Bab 6: Bersemuka

Family Completed 2944

~Ammar~

Ummi dan abi merupakan ibu bapa anugerah Allah yang terbaik buat aku. Andai diberi pilihan, aku akan sentiasa memilih mereka sebagai kedua ibu bapaku.

Sepanjang aku membesar, sangat jarang ummi meninggikan suara. Abi apatah lagi, angguk dan geleng sahaja mengiyakan semua keputusan ummi. Namun abi, secara diam, sentiasa ada untuk memujukku, memberikan kata-kata semangat dan berkongsi pandangan andai aku dihimpit masalah.

Kerana inilah aku menjadi lebih gusar untuk menghadapi mereka. "Ya Allah, terima kasih di atas kurniaan mu ini kepadaku. Sungguh aku bertuah memiliki mereka sebagai kedua ibu bapaku. Limpahkanlah rahmat dan kasih sayangmu buat mereka. Amin"

Aku sangat khuatir mereka akan kecewa dengan keputusan peperiksaanku. Namun, apa yang terjadi, telah terjadi. Tiada apa yang dapat mengubahnya lagi.

Aku bersiap sedia menunggu kepulangan mereka di ruang tamu. Aku memilih sofa yang paling empuk yang ada, supaya sofa ini mampu menyerap getaran yang sedang kurasakan waktu ini. Harapnyalah.

Klik! Kedengaran kunci pintu dipulas. Sayup terdengar suara ummi dan abi berbual sambil membuka pintu.

"Assalamualaikum" ummi memberi salam.

"Eh, Ammar. Baru sekarang ummi nampak kamu. Kamu dah makan?" tanya ummi lembut.

"Sedap ummi kamu masak. Rugi tak makan. Favorite kamu juga tu" abi mencelah sambil mengekori ummi masuk ke dalam rumah.

Sempat ummi dan abi bertanyakan aku dah makan atau belum. Sedih pulak rasa.

"Waalaikummussalam. Ammar dah makan. Jangan risau"

"Ammar ada benda nak beritahu ummi dan abi. Ummi dan abi jangan marah ya. Mehlah duduk dulu sini" aku menepuk sofa di sebelahku sambil menyapu permukaan sofa dengan tapak tanganku.

Ummi membuka telekung sembahyang dan disangkut di hujung sofa, lantas segera duduk. Tangan abi dicapai ummi sambil menyuruh abi duduk disebelahnya.

"Apa bendanya? Serius bunyinya ni" usik abi.

"Serius jugak. Semalam kan keputusan peperiksaan keluar" tanpa melihat ummi dan abi, aku terus menyambung. Aku hanya menunduk melihat jari jemari kaki.

"Ammar minta maaf. Ammar gagal lagi"

Senyap.

Ummi dan abi tidak berkata apa-apa. Aku kira mereka menunggu kata-kataku yang seterusnya.

Aku menyambung "Ammar terpaksa mengulang 3 papers lagi. Ammar minta maaf. Ummi dan abi mesti kecewa dengan Ammar, kan?"

"Ammar fikir, lebih baik Ammar berhenti sahaja, kan? Ummi dan abi dah banyak korbankan harta, tenaga dan masa untuk Ammar sepanjang 4 tahun Ammar belajar"

"Ammar boleh bekerja untuk gantikan balik duit ummi dan abi" kataku perlahan.

Tiba-tiba ummi memelukku. Aku mengangkat wajahku. Abi hanya tersenyum. Ummi semakin kemas memelukku.

"Anak ummi..."

"Jangan susah hati. Apa kamu ingat ummi dan abi tidak tahu keputusan kamu? Kamu kan ada kongsi id dan password student portal kamu semester lepas beserta janji kamu akan cuba yang terbaik, lupa?" ummi dan abi tersenyum-senyum.

Allah, apasal aku lupa perkara ni. Aduhai, seharian aku susah hati. Bodohnya aku ni. Aku menutup mukaku.

"Alamak, Ammar lupa!"

Ha ha ha berderai ketawa kami bertiga sehingga berair mata.

"Ammar, ummi dan abi berharap Ammar teruskan pengajian tu. Usah berhenti. Sikit sahaja lagi nak habis"

"Mungkin ini ujian dan dugaan buat Ammar. Adalah hikmahnya disebalik semua ini. Kita mungkin tidak memahaminya sekarang"

"Ammar sabar ya. Ummi dan abi masih tetap boleh biaya pengajian Ammar. Tapi, kalau Ammar rasa nak bekerja sambil belajar, kami benarkan. Asalkan pelajaran Ammar tidak terabai. Kami dah berbincang tadi" kata ummi.

"Abi akan bantu Ammar. Beritahu kami kalau ada masalah nanti. Jangan dipendam sendirian" sambung abi

Aku bertuah. Terima kasih ummi. Terima kasih abi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience