Pada suatu senja di bulan 7, seorang wanita sedang duduk bersendirian mengenang nasib di luar rumah. Tangisan demi tangisan mengalir di pipinya.
"Kenapa abang pergi tinggalkan Mawar? Kenapa abang pergi tinggalkan anak kita?" sambil merintih, wanita yang hanya berkemban dengan kain batik itu mengusap-usap perutnya yang semakin hari semakin membesar. Kebesaran yang menandakan jasad yang berada di dalam perutnya mula membesar. Tak lama lagi, dia bakal menimang cahaya mata. Anak hasil persetubuhan haram dengan seorang lelaki yang terlalu dicintainya.
"Mawar, apa lagi kau buat di sini? Masuk rumah sekarang, sudah senja ini. Apa kau mahu dimakan jin?" tegur seorang wanita tua dengan agak kasar kepada Mawar. Wanita tua yang dia kenali sebagai manusia yang melahirkannya.
"Mak, tolong Mawar mak. Mawar susah mahu bangun," dengan payah dia cuba untuk bangun daripada pangkin di luar rumah kayu lama itu.
"Tu lah kau, aku sudah kata jangan dekat dengan lelaki itu. Kau dekat juga. Sekarang sudah boyot begini. Sudah aku kata juga gugurkan saja kau pula tak mahu. Menyusahkan saja sekarang," bebel wanita tua itu lagi sambil tangannya mengangkat tubuh Mawar. Kudratnya yang tak seberapa digagahkan juga.
"Mak! Mana boleh Mawar mahu gugurkan. Anak ini, anak hasil percintaan Mawar dengan Abang," dia menangis memikirkan lelaki yang sudah pergi meninggalkannya.
"Hmph, mana lelaki itu sekarang? Aku sudah kata dia cuma mahu mempergunakan kau," bentak wanita tua yang lebih dikenali sebagai Nek Bunga itu.
Mawar hanya terus menangis sebelum tiba-tiba, dia menjerit kesakitan.
"Mak tolong Mawar Makkkk.."dia menangis kesakitan. Nek Bunga melihat kain Mawar sudah basah di bahagian kelangkangnya. Selaku bidan kampung, dia sedar bahawa air ketuban Mawar sudah pecah. Mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu. Lalu, muncul asap asap hitam berhadapan dengan Nek Bunga.
"Angkat dia masuk ke rumah. Kau jangan ganggu anak dia," Nek bunga memberi arahan kepada asap-asap hitam. Asap-asap hitam tersebut seterusnya mengelilingi Mawar yang menjerit-jerit lalu menerbangkannya masuk ke dalam rumah. Mulut Nek Bunga terus terkumat kamit membacakan sesuatu. Usai sahaja Mawar dibaringkan ke atas tilam nipis di ruang tamu. Asap-asap hitam itu mula hilang.
"Mawar, teran nak. Teran!" Nek Bunga mengangkangkan kaki Mawar. Mawar meneran dengan kuat seperti mana dia melihat wanita wanita yang datang untuk melahirkan anak mereka. Dia cuba sedaya upaya. Kepala bayi terasa mula keluar daripada badannya. Dia dapat rasakan tangan ibunya cuba menarik keluar bayi yang akan lahir. Dia terus meneran. Air mata sudah tak terkira mengalir daripada mata. Dia mengharapkan lelaki itu, bapa kandung anak yang bakal lahir ini ada disampingnya. Memegang tangannya erat, memberi kekuatan sama erat seperti malam yang cukup indah diselaputi dosa itu. Dia meneran, terus meneran sehingga tangisan kuat bayi dapat didengari. Dia berasa penat namun lega. Dia terlelap.
----------------------------
"Bonda.. kenapa nenek suka marah bila Ya tanya tentang ayah?" soalan itu keluar dari mulut seorang anak perempuan yang sangat cantik wajahnya. Anak perempuannya yang dibesarkan sendiri tanpa suami, cuma dengan ibunya dipeluk erat. Anak itu sudah meningkat dewasa. Sudah menjadi remaja. Anak dara sunti. Bahkan memang tak dapat dinafikan, anak dara yang paling cantik di kampung itu.
"Nenek tak mahu Ya sedih. Ayah sudah tiada nak.." senyum, wanita yang sudah mula dimakan usia itu membelai lembut rambut hitam anaknya yang baru disikat rapi. Dia senang melihat warna rambut anaknya yang mengikut warna rambutnya. Hitam bersinar. Hidung mancungnya pula cantik sahaja mengikut bapanya.
" Tapi kenapa orang kampung kata Ya anak haram? Mereka suka ejek Ya tiada Ayah. Ya sedih Bonda," anak perempuan yang dipanggil Ya itu mula mencebik. Air matanya ditahan agar tidak tumpah di hadapan Bonda yang sangat dia sayangi. Dia tahu, pasti Bonda lebih sedih. Dia kerap melihat Bonda menangis sendirian di dalam bilik. Namun, dia juga tidak tahan dengan ejekan demi ejekan yang diterima dari orang kampung. Anak haram. Anak pembawa malang. Anak sial. Dia sudah naik menyampah dengan semuanya. Hendak sahaja dia suruh Hitam memakan semua orang kampung yang mulut celopar itu.
"Ya, Ya kena kuat. Ya tak boleh sedih. Bonda tak suka lihat Ya begini. Begini lah, Ya ingat tak dulu, kalau Ya sedih, Bonda selalu buat apa? ," pujuk si Bonda. Senyuman cuba diukir pada bibir mungilnya. Ya melihat Bondanya. Matanya bercahaya. Dia mengangguk laju.
"Mahu Bonda ceritakan sekali lagi?" melihat wajah Ya yang teruja. Si Bonda yang bernama Mawar itu turut menjadi teruja. Sambil menyeka air mata yang belum sempat keluar dari mata, Ya tersenyum manis. Fokus diberikan sepenuhnya kepada Bondanya.
"Pada zaman dahulu, di sebuah kerajaan yang penuh salju, ada seorang Puteri yang sangat indah rupanya. Namanya..," Mawar memulakan cerita dengan penuh intonasi dan gaya.
"Saikuronewa," serentak, kata Mawar dan anak gadisnya penuh ceria.
Share this novel