Bab 12: Masa tidak akan menunggumu

Family Completed 2944

~Ammar~

Minggu kuliah ke-7

"Ammar, aku tengok ko ada la usaha nak study. Tapi, sudahnya tertidur. Bukan sekali dua aku tolong tutup lampu bilik ko. Banyak kali kot. Aku rasa baik ko study di library. Untung-untung, ada awek berkenan kat ko" usik Azizi di suatu petang.

"Ke ko nak join kitaorang punya study group? Common test dah tak lama dah. Hujung minggu ni kan?" tanya Azizi tiba-tiba.

Bernas pulak cadangan budak ni. Belum tentu aku tak tidur study berseorangan di library. Awek-awek mana aku layan. Cukuplah apa yang berlaku di masa lalu.

Molek juga ada member ajak study ni.

Secara kebetulan, Azizi dan beberapa orang housemates kami merupakan pelajar daripada program yang sama dengan aku.

Dan, mereka semua pelajar tahun akhir. Ini bermaksud, mereka mengambil kursus-kursus yang sama denganku. Cuma, kami tidak berada di dalam kelas yang sama. Dan, usia mereka setahun lebih muda berbanding aku.

"Eh, bijak idea ko. Korang selalu study di mana, ek? Tak pernah aku nampak korang study kat rumah ni sebelum ni"

"Study jugak. Cumanya, bila perlu kepada perbincangan atau perbahasan, kitaorang cari tempat lain. Rumah tempat orang berehat, bersantai, layan movie, dan makan-makan. Tak syok la kalau disebabkan kami nak discuss, semua aktiviti orang lain terbantut"

"Lagi satu, kitaorang ada satu cara belajar. Tapi kena committed la. Kena istiqomah gitu."

"Setiap malam Rabu, kitaorang akan buat revision beramai-ramai. Siapa paling bijak topik tu, dia kena explain,  kena mengajar, dan kena cadangkan soalan-soalan untuk practice. Malam tu juga kami bagi settle soal jawab kalau ada kemusykilan dan bincang jawapan soalan latihan yang dicadangkan tu"

"Tapi, untuk pengetahuan ko, kumpulan belajar kitaorang tu, ada jugak pelajar perempuan. Kami selalunya booking discussion room di library."

"Aku beritahu ni, sebab aku jarang tengok ko sembang dengan budak perempuan. Takut ko rasa tak selesa la nanti. Amacam, nak join tak?"

Fuh, panjang lebar penerangan si Azizi.

Aku diam tak terkutik mendengarnya.

Kagumnya aku dengan usaha belajar diaorang. Patutlah score je setiap semester. Ada method belajar rupanya.

Tambah kagum, mereka juga secara tidak langsung telah membuat amal jariah dengan mengajar antara satu sama lain. Itu satu lagi cara untuk lebih ingat dan faham sebenarnya. Dan, pahalanya, insya-Allah, berpanjangan.

***
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga”

(Hadith Riwayat Muslim)

***

"Aku teringin nak join. Tapi, aku kena settle satu perkara dulu. Malam Rabu aku kerja sepatutnya. Nanti aku minta boss tukarkan aku waktu lain. Tanyakan dulu dekat kawan-kawan ko tu, mau ke terima aku ni?" aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal ini.

Risau juga kalau kena reject lagi sekali. Cukuplah aku hampir dibuang daripada kumpulan assignment minggu lepas. Dalam hati aku ada taman bunga yang kembang mekar sentiasa, tak sanggup rasanya menanggung kecewa berkali-kali. Mau layu bunga-bunga dalam hati nanti.

"Okay, nanti aku whatsapp bebudak tu" balas Azizi sambil bangun berdiri dan menyapu pasir yang melekat di seluarnya. Sedari tadi kami duduk bersidai di luar rumah bersembang.

Azizi menepuk bahuku "Jom, masuk dalam. Dah senja dah ni. Gelewat dengan syaitan pulak nanti"

Aku terus berdiri sambil menghirup udara senja. Beruntung belajar di kampus ini. Persekitarannya bersih.

Bilik sewa aku di tingkat dua. Aku sewa seorang bilik ni. Mereka yang lain, berkongsi tidur di bilik dan ruang tamu beramai-ramai. Asal muat.

Kata mereka, rumah hanya tempat untuk tidur, mandi dan berehat. Waktu lain banyak dihabiskan di dalam kampus.

Kalaulah masa boleh diundur kembali, aku pasti ingin melakukan perkara yang sama.

***
Allah SWT berfirman (yang bermaksud):

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”

(QS. al-Asr 103: ayat 1-3).
***

Malangnya, masa tidak pernah menunggu dan terus bergerak. Aku tidak boleh membuang masa di sini. Sudah terlalu lama aku di sini.

Aku seperti mendapat semangat baru. Semangat yang sebelum ini hampir hilang kerana kekecewaan di setiap semester apabila diuji berkali-kali dengan kegagalan. Cuma, selama ini aku masih cuba bertahan dan menutup kecewa dengan sebuah senyuman.

"Terima kasih Allah mempertemukan aku dengan sahabat yang baik begini"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience