Terkejut beruk Aisyah apabila kereta yang dipandunya dipintas oleh sebuah kereta Audi A4 bewarna kelabu secara tiba-tiba. Pantas brek ditekan apabila kereta Audi itu berhenti betul-betul di hadapan keretanya. Hon dibunyi untuk menyedarkan pemandu tersebut yang sudah menyekat perjalanannya yang baru pulang daripada melawat pusara Sarah. Aisyah mendongkol geram di dalam hati apabila dilihat kereta tersebut masih berkeadaan sama. Sedang dia berura-ura mahu keluar untuk menyerang pemandu kereta tersebut, kelihatan dua orang pemuda membuka pintu dan berjalan megah kearahnya. Aisyah cemas. Air liur ditelan. Terus pintu keretanya kembali dikunci dan kepalanya ditegakkan sambil memerhati gerak-geri jejaka-jejaka tersebut. Dia kenal lelaki yang seorang itu.
“Apa yang musibat ni buat dekat sini?” Matanya tidak lepas daripada memandang Zakuan.
Zakuan mengetuk tingkap kereta Aisyah dan membuat isyarat mata menyuruh Aisyah keluar dari keretanya. Aisyah memandang sekeliling jalan raya yang sunyi dan tidak berpenghuni itu. Dia mula menyesal kerana membuat keputusan untuk merentasi laluan ini pulang ke kampusnya tadi.
“Turunlah. Tak faham lagi ka?” Zakuan bersuara. Seperti biasa, tiada sapaan mesra yang kedengaran daripada nada pertuturannya. Hanya arahan yang diberikan. Lelaki yang berdiri disebelahnya hanya memandang tanpa bicara.
“Kau jangan sampai aku pecahkan cermin kereta kau dekat sini. Aku cakap baik-baik dengan kau sekarang.” Zakuan mula bosan dengan reaksi Aisyah yang bagaikan patung cendana.
Aisyah mengeluh. ‘Patutkah aku turun bercakap dengan mamat ni? Kalau aku turun ibarat aku menempah bala sendiri. Mamat ni bukan betul sangat. Tengoklah dia bawa member dia sekali datang serang aku. Dahla sekarang jalan tengah sunyi sepi. Satu kereta pun tak lalu. Maunya dia nak bunuh aku dekat sini, aku nak minta tolong dengan siapa?’ Separuh hati Aisyah melarangnya untuk turun.
‘Baik kau turun Aisyah. Kalau kau tak selesaikan masalah ini harini, sampai matilah mamat tu akan cari kau. Kau bukan tak tahu perangai mamat tu yang suka paksa-paksa orang. Lagi kau tak nak, lagi teruk dia akan buat. Baik kau turun sekarang Aisyah sebelum mamat tu betukar jadi singa. Lagipun kau mesti nak tahu apa hubungan mamat tu dengan Sarah kan?’ Separuh lagi hatinya memujuk supaya dia melangkah turun dari kereta. Akhirnya Aisyah membuka jua pintu keretanya dan berdiri berhadapan dengan Zakuan. Dia mahu selesaikan perkara ini dengan segera.
“Ikut aku.” Zakuan menarik bag silang yang tergantung di badan Aisyah. Automatik badan Aisyah bergerak sekali mengikut langkah Zakuan.
“Encik nak bawa saya kemana lagi ni? Kita bercakap disini sajalah.” Aisyah bersuara malas.
“Jangan banyak cakap. Ikut saja aku. Kunci kereta kau serahkan dekat dia. Nanti pandai-pandailah dia uruskan.” Zakuan membalas.
Aisyah menoleh ke arah lelaki yang hanya setia berdiri di sisi Zakuan. Lelaki itu mengangguk-angguk ke arahnya seperti sedang meyakinkan dirinya. Perlahan-lahan dia menyuakan kunci keretanya kepada lelaki itu sebelum dirinya ditarik menuju ke kereta Zakuan kembali. Kali ini dia rela dibawa pergi. Apa nak jadi, jadilah. Asalkan Aisyah dapat menyelesaikan persengketaan mereka berdua selama ini.
Terasa lama perjalanan yang ditempuhi Aisyah sebelum kereta yang dipandu Zakuan berhenti betul-betul di hadapan bagunan besar yang bertingkat-tingkat. Aisyah menghela nafas lega kerana Zakuan membawanya ke tempat yang lebih ramai orang berbanding pertemuan pertama mereka. Dia juga lega kerana dapat keluar daripada situasi janggal sewaktu berada di dalam kereta yang berjenama itu.
“Sini.” Zakuan bersuara tanpa memandang muka Aisyah. Tanpa banyak bicara Aisyah membuntuti langkah Zakuan menuju ke ruang makan hotel. Sempat matanya menangkap papan tanda yang tertampal di meja receptionist hotel tersebut. Esteem Hotel. Dilihatnya Zakuan memilih meja yang agak terlindung daripada pekerja dan tetamu di hotel itu. Mereka hanya memesan air sebelum Zakuan membuka dokumen bewarna oren di hadapan Aisyah.
“Jadi.. nama kau Aisyah Qaisara Binti Umar. Lahir tahun 2000, kalau tak salah aku sekarang umur kau 22 tahun, sebaya dengan Sarah. So, beza umur kita hanya 3 tahun. Kau satu sekolah dengan Sarah sewaktu sekolah menengah. And you choose to further your study in mechanical engineering, right?” Zakuan membaca satu persatu butiran yang tertulis di dalam dokumen yang sedang dipegangnya. Dia tersenyum sinis memandang wajah Aisyah yang pucat itu.
“Macam mana encik boleh..?” Ayat Aisyah terhenti di situ. Dia memandang dokumen yang dipegang oleh Zakuan.
“Mana encik dapat maklumat ni? Encik siasat latar belakang saya?” Aisyah merampas dokumen di tangan Zakuan dengan perasaan marah. Patutlah lelaki ini boleh mencarinya dahulu. Rupa-rupanya dia disiasat dalam diam.
“Well kalau aku nak jatuhkan musuh aku, aku kenalah berkenalan dengan dia dulu. Ibarat sediakan payung sebelum hujan di kemudian hari.” Sinis sekali perkataan yang terhambur dari mulut Zakuan. Dilihatnya wajah Aisyah yang merah padam menahan marah memuaskan hatinya.
“Tak guna kau koyak benda tu. Kau ingat aku bodoh tak buat photocopy ? Lagipun aku dah baca semua maklumat tentang kau sebelum aku datang sini. Semuanya.. termasuklah kematian mak ayah kau.” Zakuan bersuara tenang kali ini apabila melihat Aisyah seperti ingin mencarik-carikkan dokumen tersebut. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak membuat kecoh atau menimbulkan bibit-bibit pergaduhan antara mereka berdua.
Aisyah terdiam. Hatinya sayu mendengar lelaki itu menyentuh perihal arwah ibu bapanya yang sudah tiada. Namun Aisyah cepat-cepat mengusir perasaan itu kerana bukan itu yang ingin dibincangkannya sekarang.
“Baiklah kalau itu yang dapat mengembirakan hati encik. Saya tahu encik bawa saya ke sini bukan untuk berbincang tentang perihal saya, tetapi encik nak bertanyakan tentang kemalangan lima tahun lepas kan? Saya akan jawab semua soalan yang encik tanya asalkan encik tak mengganggu hidup saya lagi selepas ini.” Aisyah bersuara nekad. Tiada kegugupan yang melanda hatinya kali ini. Pandangannya dibuang kepada pelayan yang mula menghantar pesanan mereka tadi.
“Kau jangan cuba nak cabar aku perempuan.” Zakuan bersuara setelah pelayan itu pergi. Dia geram melihat perubahan diri Aisyah yang semakin berani. Hatinya mendidih apabila Aisyah menyebut perkataan ‘kemalangan’ itu dengan wajah yang selamba.
“Saya tak cabar encik. Tapi saya penat main tarik tali dengan encik. Kalau encik nak tahu sangat apa yang terjadi, encik boleh tanya kepada saya sekarang. Tapi lepas ni saya harap encik tak muncul di hadapan saya lagi.” Aisyah bersuara tegas.
“Jadi ceritakan dekat aku apa yang terjadi lima tahun lepas.” Zakuan membalas pandangan mata Aisyah dihadapannya.
“Ya. Memang saya keluar dengan Sarah malam tu. Sarah ajak saya teman dia jumpa seseorang. Saya hanya bersetuju dengan ajakan Sarah sebab saya risaukan keselamatan diri dia waktu tu. Tapi saya tak sangka malam yang sepatutnya menjadi malam bahagia Sarah berakhir dengan tragedi yang tak dapat saya lupakan sampai hari ini.” Aisyah menggenggam tangannya di bawah meja. Matanya berkaca-kaca apabila teringatkan kejadian itu.
“Dan kau penyumbang kepada tragedi itu!!” Suara kuat itu berjaya mencuri tumpuan penghuni lain yang sedang menjamu selera. Aisyah terkedu melihat seorang perempuan yang duduk selang satu meja daripada meja makan mereka.
“Ariana?” Aisyah berbisik perlahan.
“U buat apa dekat sini? Kan I dah cakap, biar I selesaikan masalah ni sendiri.” Zakuan juga terkejut dengan kedatangan Ariana secara tiba-tiba.
“I tak nak U kena tipu hidup-hidup dengan perempuan ni.” Ariana membidas dengan matanya mencerlung memandang Aisyah. Dia sudah mendengar perbualan yang terjadi antara Zakuan dan Aisyah sedari tadi. Sebelum semuanya terlambat, lebih baik dia mencelah terlebih dahulu. Belum sempat dia menghamburkan kata makian kepada Asisyah, tangannya ditarik oleh Zakuan keluar dari hotel itu.
“Ikut aku.” Zakuan sempat berpesan kepada Aisyah.
Aisyah hanya menurut walaupun dia masih tertanya-tanya dengan kemunculan Ariana. Setibanya dilaluan luar hotel yang agak terlindung, Ariana menarik tangannya daripada cengkaman Zakuan. Dia kembali menoleh kepada Aisyah.
“Pembohongan apa lagi yang kau nak cipta Aisyah. Cukuplah dulu kau tipu Sarah dengan sifat pura-pura baik kau tuh. Kau tak payah nak tegakkan benang yang basah. Dah terang lagi bersuluh kau bersama dengan Sarah malam tu.” Ariana kembali mengherdik Aisyah. Puas hatinya melihat wajah pucat Aisyah. Zakuan hanya menjadi pemerhati di situ.
“Ya memang aku bersama Sarah malam tu, tapi tak bermaksud aku penyebab Sarah pergi. Malam tu..” Aisyah mahu merungkaikan salah faham yang terjadi.
“Ahh!! Kalau betul kau bukan penyebabnya, kenapa kau tak tolong dia waktu tu? Kenapa kau biarkan dia dalam kesakitan? Kenapa kau tak selamatkan dia? End up kau sorang saja yang tak mampus malam tu.” Ariana memotong percakapan Aisyah.
Bagaikan petir menyambar, Aisyah terpempam ditempatnya. Dia kelu seribu bahasa. Hatinya kembali diserang rasa bersalah apabila teringatkan air mata Sarah yang mengalir tika itu. ‘Ya, aku yang bunuh Sarah. Aku sahabat yang tak guna kerana pentingkan nyawa aku kala itu. Aku pentingkan diri aku sampaikan nyawa Sarah tidak aku pedulikan. Aku bersalah dalam hal ni. Betul apa yang Ariana cakap. Aku penyebabnya. Aku pembunuh Sarah yang sebenarnya.’ Aisyah kembali berperang dengan perasaannya. Dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Telinganya sudah tidak mendengar tohmahan yang dikatakan oleh Ariana terhadap dirinya.
“Ohh.. aku tahu kenapa kau buat macam tu. Sebab kau memang dengki dengan Sarah sejak dulu lagi kan? Kau tak suka tengok Sarah lebih-lebih dari kau sebab hidup kau tak senang macam dia. Kau cemburu dia ada family yang bahagia sedangkan kau sebatang kara. Jadi tu sahaja satu-satunya cara kau hapuskan Sarah supaya orang bagi perhatian pada kau. Kau jadikan pembunuhan kau seperti kemalangan yang tak disengajakan.” Tuduhan Ariana merentap hati Zakuan. Dia terkejut mendengar kenyataan itu. Lantas dia memandang Aisyah.
Kebisuan Aisyah menyebabkan amarah Zakuan muncul kembali. Wajah serba salah yang ditunjukkan Aisyah seolah-olah mengiyakan semua tuduhan Ariana terhadapnya tadi. Dia lantas mencengkam kedua-dua bahu Aisyah sebelum menolak tubuh Aisyah rapat ke dinding.
“Betul apa yang Ariana cakap?” tubuh Aisyah digoncang kuat untuk menyedarkannya. Aisyah hanya memandang sepi wajah Zakuan yang seperti ingin mencingcangnya saat itu. Aisyah buntu. Fikirannya kosong. Aisyah mengangguk lemah.
“Kau memang perempuan tak guna!! Aku akan pastikan kau terseksa, masa depan kau hancur dan hidup kau merana. Kau akan tebus setiap kesalahan kau pada Sarah. Aku akan pastikan kau tak akan hidup senang lepas ni. Perempuan sial!!” serentak itu Zakuan menumbuk dinding di tepi kepala Aisyah sehingga menghasilkan cecair pekat di tangannya. Ariana jelas terkejut melihat Zakuan menyinga.
“Zakuan!! U bawa bertenang dulu. Tak guna U bersakit disebabkan perempuan ni. Buang masa dan tenaga U sahaja. Jomlah kita balik. Biar I rawat luka U.” Ariana bersuara manja sambil membelek-belek tangan Zakuan yang sudah berdarah.
“Kau tunggu takdir kau selepas ini Aisyah. Aku tak main-main.” Zakuan sempat memberi amaran sebelum berjalan mengikut Ariana. Dalam diam hati Ariana melonjak kemenangan apabila berjaya menjatuhkan musuhnya. ‘Padan muka kau.’ Ariana mengejek dalam hati.
Aisyah berdiri statik sambil matanya tunak merenung lantai dengan pandangan kosong. Dia tidak mampu berfikir apa-apa saat ini. Hanya perasaan takut mula menjalar dalam tubuhnya dengan tumbukan Zakuan tadi. Jantungnya mula mengepam darah dengan laju menandakan hatinya gusar mendengarkan suara nekad lelaki itu.
“Cik Aisyah?” Lelaki yang datang bersama Zakuan sebentar tadi sudah berdiri di hadapannya.
“Nih kunci kereta Cik Aisyah. Kereta saya parkirkan di hadapan hotel.” Jelas lelaki itu.
Terketar-ketar Aisyah menyambut huluran kunci keretanya daripada lelaki itu. Tanpa ucapan terima kasih dia melangkah longlai menuju ke keretanya. Sekali lagi dia terpaksa pulang dalam keadaan lemah semangat. Nampaknya dia akan bertemu dengan Zakuan lagi selepas ini.
Share this novel