Zakuan akhirnya memberhentikan kereta dihadapan rumah banglo dua tingkat berwarna kuning. Sengaja dia membawa Aisyah kesini kerana dia tidak mahu perbualan mereka nanti diganggu dengan suara hiruk-piruk dari dunia luar. Dia keluar dari perut kereta sebelum melangkah ke arah Aisyah yang masih berdiam diri di tempat duduknya. Pintu dibuka sebelum tangan Aisyah ditarik menuju ke arah meja batu yang terletak di halaman kiri rumah itu. Aisyah hanya menurut kerana dia juga ingin tahu bicara dan urusan lelaki ini mencarinya.
Aisyah hanya berdiri di sisi meja batu tersebut sambil matanya meliar memerhati sekeliling halaman rumah yang luas. Terdapat beberapa biji kereta yang berjenama terparking elok di dalam garaj rumah itu. Hatinya lega apabila terpandangkan dua orang perempuan yang sedang bekerja di corok rumah itu sambil mata mereka juga sesekali terarah kepada dirinya. Seorang perempuan sedang menjemur kain dan seorang lagi sedang mencabut rumput. Aisyah yakin dua wanita yang sudah berusia itu merupakan orang gaji didalam rumah ini kerana cara mereka berpakaian sama seperti orang gaji dalam drama melayu. Sekurang-kurangnya dia tidak keseorangan disini jika Zakuan berniat untuk melakukan perkara jahat terhadapnya.
“Kak Milah.. Kak Lin.. boleh uruskan kerja di dalam. Saya ada hal nak dibincangkan dengan tetamu saya.” Zakuan bersuara. Nadanya tidak marah dan juga tidak mesra. Lebih berbaur kepada arahan kerana dia tidak mahu orang luar masuk campur urusan hal peribadinya. Biarlah dia selesaikan urusannya sendiri tanpa perlu melibatkan banyak pihak. Kak Milah dan Kak Lin hanya mengangguk sebelum melangkah menuju ke pintu dapur yang terletak tidak jauh dari situ. Setelah dua tubuh itu hilang dari pandangan, matanya kembali terarah kepada Aisyah. Tangan Aisyah yang berada di dalam genggamannya dilepaskan.
“Aku nak kau jawab soalan aku. Kau terlibat sama dalam kemalangan lima tahun lepas?” Tiada mukadimah yang membuka bicara. Zakuan terus kepada isi penting asbab dia membawa Aisyah kesini.
“Mak.. Maksud encik? Saya tak tahu kemalangan apa yang encik cakapkan sekarang.” Terketar-ketar suara Aisyah menjawab soalan yang dirasakan menjerut lehernya. Dia tidak menyangka soalan itu yang bakal diutarakan oleh Zakuan. Seboleh-bolehnya dia mahu mengusir kejadian itu jauh dari hidupnya. Terasa pahit air liurnya melepasi kerongkong.
“Kau tak payah berpura-pura berlakon depan aku. Kemalangan Sarah lima tahun lepas.. Kau terlibat atau tak?” Zakuan kembali menyoal dengan nada yang keras seperti tadi. Dia cuma mahukan jawapan kepada persoalan yang dicari selama bertahun-tahun.
Aisyah kelihatan bermain-main dengan hujung tudungnya. Dia takut berhadapan dengan Zakuan. Sementelah Zakuan mengetahui peristiwa hitam itu. Kejadian itu bagaikan filem yang sedang diulang tayang di dalam mindanya. Setiap saat yang terjadi pada waktu itu masih diingat dan dipahat dengan utuh dalam fikirannya. Hatinya dihurung hiba tiba-tiba apabila teringatkan wajah Sarah kala itu. Aisyah menggigit bibir untuk menahan air mata daripada pecah dari takungannya. Dia tidak mahu menangis di hadapan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Sungguh hatinya goyah apabila nama Sarah disebut.
“Jawab aku!!” Suara Zakuan naik satu oktaf apabila dilihat Aisyah seperti tidak ingin menjawab soalannya. ‘Perempuan ni betul-betul menguji kesabaran aku.’ Tanpa sedar Zakuan sudah mengepal penumbuknya.
