggap aku hanya main-main apabila mohon ujian ditangguhkan.

"Tidak mengapa Ammar kalau sukar untuk awak ceritakan pada hari ini atau bila-bila pun. Kami faham. Kami juga tidak mahu memori lampau awak akan trigger serangan panik awak lagi sekali. Terutamanya sekarang. Tak larat saya nak angkat awak, Ammar" kata Puan Niza sambil tergelak kecil sekadar ingin menceriakan suasana yang sedikit suram tadi.

Aku juga tergelak. Aku berharap sekadar bercerita tidak akan menyebabkan aku pengsan. Aku haraplah.

"Puan tidak ada kuliah ke sekejap lagi?"

"Tak ada. Kami berdua free petang hari ini. You can continue the story, please. We would love to know the whole story" jawab Puan Alya.

Aku memejamkan mata, dan semua kenangan datang kembali padaku. Seperti baru semalam semuanya berlaku.

Aku menghela nafas yang panjang dan mula bercerita...

***
|Flashback to 5 years back|

Selepas tamat SPM, ummi dan abi memberi sedikit kebebasan, malah membenarkan aku untuk mencari kerja sementara.

Kawan aku mengajak aku mohon kerja di 7-eleven. Rezeki kami, terus sahaja dapat.

Aku suka bekerja di situ. Benar-benar menguji ketahanan diri aku, dan kadang-kala menguji kesabaran. Aku ditugaskan mengemop lantai, menyusun stok, menjaga kaunter dan berurusan dengan pembekal. Bergantung kepada shift yang aku ditugaskan.

Pada suatu hari, aku bertugas shift 3 petang sehingga 11 malam. Selepas rakan sekerja aku tiba untuk menggantikan aku, aku bersiap-siap untuk balik. Aku hanya berjalan kaki sahaja kerana jarak rumah yang tidak terlalu jauh.

Rumah kami terletak di sebuah kawasan perumahan di pinggir bandar. Dan, rumah kami berada di lorong paling hujung menghadap sebidang tanah terbiar. Kawasan itu hanya ditumbuhi pokok liar dan dipenuhi semak samun.

Badanku terasa letih dan lenguh. Aku menenyeh mataku untuk menghilang rasa kantuk yang semakin berat.

Aku membuka kembali mataku dan ternampak sesusuk tubuh sedang bergerak laju di dalam kegelapan malam daripada semak samun di kawasan tanah terbiar itu.

Aku menggosok kembali mataku. Apakah yang sedang aku saksikan? Manusiakah? Hantukah? Kakiku kaku sebentar, namun mataku terus memerhatikannya.

Semakin lama makhluk itu semakin mendekati. Barulah dapat aku melihat dengan jelas, seorang perempuan seperti sedang melarikan diri daripada sesuatu.

Eh! Natasha. Rakan sekolahku.

Daripada mana dia datang? Kenapa dia berlari?

Kemudian aku terdengar dia menjerit meminta tolong. Aku memandang kiri dan kanan. Hanya aku yang berada di situ. Aku keseorangan.

Natasha mendekati aku. Natasha terus memelukku. Aku melihat baju kurungnya terkoyak, dan dipenuhi darah dan kotoran.

"Ammar, tolong saya! Tolong saya!" jerit Natasha sambil membenamkan wajahnya ke dadaku.

Aku terkejut dengan tindakan Natasha memelukku. Namun, dapat aku rasakan badannya menggeletar. Dadanya turun naik dengan laju mencari nafas. Dan... Dia sedang menangis teresak-esak. Aku buntu. Aku tidak tahu apa harus aku lakukan pada waktu itu.

"Sini, woi! Sini!" ada suara yang sedang menjerit dengan kuat. Semakin erat pelukan Natasha.

Sedang Natasha memelukku, aku melihat sekumpulan manusia berlari ke arahku. Kebanyakkannya aku kenal. Jiran-jiran kami juga.

"Jahanam budak ni! Apa kau buat dengan anak aku?!" seorang lelaki sebaya ayahku meluru ke arahku dalam keadaan marah. Dia mengetuai rombongan di belakangnya. Jauh dia meninggalkan yang lain. Mukanya kelihatan bengis.

Buk! Satu tumbukan hinggap di pipiku berhampiran telinga. Berdengung telingaku. Aku menjadi nanar. Tidak pernah aku ditumbuk sesiapa.

Tidak sempat aku mengimbangi badanku, aku rasakan satu penumbuk di dadaku. Terus aku jatuh terbaring di atas jalan tar.

"Ammar!" Natasha menjerit memanggilku. Natasha menerpa ke arahku. Dia cuba melindungi batang tubuhku. Dia seperti tahu apa yang akan berlaku.

Gedebuk! Aku rasa badanku ditendang. Dan, ditendang lagi tanpa henti. Aku cuba mengerekot menahan sakit dan cuba melindungi badanku.

"Berhenti! Tolong berhenti. Ayah tolong...!" Natasha merayu.

