"Doktor, saya tak gila lah," gadis berambut agak keriting itu menghentak lembut meja aku sambil matanya memandang sayu tepat ke anak mata aku. Wajahnya kelihatan sugul. Garisan garisan gelap di bawah matanya jelas menunjukkan bahawa dia sudah lama tidak mendapatkan rehat yang cukup.
"Lah, siapa kata awak gila ? Doktor tak pernah kata awak gila," dengan tenang aku membetulkan posisi dudukku dan memandangnya sambil tersenyum. Senyum dengan cara yang aku pelajari sejak sekian lama untuk menenangkan perasaan orang lain yang memandangnya. Bukan senyum yang membawa makna lain yang tidak dapat dipastikan apa niat buruk disebaliknya.
Dia memuncungkan bibirnya. Dia kemudian mengalihkan pandangan mata ke luar jendela yang dibiarkan terbuka. Aku lebih suka jika jendela itu ditutup serta dilapisi dengan langsir berwarna gelap kerana kegelapan memberi aku ketenangan tetapi aku sengaja ingin membiarkan sedikit cahaya memasuki ruangan bilik rawatan aku ini dengan harapan cahaya yang memasuki bilik ini juga boleh menerangi ruang ruang gelap dalam hati setiap pesakit aku.
"Kalau macam tu, bagi lah saya balik, doktor. Saya tak suka duduk kat sini. Saya nak balik," dia merayu lemah.
"Awak memang bukan gila. Tapi, awak sakit. Awak kena duduk sini dengan kawan kawan lain mungkin lagi 2 minggu. Kalau awak cepat baik, lagi bagus. Lagi cepat awak boleh balik rumah. Tapi, apa apapun, Doktor nak awak senyum sebelum keluar dari office ni. Boleh ? " Aku berkata lembut persis seorang bapa kepada anak perempuannya. Dia hanya diam memandang aku. Mata coklatnya bergemerlapan namun aku dapat rasakan kesedihan di sebalik mata itu.
"Tapi Doktor, kalau saya senyum pun, Ibu takkan balik... Saikuronewa... Dia.. dia dah ambil ibu ! " dengan laju, air matanya mengalir. Dengan segera, dia bangun lalu keluar dari bilik rawatan milikku ini. Aku tergamam. Peluh peluh mula membasahi tubuhku. Cermin mata mula aku buka. Buat seketika, aku seakan akan lupa untuk bernafas. Nama itu. Nama yang sudah lama hilang dalam kamus hidupku tiba tiba kembali. Nama yang sekian lama aku cuba untuk lupakan. Nama yang membawa kesengseraan dalam hidup aku sebelum ini. Saikuronewa.
Share this novel