“Ya..” Lemah suara itu menyahut sambil menundukkan pandangan. Aisyah tidak tahu sama ada jawapan yang diberikan itu adalah yang terbaik atau tidak. Dia akui memang dia terlibat dalam kemalangan itu tetapi bukan secara langsung. Aisyah cuma bersuara kerana takut apabila dilihat Zakuan bagaikan ingin menelannya hidup-hidup. Lebih baik dia menjawab pertanyaan lelaki itu sebelum dirinya diherdik dengan lebih teruk.
“Ya, saya terlibat dalam kemalangan itu.” Aisyah menguatkan sedikit suaranya apabila dirasakan Zakuan hanya mendiamkan diri. Mungkin Zakuan tidak mendengar suaranya sebentar tadi. Aisyah mengangkat kepala memandang Zakuan apabila dirasakan lelaki itu masih diam tidak berkutik. Dia terkedu apabila matanya bertembung dengan anak mata tajam milik Zakuan. Mata itu seperti ingin membunuhnya. Setapak demi setapak kaki Aisyah terundur kebelakang apabila dilihat lelaki tersebut seperti ingin menerkamnya.
Zakuan yang tidak mampu menahan amarahnya terus maju menghampiri Aisyah. Dia sudah tidak mampu mengawal dirinya. Hatinya sudah lupa untuk beristighfar kepada Yang Maha Esa apabila amarah menguasai diri. Pantas tangan kanannya naik mencengkam leher Aisyah. Tidak kuat tetapi cukup untuk menyakitkan Aisyah sehingga berkerut dahinya menahan sakit.
“Kau bunuh Sarah!! Kau tak layak untuk teruskan hidup. Kau patut bertanggungjawab dengan apa yang kau buat. Kau tak layak bergelar manusia sedangkan hati kau tak ada belas kasihan. Kau bunuh Sarah. Kau penyebab Sarah mati!!” Zakuan bagaikan dirasuk iblis. Dia sudah tidak peduli dengan halal dan haram tika itu. Apa yang dia tahu adalah Aisyah harus membayar setiap perbuatannya kepada Sarah dahulu. Tangan yang mencekik leher Aisyah diperkuatkan.
Aisyah dapat merasakan nafasnya tersekat di kerongkong. Cengkaman Zakuan membuatkan air mata Aisyah mengalir tanpa dipinta. Dia tahu Zakuan nanar dengan jawapannya sebentar tadi. Aisyah ingin merayu untuk dilepaskan namun lidahnya bagaikan kelu untuk mengeluarkan kata-kata tersebut. ‘Ya, aku bersalah dalam hal ini. Biarlah aku menanggung kesakitan ini demi menebus kesalahan aku pada kau Sarah.’ Hati Aisyah merintih sayu.
“Kenapa kau buat semua tu? Apa salah Sarah dengan kau? Lepas kau hapuskan Sarah kau hidup seperti tiada apa-apa yang berlaku sampai hari ini. Baguslah aku jumpa kau. Aku akan tuntut bela di atas kematian Sarah!!” Zakuan kembali menempik tepat di hadapan muka Aisyah. Dia tidak menghiraukan kesakitan yang terpapar di muka wanita itu. Apa yang pasti dendamnya harus dibalas. Baguslah dia bawa Aisyah pulang ke rumahnya. Tiada sesiapa yang bakal melihat atau mendengar dia mengasari wanita ini.
“Ya Allah tuan..” Kak Milah berlari-lari anak kearah Zakuan apabila melihat tuannya itu sudah hilang pertimbangan. Kak Milah membuat keputusan untuk keluar melihat pertengkaran dua insan itu tadi apabila dia mendengar suara tuannya menjerit-jerit. Tidak menyangka pemandangan di hadapan matanya kini cukup menyentak hati tuanya. Pertama kali dia melihat tuannya bertukar sebengis itu. Dia harus menyelamatkan gadis di dalam cengkaman tuannya itu sebelum berlaku perkara yang tidak diingini. Tanpa berlengah, lantas tangan Zakuan ditarik untuk melepaskan cengkaman pada leher gadis tersebut.
“Tuan istighfar tuan. Jangan biarkan iblis bermaharajalela dalam diri tuan sampaikan tuan hilang pendoman macam nih.” Kak Milah bersuara lirih menasihati Zakuan. Tindakannya untuk keluar dari dapur sebentar tadi adalah tindakan yang betul.
