Bab 2: Berjumpa lagi

Family Completed 2944

Tok, tok, tok. Pintu bilik pejabat aku diketuk seseorang.

"Masuk!" jerit aku daripada dalam bilik.

"Assalamualaikum, puan"

"Waalaikummussalam" jawab aku sambil mata tetap di meja mencari sesuatu.

"Puan, saya ganggu ke? Busy ke?"

Barulah aku mengangkat muka melihat empunya suara yang bertanya.

"Ammar... Sila duduk."

Seperti gaya berada di rumahnya sendiri, tanpa tunggu lebih lama, Ammar segera menarik kerusi dihadapanku dan duduk.

Aku tidak salahkan dia. Dia antara pelajar paling senior yang ada di situ. Sudah hampir 4 tahun di sini. Belum juga berjaya menghabiskan pengajiannya. Sedangkan, rakan sebayanya, sudah lama memasuki alam pekerjaan atau menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak salah aku, sudah dua kali Ammar menyaksikan rakan sekuliah menerima segulung ijazah diploma daripada kejauhan. Ammar tetap dan masih di sini.

Dan, ini kali ketiga Ammar berada di dalam kelasku. Ammar tidak boleh gagal. Ammar mesti lulus kali ini.

Riak wajahnya langsung tidak menggambarkan sebarang kesedihan. Hanya senyuman yang menghiasi wajahnya. Aku lega melihatnya begitu. Namun, hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang berada jauh di lubuk hati Ammar.

"Puan nak jumpa saya?" tanya Ammar bersahaja.

"Ya, Ammar... Ni kali ketiga awak berada di dalam kelas saya Ammar. Awak tahu implikasinya kan? Awak boleh diberhentikan andai kata gagal lagi pada kali ini. Awak dah 9 semester di sini. Suatu masa yang lama Ammar. Sayang kalau awak diberhentikan. Awak dah berusaha sejauh ini. Berapa kursus awak daftar semester ni?" sesi soal siasat bermula.

"3 kursus je puan. Last! Mesti lulus kali ni. Insya Allah" tersengih-sengih dia.

Aku melihat wajahnya. Ammar kelihatan bahagia walaupun terpaksa mengulang kursus yang sama berkali-kali kerana sedikit demi sedikit, Ammar berjaya melepasi beberapa kursus walaupun keputusannya hanya cukup makan.

Benarlah kata-kata bahawa bahagia kau dan aku tidak sama. Kita sendiri yang perlu menentukan maksud bahagia kita. Dan, bahagia itu perlu dicipta, bukan dicari. Andai dicari, khuatir tidak dijumpai.

"Alhamdulillah. Boleh kita fokus lebih sikit. Bagi lulus semua kali ni. Boleh tamat dah. Ada banyak lagi peluang yang menanti awak di luar sana."

"Jangan lama-lama di sini. Di sini, hanyalah satu persinggahan di dalam hidup awak sebelum awak melangkah lebih jauh di atas muka bumi Allah yang maha luas ini."

"Dan, jangan sia-siakan usia muda awak terperangkap di sini. Anggap sahaja ini sebahagian daripada ujian Allah untuk awak"

Dan, Ammar terus tersenyum sambil menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham dan setuju. Entah ya, entah tidak.

Kami meneruskan perbualan, dan kemudiannya, Ammar meminta diri untuk solat Zuhur. Barulah aku tersedar, perutku juga kelaparan kerana belum menjamah sebarang makanan sejak pagi tadi.

Aku mengangkat beg tangan, mengambil handphone di atas meja, dan segera menuju keluar. Otakku ligat memikirkan di mana tempat makan yang best. "Laparnya" keluhku sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience