Tanpa Aisyah sedar, sudah seminggu dia bekerja dan berbakti di rumah Zakuan. Dan dalam masa seminggu itu juga dia mendapat layanan yang teruk daripada lelaki itu. Setiap hari dirinya dimarahi di atas kesalahan yang dia sendiri tidak lakukannya. Tapi Aisyah bersyukur kerana Zakuan hormat akan pendiriannya yang tidak suka disentuh. Lelaki itu hanya menempik dan mengherdik dirinya jika tidak berpuas hati. Aisyah cuma menadah telinga jika dirinya dimarahi tanpa ada niat mahu melawan.
Telefon bimbit yang berbunyi mematikan lamunannya di atas katil. Pantas punat hijau ditekan apabila nama Ayu tertera di skrin.
“Aisyah.. aku dah otw. Dalam lima belas minit aku sampai.” Suara ceria Ayu menyapa di hujung talian.
“Aku pun baru nak keluar rumah. Hati-hati drive. Kau tu kalau dah excited, kiri kanan pun dah tak pandang.” Aisyah mula mencapai tasnya di atas meja solek. Hari ini dia berjanji akan berjumpa dengan Ayu di mall yang berdekatan dengan rumahnya. Nasib baik Zakuan memberinya cuti setiap hari Sabtu. Jadi dia gunakan masa cutinya untuk keluar berseronok dengan Ayu.
“Tolong sikit. Aku nih pemandu yang berhemah kot. Dah cukup slow aku bawak ni. Orang naik basikal pun boleh potong aku.” Ayu membidas.
“Apa-apa jelah Ayu, asalkan kau bahagia.” Aisyah tertawa kecil sebelum menamatkan talian. Tidak sabar dia mahu menatap wajah Ayu bagi melampiaskan rasa rindu di dalam hati terhadap sahabatnya itu.
Mereka memilih untuk bertemu di food court yang terletak di tingkat tiga mall tersebut. Lebar senyuman Aisyah apabila terpandangkan Ayu yang sedang melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Pantas kaki diatur sebelum melabuhkan duduk di kerusi kuning di hadapan Ayu.
“Weyh rindunya aku dengan kau. Rasa macam setahun dah tak berjumpa.” Ayu bersuara girang.
“Cehh.. Baru seminggu kau tak nampak muka aku. Tak payah nak over sangatlah.” Aisyah tergelak melihat telatah Ayu.
“Lama jugak tu. Lebih dari sehari. Lagipun aku ada banyak benda nak dikongsikan dengan kau. Tapi sebelum tu jom kita makan dulu.”
“Haahlah. Aku pun lapar juga ni. Rasa nak mati dah ni.” Aisyah berseloroh.
Bersinar mata mereka melihat pelayan mula menghantar makanan mereka ke meja. Kedua-duanya fokus menikmati makanan tengah hari dengan penuh berselera.
“Kau buat apa cuti seminggu dekat rumah? Takkan terperap dalam bilik kot.” Ayu memecahkan suasana.
“Kau ingat aku ni tak ada kerja sangat asyik nak berkurung dalam bilik? Aku tengah kerjalah sekarang. Sebab tu aku jarang message kau.” Tersedak Ayu mendengar jawapan Aisyah.
“Kerja? Aku tak tahupun kau kerja. Kerja apa yang kau buat Aisyah? Dekat mana?” Ayu menyoal bertalu-talu. Terkejut kerana tiada angin tiada ribut, Aisyah sudah mendapatkan tempat kerja. Patutlah busy bebenor sahabatnya itu sejak kebelakangan ini.
“Aku jadi orang gaji je Ayu. Bolehlah nak hilangkan bosan duduk rumah sorang-sorang.” Aisyah berterus-terang tentang pekerjaannya itu. Tetapi dia tidak menceritakan secara terperinci. Cukuplah Ayu mengetahui perkara itu sahaja.
“Apa! Orang gaji! Aku tahulah kau terdesak sangat nak kerja, tapi takkan budak engineering macam kau kerja sebagai orang gaji. Lari topik sangat tu Aisyah.” Ayu tidak berpuas hati.
“Kenapa? Hina sangat ke jadi orang gaji? Alah aku kerja sementara je sebab orang gaji rumah tu berhenti. Lagipun tak terasa penat sangat sebab kerja aku kemas-kemas rumah, mop-mop lantai sahaja.” Aisyah masih tidak menceritakan perkara sebenar kepada Ayu.
“Aku tak cakap jadi orang gaji tuh satu pekerjaan yang hina, cuma aku terkejut sebab lari sangat dengan bidang yang kita ambil. Tapi baik juga tuan rumah tu ambik kau sedangkan kau nak kerja selama tiga minggu sahaja. Terdesak sangat tu dia nak orang gaji.” Ayu menghirup teh o ais limaunya.
“Macam mana kau boleh nak apply jadi orang gaji ni? Kau kenal dengan tuan rumah tu?” Ayu kembali menyoal.
“Dia yang tawarkan dekat aku. Jadi aku terimalah. Aku tak kenal dia, tapi aku kenal orang yang rapat dengan dia.” Aisyah membuang pandang pada orang yang lalu-lalang di situ. Betullah dia tidak mengenali siapa Zakuan yang sebenarnya.
“Ohh.. Baguslah tu. Boleh kau tambah duit poket kau cuti ni.” Ayu menyuap nasi goreng ke dalam mulut.
“Dahlah cerita pasal aku. Tadi kau cakap kau ada banyak benda nak kongsi dengan aku, apadia?” Aisyah cuba mengalih topik. Tambah duit poket apanya kalau dia bekerja secara percuma kepada lelaki itu. Aisyah sempat mengutuk Zakuan dalam hati.
“Nasib kau ingatkan aku. Aku dah lupa tentang tu.” Ayu menarik nafas panjang sebelum mula bercerita.
“Pasal ayah aku. Aku rasa dia macam lain sekarang.” Ayu mula masuk mood serius.
“Maksud kau?” Aisyah mengerutkan dahi.
“Haritu aku masuk bilik kerja dia sebab nak guna laptop. Sebelum ni pun aku selalu pinjam laptop dia kalau laptop aku rosak. Entah apa salah aku haritu, tiba-tiba dia tengking aku cakap yang aku kurang ajar sebab tak minta izin dulu dengan dia. Padahal selama ni aku ambil, tak minta izin pun dia ok je. Aku peliklah tengok perangai dia.” Ayu mengeruhkan muka apabila teringat kembali kejadian itu.
“Mungkin dia ada masalah. So, dia terlepaskan tension dia dekat kau.” Aisyah cuba menyedapkan hati Ayu.
“Awal-awal pun aku fikir macam tu. Tapi lama-lama aku rasa macam dia ada sembunyikan something dari aku. Tiba-tiba dia haramkan aku jejak kaki dalam bilik kerja dia. Lepas tu, lately ni dia selalu balik lambat. Bila aku tanya mama aku, dia cakap dia pun tak tahu ayah aku pergi mana.” Ayu sungguh buntu dengan perubahan yang ditunjukkan ayahnya itu.
“Kau tak try tanya dia sendiri?” Aisyah memandang Ayu.
“Dah berbuih aku tanya dia pergi mana. Tapi dia still tak jawab and terus masuk bilik kerja dia. Sampaikan mama aku pun cakap ayah aku tu dah jadi workaholic, terperap dalam bilik kerja dia tak keluar-keluar. Aku risaulah. Kalau betul ayah aku ada masalah, mesti dia akan cerita dekat mama aku. Ini dengan mama aku pun tak tahu apa puncanya.” Ayu mengeluh berat.
“Aku pun tak tahu nak tolong macam mana. Mungkin dia tengah busy siapkan kertas ujian untuk students dia yang lain? In sya Allah nanti dia oklah tuh. Kau jangan risau sangat.” Aisyah cuba memujuk Ayu. Tangan Ayu digenggam kemas untuk menyalurkan sedikit semangat.
“Aku harap macam tulah.” Ayu cuba berfikiran positif.
“Tapikan Aisyah.. aku perasan yang perangai dia berubah sejak dari hari dia batalkan kelas haritu.” Ayu membalas pandangan Aisyah.
“Maksud kau, kelas yang aku pergi sorang-sorang haritu?” Aisyah teringat kejadian dia memarahi Ayu kerana tidak memberitahunya tentang kelas yang dibatalkan oleh ayahnya itu.
“Haah. Mesti ada something yang berlaku sampaikan ayah aku boleh jadi bad mood tiba-tiba.” Ayu berfikir sambil mengetuk-ngetuk dagunya dengan hujung jari.
“Tapi kau ada bagitahu aku yang ayah kau batalkan kelas sebab pasukan bola sepak dia kalah kan?” Aisyah lurus bertanya.
“Ish kau ni Aisyah. Aku pun tahulah ayah aku bergurau sahaja dengan aku waktu tu. Tak mungkin orang yang tegas dan ada commitment macam dia batalkan kelas sebab hal remeh macam tu. Tak make sense langsung.” Ayu menampar bahu Aisyah yang percaya dengan alasan ayahnya itu.
“Manalah aku tahu. Mungkin dia sibuk dengan kuliah or meeting dengan dekan, kau je yang fikir lebih-lebih.” Aisyah cuba menyedapkan hati Ayu.
“Hmm..”
“Ayu.. kadang-kadang ayah kita ni banyak simpan rahsia depan kita sebab dia tak nak kita susah hati. Dia lebih suka duduk menyendiri selesaikan masalah dia sebab tak nak orang yang dia sayang terlibat sama. Mungkin kau patut bagi dia ruang dalam beberapa hari lagi. Nanti bila dia dah ok, aku yakin dia akan mula bagi perhatian dekat kau.” Aisyah kembali menasihati Ayu.
“Aku tahu dia perlukan ruang sekarang, cuma hati aku ni gelisah sangat setiap kali fikir tentang dia. Tak pernah dia berperangai macam tu.” Ayu masih risau akan hal itu.
“Kau jangan risau ok. Semuanya akan baik-baik saja.” Aisyah masih tidak berputus asa memujuk Ayu. Dia kesian melihat wajah cemberut Ayu yang bagaikan hilang anak.
“Apa kata untuk hilangkan gelisah dalam hati kau tu, kita pergi tengok wayang?” Aisyah mendapat idea. Dia menjongketkan kedua-dua keningnya.
“Bagus juga cadangan kau tu. At least aku boleh rehatkan otak aku sekejap.” Wajah Ayu kembali bertukar ceria.
“Jom.” Aisyah bangun dari tempat duduknya dengan penuh teruja. Belum sempat dia melangkah, terasa tangan kanannya ditarik lembut.
“Terima kasih sebab sudi dengar masalah aku.” Ayu tersenyum manis kepada Aisyah. Dia bersyukur kerana dapat menceritakan keluh kesahnya kepada Aisyah. Terasa beban di bahunya sedikit berkurang.
“Demi kau, tiga hari pun aku sanggup tunggu dan dengar masalah kau.” Aisyah berkata sebelum menarik tangan Ayu mengikut langkahnya.
Aisyah dan Ayu melangkah keluar dari mall itu apabila jam menunjukkan tepat pukul tiga petang. Senyuman dan gelak tawa tidak lekang daripada wajah mereka. Kedua-duanya sibuk bercerita itu dan ini sambil tangan membimbit beberapa beg kertas menuju ke kereta masing-masing.
“Terima kasih tau Ayu sebab belanja aku.” Aisyah menunjukkan beg kertas yang dipegangnya. Setelah selesai menonton wayang tadi, Ayu mengajaknya untuk membeli beberapa helai baju kerana hari itu kebetulan kedai tersebut mengadakan promosi. Dia tidak menyangka Ayu turut membeli baju untuknya sebagai ucapan terima kasih kerana menemaninya hari ini.
“Tak ada apalah. Lagipun bukan selalu aku dapat belanja kau.”
“Eh! Kau parking kereta dekat mana?” Aisyah meliarkan pandangan mencari kelibat kereta Ayu.
“Seberang sana. Senang aku nak keluar nanti. Aku balik dululah Aisyah. Terima kasih sekali lagi sebab sudi teman aku.” Ayu melambai-lambaikan tangan kepada Aisyah.
“Yelah. Balik elok-elok.”
Ayu mula menyeberangi jalan untuk menuju ke keretanya. Matanya masih tidak lepas daripada membelek-belek barang di tangan. Tanpa dia sedar, sebuah motosikal menuju laju ke arahnya.
“Ayu!!” Ayu mengangkat kepala apabila mendengar namanya dipanggil kuat. Serentak itu dia terpandangkan motosikal yang sudah hampir mahu melanggarnya.
“Ahhh!!” Ayu menjerit sambil tangannya naik menutup mata. Kakinya bagaikan terpaku di tempatnya berdiri. Dia pasrah menunggu masa tubuhnya dihentam oleh motosikal itu.
Aisyah pantas meluru ke arah Ayu. Tubuh Ayu dipeluk dan dijatuhkan ke atas jalan untuk mengelak daripada dilanggar. Mereka berdua sama-sama jatuh tergolek ke bahu jalan. Aisyah kalut-kalut mengangkat wajahnya untuk memeriksa keadaan Ayu yang masih berada di dalam dakapannya. Dia cuak melihat Ayu tidak sedarkan diri.
“Ayu! Ayu! Bangun Ayu. Bangun!” Aisyah mula menggoncangkan tubuh Ayu untuk menyedarkan sahabatnya itu. Namun tiada sebarang reaksi yang diterimanya. Aisyah panik.
“Cik? Cik tak apa-apa ka? Saya minta maaf. Saya betul-betul tak perasan tadi.” Lelaki yang dipercayai penunggang motosikal tadi datang melihat keadaan mereka. Dia juga cemas kerana kemalangan tersebut terjadi kerananya. Salahnya juga membawa melebihi had laju di kawasan parkir.
“Tolong ka.. kawan saya encik. Di.. Dia tak sedarkan diri. Tolong call ambulans.”
Terketar-ketar Aisyah bersuara. Perkataaan maaf yang keluar dari mulut lelaki itu tidak dipedulikan. Dia lebih mementingkan nyawa Ayu sekarang. Dia takut melihat keadaan Ayu yang terbaring kaku. Tanpa Aisyah sedar orang ramai mula mengerumuni mereka untuk melihat apa yang berlaku.
“Cik bawa bertenang dulu. Saya dah call ambulans. Sekejap lagi mereka sampai.” Lelaki tersebut cuba menenangkan Aisyah yang kelihatan pucat.
“Ayu! Bangunlah. Jangan takutkan aku macam ni.” Aisyah kembali menepuk-nepuk pipi Ayu. Dia membelek-belek anggota badan Ayu yang lain untuk melihat kecederaan yang mungkin terjadi akibat kemalangan tadi. Namun, tiada satu pun luka yang dapat dikesan pada tubuh badan Ayu.
“Lambat lagi ke encik?” Ayu kembali menyoal. Dia tidak senang duduk selagi Ayu tidak sedarkan diri. Dia mula bangun mundar-mandir di situ. Air mata yang menuruni lekuk pipinya diseka dengan hujung baju. Orang ramai yang berada di situ tidak dipedulikan.
“Sabar eh cik. Lagi lima minit mereka sampai.” Lelaki itu membalas lembut sambil memerhati Aisyah. Matanya tertangkap sesuatu.
“Cik?” Lelaki itu mendekati Aisyah. Aisyah pantas memalingkan muka memandang lelaki di hadapannya.
“Cik juga cedera.” Lelaki itu menunjuk ke arah tompokan darah yang berada di siku lengan baju Aisyah. Baju gadis itu dilihat terkoyak sedikit mungkin kerana terseret dengan tar sebentar tadi. Matanya turut memandang lutut gadis itu yang juga terdapat kesan darah. ‘Dia tak perasan ka yang badan dia terluka?’ Lelaki itu berdesis di dalam hati.
Aisyah memandang ke arah yang ditunjukkan lelaki itu. Dia tidak sedar langsung keadaan dirinya tika itu kerana mindanya lebih fokus dengan keselamatan Ayu. Perlahan-lahan rasa sakit dan pedih mula menjalar di sekitar tangan dan kakinya. Sejurus itu telinganya menangkap bunyi siren ambulans yang semakin lama semakin kuat.
Share this novel