Zakuan yang bagaikan tersentak daripada tidur terus melepaskan tangannya daripada leher Aisyah. Dia melihat Aisyah jatuh terjelopok di atas rumput hijau yang menghiasi halamannya. Zakuan meraup wajahnya sebelum menumbuk meja batu dihadapannya. Segala amarah tadi dihamburkan kepada meja yang tidak bernyawa itu. Dia takut dia bakal membuat sesuatu diluar kawalannya apabila berhadapan dengan Aisyah. Bukan itu tujuan dia membawa Aisyah kesini. Dia mahu menyoal jawab Aisyah tentang insiden itu, namun lain pula yang terjadi.
Kak Milah cuba untuk mengangkat Aisyah yang dilihat terkial-kial untuk bangun. Kedua-dua bahu Aisyah yang berlapik blouse tangan panjang itu dipegang untuk membantunya berdiri. Namun tangan tuanya ditepis lembut oleh Aisyah. Wajah Aisyah yang sayu itu memandang kearahnya sambil tersenyum kelat. Kak Milah sedih melihat keadaan Aisyah yang tidak berdaya itu namun dia tahu Aisyah tidak mahu ditolong.
“Tak apa akak. Saya ok.” Aisyah membalas pandangan Kak Milah. Dengan kudrat yang masih bersisa, Aisyah gagahkan jua dirinya untuk berdiri walaupun kakinya terasa menggeletar.
“Saya tahu semua yang terjadi salah saya. Saya minta maaf. Tapi saya nak tahu apa hubungan encik dengan Sarah sampaikan encik sanggup bertindak sampai macam ni?” Aisyah menyoal Zakuan yang membelakanginya ketika itu. Dia tahu Zakuan sedang menenangkan diri tapi dia juga harus tahu status lelaki itu dengan Sarah. Aisyah pasti Sarah merupakan seseorang yang istimewa dalam hidup Zakuan.
“Maaf? Kau ingat dengan perkataan maaf kau boleh hidupkan Sarah kembali? Pergi mampus dengan maaf kau. Mungkin Sarah layan kau baik sebelum ni sebab hati dia terlalu murni untuk melihat kejahatan orang lain. Kau silap besar perempuan sebab kau dah tarik dia dari hidup aku.” Zakuan membalas kata-kata Aisyah. Soalan Aisyah tentang siapa Sarah kepada dirinya dibiarkan sepi. Lambat-laun status dirinya akan terbongkar juga suatu hari nanti.
“Cukup untuk hari ni. Aku nak kau berambus dari sini sebelum aku buat benda yang lebih teruk dari tadi. Kau anggap saja apa yang jadi tadi sebagai amaran untuk kau. Aku akan cari kau lagi selepas ni. Buat masa sekarang aku lepaskan kau.” Zakuan bersuara namun pandangannya masih tidak menoleh kearah Aisyah. Dia takut dia hilang pertimbangan diri lagi. Zakuan sendiri takut dengan kejadian tadi. Dia tidak menyangka dirinya boleh bertindak sejauh itu setelah mendengar satu kenyataan yang keluar daripada mulut perempuan itu. ‘Betullah apa yang dikatakan Ariana selama ini. Aku dah jumpa orang yang dah bunuh Sarah.’ Zakuan berkata dalam hati sebelum melangkah masuk kedalam rumah meninggalkan Aisyah dan Kak Milah di situ.
Kak Milah yang tidak tahu pangkal hujung cerita teragak-agak mahu menegur Aisyah yang kelihatan bungkam ditempatnya. Perlahan-lahan Kak Milah mendekati Aisyah sebelum bahu itu diusap perlahan.
“Anak balik dulu ya? Hari dah nak petang. Jangan risau pasal Tuan Zakuan. Dia memang kasar sikit bila bercakap, tapi hati dia baik.” Kak Milah cuba memujuk gadis itu walaupun dia tak tahu sama ada ayat yang digunakannya sesuai atau tidak untuk situasi sekarang. Dia cuma mahu gadis itu pulang dengan segera sebelum Zakuan kembali menjadi hantu. Kak Milah berdoa semoga Zakuan tidak keluar menyerang gadis itu semula. Matanya sesekali melihat kearah pintu yang dimasuki Zakuan sebentar tadi. Takut sungguh jikalau lelaki itu keluar kembali.
