BAB 12

Drama Completed 10212

“Aisyah kerja sini?” Tangan yang sedang menjemur kain itu terhenti. Walaupun Aisyah tidak berpaling melihat insan yang bertanya, tetapi dia tahu suara itu daripada siapa.

“Aisyah..” Tuan Johari berusaha untuk bercakap dengan Aisyah walaupun dia tahu gadis itu cuba menghindari dirinya.

“Macam yang pak cik lihat. Saya merupakan orang gaji dalam rumah ni. Orang gaji kepada Encik Zakuan.” Aisyah menoleh menghadap Tuan Johari. Hanya untuk seketika sebelum matanya dilarikan memandang rumput di kaki.

“Tapi kamu kan masih belajar sekarang. Lagipun pekerjaan kamu ni bercanggah sangat dengan apa yang kamu belajar. Terus-terang dengan pak cik Aisyah, kamu yang datang minta kerja dekat sini secara rela hati ataupun atas perkara lain?” Tuan Johari cuba mencungkil sesuatu daripada Aisyah. Sungguh dia hairan dengan kehadiran Aisyah di rumah Zakuan.

“Saya sendiri yang datang minta kerja di sini pak cik. Saya nak kumpul duit poket sepanjang cuti tiga minggu ni. Apa yang saya lakukan sekarang adalah kehendak saya sendiri. Saya tak tahu pula yang Encik Zakuan merupakan anak kandung pak cik. Kalau saya tahu..” Aisyah menghentikan bicaranya. Terasa suaranya tersekat di kerongkong.

“Kalau kamu tahu yang Zakuan tu anak pak cik, kamu tak akan sesekali minta kerja sini kan? Itu apa yang kamu nak cakap?” Tuan Johari bagaikan mengetahui apa yang ingin dikatakan Aisyah. Dia mengeluh apabila Aisyah hanya mendiamkan diri seperti mengiakan kenyataannya. Wajahnya langsung tidak dipandang oleh gadis itu.

“Berapa kali pak cik nak bagitahu Aisyah yang peristiwa lepas terjadi bukannya disebabkan Aisyah. Percayalah nak, apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi. Dia yang menentukan semuanya. Aisyah tak patut terus-terusan salahkan diri Aisyah begini. Pak cik kecewa tengok hubungan kita yang rapat bagaikan satu keluarga dulu boleh berpecah belah macam ni. Pak cik nak sangat tengok Aisyah kembali seperti dahulu.” Tuan Johari sekali lagi cuba menasihati Aisyah. Tidak mahu Aisyah melayan perasaan bersalah yang semakin lama semakin menebal di dalam hatinya.

“Saya mohon sangat dekat pak cik jangan pertikaikan apa yang saya buat. Cukuplah hati saya sakit menanggung perasaan tu. Walaupun dah beribu kali saya cuba, tapi saya masih gagal untuk buka buku baru dalam hidup saya.” Aisyah lirih bersuara.

“Pak cik minta maaf kalau apa yang pak cik cakap buatkan Aisyah bertambah sedih. Pak cik cuma risau dengan keadaan Aisyah yang sekarang. Kalau boleh pak cik nak sangat Aisyah anggap peristiwa lepas sebagai sumber kekuatan dalam diri Aisyah. Aisyah sepatutnya bangkit menjadi orang yang lebih kuat.” Tuan Johari menarik nafas dalam-dalam cuba mengusir suasana sedih yang bertamu.

“Betul Aisyah tak tahu yang Zakuan tu anak pak cik? Sarah tak pernah cerita?” Tuan Johari cuba menukar topik.

“Saya betul-betul tak tahu pak cik. Sarah tak pernah langsung bercerita kepada saya yang dia ada abang. Dia cuma bagitahu saya yang dia tinggal bersama neneknya.” Aisyah ingat akan hal itu. Tidak ada sekali pun perkataan ‘abang’ keluar daripada mulut Sarah semasa hidupnya. Sewaktu dia masih berkawan dengan Sarah, dia kerap dibawa berjumpa dengan Tuan Johari dan Puan Intan sahaja. Selain itu, Sarah juga ada memberitahunya bahawa dia tinggal berasingan dengan mak ayahnya kerana lebih selesa tinggal bersama neneknya.

“Betullah apa yang Sarah cerita. Disebabkan ego pak cik yang melangit dulu, Zakuan dan Sarah tak pernah merasakan kasih sayang daripada seorang ayah. Pak cik abaikan mereka kerana sibuk mengejar harta dunia walaupun ketika itu diorang masih kecil. Pak cik beri kepercayaan kepada ibu pak cik sendiri untuk jaga mereka seratus peratus tanpa mengambil kisah perasaan mereka yang mendambakan perhatian daripada pak cik.” Tuan Johari mula membuka kisah lama.

“Sebab tulah Encik Zakuan..” Aisyah tidak jadi meneruskan kata kerana takut bakal melukakan hati Tuan Johari.


“Sebab itulah Zakuan marah kepada pak cik. Setiap percakapannya dimulakan dengan sindiran. Setiap bicaranya dipenuhi dengan amarah yang masih menggunung kepada pak cik. Kebencian dalam diri dia mula ditunjukkan setelah kematian mama mereka sewaktu masih berusia tujuh tahun. Dan perasaan itu makin bertambah apabila pak cik membuat keputusan untuk berkahwin lain.” Tuan Johari menyambung bicara Aisyah.

“Maksud pak cik, Mak Cik Intan tu mak tiri mereka?” Aisyah terkejut kerana baru mengetahui kebenaran itu. Dia melihat Tuan Johari hanya mengangguk menjawab pertanyaannya.

“Oleh sebab perkahwinan pak cik ditentang dan tidak direstui oleh Zakuan dan ibu pak cik sendiri, kami membuat keputusan untuk membawa diri. Setelah pak cik menjalani alam perkahwinan bersama Mak Cik Intan kamu, dia banyak nasihatkan pak cik tentang tanggungjawab pak cik kepada anak-anak pak cik. Dialah yang sedarkan pak cik untuk menebus semula semua kesalahan pak cik kepada Sarah dan Zakuan. Tapi sayang, waktu tu hanya Sarah yang memaafkan pak cik.” Mata Tuan Johari mula berkaca apabila terkenangkan semula kejadian dia merayu-rayu memohon maaf daripada ahli keluarganya. Namun maafnya hanya disambut oleh anak perempuannya. Dia faham mereka memerlukan masa untuk membuka kembali pintu hati menerimanya semula.

“Saya minta maaf kerana disebabkan saya pak cik terpaksa membuka pekung di dada sendiri.” Aisyah mula bermain dengan hujung tudungnya.

“Tak apa. Kamu tak salah pun. Pak cik sendiri yang nak cerita dekat kamu supaya kamu faham situasi pak cik dengan Zakuan sekarang. Dan kerana kesalahan pak cik yang lalu, pak cik masih cuba untuk memujuk dan beri perhatian kepada Zakuan sehingga hari ini.” Tuan Johari mengorak senyum kepada Aisyah.

“Tapi kenapa Sarah memilih untuk rahsiakan identiti abang dia daripada saya selama ini?” Aisyah mengerutkan dahi memikirkan hal itu.

“Dia takut pak cik akan teringat kembali kekhilafan pak cik kepada mereka dahulu. Sebab tu Sarah tak pernah menyebut nama Zakuan di hadapan pak cik dan mungkin juga dia tak nak kamu tertanya-tanya kenapa Zakuan tak pernah hadir ke rumah pak cik. Jadi jalan terbaik adalah dengan merahsiakan kewujudan Zakuan daripada pengetahuan kamu.” Terang Tuan Johari.

“Saya sungguh tak sangka selepas mendengar cerita daripada pak cik. Saya tengok Sarah nampak bahagia sangat bila berjumpa dengan pak cik dan mak cik. Tak pernah terlintas dalam fikiran saya yang Mak Cik Intan tu mak tiri Sarah.”

“Sarah memang seorang anak yang baik. Dia pernah cakap yang dia seronok sangat kerana masih diberikan kesempatan untuk merasai kasih sayang daripada pak cik dan Mak Cik Intan, walaupun dia terpaksa berjumpa dengan pak cik secara diam-diam.” Tuan Johari kembali tersenyum manis teringatkan celoteh Sarah setiap kali bertandang ke rumahnya.

“Sampai macam tu sekali Encik Zakuan tak sukakan pak cik?” Aisyah nyata terkejut mendengar perkara itu.

“Ya. Dia larang Sarah daripada berjumpa dan berhubung dengan pak cik. Selama ni, Sarah datang berjumpa dengan pak cik pun tanpa pengetahuan dia.”

“Jadi malam kemalangan tu..” Aisyah inginkan kepastian. Wajah Tuan Johari dipandang sayu.

“Zakuan tak tahu yang Sarah dalam perjalanan untuk berjumpa pak cik waktu tu. Mungkin kerana dia lebih risaukan keadaan Sarah sehingga tidak ambil peduli tentang orang lain yang turut terlibat sama. Pak cik juga tak pernah beritahu dia dari mana pak cik dapat parut ni dan dia juga tidak bertanya kepada pak cik langsung.” Terang Tuan Johari sambil menunjukkan parut di dahinya. Kronologi malam berdarah itu hanya diketahui oleh Aisyah dan isterinya sendiri. Dia takut apabila Zakuan mengetahui siapa yang terlibat dalam kemalangan itu, pasti anaknya akan menyalahkannya dan menuduh dirinya pembawa malang. Dia tidak sanggup menambah lagi api kebencian dalam hati Zakuan. Kebencian yang mungkin mampu membutakan mata hati Zakuan untuk melihat mana yang betul dan mana yang salah.


‘Jadi, Tuan Johari tidak tahu yang Zakuan menyiasat insiden itu secara diam-diam sehingga lelaki itu mengetahui bahawa dirinya bersama dengan Sarah malam itu.’ Hati Aisyah berbisik. Aisyah pasti jikalau dia memberitahu perkara sebenar kepada Tuan Johari pasti lelaki itu akan menyuruhnya menjauhi Zakuan. Buat masa sekarang dia hanya membiarkan Tuan Johari berfikir bahawa dirinya bekerja di situ secara kebetulan dan dia juga tidak mahu Tuan Johari tahu yang semua perkara dilakukannya sekarang adalah demi menebus dosanya yang lalu. Dia tidak mahu meretakkan lagi masalah keluarga ini yang sedia retak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience