Aku memandang Orked yang badannya dipalingkan daripada aku. Aku duduk di samping katil dan aku menarik nafas panjang. Aku berasa sayu melihat dia yang menangis tersedu-sedu.
"Orked..," aku panggil dia lembut. Walaupun aku turut rasa sedih mendengar tangisan Orked, aku kena kuat. Aku harus salurkan kekuatan aku kepada dia. Aku tak tahu apa yang Saikuronewa buat semalam sampai Orked sampai hati cuba untuk meragut nyawanya sendiri. Panggilan aku tidak disahut.
"Orked..," aku cuba panggil dia sekali lagi. Kali ini aku tegaskan sedikit dalam nada panggilan aku. Tangisan Orked semakin perlahan sebelum dia akhirnya memalingkan badannya menghadap aku.
"Doktor.. Orked tak kuat," ujarnya yang kedengaran agak kurang jelas kerana dia berkata sambil tersedu-sedu. Wajahnya kemerah-merahan dan matanya bengkak kerana tak berhenti menangis. Melihat wajahnya begitu, aku terus palingkan muka aku. Aku jadi marah dan kecewa. Aku dapat rasakan kesedihan yang Orked tunjukkan. Entah kenapa, hati aku terasa panas. Aku cuba sedaya upaya untuk kawal supaya air mata aku tidak tumpah. Aku kena kuat untuk Orked. Tapi kenapa aku rasa macam ni? Kenapa?
"Doktor Haqeem..," dengan sayu, dia memanggil nama aku. Aku lantas palingkan muka aku dan menjawab panggilannya.
"Semua ni akan berakhir bila saya mati ke?" Orked sebak. Demi Allah, aku turut sebak mendengar soalannya itu.
"Astraghfirullah, Orked. Mengucap. Kenapa awak cakap macam tu?" suara aku mula menjadi serak. Bila-bila masa sahaja aku mungkin boleh menangis.
"Saya dah tak tahan. Saya tak kuat," Orked pejamkan matanya.
"Sekarang ni, cuba awak cerita kat saya, kenapa awak sampai buat macam ni. Apa yang sebenarnya jadi kat awak semalam?" dengan tenang, aku memujuknya untuk bercerita. Aku mahu dia lepaskan semuanya kepada aku. Aku tak mahu perasaannya disimpan lalu dipaksa keluar menyebabkan dia buat perkara bodoh seperti ini lagi. Dia bertuah Tan Sri Fuad sempat membawanya ke hospital untuk dirawat. Dia sangat bertuah.
Orked sedaya upaya cuba untuk menceritakan apa yang terjadi kepadanya semalam. Walaupun agak sukar untuk aku mentafsir setiap bibit perkataan yang dia ungkapkan, aku memberikan tumpuan aku yang sepenuhnya kepada penceritaannya. Melalui ceritanya, aku dapat simpulkan bahawa titik lemah Orked terletak pada kehilangan ibunya.
" 5 tahun lepas, waktu saya mula mula kena kacau dengan Saikuronewa, saya waktu tu form 5. Saya mula hilang kawan sebab semua kata saya gila. Semua sebab saya nampak apa yang diorang tak nampak. Saya selalu mengadu kat Ibu tentang semua yang terjadi kat Ibu. Bila saya sedih, Ibu bagi saya minum teh hijau. Dia akan peluk dan usap kepala saya. Saya rindu sangat pelukan dia, doktor.. saya.., " dia cuba untuk bertenang. Air matanya tanpa dipaksa laju sahaja mengalir keluar.
Aku tidak sekalipun mengalihkan pandangan aku kepada Orked. Aku tetap diam kerana ingin berinya peluang untuk terus bercerita.
" Bila saya mengadu saya nampak Saikuronewa, ibu selalu cakap yang dia percayakan saya walaupun saya tahu, sebenarnya dia tak pun. Tapi saya pelik, pelik sangat sebab suatu hari, waktu saya baru balik dari sekolah, saya nampak ibu bawak beg banyak. Macam, macam dia nak pindah keluar dari rumah tu. Macam, dia nak tinggalkan saya. Ibu cuma peluk saya tanpa cakap apa-apa and then, dia pergi macamtu je. Saya confused. Saya tak faham apa yang berlaku. Ibu tak pernah balik. Papa pun tak pernah cakap pasal Ibu. Bila saya tanya, dia cuba tukar topik. Kenapa tak ada siapa pun nak cakap apa yang berlaku? Saya tak faham, saya tak faham!!!! " Orked mula meracau dan menggaru garu kasar kepalanya. Aku segera bangun dan halang dia daripada terus mencederakan dirinya sendiri. Aku teriak panggil doktor dan setelah 3 minit yang paling lama aku rasakan dalam hidup aku, doktor yang bertugas merawat Orked dan beberapa orang Jururawat datang. Doktor tersebut memberikan suntikan ubat penenang kepada Orked. Dia kemudian berhenti meracau dan memandang aku penuh sayu.
Aku tak boleh tahan lagi melihatnya begini. Aku meluru keluar melepasi Tan Sri Fuad yang terpinga-pinga dan berlari mencari tempat yang tenang tanpa sesiapa. Aku jumpa laluan untuk ke rooftop hospital dan tanpa lengah aku terus naik menuju ke rooftop.
Sampai sahaja di rooftop hospital tersebut, aku menangis sepuas-puasnya. Aku rasa aku gagal. Aku gagal menyembuhkan Orked. Aku buat dia semakin menderita. Semua ni sebab aku kan? Aku yang degil ingkar arahan Saikuronewa. Aku yang sepatutnya menjauhi Orked pada awalnya. Sebab aku, Saikuronewa menggunakan kelemahan Orked yang paling dalam. Sebab aku, dia cuba untuk bunuh diri. Aku telah gagal. Doktor macam apa aku ni? Segala janji aku pada Tan Sri, pada Orked, aku sia-siakan macam tu je. Aku dah bahayakan nyawa pesakit aku. Betul lah macam apa yang orang lain cakap, aku ni bukan lah genius mana pun. Tak patut aku dah jadi doktor pada usia aku sekarang ni. Memang aku tak layak.
"Kau layak mati, Haqeem. Terjun bangunan ni sekarang," terdengar satu bisikan halus di telinga kiri aku.
Ya, aku layak mati je. Kalau aku mati, Orked tak akan menderita macam ni kan? Kalau aku mati, dunia akan hilang seorang doktor kecundang. Ya, aku patut terjun bangunan ni. Aku perlahan-lahan mendekati hujung bangunan hospital ini. Sumpah, aku tidak mahu meneruskan hidup aku lagi. Biar lah aku pergi. Saikuronewa, tolong jangan ganggu Orked lagi. Beberapa saat kemudian, pandangan mata aku menjadi gelap.
Share this novel