Pujukan yang diterima daripada Kak Milah ternyata tidak mampu menenangkan sekeping hatinya yang bagaikan ditusuk-tusuk. Hati Aisyah takut bercampur sedih apabila menghadapi situasi tadi. Dia hanya mampu tersenyum kepada Kak Milah sebelum melangkah lemah kearah keretanya. Aisyah kehilangan kata-kata kerana masih terkejut dengan apa yang berlaku dalam hidupnya hari ini. Lelaki itu muncul tanpa dipinta dan pergi tanpa disuruh. Dirinya diherdik dan diperlakukan tanpa belas kasihan tanpa mengetahui identiti lelaki itu. Aisyah buntu. Sepanjang dia mengenali Sarah, lelaki itu tidak pernah muncul dihadapannya. ‘Siapa kau sebenarnya Zakuan?’ desis hati kecil Aisyah sambil menerobos masuk kedalam kereta. Dia tidak betah berlama-lama disitu.
Deruan enjin meninggalkan perkarangan rumahnya dipandang sepi. Zakuan menutup langsir setelah memastikan bahawa Aisyah sudah berambus dari rumahnya. Langkah kaki diatur ke bilik air untuk menyejukkan hati yang tengah sakit. Lama dia merenung figura dirinya di dalam cermin sebelum mengetap gigi tanda geram. Dia dapat melihat matanya menzahirkan dendam yang sedang marak sebelum bayangan Sarah kembali menerobos mindanya. Zakuan nekad. Tiada apa yang dapat menghalang rancangannya kali ini. Dia akan menuntut bela untuk Sarah.
AISYAH berjalan pantas menuju ke kolej perumahannya yang terletak di tingkat tiga. Bagaikan lipas kudung dia mendaki anak tangga supaya cepat tiba di biliknya. Sebaik saja tombol pintu dipulas, Aisyah terkejut melihat sekujur tubuh terbaring di atas katil yang terletak disebelah katilnya. Terdapat dua katil yang disediakan oleh kolej kediamannya di setiap bilik. Aisyah menghuni bilik tersebut seorang diri setelah roommatenya sudah mendaftar keluar tahun lepas kerana sudah tamat belajar. Tinggallah Aisyah seorang diri menjadi peneman setia di dalam bilik itu. Namun Aisyah lebih suka bersendirian daripada terpaksa berkongsi bilik dengan orang baru.
“Apahal muka kau macam baru tertelan lipas aku tengok.” Ayu menegur apabila melihat muka Aisyah yang pucat seperti melihat hantu.
“Ka.. Kau buat apa kat sini?” Aisyah bersuara walaupun kedengaran gugup. Takutnya masih bersisa.
“Alah macam tak biasa aku datang tidur sini. Esokkan kita tak ada kelas. Kau pergi mana dah pukul 5 petang baru balik?” Ayu menyoal sambil menyelak helaian majalah fesyen ditangannya. Dia tidak langsung mengesan perubahan wajah Aisyah kerana matanya lebih tertarik dengan majalah itu.
“Aku ada hal sekejap tadi. Kenapa kau tak bagitahu yang kau nak datang sini. Kalau aku tahu aku balik awal teman kau.” Aisyah sekadar berbasa-basi dengan Ayu untuk menutup kejadian tengah hari tadi. Dia tidak mahu Ayu tahu tentang perkara itu. Bukan sengaja dia ingin pulang lewat petang begitu. Tetapi dek kerana tangannya yang menggeletar sewaktu memandu, keretanya bergerak bagaikan siput di jalan raya.
“Tak apa. Aku tak nak kacau urusan kau. Eh! apahal tangan kau merah ni. Kau ok tak nih?” Ayu bersuara risau apabila matanya sempat mengerling kulit tangan Aisyah yang bertukar merah. Laju tangannya membelek-belek tangan kiri Aisyah. Dahi berkerut menandakan dia sedang risau.
“Ohhh.. tadi aku terkapit pintu kereta. Tak ada apalah.” Aisyah mengelak. Tangannya ditarik dari genggaman Ayu. Hatinya digamit rasa sayu apabila ditegur oleh Ayu. Dia teringat pertemuannya dengan Zakuan. Setiap kata-kata herdikan Zakuan bermain di telinganya.
“A.. Aku nak mandi dulu.” Aisyah yang tidak mampu menahan air matanya terus mencabut tudung hitam yang tersarung di kepalanya. Dia cepat-cepat menggapai tuala yang tersangkut di tepi locker sebelum berlalu ke tandas.
Ayu hanya menjongketkan bahu melihat reaksi Aisyah. Dia tidak bertanya lebih kerana dia tahu Aisyah tidak akan berkongsi masalah dengannya. Itulah perangai Aisyah yang Ayu tidak suka. Aisyah tidak pernah bercerita masalah hidupnya walaupun dengan kawan baiknya sendiri. Aisyah lebih suka memendam perasaan kerana baginya tidak penting lembaran kisahnya dibuka dan dijaja kepada orang luar. Ayu tahu Aisyah banyak menyimpan rahsia dan kadang dia mendengar Aisyah mengeluh mengenangkan nasib hidupnya. Acap kali Ayu bertanya kepada Aisyah tentang masalah yang mengganggu kawannya selama ini, namun jawapan yang diterima adalah hampa.
Aisyah menyandarkan badannya di balik pintu bilik air sebaik saja memastikan pintu dikunci rapat. Air mata yang ditahan sebentar tadi jatuh satu persatu. Makin lama makin lebat. Aisyah tidak lagi mampu menahan kesedihan yang mencengkam hatinya saat itu. Badannya perlahan-lahan melurut jatuh sebelum dia terduduk di atas lantai mozek bilik air itu.
‘Kau bunuh Sarah!! Kau tak layak untuk teruskan hidup. Kau patut bertanggungjawab dengan apa yang kau buat. Kau tak layak bergelar manusia sedangkan hati kau tak ada belas kasihan. Kau bunuh Sarah. Kau penyebab Sarah mati’ Kata-kata Zakuan meresap jauh ke jiwanya menyebabkan air matanya bertambah lebat. Esak tangis yang terbit daripada mulutnya cuba dikawal. Dia hanya membiarkan mutiara jernih itu mengalir di pipinya. Dia sudah tidak mampu menahan perasaan.
“Sarah.. Aku pun terluka dengan kehilangan kau. Aku tak minta semua ni jadi. Hati aku pun sakit bila tengok keadaan kau waktu tu. Sakit sangat kat dalam nih..” Aisyah merintih keseorangan sambil tangan mengetuk-ngetuk dadanya yang terasa mahu pecah. Dia berharap tindakannya itu mampu mengurangkan rasa sedih yang bertamu di hati. Hatinya bagaikan ditusuk-tusuk saat ini. Sakit sangat. Tidak lama kemudian, bunyi pintu bilik air ditolak disebelah menandakan dia tidak keseorangan di situ. Cepat-cepat dia menutup mulut dengan tangan untuk mengelakkan esak tangisnya daripada kedengaran.
“ Aisyah, tadi aku dah telefon ayah aku. Aku tanyalah dia kenapa dia tiba-tiba batalkan kelas hari ni. Kau tahu dia cakap apa? Dia kata dia tak ada mood nak mengajar hari ni sebab pasukan bola sepak dia kalah semalam. Ternganga aku dengar dia cakap macam tu. Aku punyalah beria-ia telefon dia petang tadi, tapi jawapan tu yang dia bagi. Hampeh betul.” Ayu berceloteh di sebelah sambil menceritakan kejadian yang terjadi petang tadi. Dia tidak menyangka itu alasan ayahnya membatalkan kelas.
“Hmm..” Aisyah membalas sambil cuba mengawal suaranya yang sudah bertukar serak. Dia masih berkeadaan seperti tadi. Sedaya upaya dia mengawal tangisannya daripada kedengaran.
Tanpa mengetahui situasi Aisyah di sebelah, mulut Ayu becok bercerita peristiwa yang menggeletek hatinya hari ini. Sesekali kedengaran hilai tawanya memenuhi ruang bilik air yang sederhana besar itu. Tangisan sayu Aisyah yang menghuni ruang itu sebentar tadi perlahan-lahan tenggelam dan digantikan dengan suara ceria Ayu yang tidak berhenti bercakap itu dan ini. Sekali lagi langit menjadi saksi terlukanya hati seorang gadis yang duduk berteleku di ruang bilik air itu tanpa ada sesiapa pun mengetahui keadaan dan galau hatinya tika itu.
Share this novel