"Kau sini! Balik!"

Aku merasakan badan Natasha direntap dengan kasar. Aku hanya mampu mendengar. Mataku telah membengkak. Aku dapat merasakan ada titisan darah mengalir ke mulutku. Badanku terasa sakit yang teramat sangat. Aku cuba bergerak. Tidak bergerak. Tidak mampu aku menahan sakit.

Hanya beberapa ketika kemudian, barulah aku mendengar bunyi tapak kaki menghampiriku. Semakin lama semakin ramai.

Suara Natasha menjerit meminta tolong semakin lama semakin lenyap di pendengaranku.

Aku tidak mampu bertahan lagi.

Aku menyerahkan sahaja diriku kepada ketentuan Allah yang satu.

***

"Ya Allah Ammar, teruknya pengalaman awak. No wonder la awak menjadi trauma. Awak risau berada berhampiran perempuan boleh mendatangkan fitnah dan kesakitan untuk awak" Puan Alya menyatakan simpatinya kepadaku setelah panjang lebar aku bercerita.

"Apa jadi dengan awak selepas tu? Ada yang selamatkan awak tak?" giliran Puan Niza pula bertanya.

"Malangnya, ayah saya sebenarnya turut serta mencari Natasha pada malam itu. Cuma, ayah saya tertinggal sedikit di belakang. Apabila dia tiba, saya telah tidak sedarkan diri"

"Saya kasihan pada ayah saya yang melihat saya dalam keadaan itu. Dan, ayah saya dimalukan oleh jiran tetangga pada malam itu kerana mereka menganggap sayalah si petualang yang melarikan Natasha pada malam itu"

"Malah, Natasha yang dijumpai di dalam keadaan yang memalukan itu, di mana bajunya koyak rabak, memburukkan lagi keadaan"

"Sedangkan Natasha dan ayahnya terus menghilang diri selepas saya tidak sedarkan diri. Saya juga tidak dapat terus menceritakan hal sebenar, puan"

"Ayah saya membuat panggilan kecemasan. Saya dibawa ke hospital menggunakan ambulans. Saya koma selama hampir dua minggu. Beberapa tulang rusuk saya patah, telinga saya berdengung tanpa henti buat beberapa ketika, dan ada beberapa lagi kecederaan yang saya alami pada malam itu"

"Minggu pertama, saya ditempatkan di ICU, puan"

Lagi sekali mereka dengan gaya terkejut mereka. Nak tergelak pun ada aku melihat mereka berdua. Kedua mereka menutup mulut dengan tapak tangan, sambil mata mereka memandangku dengan penuh rasa kasihan.

"Setelah saya sedar, saya tidak dapat mengingati kejadian yang berlaku pada malam itu. Ada kemungkinan otak saya block bad memories tu. Cuma, setelah saya semakin sembuh saya dapat mengingati semula kejadian pada malam itu"

"Ayah awak tidak mengambil apa-apa tindakan kepada pelaku? Report polis tak? Ayah awak tahu tak kisah sebenar? Apa jadi pada Natasha?" bertubi-tubi Puan Niza bertanya.

Aku melepaskan nafas yang panjang.

"Opps, maaf. Saya tengah ligat membayangkan kejadian yang berlaku kepada awak. Tak mengapa kalau awak tak jawab pun"

Aku hanya mampu tersenyum melihat pensyarahku yang begitu teruja mendengar kisah malangku.

"Takpe, puan."

"Ayah saya ada buat laporan polis. Tetapi, Natasha dan ayahnya hilang tanpa dapat dikesan. Kes tu masih tergantung begitu sahaja"

"Ayah saya menyiasat sendiri kejadian pada malam itu disebabkan ayah saya lercaya, saya bukan begitu. Alhamdulillah, saya ada saksi yang menyatakan saya baru balik daripada kerja dan ada yang nampak saya berjalan pulang sendirian sahaja"

"Begitulah puan serba sedikit kisah saya. Cuma, selepas kejadian itu, saya mula mendapat serangan panik apabila berada berdekatan dengan perempuan berduaan, walaupun di tempat awam. Saya sedaya upaya akan melarikan diri secepat yang mungkin"

"Eh Ammar, awak nak tukar kumpulan ke? Saya minta maaf, saya dah letakkan awak bersama dua pelajar perempuan" Puan Alya tetiba teringatkan hal kumpulan assignment aku.

"Takpe, puan. Saya tahu Shida atau Tina tak akan cari saya sendirian. Mereka tidak suka satu kumpulan dengan pelajar lelaki... hahaha"

"Hahaha..  Yalah, lupa pula saya. But, if it makes you uncomfortable, please tell me. Don't hesitate to do that" pesan Puan Alya.

"Okaylah, puan-puan berdua. Saya gerak dulu. Dah lewat dah ni. Saya kerja malam"

"Baik-baik. Take care!"

Ada yang aku tidak ceritakan kepada mereka sebenarnya...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience